Saturday 7 August 2021

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 2021

 tarikh maal hijrah dan tema

Dalam surah At-Taubah[Pengampunan](9:36), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi”

 

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.

1.      Pada hari Selasa ini, iaitu 10.8.2021 sekali lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Muharam (1 Muharam 1443). Bulan Muharam ialah permulaaan bulan Islam dalam kalendar Hijrah. Tahun baru Islam ini juga dikenali dengan panggilan Maal Hijrah. Maal Hijrah merupakan satu hari yang sangat penting bagi umat Islam kerana ia menandakan berlakunya peristiwa besar dalam sejarah Islam, iaitu penghijrahan atau perpindahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah (Yathrib).

2.     Memandangkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, maka ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasululah berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasulullah bukan berlaku pada bulan Muharram, sebaliknya ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah SAW meninggalkan rumahnya pada malam 27 Safar tahun ke 14 kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13 hb. September 622M. Kemudian, baginda dan Saidina  Abu Bakar bersembunyi di dalam Gua Thur selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqit yang bertindak sebagai pemandu jalan. Baginda sampai di Quba’ pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba’ selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan dari kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

3.    Persoalannya, kenapakah taqwim hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan peristiwa hijrah Rasulullah telah berlaku pada bulan Rabiul Awwal?. Jawapannya ialah walau pun  permulaan tahun hijrah dihitung bermula dengan hijrah Rasulullah, namun taqwim hijrah (kalendar Islam) hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya. Ada pendapat mengatakan Saidina Umar lebih memilih bulan Muharram berbanding bulan Rabiul Awwal sebagai permulaan bulan bagi kiraan kalender Hijrah kerana jemaah haji pulang pada bulan Muharram dan pandangan ini telah disepakati para sahabat. Difahami dari pandangan ini bahawa kepulangan dari mengerjakan rukun Islam terakhir itu menjadi permulaan kepada hijrah baru. Menurut pandangan lain, bulan Muharram dipilih kerana ia berdasarkan peristiwa Bai’ah ‘Aqabah yang berlaku pada bulan Zulhijjah. Bai’ah tersebut merupakan perjanjian berat yang perlu dilaksanakan dengan penuh keazaman. Bulan Muharram pula adalah bulan setelah bulan Zulhijjah yang menjadi simbolik kepada permulaan suatu keazaman penghijrahan itu dilaksanakan.

4.    Terdapat beberapa peristiwa yang mendorong Saidina Umar menetapkan tahun Islam. Antaranya ialah:

4.1.   Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang?.

4.2.   Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya’la bin Umayyah r.a. Beliau telah menulis surat dari Yaman kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh.

4.3.   Abu Musa al-Asy’ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh dan ini boleh menimbulkan kekeliruan.

4.4.   Pada satu masa, Saidina Umar telah menghantar surat kepada gabenor di Basrah. Beliau menerima balasan daripada gabenor tersebut. Salah satu ungkapan di dalam balasan surat tersebut ialah gabenor Basrah tidak pasti surat dihantar pada Syaaban tahun tersebut atau tahun sebelumnya.

5.      Bagi menyelesaikan isu ini Saidina Umar telah mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh. Dalam perbincangan itu  dikemukakan empat cadangan bagi menentukan permulaan tahun Islam, iaitu samada tarikh kelahiran Rasulullah, atau tarikh Rasulullah diangkat menjadi rasul, atau tarikh hijrah Rasulullah atau tarikh kewafatan Rasulullah. Akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasulullah sebagai asas permulaan tarikh/kalendar Islam. 

6.  Setiap tahun negara kita akan mengadakan sambutan tahun baru hijrah atau Maal Hijrah ini. Untuk tahun ini tema sambutan Maal Hijrah ialah “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti”.

7.      Tidaklah akan meninggalkan apa apa impak positif kepada diri kita jika hanya kita sekadar mengingati peristiwa penghijrahan Rasulullah semata mata. Apa yang lebih penting ialah semangat hijrah (perpindahan) Rasulullah itu dijadikan pengiktibaran atau ibrah untuk kita sama sama melakukan kebaikan dan meninggalkan kebatilan/kejahatan. Berhijrahlah kearah kebaikan dengan satu keazaman untuk menambahkan amalan baik yang mendapat ganjaran pahala, sebaliknya meninggalkan perkara perkara maksiat dan jahat yang mendatangkan dosa.

8.    Bersempena hijrah tahun ini (2021M / 1444H) ayuh kita bersama sama berhijrah untuk menjadi muslimin dan muslimat sejati seperti yang dituntut oleh agama Islam.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH

Maksud logo maal hijrah 

Sebahagian kandungan dipetik dari blog tasekpauh.blogspot.com

 Malaysiakini - Pesan Nik Aziz 1992 untuk PAS 2020

"Allah menciptakan di dunia ini orang-orang kurang upaya untuk menjadi ujian kepada orang yang sempurna. Di akhirat kelak akan ditanya, setakat manakah kita orang-orang yang cukup upaya ini menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang upaya. Sebab itu, saudara-saudara kita yang kurang upaya sedikit untung kerana terlepas daripada soalan ini di akhirat nanti. Manakala yang sempurna tubuh badan pula perlulah pastikan duit yang dia ada pada hari ini sedikit sebanyak dia peruntukkan untuk beli pahala lain selain beli lauk-pauk, beras dan keperluan hidup..." Pesanan dari Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

 

No comments:

Post a Comment