Friday 12 December 2014

HINDARILAH AZAB SENGSARA KETIKA SAKRATUL MAUT

 

 1.      Setiap yang bernyawa  pasti akan merasai mati dan azabnya sakaratul maut.  Kesakitan ketika nyawa dicabut oleh Malaikat Maut tidak dapat dibayangkan sama sekali. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sakitnya sakratulmaut itu seperti terkena 300 kali tetakan pedang yang sangat tajam.”  (Hadith Riwayat Ibnu Abu Dunya).  Jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi sekali saja pun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300 kali tetakan.

2.    Gambaran lain sakitnya sakratul maut ialah  seperti dalam badan seorang yang berdosa kepada Allah tumbuhnya sepohon pokok yang berduri.  Akar pokok itu terletak di kakinya.  Batang, dahan dan rantingnya yang penuh dengan duri yang amat tajam itu pula terletak pada badan,  lengan, tangan, paha dan betisnya. Pucuk bagi pokok ini terkeluar sedikit dari kepalanya.  Malaikat Maut datang untuk mencabut pokok ini dengan cara menarik pucuk pokok yang ada atas kepalanya.  Bayangkanlah kesakitannya apabila akar, batang, dahan dan ranting pokok itu tercabut dari badannya. Pada masa itu juga Allah datangkan rasa dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini pun tidak mampu menghilangkan dahaganya.

3.      Allah merahsiakan saat kematian kita.  Tujuannya ialah untuk Allah melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah diperintahkan kepada kita dan setakat mana pula kita meninggalkan larangannya.  Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya dengan jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan serta pahala Allah. Orang seperti ini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah.  Mereka faham setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat kelak.  Oleh itu mereka pastinya akan bersungguh-sungguh melaksanakan segala amanah Allah dengan jujur dan ikhlas.

4.      Dalam AlQuran terdapat beberapa firman Allah yang berkaitan dengan sakratul maut dan azabnya saat roh manusia tercabut dari jasadnya.  Antaranya ialah:

4.1.   Dalam Surah Al-A’raf [Tempat Yang Tinggi](7:34) yang berbunyi:


“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya.”

4.2.   Dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:185) pula berbunyi:


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

4.3.   Dalam Surah Al-Anfal [Harta Rampasan Perang](8:50) pula Allah berfirman yang berbunyi:


“Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar”.

4.4.   Dalam Surah Al-An’am [Binatng Ternakan](6:93) berbunyi:



“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyupunr kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”.

5.  Cara Malaikat Izrail mencabut nyawa seseorang bergantung kepada amal perbuatan seseorang semasa hidupnya.  Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda; Seorang mukmin tatkala sakaratul maut dia akan didatangi oleh Malaikat dengan membawa sutra yang berisi misik (kasturi) dan tangkai-tangkai bunga, lalu dicabut rohnya bagaikan mengambil rambut di dalam adunan sambil dipanggil: Hai roh yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan perasaan rela dan diredhai. Kembalilah kepada rahmat dan keredhan Allah, maka jika telah keluar rohnya terus diletakkan di atas misik dan bunga-bunga itu dan dilipat dengan sutra, lalu dibawa ke illiyyin.

6.   Bagi orang jahat pula ketika sakaratul maut dia akan didatangi oleh Malaikat yang membawa kain bulu di dalamnya ada api, maka dicabut rohnya dengan kekerasan sambil dikatakan kepadanya: Hai roh yang jahat keluarlah menuju murka Tuhanmu ke tempat yang rendah hina dan siksaNya.  Bila telah keluar, rohnya diletakkan di atas api dan bersuara seperti sesuatu yang mendidih kemudian dilipat dan dibawa ke sijjin.

7.      Untuk meringankan keseksaan dan kesakitan roh ketika dicabut oleh Malaikat Maut, maka di bawah ini di jelaskan beberapa tips yang boleh diamalkan. Antaranya ialah:-

7.1.   Sebelum tidur:

7.1.1.Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali

7.1.2.Selawat ke atas Rasulullah

7.1.3.Membaca tasbih

7.2.   Amalan harian:

7.2.1.Sentiasa membaca Al-Quran

7.2.2. Memelihara solat terutamanya solat fardu

7.2.3. Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan

7.2.4. Membaca tasbih

7.2.5. Memperbanyakkan sedekah

7.2.6. Sentiasa berzikir menyebut nama Allah

7.3.   Amalan yang perlu dijauhi:

7.3.1. Bercakap dusta

7.3.2. Perangai khianat

7.3.3. Mengadu domba

7.3.4. Kencing berdiri

8.  Yakinlah kita kepada amaran tentang azab sakratul maut di atas. Ia tidak datang dari berita palsu dan tahyul, melainkan dari Allah SWT tuhan sekalian alam dan pesuruhnya Rasulullah SAW.  Bersiap siagalah kita untuk menghadapi saat terpisahnya roh dari jasad kita satu hari nanti. 


“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”. ~ Mutiara kata Saidina Umar bin Al-Khattab

No comments:

Post a Comment