Sunday 21 December 2014

GERUNILAH AZAB SENGSARA DI PADANG MAHSYAR.

 

 GAMBARAN PADANG MAHSYAR?
1.      Dalam posting sebelum ini telah dihuraikan tentang dua perkara, iaitu azab di saat sakratul maut dan di alam barzakh.  Posting kali ini akan menghuraikan pula azab sengsara manusia di Padang Mahsyar pula setelah berlakunya Hari Kiamat. Hari Kiamat juga dikenali dengan nama berikut:

1.1.   Yaumul Jam’ei (Hari Segala Dosa DiBongkar)

1.2.   Yaumul Ba’tsarah (Hari Penggeledahan di Mahsyar)

1.3.   Yaumul Haqqah (Jawapan Kepada Yang Meragui Kiamat)

1.4.   Yaumus Shaakh-khah’ (Peristiwa Agung dan Bersejarah)

1.5.   Yaumul Qisas (Hari Pembalasan)

1.6.   Yaumus Syahadah/Masyhud (Hari Kesaksian)

2.  Setelah semua makhluk dan manusia dimatikan, Allah SWT memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniupkan 'Sangkakala' yang maha dahsyat untuk menghidupkan semula semua makhluk yang sudah mati. Malaikat Israfil meniup dan berteriak dengan sekuat-kuatnya: "Wahai nyawa yang telah keluar dari badan, tulang-tulang yang telah reput luluh, tubuh yang telah buruk, urat yang telah putus berkecai, kulit-kulit yang telah pecah hancur, rambut-rambut yang telah luruh! Bangunlah kamu semua untuk menjalani hukuman dari Allah SWT yang menjadi Hakim Besar dan Raja kepada semua raja!".

3.    Lepas itu semua manusia  pun tegak bangun berdiri dari kubur masing-masing. Mereka lihat langit, didapati langit berjalan-jalan, mereka lihat bumi, didapati bertukar wajah, tidak seperti bumi yang dahulu. Dilihat bintang-bintang, semuanya telah berhimpun di satu kawasan dengan padatnya. Dilihat laut terdapat api yang sedang bernyala-nyala diatasnya. Dilihat Malaikat Zabaniah telah berada dihadapan mereka. Dilihat matahari telah hilang cahayanya. Maka sedarlah dan tahulah mereka bahawa mereka berada di tempat yang telah dijanjikan oleh Allah.  Lalu manusia berkata: "Inilah dia sebagaimana yang telah Allah janjikan dan inilah bukti kebenaran para Rasul utusan Allah".  Semua manusia kelihatan terkejut dan terpinga-pinga. Di dalam Surah Yaasin (36:52), Allah berfirman yang berbunyi:


"Mereka berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?, Lalu dikatakan kepada mereka: "Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul”

4.    Semua manusia keluar dari kubur masing-masing tanpa pakaian, tidak berkasut dan sebagainya. Mereka bertelanjang bulat tanpa seurat benang pun dibadan. Tidak lama kemudian, semua makhluk bergerak dalam rombongan besar yang terdiri dari ribuan juta manusia menuju ke satu arah.  Dalam masa bangkit itu, manusia dalam keadaan bermacam-macam rupa kerana melakukan pelbagai dosa semasa hidup di dunia:

4.1.   Mengalir daripada badan mereka nanah dan darah yang amat busuk dan mereka sentiasa menikam-nikam lidah sendiri. Ini adalah kumpulan ulama yang bercakap dan mengajar tetapi perbuatannya tidak sama dengan apa yang diucapkan.

4.2.   Badan berupa kera kerana di dunia mereka suka membuat fitnah kepada orang lain.

4.3. Badan berupa khinzir kerana suka makan rasuah ketika menjalankan hukuman.

4.4.   Buta mata kerana keterlaluan pada menghukum manusia.

4.5. Luka-luka seluruh badan kerana suka menjadi saksi yang berbohong.

4.6.   Menjadi pekak dan bisu kerana mereka hairan dengan amalan yang mereka lakukan.

4.7.   Gigi mereka menjadi seperti tanduk lembu, lidah mereka terjelir hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa keluar dari perut mereka. Mereka adalah golongan orang yang suka meminum arak.

4.8.   Kelihatan seperti orang mabuk, rebah ke kiri, rebah ke kanan terhuyung-hayang. Mereka inilah orang yang sanggup menyimpan harta dan kedekut untuk  dibelanjakan ke jalan Allah.

4.9. Telapak kaki mereka terletak didahi dan terikat kepada ubun-ubun mereka dan menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada bangkai. Mereka adalah orang yang sanggup membeli dunia dengan akhirat (mencari kemewahan dunia dengan memperalatkan agama).

4.10. Mengasingkan diri daripada manusia lain kerana badannya lebih busuk dari bangkai. Mereka ini suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia, tetapi tidak takut pada Allah.

4.11. Berkeadaan benar-benar seperti orang yang mabuk.  Mereka ialah orang yang suka bercerita dan bersembang kosong hal dunia dalam masjid.

4.12. Berkeadaan tidak bertangan dan tidak berkaki. Mereka ini orang yang suka menyakiti hati orang lain.

4.13. Berupa khinzir kerana mereka mempermudah-mudahkan sembahyang serta lalai dalam sembahyang.

4.14. Perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking yang sentiasa mengigit-gigit dan menyengat-nyengat. Mereka ini di dunia payah hendak mengeluarkan zakat.

4.15. Berkeadaan darah yang amat busuk sentiasa keluar dari mulut mereka. Orang ini suka berbohong dalam perniagaan.

4.16. Terpotong halkum. Keadaannya tercerai dari leher. Orang ini selalu sanggup untuk menjadi saksi bohong.

4.17. Mengidap penyakit kusta dan sopak. Mereka inilah orang yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya.

4.18. Tidak berlidah dan mengalir darah busuk dari dalam mulutnya. Orang itu malas mengucap kalimah syahdah.

4.19. Berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas langit. Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluan mereka. Mereka ini suka berbuat zina.

4.20. Berupa khinzir kerana suka makan harta riba.

4.21. Berkeadaan muka hitam dan perutnya penuh dengan api neraka. Mereka ini suka memakan harta anak yatim secara zalim.

5.      Berkaitan dengan kesengsaraan, hiruk pikuk dan ketakutan manusia di Padang Mahsyar ini Allah berfirman dalam banyak tempat dalam Al Quran. Antaranya:

5.1.   Surah Qaaf (50:21) berbunyi:


“Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang ke Padang Mahsyar disertai dua malaikat: yang satu menjadi pembawa, dan yang satu lagi menjadi saksi.”

5.2. Surah Al-Naaziat [Para Malaikat Yang Mencabut](79:8)                                berbunyi:

“Hati manusia pada hari itu sangat berdebar-debar kerana takut,

(79:9)


“Pemandangan mereka semunya tunduk ketakutan.”

5.3.   Surah An- Nur [Cahaya] (24:24) berbunyi:


“Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”

5.4.   Surah Fussilat [Pembukaan] (41:21)  berbunyi: 


“Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).”

5.5.   Surah At-Taghabun [Hari Kiamat] (64:9) berbunyi:



“(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan),  itulah hari masing-masing nampak kerugiannya. Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.”

5.6.   Surah Al-Hijr [Nama Tempat] (15:92)
 


“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak).”

(15:93)


“Mengenai apa yang mereka telah lakukan”.

5.7.   Surah Al-Israq [Memperjalankan Di Waktu Malam] (17:36)





“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

5.8.   Surah AlZalzalah [Goncangan] (99:7)




“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”.

(99:8)


“Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”.

5.9.   Surah Al-Qiamah [Hari Kiamat] (75:22)


“Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri.”

(75:23)


“Melihat kepada Tuhannya.”

(75:24)


“Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram dan hodoh.”

(75:25)


“Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan”.

          (75:26)


“Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong.”

5.10. Surah Abasa [Bermuka Masam](80:34)


“Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya,”
                  
          (80:35)


“Dan ibunya serta bapanya,”

(80:36)


“Dan isterinya serta anak-anaknya,”

(80:37)


“Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.”

(80:38)


“Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri.”

(80:39)



“Tertawa, lagi bersuka ria.”

(80:40)


“Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu.”

(80:41)


“Diliputi oleh warna hitam legam dan gelap-gelita”.


6.      Lihat pula apakah yang disabdakan oleh Rasulullah berkaitan dengan azab Mahsyar ini:

6.1.   “Tiada keluhan yang terdengar di Padang Mahsyar melainkan setiap diri berkata:”wahai diriku yang malang, aduhai alangkah malangnya diriku.”

6.2.   Sebahagian mereka berjalan dengan kakinya, sebahagian yang lain merangkak dengan tangannya, bahkan ada juga yang berjalan dengan mukanya. Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Bagaimana seorang kafir berjalan dengan mukanya?” Rasulullah menjawab, “Bukankah Allah yang membuatnya dapat berjalan dengan kaki, maka Dia juga mampu membuatnya berjalan dengan muka?”

6.3.   Bayangkan ribuan juta manusia sejak zaman Nabi Adam hingga generasi terakhir sebelum kiamat berkumpul dan bersesak-sesak di Padang Mahsyar. Di bawah sinar matahari yang sangat panas, tanah yang membara, ditambah lagi suasana hati yang dipenuhi ketakutan, pada saat itu tubuh manusia basah dengan keringat. Dalam hadis Muslim dari Al-Miqdad bin Al-Aswad, Rasulullah bersabda, “Pada hari kiamat matahari didekatkan kepada manusia sejarak satu mil. Maka semua manusia tenggelam di dalam keringatnya sesuai dengan amal perbuatannya (di dunia). Sebahagian mereka tenggelam hingga ke mata kaki, sebahagian yang lain hingga ke pinggangnya dan sebahagian yang lain hingga ke mulutnya.”

6.4.   Pada hari itu, sekecil mana pun amal kebaikan yang pernah dilakukan seseorang di dunia sangat berharga untuk melepaskan sebahagian dari seksaan yang dideritainya. Rasulullah bersabda maksudnya : “Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin dari kesusahan, maka Allah akan melepaskan darinya satu daripada kesusahan yang terdapat pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat  Muslim dari Abu Hurairah).

6.5.   Rasulullah bersabda, “Tujuh golongan yang berada di bawah naungan Allah di Padang Mahsyar ketika tidak ada naungan selain naungan-Nya; pemimpin yang adil, pemuda yang tubuhnya sentiasa menyembah Allah, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid jika ia keluar hingga kembali semula, dua orang yang saling mencintai kerana Allah; mereka berjumpa dan berpisah kerana-Nya, seseorang yang mengingat Allah dalam keadaan sendirian hingga menitiskan air mata, seorang laki-laki yang dirayu oleh wanita cantik dan terhormat namun menolaknya dengan berkata: aku takut kepada Allah, dan seseorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6.6.   Daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang menginginkan agar Allah menyelamatkannya daripada kesusahan (yang dialami) pada hari kiamat, maka bantulah orang yang dalam kesusahan, atau kurangilah kesusahannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

6.7.  Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah bersabda: “Seseorang akan berteduh di bawah naungan sedekahnya hingga waktu pengadilan (hisab) tiba.” (Hadis Riwayatkan Ahmad).

6.8. Al-Hafiz Ibn Abi Al-Dunya meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah bersabda: “Semua manusia dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan telanjang, sangat lapar, sangat haus dan sangat penat. Barang siapa yang pernah memberikan pakaian kerana Allah, maka Allah akan memberinya pakaian. Barang siapa yang pernah memberi makan kerana Allah, maka Allah akan memberinya makanan. Barang siapa yang pernah memberi minum kerana Allah, maka Allah akan memberinya minuman. Dan barang siapa yang pernah memaafkan karena Allah, maka Allah akan memaafkannya.”

7.   Setelah dibangkitkan dari kubur nanti ada yang pergi ke Padang Mahsyar dengan menunggang binatang, ada yang pergi dengan mukanya, ada yang berjalan,  dan yang istimewa di bawa oleh Malaikat Munkar dan Nakir.  Bila sampai di Mahsyar, perbicaraan tidak berjalan lagi.  Kena tunggu entah berapa lama. Lalu keseluruhan umat manusia tadi pergi kepada Nabi Adam a.s.  hanya untuk meminta syafaat untuk Allah SWT mempercepatkan hisab. Nabi Adam a.s. menjawab  dia tak boleh memberi syafaat kerana dia pernah melakukan dosa. Pergilah seluruh umat manusia kepada seluruh Rasul Ulul Azmi, bermula Nabi Nuh a.s, Musa a.s, Isa a.s, dan Ibrahim a.s tetapi nabi-nabi ini hanya berdoa keselamatan diri masing-masing. Lalu pergi semua manusia kepada Nabi Muhammad SAW. Lalu Rasulullah berdoa dan Allah memperkenankan doanya untuk mempercepatkan hisab.

8.    Manusia berdiri terpacak dengan kedua belah kaki tidak berganjak. Sebahagiannya pula berdiri dengan kepala ke bumi. Mereka berkeadaan demikian selama 300 tahun ukuran akhirat. Suatu jangka masa yang tidak lagi diukur dengan peredaran bulan atau matahari kerana bulan dan matahari sudah dihancurkan. Sesaat pun manusia tidak akan tahan dalam pancaran matahari di atas kepala, betapalah hingga 300 tahun ukuran akhirat. Saidina Hasan r.a menjelaskan bahawa satu hari di bumi mahsyar itu bersamaan 50,000 tahun ukuran dunia. Setahun mengandungi 365 hari dikali dengan 50,000 tahun dan dikalikan pula dengan 300 tahun akhirat. Dianggarkan penghuni Padang Mahsyar berdiri selama kira-kira lima ribu juta tahun.  Masyaallah, azabnya.

9.    Bayangkan semasa menanti perbicaraan, ada orang yang  minta kepada Allah agar di segerakan masuk ke neraka sebab tidak tahan lamanya azab berdiri di Padang Mahsyar. Bayangkan ruang yang ada hanya untuk meletakkan tapak kaki kita sahaja kerana padatnya manusia pada hari itu. 

10.   Sebelum hisab bermula, kitab-kitab amalan kita akan dibawa turun dari 'Arash Allah. Masa itu tahulah kita tangan mana yang akan menyambut kitab itu, samada tangan kanan atau kiri. Jika tangan kanan yang mengambilnya maka berbahagialah kita.  Sebaliknya celakalah orang yang menerima kitab amalannya dengan tangan kiri. Kemudian Allah akan panggil seorang demi seorang untuk di hisab amalan mereka. Sebelum Allah mula menghisab, Allah suruh kita baca semua amalan yang tercatat dalam buku kita dengan di saksikan semua manusia lain, tiada satu pun yang tertinggal.

11.      Setelah di timbang  di Al-Mizan, didapati pahala kita sedikit melebihi dosa kita, seolah-olah sikit lagi kita ke syurga, tetapi Allah akan bertanya kepada semua orang, siapa yang kenal kita sila tampil ke depan untuk menuntut hak mereka. Antara yang mula-mula bangun  adalah anak, isteri, keluarga, jiran-jiran, kawan-kawan dan lain-lain. Jika ada hak mereka yang tidak di tunaikan, pahala kita tadi terpaksa diberi kepada mereka. Jika pahala dah habis, dosa mereka pula kita tanggung. Ini yang di maksudkan suami akan menanggung dosa anak-anak dan isteri.

12.    Sebelum Allah menghisab amalan kita di Padang Mahsyar nanti, hisablah diri masing-masing sebelum kita mati.  Adakah aku ini bakal menerima suratan (buku) amalan aku dengan tangan kanan atau tangan kiri.  Beristigfarlah banyak-banyak kepada Allah kerana azab di Mahsyar itu tidak tertanggung oleh badan kita yang kerdil ini.


“Orang yang paling aku sukai adalah orang yang menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab

No comments:

Post a Comment