Monday 4 May 2015

KENAPA MANDI JUNUB DIWAJIBKAN

 


1.   Dalam Surah An-Nisaa[Kaum Perempuan](4:43) Allah SWT berfirman yang berbunyi:


 “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”


2.  Setiap orang Islam yang berada dalam keadaan hadas besar wajib untuk melakukan mandi wajib atau mandi junub. Mandi wajib adalah mandi yang perlu dilakukan oleh seseorang Islam untuk membersihkan dirinya daripada hadas besar.  Ia melibatkan perbuatan mandi dengan membasahi seluruh anggota badan. Hukum mandi wajib/mandi junub adalah wajib ke atas orang Islam.  Mandi junub dimestikan dalam keadaan-keadaan berikut:

2.1.   Keluarnya air mani samada dengan cara sengaja ataupun tidak.

2.2.   Berlakunya persetubuhan antara lelaki dan perempuan.

          2.3.   Keluar haid bagi perempuan.

          2.4.   Keluar darah nifas (selepas bersalin).

          2.5.   Mati (selain dari mati syahid).

          2.6.   Ketika orang kafir masuk Islam.


3.  Mandi junub ini lazimnya dilakukan selepas berlakunya persetubuhan antara lelaki dan perempuan. Apakah hikmah di sebalik mandi junub ini. Hasil kajian oleh pakar sains didapati di bawah kulit manusia terdapat banyak mikro organisma yang hidup. Mikro organisma ini akan keluar dan berada di hujung rambut dan bulu roma setiap kali seseorang itu berpeluh atau selepas melakukan hubungan kelamin. Bila berpeluh badan akan menjadi kotor dan organisma (bakteria) ini akan mudah berjangkit kepada orang lain jika tidak mandi junub. Bakteria ini boleh  menguasai badan kita ketika daya tahan badan menjadi lemah.  Ia boleh menyebabkan jangkitan di tubuh badan kita. Itulah sebabnya Islam menetapkan mandi junub sebagai cara pembersihan diri dari bakteria tadi. Keluar berjual-beli, makan, minum, berhubungan dan berinteraksi dengan orang lain dalam keadaan berjunub adalah makruh. Allah Yang Maha Mengetahui tentang manusia yang diciptanya ini telah menetapkan supaya mandi junub selepas setiap kali bersetubuh kerana Allah mengetahui kebaikannya. Apabila bakteria terkena air yang dapat menghilangkannya dari badan ia akan mati dan tidak dapat menjangkiti orang lain.

4. Kenapa tayammum boleh menjadi pengganti mandi junub -  Jika menghadapi masalah ketiadaan air kaedah bertayammum boleh digunakan. Apabila bakteria pada badan terkenaa debu ia juga boleh mati.

5.   Mandi junub mengikut sunah Rasulullah SAW – Setiap amal ibadat yang dilakukan sebaik-baiknya berpandukan sunah Rasulullah. Diriwayatkan daripada Maimunah r.ha. “Rasulullah SAW apabila mandi junub, baginda mulakan dengan membasuh kedua-dua tangannya. Kemudian baginda menuang dengan tangan kanannya daripada tangan kirinya, lalu baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda berwuduk sebagaimana wuduk sembahyang. Kemudian baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menyelati dengannya pangkal-pangkal rambutnya. Kemudian baginda mencurahkan air di atas kepala sebanyak tiga cebok tangannya ke seluruh badannya. Kemudian baginda mencuci kedua-dua kakinya“ (Hadis Riwayat Muslim). 

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

Sebahagian kandungan dari sumber hasnulhadiahmad.com

No comments:

Post a Comment