Wednesday 13 January 2016

BAGAIMANA DR. GARY MILLER MENEMUI HIDAYAH ALLAH SWT

DR. GARY MILLER (DR. ABDUL AHAD OMAR)



“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”. {Petikan dari Surah Al-Qashah[Kesah-Kesah](28:56)}



“Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. {Petikan dari Surah Al-Anam[Binatang Ternakan](6:125)}

####################################################

1. Dr. Gary Miller adalah seorang pakar matematik Kanada dan bekas pendakwah Kristian. Beliau amat berpengetahuan tentang Bible. Pada tanggal 9 September 1977 beliau telah berdebat dengan Allahyarham Ahmed Hossen Deedat atas tajuk “Islam & Christianity”. Debat tersebut telah diadakan di Westridge Park Stadium, Durban Afrika Selatan.  Debat ini juga telah membuka laluan kepadanya untuk kemudiannya menerima hidayah Allah dan memeluk agama islam. Beliau ialah seorang yang sangat menggemari matematik. Itulah sebabnya dia suka kepada perkara-perkara yang logik. Dr. Miller  tinggal di Toronto, Kanada. Sebelum memeluk Islam beliau bekerja dengan sebuah gereja di Kanada. Menjadi penyiar di radio dan televisyen Kanada sebagai pencermah agama Kristian. Selain itu juga beliau adalah aktivis gereja dalam urusan pencarian kebenaran sesuai dengan tugasnya sebagai pendeta Kristian. Sebelum masuk Islam beliau belum pernah menemui mana-mana orang Islam dan tempat tinggalnya pula seratus kilometer dari tempat tinggal orang Islam. Pada satu hari dalam tahun 1977 beliau telah membaca Al-Quran dengan tujuan untuk mencari apa-apa kesilapan/kelemahan Al-Quran yang dia boleh ambil kesempatan untuk membuktikan pembohongan Al-Quran.  Harapannya ialah untuk  menarik orang Islam memeluk agama Kristian atau menjauhkan orang Kristian dari mendekati Islam.

2.  Sebelum membaca Al-Quran beliau beranggapan Al-Quran hanyalah sebuah kitab lama yang telah ditulis lebih 1,400 tahun yang lalu. Baginya tentulah kandungannya hanyalah berkisar tentang kesah kehidupan Nabi Muhammad dan keluarganya, padang pasir, membela unta atau kambing, kesah arab badwi, buah kurma dan sebagainya. Namun setelah membaca Al-Quran apa yang ditemuinya adalah sesuatu yang amat mengejutkannya dan menjadikan beliau  begitu kagum dengan A-Quran. Beliau mendapati Al-Quran memiliki sesuatu yang tidak ada pada semua kitab lain di dunia ini. Dia tidak menemui apa-apa seperti yang dibayangkan dalam fikirannya sebelum membaca Al-Quran. 

3.   Apa yang membuatkan beliau lebih keliru ialah dia menemui satu surah (bab) khas dalam Al-Quran yang dinamakan “Maryam/Mary” yang mengandungi banyak cerita tentang Maryam (yang dikatakan mother of God oleh orang Kristian). Sedangkan beliau tidak pernah temuinya walaupun dalam buku-buku yang ditulis oleh orang Kristian mahupun dalam Bible. Dia tidak menemui surah dinamakan Aminah (nama ibu Rasulullah),  Khadijah (isteri Rasulullah) atau pun Fatimah (nama anak Rasulullah) dalam Al-Quran.

4.   Sekarang kita lihat dan nilaikan sendiri dalil-dalil dalam Al-Quran yang dikaji oleh Dr. Gary Miller yang menyebabkan datangnya hidayah kepada beliau untuk menganut Islam:

4.1.   Nama Nabi Isa (Jesus), tuhan orang Kristian telah disebut dalam Al-Quran sebanyak 25 kali manakala nama Muhammad SAW hanya disebut sebanyak 5 kali sahaja.  Ini menjadikan beliau lebih keliru. Jika Quran itu direka oleh Muhammad tentulah beliau akan memasukkan kesah keluarganya dan mengangkat dirinya.

4.2.  Dia terkejut apabila membaca terjemahan firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa[Kaum Wanita](4:82) yang berbunyi:

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al-Quran ?. Kalau kiranya Al-Quran itu bukan dari Allah, tentulah mereka akan mendapati pertentangan yang banyak di dalamnya”.

4.3.   Berkenaan ayat di atas, Dr Miller berkata: “Salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah prinsip mencari kesilapan dalam teori sehingga ia terbukti benar (Ujian Pemalsuan). Apa yang menakjubkan ialah Al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk mencari kesalahan dalamnya dan ia memberitahu manusia bahawa manusia tidak akan menemui apa-apa kesalahan di dalamnya”. Beliau juga berkata tentang ayat ini: “Tidak ada penulis di dunia mempunyai keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa ia sifar kesilapan, tetapi Al-Quran sebaliknya memberitahu manusia bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta manusia untuk  mencari satu kesalahan dan tentu manusia tidak akan menemuinya di mana-mana.“

4.4.   Satu lagi ayat Al-Quran yang menarik perhatian beliau ialah firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:30) yang berbunyi:


“Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?.”

4.5.   Beliau berkata ayat ini adalah betul-betul subjek penyelidikan saintifik yang memenangi Hadiah Noble pada tahun 1973, iaitu teori dari Dr. Stephen J. Hawking, ahli fizik terkenal di abad ini.  Teori  astrofisiknya dikenali dengan nama Big Bang (Ledakan Besar) itu menjadi teori paling kuat ketika ini yang mampu menjelaskan beberapa fenomena alam semesta.

4.6.   Dr. Miller berkata ada pendapat mengatakan syaitan yang membantu Rasulullah mengarang Al-Quran. Tetapi dalil Quran sebaliknya menunjukkan pertentangannya. Lihat firman-firman Allah dalam ayat-ayat berikut:

4.6.1. Dalam Surah An-Nahl[Lebah] (16:98) berbunyi:



“Apabila kamu membaca Al-Quran hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk”.

4.6.2. Dalam Surah Asy-Syu’ara[Para Penyair](26:210) berbunyi:

Dan Al-Quran itu bukanlah dibawa turun oleh syaitan-syaitan”.

                   (26:211)

“Dan tidaklah layak syaitan-syaitan itu membawa turun Al-Quran itu, dan mereka juga tidak akan sanggup melakukannya”.

(26:212)

“Sesungguhnya mereka dilarang sama sekali dari mendengar  Al-Quran itu”.

Logikkah ayat Quran dari syaitan kerana syaitan meminta pembaca memohon pertolongan Allah sebelum membacanya?. Tentu tidak logik sama sekali.

4.7.   Cerita dalam Al-Quran yang menarik perhatian Dr. Miller adalah kesah Rasulullah dengan Abu Lahab. Bagi beliau, Abu Lahab adalah seorang yang sangat membenci Islam dan  Rasulullah. Jika dia melihat Rasulullah bercakap dengan seseorang  yang tidak dikenali, dia akan menunggu sehingga orang itu selesai dan kemudian bertanya kepada mereka apa yang Rasulullah beritahu. Abu Lahab akan memalsukan/membohongi apa jua kenyataan dari Rasulullah agar orang curiga kepada Rasulullah. Lebih kurang 7 tahun sebelum kematian Abu Lahab, surah Al-Lahab [Api Yang Bergejolak](111:1) telah diwahyukan kepada Rasulullah yang berbunyi:


“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa”.

(111:2)

“Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan”.

(111:3)

“Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak.

(111:4)

“Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (pembawa fitnah).”

(111:5)

“Yang di lehernya ada tali dari sabut”.

4.8.   Surah ini menceritakan bahawa Abu Lahab akan masuk neraka.  Ini bererti Abu Lahab tidak akan memeluk agama Islam sama sekali. Sebenarnya selama 7 tahun, Abu Lahab berpeluang membuktikan kepada penduduk Mekah bahawa Muhammad berbohong tentang wahyu diterimanya dengan cara beliau masuk Islam ataupun berpura-pura Islam bagi membuktikan bahawa Al-Quran itu bohong dan tidak boleh dipercayai. Anehnya Abu Lahab tidak berbuat demikian. Selama 7 tahun dia berpeluang untuk menghancurkan Islam dengan cara yang sangat senang. Tetapi ini tidak berlaku.  Ini kerana surah Al-Lahab itu bukan kata-kata dari Rasulullah SAW, tetapi kata-kata Allah yang mengetahui apa yang tersembunyi dan tahu bahawa Abu Lahab tidak akan menjadi seorang Islam.

4.9.   Salah satu keajaiban Al-Quran ialah ia mencabar pengetahuan masa depan dengan perkara-perkara yang manusia tidak boleh fikir dan ramalkan. Sebagai contohnya ialah Al-Quran menyebut mengenai hubungan antara orang Islam dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi umat Islam dan ini adalah perkara benar sehingga kini kerana orang Yahudi kekal menjadi musuh utama umat Islam. Ini dianggap satu cabaran yang besar kerana orang-orang Yahudi mempunyai peluang untuk merosakkan Islam hanya dengan melayan umat Islam dengan cara yang mesra bagi membuktikan kenyataan Al-Quran adalah salah dan justeru itu ia bukannya dari tuhan. Tetapi ini tidak berlaku dalam masa lebih 1400 tahun.  Ini membuktikan bahawa Al-Quran adalah kata-kata tuhan yang maha mengetahui perkara ghaib yang akan berlaku dan bukannya kata-kata manusia.

4.10.   Al-Quran membicarakan sesuatu yang telah lama berlalu, lama sebelum kelahiran Rasulullah.  Malah Al-Quran menjelaskan bahawa Rasulullah tidak pernah mengetahui perkara-perkara ghaib itu.  Contoh firman Allah itu ialah:

4.10.1. Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran] (3:44) yang berbunyi:

“Yang demikian itu adalah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepada kamu (Wahai Muhammad); padahal kamu tidak hadir bersama mereka, ketika mereka melemparkan anak-anak panah mereka (untuk mengundi) siapa di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan kamu tidak hadir di sisi mereka ketika mereka bersengketa.”

4.10.2. Dalam Surah Hud (11:49) yang berbunyi:

“Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”.

4.10.3. Dalam Surah Yusuf (12:102) yang berbunyi:

“Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam telaga) dan mereka sedang mengatur tipu daya”.

4.11. Dr. Miller menjelaskan tidak ada kitab suci lain menggunakan gaya penceritaan seperti Al-Quran. Kitab-kitab  lain memuatkan maklumat yang memberitahu pembaca di mana maklumat itu datang. Bible juga memberitahu pembaca  bahawa jika kita ingin mengetahui lebih lanjut kita perlu membaca buku tertentu kerana maklumat itu datang dari buku tersebut. Sebaliknya ia bertentangan dengan Al-Quran yang memberi kita maklumat dan memberitahu kita  bahawa sesuatu peristiwa itu telah terlalu lama berlaku.

4.12. Lebih menghairankan Dr. Miller ialah bahawa orang-orang Mekah pada masa ayat-ayat Quran diturunkan masa itu tidak pula menyanggah kandungan Quran dengan mengatakan ia bukan perkara baru. Apa yang berlaku adalah bahawa tiada siapa yang berani untuk mengatakan bahawa Rasulullah telah berbohong kepada mereka walaupun perkara yang disampaikan oleh Rasulullah adalah perkara baru dan asing buat mereka. 

4.13. Dr. Miller adalah seorang yang sangat memahami kitab Bible kerana beliau seorang pendakwah Kristian.  Sesungguhnya firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:82) berikut amat difahami olehnya:


“Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani (Kristian)". Yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri”.

(5:83)


“Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al-Quran) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: "Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al-Quran dan kenabian Muhammad SAW)”.

(5:84)



“Mengapa kami tidak akan beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, padahal kami sangat ingin agar Tuhan kami memasukkan kami ke dalam golongan orang-orang yang soleh?".

5.      Fakta dan dalil-dalil Al-Quran di ataslah yang telah memberi dorongan serta mengangkat hijab Gary Miller untuk melihat kebenaran Islam.  Baginya Islam adalah agama yang tidak datang dari manusia, melainkan tuhan yang mencipta alam. Manusia pasti tidak mampu memikirkan perkara masa depan.  Sebagai seorang pakar matematik beliau banyak berfikir secara logik. Menilai sesuatu perkara dengan logik akal dan objektif. Setelah meyakini kebenaran agama Islam maka pada tahun 1978 Dr. Gary Miller telah memeluk Islam dan menukar namanya kepada  Dr. Abdul Ahad Omar. Dia pernah bekerja beberapa tahun di Universiti Petroleum dan Mineral Raja Fahd, Dhahran Arab Saudi.  Beliau meneruskan penghidupannya sebagai pendakwah Islam melalui program TV dan juga memberi ceramah umum tentang Islam.

 6.    Jika Dr. Gary Miller dapat melihat logik firman tuhan yang sebenar seperti dalam Al-Quran, kenapa orang Kristian lain tidak mampu melihat dan menilai kebenarannya.  Dr. Miller hanya ingin mencari kebenaran dalam beragama.  Bukankah yang perlu dicari dalam kehidupan kita ini ialah kebenaran?.  Janganlah menolak kebenaran hanya semata-mata kerana keegoan dengan agama yang sesat dan telah diselewengkan oleh pihak gereja.   

7.   Saksikan debat bersejarah di bawah antara Dr.Gary Miller dan Almarhum Sheikh Ahmed Hossen Deedat yang menjadi asas kepada permulaan pengislamannya. Debat yang bertajuk "Islam & Christianity" itu telah diadakan pada 9.9.1984.   Klik video di bawah untuk mendengarnya:


“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

No comments:

Post a Comment