Friday 3 December 2021

MEMAHAMI MAKSUD ZIKIR DAN FADHILATNYA


Membuka Pintu Rezeki dengan berdzikir kepada Allah SWT | Catatan Fazilat  Amal

1.      Zikir dari segi bahasa bermaksud sebut dan ingat. Dari segi istilah tasawuf pula, zikir bermaksud terlepas daripada kelalaian dan kelupaan hati dengan sentiasa merasa hadir hati berserta Allah. Ia bermaksud ingatan dan kehadiran hati yang kuat lagi berterusan terhadap makna-makna ketuhanan Allah sehingga terbuang kelalaian daripada hati kita. Dikatakan juga bahawa zikir bermaksud mengulangi sebutan nama Allah dengan hati dan lisan, atau mengulangi sebutan dan ingatan terhadap sifat, hukum, perbuatan, atau apa saja yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

2.      Ramai dari kita gemar berzikir terutamanya selepas solat. Tetapi berapa ramaikah dari kita yang mengkaji apakah maksud zikir-zikir tersebut. Dari segi bahasa hampir semua dari kita tahu maksudnya. Cuma dari segi huraian maksud setiap zikir tersebut tidak ramai yang memahaminya. Dalam artikel ini saya akan cuba menerangkan huraian maksud zikir zikir tersebut.

2.1. SUBHANALLAH (TASBIH)

Subhanallah dari segi bahasa bermaksud “Maha Suci Allah”. Ia membawa maksud kita meyakini bahawa Allah itu Maha Bersih dan Maha Suci. Allah tidak melakukan kesilapan serta segala tindakan dan ketetapanNya sentiasa betul belaka. Sebagai contohnya, di dalam dunia ini, ada manusia yang Allah pilih untuk beri hidayah dan ada manusia yang Allah pilih untuk tidak memberi hidayah. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT itu langsung tidak memilih kasih. Sesiapa yang diberikan hidayah oleh Allah memang layak menerima hidayah itu berdasarkan usahanya manakala sesiapa yang tidak diberikan hidayah oleh Allah SWT, dia memang tidak layak menerima hidayah tersebut berdasarkan usaha dan takdirnya juga.

Allah SWT langsung tidak serupa dengan manusia yang suka amalan pilih kasih apabila memberi sesuatu. Contohnya bos yang asyik pilih kasih apabila memberi markah cemerlang dan pangkat walaupun mungkin ada orang lain yang sama atau lebih layak untuk menerima markah cemerlang dan pangkat tersebut. Contoh yang lain apabila seseorang lelaki itu berkahwin empat. Adalah mustahil untuk dia menyintai keempat-empat isterinya dengan cara sama rata. Soal hati itu tidak dikira berdosa kerana itu sifat semulajadi manusia. Yang penting dia mestilah berlaku adil terhadap isteri-isterinya dengan memberikan hak mereka seperti nafkah zahir dan batin, giliran yang bersesuaian dan seumpamanya.

2.2. ALHAMDULILLAH (TAHMID)

Alhamdulillah dari segi bahasa bermaksud segala puji itu hanya untuk Allah SWT. Dari segi huraian maksudnya segala yang kita ada, semuanya adalah milik Allah SWT. Apabila ada orang yang memuji kita samaada pandai, segak/cantik atau kaya, kembalikanlah pujian tersebut hanya kepada Allah SWT dengan mengucapkan Alhamdulillah. Janganlah kita merasa hebat dengan apa yang kita miliki samaada ilmu, pangkat, harta, rupa paras dan sebagainya kerana semuanya adalah kurniaan dari Allah SWT. Ada orang yang merasa dia hebat kerana berjaya menjawat pangkat yang tinggi ditempat kerjanya. Siapakah yang telah memberikannya kecerdikan dan kepandaian sehingga dia layak menjawat jawatan tersebut?. Jawapannya tentulah Allah SWT. Yakinilah bahawa sesungguhnya semua yang kita miliki adalah milik Allah SWT. Di akhirat nanti, kita akan ditanya oleh Allah SWT apakah yang telah kita buat dengan nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Ucapan Alhamdulillah juga untuk menyatakan kesyukuran atas segala nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita.

2.3. ALLAHU AKBAR (TAKBIR)

Dari segi bahasa Allahu Akbar bermaksud Allah Maha Besar. Huraian bagi maksud Allahu Akbar ialah Allah itu Maha Besar dan Maha Hebat. Dia boleh berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan segala tindakanNya itu. Tiada siapapun yang layak menyoal Allah tentang segala ketentuan dan keputusanNya bahkan makhluklah yang akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti tentang apa yang mereka kerjakan seamasa hidupnya.

Sesungguhnya ilmu Allah SWT itu maha luas. Sekiranya dibuat perbandingan ilmu Allah SWT dengan ilmu makhluk itu, ilmu Allah SWT itu seumpama air dalam lautan yang luas dan dalam sedangkan ilmu makhluk itu seumpama setitis air dari lautan tersebut, malah mungkin lebih sedikit dari itu. Jadi layakkah kita mempertikaikan keputusan Allah SWT terhadap kita dengan ilmu kita yang sedikit ini? Oleh itu, kita tidak boleh sama sekali membesarkan benda lain selain dari Allah SWT. Kesemua kita adalah hamba Allah SWT yang tertakluk kepada hukum syariat yang telah ditetapkanNya. Kita mestilah mengikut segala hukum syariat Allah untuk membesar dan mengagungkanNya.

2.4. LAILAHAILLAH (TASDIQ/TAUHID)

Maksud Lailahaillah ialah tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Maksudnya kita hanya patut menyembah Allah semata-mata dan bukannya tuhan lain di dunia ini. Kalau zaman dulu, masyarakat jahiliah menyembah berhala. Tapi zaman sekarang ini ada manusia yang bertuhankan benda seperti wang, wanita, pangkat, manusia dsb. Maksud bertuhankan benda ini ialah sanggup melakukan apa sahaja tidak kira halal atau haram untuk mendapatkan benda tersebut. Wang, wanita, pangkat dan lain-lain tidak salah untuk dimiliki tetapi perlu dimiliki dengan cara halal seperti bekerja, berkahwin dan jujur. Bukan dengan cara haram seperti menipu, mencuri, makan rasuah, berzina dan sebagainya. Ada orang yang sanggup bekerja kuat tanpa menghiraukan solat 5 waktu. Bukankah seolah-olah dia telah bertuhankan wang dengan mengabaikan perintah Allah SWT? Bukankah dia seolah-olah telah syirik kepada Allah SWT?.

2.5. LAHAWLAWALA QUWWATAILLA BILLAHILALIYILAZIM (TAKDIS)

Maksud Lahawlawala QuwwataillabillahilAliyilAzim ialah tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah SWT. Maksudnya kita hendaklah takut hanya kepada Allah dan bukan kepada makhluk kerana makhluk itu langsung tiada kuasa. Kekuasaan makhluk itu hanya sekadar yang diizinkan oleh Allah SWT sahaja. Janganlah takut dengan hantu, orang yang berpangkat besar, orang kafir, orang munafik, orang jahat dan sebagainya. Takutlah hanya kepada Allah SWT.

3.      Zikir adalah perintah agama. Ia sudah tentu mengandungi pelbagai kebaikan atau fadilatnya, Antaranya ialah: 

3.1.   Melindungi Gangguan Syaitan

Syaitan benci kepada manusia yang patuh kepada perintah Allah SWT. Kerana itulah ia sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Pelbagai hasutan dibisikkan supaya manusia mendapat kemurkaan Allah. Tatkala seorang manusia berzikir, zikir yang dibacanya dengan serta-merta menjadi pendinding diri. Syaitan menjadi lemah kerana manusia yang dihasutnya kini sedang dalam kekuatan. Lalu, syaitan menjauhkan diri.

3.2.   Allah Ingat Kepadanya

Sebagai Pencipta dan Pemilik seluruh alam semesta, tentunya Allah SWT suka kepada hambaNya yang mengingatiNya. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:152) yang berbunyi:

“Kerana itu maka ingatlah kamu kepadaKu, dan nescaya Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.”

Jika kita ingat kepada Allah semasa senang, Allah pasti akan mengingati kita semasa sukar. Cahaya menerangi seluruh diri dan hidup sesiapa yang mengingati Allah. Apa yang dipohon kepada Allah, insyaAllah akan dimakbulkan olehNya. Siapa yang berusaha untuk dekat kepadaNya pasti mendapat apa yang dingininya.

3.3.   Menanam Rasa Syukur Dalam Diri Kita

Zikir menjadi asas rasa syukur kita kepada Allah. Semakin banyak kita berzikir maka semakin banyak kesyukuran kita kepada Allah. Lidah yang basah kerana zikir terlepas dari mengatakan hal-hal yang tidak baik dan merosakkan. Apa jua kerosakan yang berpunca dari lidah seperti bercakap  bohong, mengumpat dan memfitnah telah terhalang oleh kebiasaan berzikir.

3.4.   Menambah Rasa Cinta Kepada Allah SWT

Bila kita cintakan seseorang, nama dan dirinya selalu disebut dan diingati. Perasaan orang bercinta begitu indah sehingga sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Begitulah juga bila kita bercinta dengan Allah. Semakin banyak kita berzikir, semakin dekat Allah mengisi hati kita. Zikir menjadi kunci kita kepada pintu cintaNya. Perasaan sedar akan kebesaran Allah inilah yang menjadikan kita umat Islam yang hebat bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Kita yakin Allah adalah satu-satunya di hati kita, yang melindungi, membimbing, dan yang membahagiakan. KepadaNya jualah tempat kita meletakkan sepenuh harapan.

3.5.   Membersihkan Hati

Zikir adalah ubat bagi semua penyakit hati. Hati yang kotor kembali suci dengan zikir. Hati yang mati, hidup semula kerana mengingati Allah.

Ibn Taymiyyah berkata: Perlunya zikir kepada hati sama seperti air diperlukan oleh seekor ikan. Maka, zikir ini juga sering dikatakan sebagai makanan kepada hati dan jiwa.

Seorang hamba yang lalai dalam mengingati Allah, akan meletakkan hatinya dalam kejauhan dan kekosongan. Ini kerana Allah bukan lagi menjadi keutamaan. Dirinya sentiasa mencari sesuatu bagi mengisi hati yang sering kosong. Sebaliknya hati yang dikawal oleh zikir pula sudah dipenuhi dengan kasih dan sayang kepada Allah. Ia menjadikan pemiliknya mendapat nikmat yang tidak mampu dibeli walau dengan seluruh kekayaan yang ada.

3.6.  Membuang Kebimbangan Dari Diri Kita

Tatkala dalam kebimbangan perbanyakkanlah memuji, bersyukur dan mengingati kebesaran Allah SWT. In sha Allah ia akan  melegakan hati yang gundah gulana. Hanya Allah yang maha berkuasa di atas segalanya. Apa yang berlaku hanya akan berlaku atas keizinan Allah SWT sahaja. Maka pergantungan kita hanya kepada Allah yang maha mengetahui.

Lalu, zikir menukar perasaan bimbang itu kepada ketenangan dan kegembiraan. Semua ketakutan boleh hilang kerana keyakinan kepada Allah. Hati dan minda yang tenang secara langsung menjadikan kita hamba yang kuat. Orang yang mempunyai hati yang tenang pasti akan terpancar di wajahnya cahaya kebahagiaan.

3.7.   Mendapat Kebaikan Di Dunia

Orang yang sedang berzikir dikelilingi para malaikat. Hidupnya sentiasa dalam keberkatan dari Allah. Zikir menimbulkan keseronokan untuk melakukan ibadah ibadah yang lain. Segala yang dilakukan di dunia mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Zikir mengurangkan beban seseorang. Sebagai contoh, Fatimah anak rasulullah mengadu kepada Rasulullah kerana keletihan melakukan tugasan hariannya. Rasulullah menasihatkan Fatimah agar berzikir ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, dan ‘Allahu Akhbar’.

3.8.   Mendapat Ganjaran Dari Allah SWT

Walaupun zikir amat mudah dilakukan, namun ganjarannya begitu besar. Allah memberi keampunan dan pahala buat hamba yang berzikir kepadaNya. Dirinya seperti berada di dalam taman syurga di mana kebaikan mengelilingi dirinya. Zikir menjadi sumber pahala buat diri mereka yang mengamalkannya.

Sekumpulan orang miskin bertemu Rasulullah mengadu tentang pahala yang lebih besar bagi mereka yang kaya dan berharta kerana kemampuan mereka. Mereka mengadu, “Orang-orang kaya bersolat dan berpuasa seperti kami tapi mereka melebihi kami dalam mengerjakan haji dan umrah, dan berjihad dengan harta mereka.” Rasulullah kemudian menasihatkan mereka untuk mengucapkan ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘Allahu Akhbar’ setiap kali selepas solat.

Ini menunjukkan yang kepentingan berzikir telah menyamai pelbagai bentuk ibadat seperti umrah, haji, jihad dan sebagainya.

3.9.   Memperolehi Kebaikan Di Akhirat

Dalam kesunyian malam, bibir mengucapkan zikir diiringi air mata. Kebaikan akhirat pastinya impian bagi semua umat Islam. Zikir menjadi cahaya bukan sahaja semasa hidup, malah cahayanya turut menerangi kuburnya kelak. Di akhirat kelak, zikir juga memberi manfaat kepada orang yang sentiasa melakukannya. Zikir boleh menyelamatkan diri daripada api neraka yang amat menyeksakan. Orang yang bertakwa menyibukkan dirinya dengan zikir. Dalam duduk, berdiri, berjalan dan baringnya sentiasa ada Allah. Dunia menjadi saksi amalannya. Dan pastinya tempat mereka yang bertakwa adalah syurga Allah.

 Koleksi Gambar2 Dan Kata2 Tok Guru Nik Aziz - gambar terbaru tok guru |  Facebook

"Jika anak-anak kita akan menghadapi peperiksaan, kita akan berpesan kepadanya, jawab sebagaimana yang cikgu ajar. Jika betul, lulus. Jika salah jawabnya gagal. Di akhirat kelak, peperiksaan di hadapan Allah SWT nanti juga memerlukan kepada jawapan yang sama dengan cikgu ajar. Cikgu itu ialah Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah SWT. Jawab seperti yang cikgu ajar, syurga balasannya. Gagal menjawab seperti yang diajar cikgu, nerakalah balasannya..." ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Sebahagian kandungan dipetik dari

http://lautan-biru.blogspot.com

https://tzkrh.com/9

1 comment:

  1. Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat ini. Mohon halalkan ilmunya untuk dikongsi ya :)) Semoga Allah merahmati tuan sekeluarga.

    ReplyDelete