Monday 8 December 2014

RASUAH: ADAKAH KITA MAHU HIDUP SENANG DI DUNIA SAHAJA?



1.    Rasuah (dalam bahasa Arab disebut risywah) adalah pemberian sesuatu dengan tujuan membatalkan sesuatu yang haq atau untuk membenarkan suatu yang batil. Kesimpulannya rasuah ialah apa saja pemberian kepada seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya atau untuk mengelakkan suatu kerugian yang sepatutnya terjadi kepadanya. 

2.   Rasuah tidak hanya melibatkan wang tunai. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendifinasikan rasuah sebagai: “Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun”. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

3.    Hukum memberi atau menerima rasuah adalah haram.  Ia merupakan dosa besar kerana pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Pemberi dan penerima rasuah akan mendapat kemurkaan Allah dan dijauhkan dari rahmat Allah  kerana mereka telah melakukan suatu perbuatan yang batil dan mengambil sesuatu yang bukan hak mereka. Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:42) Allah SWT berfirman yang berbunyi:



“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

4.      Dalam Surah AlBaqarah [Lembu Betina](2:188) pula Allah berfirman berbunyi:



“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

5.     Hayatilah terjemahan sabda-sabda Rasulullah berkaitan dengan rasuah seperti di bawah:

5.1.   Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani).  

5.2.   “Barang siapa yang mengambil harta orang lain secara haram, Allah kata wajib masuk neraka dan  haram baginya masuk syurga, walaupun harta yang haram itu sebesar dan seberat ranting kayu”.

5.3.   Allah tidak menerima amalan solat yang manusia lakukan yang di dalam perutnya ada makanan haram.” Makanan haram tidak bermaksud makan babi, biawak, ular, anjing dan sebagainya sahaja tetapi makanan yang dibeli dari sumber kewangan yang haram.
 
6.      Kenapa makanan yang halal itu sangat penting dijaga bagi orang beriman, malah diutamakan dahulu berbanding ibadah?. Jawabnya ialah kerana makan makanan haram akan menyebabkan Allah tidak terima ibadah seseorang walaupun satu rakaat solat. Kepentingan makan makanan yang halal diutamakan selepas kita beriman sebab ia akan menentukan amalan kita diterima atau tidak oleh Allah. Walaupun kita tidak pernah sembahyang tahajjud, tidak berzikir, tidak banyak solat sunat (hanya jaga yang wajib sahaja), insyaAllah kita selamat di akhirat nanti jika jaga makanan yang halal. 

7.      Orang yang buat amalan dengan makanan yang haram umpama buat rumah atas ombak. Solat tidak dapat pahala, tidak diterima sebab makan haram. Haji, zakat, puasa dan semua amalan tidak dapat pahala selagi makan bersumberkan wang haram. Rosaklah segala amalan kita. Harta yang dimiliki bersumberkan rasuah tidak akan diberkati Allah. Contoh tiadanya keberkatan ialah orang yang terima rasuah tidak pernah ada keinginan untuk berhenti melakukan rasuah. Hendak dan hendak tambah lagi harta yang telah pun mencukupi.

8.     Abdullah bin Mubarak, seorang ketua ulama hadis yang menghafal ratusan ribu hadis Rasulullah bercerita bahawa dia pernah bermimpi berada di depan Hijir Ismail dekat Kaabah semasa musim haji. Ada dua orang lelaki berpakaian putih sedang bercakap-cakap. Seorang bertanya kepada seorang yang lain, “Berapa ramai yang buat haji tahun ni?”. Yang seorang lagi menjawab “12,000 orang”. Dia bertanya seterusnya,“Berapa ramai yang Allah terima haji mereka?”. Lalu dijawab, “Tak lebih 10 orang”. Sebab apa? Sebab kebanyakannya makan makanan yang haram sumbernya.

9.     Jadi apa yang patut kita buat:

9.1.   Sebagai seorang Islam yang mengaku beriman kepada Allah kita perlu sentiasa ingat bahawa perbuatan rasuah  mesti dielakkan bukan kerana takut ditangkap oleh pegawai SPRM dan kita akan masuk penjara ataupun dibuang kerja. Pegawai penguatkuasa SPRM tidaklah ramai sangat dan orang yang rasuah mungkin terlepas. Yang lebih penting dari itu ialah dosa rasuah disisi Allah.  Seperti dijelaskan di atas segala amalan kita tidak diterima oleh Allah kerana kita makan makanan yang haram. Sia-sialah amalan kita puluhan tahun lamanya semasa hidup kerana tatkala berada di mahkamah Allah nanti kita mendapati kita sebenarnya seorang yang bankrap.  Dengan modal apakah lagi kita mahu menghuni syurga Allah. 

9.2.   Beringatlah bahawa hidup kita ini tidak akan sampai ratusan tahun. Jika sampai ratusan tahun pun tidak ada guna sama sekali kerana kita kena menjalani hidup yang tidak berkualiti.  Mungkin sudah berak dan kencing atas tilam.  Kita sudah tidak disukai lagi oleh anak-anak dan cucu-cucu.  Menyusahkan mereka sahaja. Sebaik mati semua harta rasuah yang dicari menjadi milik suami, isteri ataupun anak-anak.  Jadi apa yang tinggal kepada kita untuk dibawa pergi berjumpa dengan Allah. Gunakanlah akal fikiran yang Allah berikan kepada kita untuk membuat pertimbangan yang saksama untuk masa hadapan kita yang hakiki, iaitu kehidupan di negeri akhirat. Kehidupan di akhirat ialah selama-lamanya(infiniti). Setelah kita mati yang kenyang dan hidup mewah ialah suami/isteri atau anak-anak kita yang ditinggalkan di dunia sedangkan yang menanggung azab dan seksa sakratul maut, kubur, padang mahsyar dan neraka ialah kita yang berdosa.

9.3.   Misi utama Rasulullah diutuskan oleh Allah ke dunia ialah untuk membimbing manusia supaya berpeluang masuk syurga. Rasulullah tidak ajar kita untuk menghimpun harta kekayaan, membina mahligai indah dan hidup dengan keseronokan dan berpoya-poya tetapi untuk mempersiapkan diri menghadapi sakratul maut yang akan datang kepada kita pada bila-bila masa.  Lebih penting lagi ialah untuk  persediaan bagi  kehidupan di negeri akhirat. Walaupun Islam tidak pernah melarang umatnya mencari kesenangan duniawi tetapi jangan lupa bekalan kita di akhirat kerana akhirat itu kekal abadi untuk selama-selamanya sedangkan dunia ini untuk dihuni buat sementara waktu sahaja.

9.4.  Jadikanlah kehidupan sebahagian orang yang rasuah dipenghujung usia mereka sebagai pengajaran dan iktibar untuk kita.  Kita biasa dengar ada yang menderita angin ahmar, masalah sendi yang serius, lemah jantung, kencing manis yang serius dan seumpamanya.  Balasan Allah itu kadang-kadang ia datang semasa kita hidup di dunia lagi. 

9.5.   Kita sepatutnya berasa malu kepada isteri atau anak-anak kita kerana memelihara, membesarkan dan memberi kesenangan/kemewahan kepada mereka dengan wang rasuah.  Apakah kita tidak ada harga diri?.  Rasanya haiwan yang turut membesarkan anak-anak mereka lebih mulia dari orang yang rasuah.

9.6.   Mungkin ada yang berfikir, sebelum mati kita bertaubat nasuhalah kepada Allah.  Bukankah Allah maha pegampun.  Adakah Allah akan terima taubat kita sedangkan harta rasuah masih ada malah mungkin bertimbun dalam simpanan kita?. 

Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga. ~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab

No comments:

Post a Comment