Wednesday 24 December 2014

GAMBARAN KENIKMATAN DAN KEBAHAGIAN KEKAL ABADI KEHIDUPAN DI DALAM SYURGA

 

GAMBAR-GAMBAR HANYA SEKADAR HIASAN

1.      Posting sebelum ini telah dijelaskan keadaan kedahsyatan manusia di Padang Mahsyar.  Selepas selesai pengadilan di Mahkamah Allah manusia akan melalui titian siratalmustaqim yang di bawahnya terdapat syurga dan neraka. Jika timbangan amalan baik (pahala) lebih berat dari amalan jahat (dosa) maka di dalam syurgalah kesudahan hidup manusia.  Sebaliknya jika dosa lebih berat dari pahala pula, nerakalah tempat tinggal manusia. Nauzubillah.

2.      Tulisan ini bertujuan untuk memberi galakan serta dorongan untuk kita berlumba-lumba membuat kebaikan dan mencari pahala di dunia supaya berjaya mencapai matlamat hidup di syurga.  Dalam konteks ini Allah berfirman dalam dua surah berikut:

2.1.   Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:133) yang berbunyi: 



“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” 

          2.2.   Surah Al-Hadid [Besi](57:21) pula berbunyi:




“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

3.      Pepatah Melayu selalu menyebut; “Tidak Kenal Maka Tidak Cinta”. Bagaimana mungkin boleh datangnya rasa kecintaan kepada syurga jika kita tidak pernah mendengar cerita tentang keindahan, kecantikan serta kehebatannya yang tidak dapat digambarkan dengan tulisan. Untuk mengenali syurga dengan lebih dekat, di bawah ini diturunkan beberapa gambaran kehidupan di syurga seperti yang difirmankan Allah dalam AlQuran dan juga hadith Rasulullah.  Antara firman-firman Allah ialah seperti berikut:

3.1.   Dalam Surah AlKahfi [Gua] (18:31) yang berbunyi:





“Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.”

3.2.   Dalam Surah Al-Baqarah [Lembu Betina] (2:25) berbunyi:






“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”

3.3.   Dalam Surah At-Taubah [Pegampunan](9:21) berbunyi:





“Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.”

(9:22)



“Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisiNya pahala yang besar.”

3.4. Dalam Surah Al-Insan [Manusia] (76:11) berbunyi:



“Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri di muka dan perasaan ria gembira di hati.”

(76:12)



“Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan persalinan dari sutera.”

(76:13)



“Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.”

(76:14)



“Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.”

(76:15)




“Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya).”

(76:16)



“Keadaannya laksana kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.”

(76:17)



“Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari “Zanjabil”.

(76:18)



“Iaitu sebuah mata air dalam Syurga yang disebutkan sifatnya sebagai “Salsabil”.

(76:19)




“Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.”

(76:20)




“Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).”

(76:21)



“Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci.”

(76:22)


“(Serta dikatakan kepada mereka): “Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)”.

3.5. Dalam Surah Ad-Dukhan [Kabus/Asap](44:51) pula berbunyi:



“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa.”

(44:52)


“Iaitu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.”

(44:53)



“Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).”

(44:54)




“Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.”

(44:55)



“Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.”

(44:56)





“Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka.”

(44:57)



“(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.”

3.6.   Dalam Surah Al-Hijr [Nama Tempat] (15:45) berbunyi:




“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.

(15:46)


“(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): “Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman”.

(15:47)





“Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.”

(15:48)



“Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.”

3.7.   Dalam Surah Shaad [Pembukaan] (38:49) berbunyi:




“(Segala sifat-sifat yang mulia) ini, adalah menjadi sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).”

(38:50)



“Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka.”

(38:51)


“(Mereka akan bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya.”

(38:52)



“Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya”.

(38:53)



“Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai hitungan amal”

(38:54)


“Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis.”

3.8.   Dalam Surah Al-Waqiah [Hari Kiamat] (56:11) berbunyi:



“Mereka itulah orang-orang yang didampingkan di sisi Allah.”

(56:12)



“(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.”

(56:13)



“(Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu.”

(56:14)



“Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.”

(56:15)


“(Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;”

(56:16)



“Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.”

(56:17)



“Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka,”

(56:18)


“Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

(56:19)



“Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.”

(56:20)



“Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih.”

(56:21)


“Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.”

(56:22)



“Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya.”

(56:23)



“Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.”

(56:24)


“(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.”

(56:25)



“Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa.”

(56:26)



‘Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).”

(56:27)


“Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?”

(56:28)



“Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.”

(56:29)



“Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya.”

(56:30)



“Dan naungan yang tetap terbentang.”

(56:31)


“Dan air yang sentiasa mengalir.”

(56:32)


“Serta buah-buahan yang banyak.”

(56:33)


“Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatkannya.”

(56:34)


“Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.”

(56:35)



“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa.”

(56:36)


“Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh).”

(56:37)



“Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.”

3.9. Dalam Surah Ar-Rahman [Yang Maha Pemurah] (55:48) berbunyi:



“(Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan.”

(55:50)

“Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua mata air yang mengalir.”

(55:52) 


“Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).”

(55:54)



“Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.”

(55:56)




“Di dalam syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.”

(55:58)



“Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.”

(55:62)


“Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang kedua).”

(55:64)


“Kedua-duanya menghijau subur tanamannya.”

(56:66)


“Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua mata air yang terus menerus memancutkan airnya.”

(55:68)


“Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima."

(55:70)


“Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya”.

(55:72)

“Iaitu bidadari-bidadari yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing.”

(55:74)


“Bidadari-bidadari itu tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin.”

(55:76)



“Penduduk Syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani yang sangat indah.”

3.10. Dalam Surah AzZumar [ Rombongan](39:20)  berbunyi:






“Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.”

3.11. Dalam Surah Muhammad (47:15) berbunyi





“Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!”

3.12. Dalam Surah Az-Zukhruf [Perhiasan](43:70) berbunyi:




“(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.

          (43:71)




“Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya”.

3.13. Dalam Surah Ash-Shaffat [Yang Bersaf-Saf](37:48) berbunyi:


“Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;

          (37:49)



“(Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.”

3.14. Dalam Surah Yaasin (36:55) pula berbunyi:



“Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan.”

(36:56)


“Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin.”

(36:57)


“Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki.”

(36:58)


“(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

4.  Mari kita sama-sama lihat pula apakah sabda-sabda Rasulullah berkenaan kenikmatan dalam syurga ini:

4.1.   Dari Jabir bin Abdullah sebagaimana disampaikan oleh Ibnu Abu Hatim yang mengatakan Rasulullah bersabda bermaksud:

“Sewaktu penghuni syurga sedang menikmati kesenangan di dalamnya, tiba-tiba terpancar sinar cemerlang di atas kepala mereka. Mereka mengangkat kepala masing-masing. Tiba-tiba Allah (Tuhan Yang Maha Tinggi) muncul di atas mereka lalu berkata: ‘Assalamualaikum wahai penghuni syurga’”. {Lihat firman Allah dalam Surah Yaasin (36:58) di atas.}
Lebih lanjut lagi diterangkan: Allah memerhati mereka dan mereka memandang Allah.  Selama ahli syurga memandang Allah, mereka tidak mengalihkan perhatian kepada kenikmatan lain dalam syurga sehinggalah pandangan mereka terhijab (tertutup) dan tinggallah cahaya Allah dan keberkatanNya kepada mereka di tempat masing-masing.  Inilah kemuncak kenikmatan yang diperolehi oleh seluruh penghuni syurga.

4.2.   Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku siapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh fikiran.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

4.3.   Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu, dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”

4.4.   Dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang mukmin di syurga diberi kekuatan untuk menjimak isterinya sekian dan sekian.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah ia begitu kuat?” Baginda s.a.w bersabda, “Ia akan diberi kekuatan seratus orang laki-laki.” (Hadis Riwayat Termizi).

4.5.   Dari Ummu Salamah r.a, ia berkata: Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?” Baginda SAW menjawab, “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.” Saya bertanya lagi, “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada mereka?” Baginda s.a.w menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah-lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya’.” (Hadis Riwayat Ath-Thabrani).

4.6.   Bertanya seorang Yahudi kepada Rasullullah. “Bagaimana pula hal jika sekiranya orang yang makan dan minum ada baginya hajat sesudah kenyang?. Sabda Rasullullah SAW: “Adapun hajat mereka (sudah kekenyangan ) peluhnya melimpah keluar daripada kulit-kulit badannya yang berbau harum seperti kasturi dan tiba-tiba perutnya menjadi kempis”. Maksudnya segala barang makanan di syurga tidak menjadi hampas najis yang mesti dikeluarkan seperti tabi'e kehidupan manusia di dunia.

4.7.   Ibnu Mas'ud berkata, Rasullullah SAW bersabda: “Bahawasanya engkau melihat pada burung dalam syurga lalu kau ingin memakannya, maka burung itu pun jatuh di hadapan engkau dalam keadaan yang sudah siap dimasak.”

4.8.   Datang seorang lelaki kepada Rasullullah SAW dan bertanya kepada baginda: Adakah di dalam syurga itu ada kuda, aku ingin kepadanya.  Sabda Rasulullah : “Jika engkau gemari yang demikian itu nescaya didatangkan kepada engkau dengan kuda tunggangan daripada yaqut merah, ia menerbangkan engkau di dalam syurga barang ke mana sahaja yang engkau kehendaki.”

4.9.   “Bahawasanya ahli syurga itu muda belia, putih bercahaya, berambut elok, bercelak mata, berumur 33 tahun di atas kejadian Adam a.s., tingginya 60 hasta dan lebarnya 7 hasta mengikut ukuran [tubuh badan] Adam a.s.”

             GAMBAR SEKADAR HIASAN SAHAJA
 
[Sabda-sabda Rasulullah berikutnya khusus mengenai bidadari syurga yang sangat diidamkan oleh setiap lelaki yang beriman kepada Allah]

4.10. “Jika seorang perempuan dari kalangan bidadari syurga itu turun ke bumi nescaya diterangi, dipenuhi tempat kawasan tersebut itu akan keserian, kewangian dan keharumanNya.”(Hadith RIwayat Termizi)
.
4.11. “Sesungguhnya kumpulan pertama yang akan memasuki Syurga adalah umpama bulan purnama dan kumpulan berikutnya bagaikan cahaya bintang yang bergemerlapan di langit. Masing-masing mempunyai dua orang pasangan bidadari yang tulang sumsum betisnya jelas kelihatan. Di dalam Syurga tiada seorang pun yang bersendirian tanpa pasangan”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

4.12. "Setiap lelaki yang masuk Syurga akan diberi 72 orang bidadari, tidak kira pada umur berapa dia mati. Ketika dia masuk Syurga dia akan menjadi seorang yang berumur 30 tahun dan tidak akan bertambah tua. Lelaki di Syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki." (Hadis Riwayat Termizi).

4.13. “Jika salah seorang bidadari menampakkan wajahnya, nescaya akan menerangi antara langit dan bumi.” (Hadith Riwayatr Bukhari).

4.14. “Jibril mengatakan kepadaku bahawa ketika orang mukmin masuk syurga, akan disambut oleh bidadari dengan pelukan hangat dan erat. Dengan jari dan telapak tangan manakah akan dibandingkan kelembutan dan keindahannya, kalau lambaiannya akan memadamkan sinar matahari dan bulan?” (Hadith Riwayat Thabrani).

4.15. “Sekiranya salah seorang bidadari syurga datang ke dunia, pasti ia akan menyinari langit dan bumi dan memenuhi antara langit dan bumi dengan aroma yang harum semerbak. Sungguh penutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4.16. “Jika sehelai saja dari rambut bidadari jatuh ke bumi, nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (Hadith Riwayat Ath-Thabrani).

Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat kontradiktif yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar cemerlang. Sungguh kontras sekali, namun disitulah letak kecantikannya.” (Kitab Hadzil Arwah:316)

4.17. “Penghuni syurga boleh mencermin melihat wajahnya di pipi bidadari yang mulus itu.” (Hadith Riwayat Al-Baihaqi dan Al-Hakim).

4.18. Dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya bidadari meludah pada tujuh lautan, nescaya air laut akan tawar kerana keindahan dan kemanisan mulutnya, kerana bidadari terbuat dari za’faran.”

4.19. “Sungguh tutup kepala salah seorang bidadari syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

4.20 Riwayat Ibnu Abbas r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari. Dikatakan kepadanya, namanya ‘Aina’, ia diciptakan dari empat unsur, iaitu misik, kafur, anbar dan za’faran. Semua bidadari-bidadari itu sangat merindukan suami-suami mereka. Andai sekali saja bidadari-bidadari itu meludah di dunia maka tawarlah lautan tersebut lantaran ludahnya. Tertulis pada tengkuknya, ‘Barangsiapa yang suka akan dirinya seperti aku, maka beramal dengan ketaatan kepada Tuhannya’.”

4.21. Riwayat Ibnu Mas’ud r.a, SAW bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”

4.22. Di dalam kitab Daqoiqul Akbar Fii Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy disebutkan: Rasulullah SAW bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. Allah menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur. Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah SWT. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”

4.23. Gambaran bidadari dalam Hadis Ath-Thabarany menuturkan, dari Ummu Salamah Radhiallahuanha, dia berkata: Saya bertanya, "Wahai Rasulullah, jelaskanlah kepadaku firman Allah tentang bidadari-bidadari yang bermata jeli”.

Baginda menjawab: ”Bidadari yang kulitnya putih, matanya jeli dan lebar, rambutnya berkilau seperti sayap burung nasar.”

Saya bertanya lagi, ”Wahai Rasulullah, jelaskan kepadaku tentang firman Allah, “Laksana mutiara yang tersimpan baik.”(Surah Al-Waqi'ah: ayat 23)

Baginda menjawab: ”Kebeningannya seperti kebeningan mutiara di kedalaman lautan, tidak pernah tersentuh tangan manusia.”

Saya bertanya lagi, ”Wahai Rasulullah, jelaskan kepadaku firman Allah, “Di dalam syurga-syurga ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik.” (Surah Ar-Rahman: ayat 70)

          Baginda menjawab,”Akhlaknya baik dan wajahnya cantik jelita.”

Saya bertanya lagi,”Jelaskan padaku firman Allah, “Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.” (Surah Ash-Shaaffaat: ayat 49)

Baginda menjawab,”Kelembutannya seperti kelembutan kulit yang ada di bahagian dalam telur dan terlindung kulit bahagian luar, atau yang biasa disebut putih telur.”

Saya bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, jelaskan padaku firman Allah, “Penuh cinta lagi sebaya umurnya.” (Surah Al-Waaqi'ah: ayat 37)

Baginda menjawab,”Mereka adalah wanita-wanita yang meninggal pada usia lanjut, dalam keadaan rabun dan beruban. Itulah yang dijadikan Allah tatkala mereka sudah tahu, lalu Dia menjadikan mereka sebagai wanita-wanita gadis, penuh cinta, bergairah, mengasihi dan umurnya sebaya.”
 
5.  Berdasarkan firman Allah dan sabda Rasulullah di atas dapatlah disimpulkan bahawa keindahan, kecantikan dan kenikmatan syurga itu tidak dapat kita terangkan dengan perkataan.  Apa yang perlu ada pada kita ialah keyakinan bahawa syurga yang menjad janji Allah itu pasti ada.  Keindahannya bukan hanya dijelaskan oleh Allah sahaja tetapi oleh Rasulullah sendiri sebagai satu-satunya manusia yang pernah memasuki syurga Allah dalam peristiwa Israk wal Mikraj. Ingatlah bahawa dunia ini ialah tempat kita beramal tanpa adanya balasan. Manakala di akhirat pula adalah tempat balasan tanpa adanya amalan. Oleh itu beramallah kita di tempat yang tiada balasan semoga kita berbahagia di tempat yang tiada amalan, iaitu di syurga Allah. 

6.     Walaupun firman Allah banyak menceritakan tentang bidadari yang bakal menjadi teman lelaki, tetapi  bagi kaum wanita yang solehah mereka akan menjadi ketua bidadari di syurga. Mereka memiliki kecantikan dan keindahan lebih baik dari bidadari syurga itu sendiri. Wajah mereka lebih cantik dan jelita, kulit tubuh mereka lebih halus dan licin, demikian juga dengan perhiasan dan pakaian mereka. Inilah ganjaran yang akan Allah kurniakan kepada wanita solehah di syurga sesuai dengan kebajikan dan amal ibadat yang telah mereka kerjakan semasa di dunia dahulu. Kaum wanita diberi kemuliaan dan tempat yang lebih tinggi berbanding bidadari biasa dari syurga kerana mereka telah melalui pelbagai ujian pahit dan getir serta bertungkus lumus beribadat kepada Allah SWT ketika hidupnya di dunia. Di syurga nanti seorang wanita yang telah bersuami akan terus kembali berpasangan dengan suami asalnya ketika di dunia dahulu. Dialah yang bakal menjadi ketua para bidadari di mahligai suaminya. Bagi seorang wanita yang berkahwin lebih dari seorang lelaki ketika di dunia, mereka diberi kelebihan untuk memilih salah seorang lelaki yang pernah mereka kahwini.

7.    Seorang lelaki akan memperolehi bidadari kerana Allah mengetahui  secara fitrahnya keinginan  seorang lelaki ialah kepada orang perempuan. Bagi orang perempuan pula mereka akan memperolehi apa yang mereka minati semasa hidup di dunia.  Jika mereka minat barang kemas maka pelbagai barang kemas yang mahal-mahal dan cantik akan mereka perolehi.  Begitu juga jika mereka sangat meminati pinggan mangkok maka Allah akan berikan kepadanya bermacam jenis pinggan mangkok yang sangat cantik yang tidak ada di dunia.  Begitulah syurga, apa yang dikehendaki dan diidamkan oleh manusia semuanya akan diperolehi. Semua keperluan kita dipenuhi oleh Allah sebaik kita hanya terlintas dalam hati ingin memiliki atau merasainya.  Oleh itu janganlah kecewa jika apa yang dihajati tidak dapat dipenuhi di dunia ini kerana Allah akan memenuhinya di dalam syurga nanti.  Yakinlah kita akan kebenaran balasan syurga ini.

8.    Jika kita sebenar-benarnya orang yang beriman kepada Allah dan Rasulullah sudah tentu akan tertarik  dan terpesona dengan balasan syurga yang telah Allah janjikan.  Ayuh, tunggu apa lagi. Masa tidak akan menanti kita. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjadi salah seorang penghuni syurga. Justeru, laksanakan segera perintah Allah dan tinggalkan laranganNya.



“Ketahuilah bahawa sabar, jika dipandang dalam permasalahan seseorang adalah ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak.” ~ Mutiara kata Khalifah ‘Ali Karramallah Wajhah

No comments:

Post a Comment