Sunday 12 June 2016

MENCARI KEBAHAGIAAN HAKIKI DAN ABADI

PINTU MAKAM RASULULLAH SAW
1.  Semua orang mengimpi dan mendambakan kebahagiaan dalam kehidupan masing-masing di dunia ini. Apakah semua  orang dapat memiliki dan seterusnya menikmati kebahagiaan itu?. Sudah tentu jawabnya tidak.  Manusia mempunyai satu tendensi (kecenderungan) untuk berfikir bahawa kebahagiaan itu ialah apabila mempunyai harta kekayaan berupa wang yang banyak, pangkat dan kuasa yang besar, memiliki anak-anak yang ramai, mempunyai rumah banglo yang besar dan mahal, ada kereta mewah, memilki rumah kedai, kebun dan ladang atau ada banyak saham-saham dalam pelbagai syarikat.

2.  Benarkah kekayaan duniawi ini akan membolehkan pemiliknya mendapat kebahagiaan?. Sebenarnya belum pasti.  Ini kerana terbukti betapa adanya orang yang memiliki kekayaan luar biasa sedangkan jiwanya tidak tenteram dan rumah tangganya pula porak peranda.  Isteri dan anak-anak memiliki kebebasan yang tidak terbatas. Masing-masing membawa haluan sendiri tanpa menghiraukan haluan dan pendekatan bapa mereka. Bahagiakah namanya jika masih tetap memikirkan kekayaan demi kekayaan sedang kekayaan yang telah dimiliki tidak habis di makan oleh anak, cucu dan cicit. 

3.  Apakah kebahagiaan itu?. Secara ringkasnya kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Sebagai orang Islam kita wajib mengikut petunjuk dari Allah SWT.  Apakah kebahagiaan sejati mengikut ukuran Allah SWT.  Ia dijelaskan dalam firmanNya dalam surah Ar-Raad[Guruh](13:28) yang berbunyi:


"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia".

4.   Lihat pula apa sabda Rasulullah SAW tentang kebahagian. Sabdanya: “Bahawasanya di dalam  badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah bahawa ia adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW bersabda lagi:  Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.”

5.   Kaya hati bermakna memiliki hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki dan bersyukur dengan apa yang ada.  Tidak pernah merasa resah dan gelisah dengan apa yang tiada. Semuanya diterima seadanya dengan penuh kesabaran.  Orang seperti ini tentunya memiliki sifat qanaah yang tinggi. Justeru itu hati perlu dibersihkan dan dipelihara agar sentiasa sihat bagi melahirkan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, syukur, sabar, qanaah, redha, pemaaf, amanah dan seumpamanya. Ketahuilah kemuncak kebahagiaan itu ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari dari berbuat kejahatan yang dilarang oleh Islam.

6.  Oleh kerana manusia gemarkan kebahagiaan maka Allah SWT  telah berfirman banyak tempat dalam Al-Quran tentang bagaimana untuk mencapai kebahagiaan ini. Begitu juga Rasulullah SAW telah bersabda mengenainya. Antaranya ialah:

6.1.  BERSERAH (BERTAWAKKAL) KEPADA ALLAH SWT.

Dengan cara bertawakkal, seorang akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa atau kecewa. Dalam surah At-Talaq[Perceraian](65:3) Allah SWT berfirman yang berbunyi: 
 

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.

6.2.  TETAP TEGUH BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH.

Dalam surah An-Nahl[Lebah](16:97) Allah SWT berfirman yang berbunyi: 


“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan bahawa ada ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik dalam ayat  di atas ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Saidina Ali Karramallahwajhah pula mentafsirkannya dengan sifat qanaah (merasa cukup dengan pemberian Allah). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagian.

6.3.  MELIHAT KELEBIHAN DAN BUKANNYA KEKURANGAN PADA DIRI.

Manusia lazimnya suka membandingkan dirinya dengan orang lain. Seseorang akan merasakan dirinya susah apabila dia membandingkannya dengan orang yang lebih kaya darinya. Islam mengajar kita untuk sentiasa melihat dan membandingkan kehidupan kita dengan orang lain yang lebih susah. Dengan cara ini in sha Allah kita akan sentiasa menjadi orang yang bersyukur kepada Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6.4.  SENTIASA MENCARI PELUANG BERBUAT KEBAIKAN.

Ketenangan jiwa dan kebahagiaan juga boleh diperolehi jika kita sentiasa berbuat kebaikan sesama manusia samada melalui lisan ataupun perbuatan asalkan ia dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah. Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman dalam surah An-Nisa[Kaum Perempuan](4:114) yang berbunyi:


“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

6.5.  TIDAK PANJANG ANGAN-ANGAN TENTANG MASA DEPAN DAN TIDAK MERATAPI MASA SILAM.

Islam tidak menggalakkan kita banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini kerana ia akan mengundang rasa resah gelisah oleh kesukaran dan kepayahan yang belum tentu datang. Begitu juga kita ditegah dari terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa silam kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Pasrahlah dengan ketentuan dan takdir Allah SWT.

Daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara : Tamak dan angan-angan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6.6.  JANGAN MENGHARAPKAN UCAPAN TERIMA KASIH DARI MANUSIA.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan dan kebajikan, jangan sama sekali kita mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan dari manusia. Berharap dan bergantunglah hanya kepada Allah SWT. Malah ada yang berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa”.

Untuk memastikan kita memperolehi pahala melalui kebajikan yang dilakukan, anggaplah kebajikan kita itu seperti najis yang kita keluarkan dari perut kita.  Tidak ada manusia waras yang akan memikirkan apa jadi dengan najisnya setelah berak, ke mana ia pergi.
Jadilah seperti orang yang Allah firmankan dalam surah Al-Insan[Manusia](76:9) yang berbunyi: 


(Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,"

6.7.  MEMPERBANYAKKAN MENGINGAT ALLAH SWT.

In sha Allah, dengan banyak berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan jiwa. Dengan itu ia akan membebaskan diri dari rasa gelisah dan gundah gulana. Allah telah pun memberikan jaminannya seperti dalam firmanNya.  Lihat Para 3 di atas.

7.  Dalam surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:21) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah". 

8.    Melalui firman di atas, Allah telah pun mengiktiraf bahawa Rasulullah itu adalah sebaik-baik contoh teladan untuk manusia jika ingin mencapai keredhaan dan rahmat Allah. Apakah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah selama 23 tahun menjadi nabi/rasul?. Apakah mencari kekayaan atau kesenangan duniawi?. Tidak sama sekali, melainkan berbuat kebajikan dan beramal soleh untuk mencari kesenangan dan kenikmatan di negeri akhirat.

9. Jika kita bangga menjadi umat Nabi Muhammad, ayuh marilah kita berusaha mencontohi kehidupan baginda. Sentiasalah ingat bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara sahaja.  Akhirat jua yang kekal abadi. 

"Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu. Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangkan dengan lebih meluas." ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat


Sebahagian kandungan dari abubasyer.blogspot

No comments:

Post a Comment