Wednesday 17 December 2014

TAKUTILAH KEDAHSYATAN AZAB DI ALAM BARZAKH


[Dikatakan ini ialah mayat seorang pemuda berbangsa Arab.  Mayatnya telah digali dari kuburnya beberapa jam setelah disemadikan atas arahan ayahnya.  Ini kerana ayahnya mahu membuat post mortem mayat anaknya untuk mengetahui punca kematiannya.  Alangkah terkejutnya orang yang mengeluarkan mayatnya kerana hanya beberapa jam dikembumikan ia kelihatan seperti telah lama di dalam kubur.  Rambutnya telah bertukar jadi putih. Mukanya pecah dan mata terbeliak.  Darah basah keluar dari mulut dan hidungnya.    Pemuda ini telah diazab malaikat sebaik disemadikan kerana pemuda ini dikatakan banyak membuat dosa semasa hidupnya. Allah hanya mahu menunjukkan kekuasaannya dan janjinya yang maha benar.]
*******************************************************************************
1.      Pengarang kitab Mu‘jam Alfaz as-Shawfiyah menyebutkan perkataan barzakh (alam kubur) dari sudut bahasa bermaksud sekatan atau pemisah di antara dua perkara.  Contohnya ialah bercakap adalah pemisah di antara orang yang normal dan orang bisu. Contoh sekatan/pemisah yang  disebut dalam Quran ialah seperti firman Allah SWT dalam Surah ArRahman[Maha Pemurah](55:19) berbunyi:


“Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu”

(55:20)


“Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya”.

2.      Dari sudut istilah pula barzakh bermakna pendinding (hijab) yang terdapat di antara orang mati dan orang hidup. Pendinding inilah yang menghalang orang mati kembali semula ke dunia. Barzakh (pendinding) ini akan kekal sehingga hari kiamat. Oleh itu alam barzakh ialah alam yang terdapat di antara dunia dan akhirat. Alam ini boleh dikatakan sebagai tempat tinggal sementara manusia untuk sampai ke hari kiamat.

3.      Pengarang kitab Akidah al-Mukmin menyatakan tujuan wujudnya alam barzakh ialah untuk menghimpunkan semua roh sebagai persediaan memasuki alam akhirat. Oleh itu alam barzakh berfungsi sebagai pendinding atau pemisah di antara dua kehidupan iaitu kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat. Dengan perkataan lain, alam barzakh ialah alam penantian atau ruang menunggu untuk masuk ke alam akhirat selepas kematian. Alam barzakh ialah alam pertama daripada alam yang kekal abadi di akhirat. 

4.      Ramai yang tidak mendapat manfaat walaupun mereka baru lepas menghantar orang tersayang ke tanah perkuburan. Jikapun ada sedikit kesedaran ialah semasa berada di tanah perkuburan sahaja.  Sebaik meninggalkan tanah perkuburan dan berada di rumah masing-masing rasa keinsafan dan kerisauan tentang kematian dan azab kubur akan mula hilang dari ingatan sedikit demi sedikit.  Ini adalah tanda-tanda kematian orang lain yang tidak menjadi pengajaran berkekalan kepada kita.  

5.      Islam mengajar kita supaya sentiasa ingat kepada kematian, khususnya azab kubur. Perkataan azab bererti hukuman, seksaan, kesengsaraan atau kesusahan. Ingatan kepada azab kubur tidak sama sekali bermaksud kita tidak perlu bekerja, tidak perlukan harta kekayaan dunia dan hanya asyik sembahyang dan berzikir sahaja.  Islam tidak melarang umatnya mencari kesenangan dunia. Tetapi dalam keghairahan mencari kesenangan dunia itu apakah persediaan kita untuk berada dalam alam barzah yang wajib kita lalui satu hari nanti.  Mengingati mati dan azab kubur menjadikan kita lebih berhati-hati untuk menjalani hidup seharian supaya tidak melanggar perintah Allah dan Rasulullah.

6.      Firman-firman Allah dalam Quran banyak menyebut tentang azab kubur.  Antaranya ialah:

          6.1.   Surah Ta Ha (20:124) yang berbunyi:


“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Menurut Abu Sa‘id al-Khudri dan Abdullah bin Mas‘ud perkataan ‘yang sempit’ adalah bermaksud azab kubur. Inilah pendapat yang sahih. Dalam kitab at-Tazkirah, Abu Hurairah telah berkata: “Disempitkan kubur orang kafir itu sehingga tulang-tulang rusuknya berselisih”. 

6.2.   Surah Mukmin/Ghafir [Orang Beriman](40:46) berbunyi:


“Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”

          6.3.   Surah Nuh [Nabi Nuh](71:25) pula berbunyi:


“Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).”

          6.4.   Surah Al-Takathur[Bermegah-Megah](102:1) berbunyi:


“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh)”.

(102:2)
“Sehingga kamu masuk kubur”.

(102:3)


“Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati).”

7.      Mari pula kita perhatikan terjemahan sabda-sabda Rasulullah SAW berkaitan dengan azab kubur:

          7.1.      “Sesungguhnya kedua-dua mayat ini sedang diazab dan bukanlah kedua-duanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci daripada kencing dan yang seorang lagi kerana berjalan ke sana ke mari mengadu-domba”. Lalu Rasulullah mengambil pelepah tamar yang basah dan dipatahkan kepada dua bahagian. Kemudian Rasulullah pacakkan ke atas setiap kubur tersebut. Sahabat-sahabat bertanya Rasulullah: “Mengapakah Rasulullah berbuat demikian?. Rasulullah menjawab: “Mudah-mudahan diringankan azab kedua-dua mayat ini selama mana kedua pelepah ini belum kering”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

7.2. Daripada Saiyidatina Aisyah, beliau telah berkata:

“Telah datang kepadaku dua orang tua Yahudi Madinah sambil berkata: Maksudnya: “Sesungguhnya ahli kubur itu diazab dalam kubur-kubur mereka. Saiyidatina Aisyah menjawab: “Kamu berdua berbohong dan aku tidak mempercayai kamu lalu kedua orang tua Yahudi itu pun keluar. Tatkala masuk Rasulullah, aku bertanya kepada Baginda: “Ya Rasulallah! Sesungguhnya dua orang tua Yahudi Madinah telah berjumpa aku dan keduanya menyangka bahawa ahli kubur itu diazab di dalam kubur-kubur mereka. Bersabda Rasulullah: “Benar kata-kata kedua orang Yahudi itu, sesungguhnya mayat-mayat itu diazab sehingga didengar akannya oleh sekalian binatang”. Saiyidatina Aisyah berkata: “Aku tidak melihat Rasulullah selepas sembahyang kecuali (berdoa) memohon perlindungan daripada azab kubur”. (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

7.3.   Pada suatu hari Rasulullah SAW keluar selepas matahari terbenam. Lalu Rasulullah mendengar suara. Baginda bersabda: “Mayat Yahudi itu diazab di dalam kuburnya” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

7.4.   Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya mayat itu diazab disebabkan oleh ratapan orang-orang yang hidup” (Hadis riwayat Bukhari)

7.5.   Rasulullah bersabda: “Bahawa mayat itu diazab kerana ratapan keluarga ke atasnya”. (Hadis riwayat Muslim)

7.6.   Rasulullah bertanya: “Siapa yang mengetahui mayat-mayat yang di kuburkan ini?”. Seorang lelaki menjawab: “Saya”. Rasulullah bertanya: “Bilakah mereka mati?. Lelaki itu menjawab lagi: “Mereka mati ketika dalam kafir”. Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya umat ini akan dicuba di dalam kuburnya. Jika tidak kerana kamu tanamkan (mayat-mayat) ini nescaya aku memohon kepada Allah supaya kamu diperdengarkan daripada azab kubur sebagaimana aku dengar daripada kubur-kubur ini”. Kemudian Rasulullah menghadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab neraka”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab api neraka”. Rasulullah bersabda lagi: “Berlindunglah kamu kepada Allah daripada azab kubur”. Mereka berkata: “Kami berlindung dengan Allah daripada azab kubur”. (Hadis riwayat Muslim).

8.      Ibnu Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa azab kubur itu ada dua jenis iaitu azab yang berterusan dan azab yang terputus.  Azab yang berterusan berdasarkan firman Allah SWT seperti di para 6.2. di atas. Walau bagaimanapun dengan kehendak Allah SWT azab boleh diringankan (azab yang terputus) berdasarkan hadis Rasulullah seperti  di para 7.1. di atas. Azab yang putus bermakna seseorang yang diazab dengan api neraka pada suatu waktu yang ditentukan kemudian ia dikeluarkan daripada azab tersebut. Sebagai contoh seseorang yang diazab disebabkan dosanya kemudian ia dikeluarkan atau diringankan daripada azab tersebut disebabkan oleh doa, pahala sedekah, pahala haji atau pahala bacaan al-Quran yang sampai kepada si mati oleh anak-anaknya atau orang lain. Ini sesuai dengan firman Allah SWT  dalam Surah AlBaqarah [Lembu Betina] (2:255) – Ayat Qursi yang berbunyi:


“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).”

9.      Ada pula dakwaan sesetengah penganut agama lain dan fahaman menyeleweng yang menyangka apabila jasad manusia dibakar dengan api sehingga menjadi abu atau ditenggelamkan ke dasar laut, jasad itu terlepas daripada azab kubur. Perkara ini telah disangkal dan ditolak oleh Al-Imam al-Qadi Ali bin Al-‘Izz ad-Dimsyaqi dalam kitab Syarh al-Akidah at-Thahawiyah katanya: “Dan ketahui olehmu bahawa azab kubur itu adalah azab barzakh. Maka sesiapa yang telah mati adalah berhak bagi azab yang tertentu ke atasnya sama ada dikuburkan atau tidak dikuburkan, yang memakan akan dia oleh binatang buas atau hangus terbakar sampai menjadi abu dan diterbangkan ke udara, atau disalib atau tenggelam di laut, nescaya sampailah kepada roh dan jasadnya daripada azab sebagaimana yang sampai kepada mayat yang dikuburkan”. 

10.    Sheikh Sufyan Ast-Tsauri berkata: “Siapa yang sering memperingati kubur, maka akan mendapatkannya kebun dari kebun-kebun syurga, dan siapa yang melupakannya maka akan mendapatkannya jurang dari jurang-jurang api neraka”.

11.    Saidina Ali bin Abi Thalib pula pernah berkata dalam khutbahnya: “Hai hamba Allah berhati-hatilah kamu dari maut yang tidak dapat dihindari, jika kamu berada di tempat ia datang mengambil kamu, dan bila kamu lari pasti akan terpegang juga, maut terikat selalu di ubun-ubunmu, maka carilah jalan selamat, carilah jalan selamat, dan segera-segera, sebab dibelakangmu ada yang mengejar kamu iaitu kubur. Ingatlah bahwa kubur itu boleh menjadi kebun dari kebun-kebun syurga atau jurang dari jurang-jurang neraka dan kubur itu tiap hari berkata-kata: Akulah rumah yang gelap, akulah tempat sendirian, akulah rumah ulat-ulat.”

12.    Dari Said bin Al-Musayyab dari Umar r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika seorang mukmin telah masuk ke dalam kubur, maka didatangi oleh dua Malaikait yang menguji dalam kubur, lalu mendudukkannya dan bertanya, sedang ia mendengar suara derap kasut mereka ketika kembali, lalu ditanya oleh kedua Maiaikat itu: Siapa Tuhanmu, dan apakah agamamu, dan siapa Nabimu, lalu dijawab: Allah Tuhanku, dan agamaku Islam, dan Nabiku Nabi Muhammad s.a.w. Lalu Malaikat itu berkata: Allah yang menetapkan kau dalam kalimah itu, tidurlah dengan tenang hati. Itulah erti: Allah menetapkan mereka dalam kalimah hak. Adapun orang kafir zalim maka Allah menyesatkan mereka tidak memberi petunjuk taufiq pada mereka, sehingga ketika ditanya oleh Malaikat: Siapa Tuhanmu, apa agamamu dan siapa Nabimu, maka jawab orang kafir atau munafiq: Tidak tahu. Maka oleh Malaikat dikatakan: Tidak tahu, maka terus dipukul dengan penukul sehingga jeritan suaranya terdengar semua yang ada di alam ini kecuali manusia dan jin.”

13.    Abul-Laits berkata: “Siapa yang ingin selamat dari siksa kubur maka harus melazimi empat perkara dan meninggalkan empat perkara. Yang perlu dilazimi ialah:

13.1. Menjaga sembahyang lima waktu.

13.2. Banyak bersedekah.

13.3. Banyak membaca Al Quran.

13.4.Memperbanyakkan tasbih (membaca: Subhanallah,   walhamdulillahi wal’aa ilaha illallahu wallahu akbar, walahaula wala quwata illa bilahil adzim). 

14.    Empat perkara yang perlu ditinggalkan pula ialah:

14.1. Bercakap dusta.

14.2. Suka mengadu domba.

14.4. Tidak menjaga kencing. Rasulullah pernah mengingatkan supaya jaga kebersihan kencing kerana siksa kubur boleh berpunca darinya.

15.   Sedikit bahan bacaan yang dinukilkan di atas diharap dapat menjadi renungan dan iktibar semoga kita sama-sama berusaha untuk mengelakkan azab kubur. Mohonlah pertolongan dari Allah agar dijauhkan dari azab kubur. Taatilah perintan Allah dan jauhi laranganNya.


“Sesungguhnya seorang hamba itu bila merasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, nescaya Allah akan murka kepadanya sehinggalah dia melepaskan perhiasan itu.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyiddiq

No comments:

Post a Comment