1. Pada zaman dahulu manusia beranggapan
bulan dan bintang mengelilingi bumi. Mereka juga beranggapan bahawa kedua
duanya berada atas satu jalan sama yang berganti secara bergilir gilir yang
menyebabkan berlakunya putaran siang dan malam.
2. Kajian sains moden mendedahkan fakta
bahawa bulan dan matahari tidak berkongsi orbit. Kedua duanya mempunya orbit
masing masing. Di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman dalam ayat 38, surah
Yaasin yang berbunyi:
"Dan matahari beredar (tajri) ke
tempat tujuannya (mustaqar). Demikianlah yang ditentukan oleh yang maha perkasa
lagi maha mengetahui."
3. Perkataan yang penting dalam ayat ini
ialah tajri dan mustaqar. Tajri bermaksud
berlari dan mustaqar bermaksud tempat
tujuan, perhentian atau tempat menetap. Di dalam al-Asas fi al-Tafsir,
as-Syeikh Said Hawa mentafsirkan ayat ini dengan berkata: Antara tanda
kekuasaan Allah adalah matahari bergerak menuju ke tempat menetap baginya.
Sekiranya ayat sebelum ini menyatakan matahari 'berenang atau bergerak dalam
bulatannya', ayat ini pula menyatakan matahari 'berlari menuju ke tempat perhentiannya'.
Justeru ayat pertama membicarakan mengenai putaran di atas paksi manakala ayat
kedua membicarakan mengenai putaran (orbit) yang berbeza.
4. Penemuan semasa mengesahkan matahari, di
samping bergerak di atas paksinya yang mengambil masa 25 hari bagi melengkapkan
satu putaran, ia juga bergerak mengelilingi galaksinya yang bernama Bimasakti
(Milky Way). Para saintis mengesahkan matahari bergerak mengelilingi bahagian
tengah (nukleus) galaksi ini dengan kelajuan 220 km/saat (140 mi/s). Ini bermakna
ia mengambil masa lebih kurang 225 juta tahun bagi melengkapkan satu pusingan
mengelilingi bahagian nukleus galaksi ini.
5. Pernyataan ini mengesahkan bahawa Al-Quran
itu datangnya dari pencipta alam semesta, iaitu Allah SWT. Maka benarlah agama
Islam yang dibawa Rasulullah SAW yang di dalamnya terdapat mukjizat dari Allah
SWT, iaitu Al-Quran.
“Kita pergi ke kedai minum air dan makan nasi, tiba-tiba enggan
untuk bayar. Nescaya kita akan dimarahi tuan kedai kerana mahu makan percuma.
Itu baru air dan nasi. Apa kata pula
jika kita sebagai manusia duduk di dunia, bernyawa dengan udara yang Allah
cipta, melihat dengan mata yang Allah beri, mendengar dengan telinga serta
bercakap dengan mulut yang Allah anugerahkan, tiba-tiba kita mahu semuanya
dengan percuma tanpa buat kerja untuk Allah SWT.” ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian
kandungan dipetik dari “Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin” dan Iffah-muhsin.blogspot.com