Monday 1 December 2014

HAKIKAT HUBUNGAN MANUSIA DENGAN TANAH




 KESUDAHAN KEHIDUPAN MANUSIA DI DUNIA YANG FANA

1.      Dalam Surah Al-Mukmin[Orang Beriman](40:67) Allah berfirman yang berbunyi:



“Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan)”

2.       Dalam Surah Al-Mukminun [Golongan Orang Beriman] (23:12) Allah berfirman:


“Dan sesungguhnya kami  telah ciptakan manusia dari saripati yang berasal dari tanah.”

(23:13)



“Kemudian saripati itu Kami jadikan air mani (yang tersimpan) dalam tempat yang kukuh.”

3.      Dalam Surah Al-Hijr [Nama Tempat](15:26) pula Allah berfirman  lagi:



“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

4.      Dalam Surah Shaad [Pembukaan](38:71) pula Allah berfirman yang berbunyi:



“(Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku (akan) mencipta manusia dari tanah.”

(38:72) 



“Maka, apabila aku telah menyempurnakannya dan aku tiupkan dari rohKu padanya, maka hendaklah kamu tunduk merendah kepadanya.”

5.      Dalam urusan untuk penciptaan manusia pertama bernama Nabi Adam Allah telah memerintahkan Malaikat Jibrail turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah. Walau bagaimanapun, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil malah bersumpah dengan nama Allah yang dia tidak rela untuk menyerahkannya kerana kebimbangannya  manusia akan menderhaka kepada Allah. Oleh kerana itu Malaikat Jibril kembali semula kepada Allah.  Berikutnya pula  Allah mengutuskan Malaikat Mikail dan kemudiannya Malaikat Israfil tetapi kedua-duanya juga tidak berjaya untuk mengambil tanah akibat sumpah yang dibuat oleh bumi. 

4.      Akhirnya Allah memerintahkan Malaikat Izrail untuk melakukan tugas tersebut dan jangan takut kepada sumpahan tanah kerana tugas tersebut dijalankan atas perintah Allah. Malaikat Izrail pun turun ke bumi dan mengatakan yang kedatangannya adalah atas perintah Allah hinggalah sebahagian tanah telah berjaya diambil.

5.      Menurut Ibnu Abbas, tanah bumi dan syurga telah digunakan oleh Allah untuk dijadikan bahan mencipta Nabi Adam. Tanah tersebut adalah terdiri dari:

5.1. Tanah dari Baitulmuqaddis untuk dijadikan kepala sebagai tempat kemuliaan untuk diletakkan otak dan akal.
5.2. Tanah dari Bukit Tursina, Mesir dijadikan telinga sebagai tempat mendengar dan menerima nasihat.
5.3.  Tanah dari Iraq pula untuk dibuat dahi sebagai tempat sujud kepada Allah.
5.4.   Tanah dari Aden, Yaman untuk dijadikan muka sebagai tempat berhias untuk kecantikan.
5.5. Tanah dari telaga Al-Kautsar untuk dibuat mata sebagai tempat menarik perhatian.
5.6. Tanah Al-Kautsar untuk dijadikan gigi sebagai tempat memanis-manis.
5.7. Tanah dari kawasan Kaabah, Makkah untuk dibuat tangan kanan sebagai tempat mencari nafkah dan bekerjasama.
5.8. Tanah dari Paris, Perancis untuk dijadikan tangan kiri sebagai anggota untuk melakukan istinjak.
5.9. Tanah dari Khurasan, Iran untuk dijadikan perut sebagai tempat berlapar.
5.10. Tanah dari Babylon, Iraq untuk dibuat alat kelamin sebagai organ seks dan tempat bernafsu serta godaan syaitan.
5.11. Tanah dari Tursina, Mesir untuk dijadikan tulang bagi memperkuatkan manusia.
5.12. Tanah dari  India untuk dijadikan kaki sebagai anggota untuk berdiri dan berjalan.
5.13. Tanah dari Syurga Firdaus untuk dijadikan hati sebagai tempat keyakinan, keimanan, dan kemahuan.
5.14. Tanah dari Taif, Arab Saudi untuk dijadikan lidah sebagai tempat untuk mengucapkan kalimah syahadah, syukur dan doa.

6.     Saintis hari ini mengesahkan bahawa tisu badan manusia mengandungi 26 elemen.  Enam dari 26 elemen yang biasa (common) itu ialah karbon, hidrogen,  oksigen, nitrogen, fosferus dan sulfur.  Disahkan juga bahawa 95% dari tisu badan manusia adalah terdiri dari 6 elemen tersebut.  Keenam-enam  elemen ini ada pada tanah.  Berdasarkan penemuan ini saintis moden kini mengesahkan kebenaran ayat-ayat suci Al-Quran.

7.     Perlu diketahui bahawa semua makhluk-makhluk Allah dan benda yang ada  di muka bumi adalah berasal dari tanah. Jikapun tidak secara langsung berasal dari tanah, tetapi semuanya memerlukan tanah. Sebagai contoh lihat pada perabot kayu. Asalnya dari pokok. Pokok pula dari biji benih yang dapat hidup dari dalam tanah dan mendapat makanan dari dalam tanah melalui akarnya. Lihat pula pada barangan yang diperbuat dari logam seperti badan kereta, alat perkakas rumah, peralatan komputer dan sebagainya. Logam juga berasal dari tanah dimana manusia perlu mengggali terlebih dahulu untuk mendapatkannya. Begitu juga dengan barangan plastik, getah, kaca, seramik dan sebagainya.  Semuanya perlu digali dari perut bumi. Manusia tidak boleh mencipta sendiri barang-barang tanpa menggunakan bahan-bahan dan makhluk-makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT. Bila menyedari hakikat ini kita akan dapat menilai betapa kerdilnya manusia di sisi Allah dan kita manusia selalu memerlukan pertolongan Allah untuk meneruskan hidup.

8.   Telah diketahui bahawa proses kejadian manusia di dalam rahim perempuan bermula apabila berlaku percantuman antara sperma, iaitu benih dalam air mani lelaki dengan ovari perempuan. Hakikat ini telah dibuktikan oleh Firman Allah dalam Surah At-Tariq [Yang Datang Waktu Malam](86:5) yang berbunyi:



“(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan".

(86:6)


"Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim)".

(86:7)


"Yang keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada perempuan".

9.      Dalam Surah Al-Alaq[Segumpal Darah](96:1) pula Allah berfirman:



“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan".

(96:2) 


“Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.”

10.    Bagaimana boleh terhasilnya air mani ataupun segumpal darah yang telah berubah bentuk itu dalam tubuh manusia? Sudah tentulah ia berlaku dari proses penukaran dari apa yang dimakan oleh manusia. Tanpa makanan adalah mustahil air mani itu akan terhasil secara sunnatullah. Melalui proses penyerapan makanan ke dalam tubuh manusia maka sel-sel atau anggota-anggota lain manusia dapat membesar dan menghasilkan bermacam-macam cecair, asid, air mani dan sebagainya dalam badan kita. Dari mana pula datangnya makanan itu?. Sudah tentulah sumber-sumbernya semua berasal dari dalam tanah yang dijadikan oleh Allah SWT. Sebahagian besar makanan kita itu berasal dari dalam tanah secara langsung seperti buah-buahan, sayur-sayuran, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Ada juga yang tidak secara langsung datang dari tanah iaitu seperti lembu, kerbau, ayam, ikan, sotong, udang dan sebagainya. Tetapi perlu diketahui apa yang dimakan oleh binatang-binatang tadi? Sudah tentulah mereka juga memakan makanan yang bersumber dari tanah seperti rumput, rumpai, dedaun kayu dan sebagainya.

11.    Kesimpulannya kita semua datang dari Allah. Membesar dari bahan dan makanan yang sama.  Kita semua menetap sekarang pun di tempat yang sama, saling memerlukan kepada sumber-sumber yang sama.

12.    Oleh kerana semua manusia berasal dari tanahlah maka setelah mati kita perlu dikembalikan semula kepada tanah, iaitu disemadikan dalam tanah. Oleh itu janganlah kita jadi orang yang sombong dengan berjalan sambil mengangkat muka ke atas.  Lihatlah ke bawah kepada tanah, iaitu ke rumah kita yang akan kita diami tidak lama lagi. Samada kita orang miskin ataupun hartawan, jutawan semuanya memerlukan tanah untuk menjadi tempat tinggal sementara setelah kita dimatikan oleh Allah.  Berapa lama kita tinggal di dalam tanah?. Sementara kita dibangkitkan semula dari dalam kubur masing-masing untuk dihitung segala amalan kita dimahkamah Allah yang maha adil di Padang Mahsyar nanti. 


"Seseorang tidak akan mencapai darjat kesolehan, kecuali melalui  enam    rintangan: menutup pintu kemuliaan dan membuka pintu kehinaan, menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesukaran, menutup pintu istirehat dan membuka pintu perjuangan, menutup pintu tidur dan membuka pintu jaga, menutup pintu kekayaan dan membuka pintu kemiskinan, menutup pintu harapan dan membuka pintu bersiap menghadapi maut" -  Mutiara kata dari Ibrahim bin Adham

No comments:

Post a Comment