Monday 18 January 2016

HIDAYAH ALLAH UNTUK DR.MURAD WILFRIED HOFMANN



DR. MURAD WLIFRIED HOFMANN



“Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. {Petikan dari Surah Al-Anam[Binatang Ternakan](6:125)}


“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”. {Petikan dari Surah Al-Qashah[Kesah-Kesah](28:56)}

1.      Dr. Wilfried Hofmann dilahirkan pada 3 Julai 1931 di Aschaffenburg, Jerman.  Dia lahir dalam keluarga Kristian mazhab Roman Katholik tetapi menganut Islam dalam tahun 1980. Dr. Hofmann mendapat Ph.D dalam bidang undang undang dari Universiti Munich Jerman dalam tahun 1957. Selain itu Dr.Hofmann juga pernah mendapat pndidikan dari Union Collage, New York. Pernah mendapat pendidikan di Universiti Harvard Law School dalam tahun 1960. Hofmann pernah berkhidmat dalam Kementerian Luar Jerman dari tahun 1961 hingga 1994. Perkhidmatan pertamanya ialah di Algeria sebagai pakar dalam bidang pertahanan nuklear. Kemudiannya sebagai Pengarah Maklumat NATO di Brussels, Belgium antara tahun 1983 hingga 1987.  Menjadi duta ke Algeria dari tahun 1987 hingga 1990 dan duta ke  Morocco dari tahun 1990 hingga 1994.

2.      Menurut Dr. Hofmann, ada empat faktor yang menyebabkan hidayahnya terbuka  untuk menerima Islam:

2.1.   Peristiwa ketika menjadi duta di Algeria. Ketika itu pejuang pejuang Islam Algeria sedang memperjuangkan kemerdekaannya dari penjajah Perancis. Perancis membuat perjanjian dengan kelompok pejuang.  Jika pejuang bersedia melakukan gencatan senjata maka pihak Perancis akan menyerahkan kemerdekaan Algeria kepada mereka. Dalam pada itu orang-orang Perancis yang tinggal di Algeria selalu melakukan provokasi agar para pejuang melakukan perlawanan dan pemberontakan sehingga Perancis boleh mencari alasan untuk menyalahkan kelompok pejuang kemerdekaan. Keteguhan para pejuang untuk tidak terpengaruh oleh provokasi menjadikan Dr. Hofmann kagum dengan mereka.  Nyata para pejuang kemerdekaan memiliki tahap disiplin yang tinggi walaupun ramai  dari para pejuang dibunuh tentera Perancis. Dalam bulan Ramadan para pejuang tetap berpuasa walaupun menghadapi penindasan tentera Perancis. Dari situ beliau mula tertarik untuk membaca terjemahan Al-Quran. Tujuannya ialah untuk mencari punca yang memberikan kekuatan yang begitu besar pada pejuang-pejuang Algeria.
 
2.2. Beliau merasa agak terbeban dengan ajaran agama Kristian yang mengajarkan agar penganut Kristian perlu mempercayai dosa warisan, iaitu dosa yang diwarisi dari Nabi Adam. Kenapa tuhan mesti memiliki anak dan kemudianya disiksa dan dibunuh dipalang salib untuk menyelamatkan diri sendiri. Ini membuktikan bahawa tuhan tidak punyai kuasa. Dia bertanya bagaimana Allah berkemunikasi dengan manusia dan membimbingnya. Disini dia menemui jawapannya iaitu Allah berkomunikasi dengan menggunakan wahyuNya. Ketika membandingkan agama Islam dengan Judaism dan Kristian dia menemui agama Islam dengan tegas menolak adanya konsep dosa warisan. Beliau juga mendapati ketika orang Islam berdoa mereka berdoa terus kepada Allah tanpa perantaraan mana mana manusia lain. Hofmann amat menyakini bahawa tuhan tidak beranak dan diperanakkan dan kepercayaan ini ada dalam agama islam.

2.3.   Faktor yang kedua adalah kerana seni Islam.  Selain dari menjadi diplomat, Dr. Hofmann juga seorang peminat dan pengkritik tarian ballet. Hampir 50 kali dalam satu tahun beliau akan pergi ke Amerika Syarikat untuk menyaksikan pertunjukan ballet dan mengkritiknya. Katanya, sebagai seorang pengkritik, dia mempunyai standard tertentu. Tapi semua standard itu tidak bererti apabila satu ketika dia melihat produk/hasil seni Islam. Pertama kali beliau melihat  hasil karya seni Islam ialah semasa melihat keindahan ukiran bangunan-bangunan berciri Islam yang terdapat di kota-kota seperti Granada, Cordoba, Seville dan Andalusia di Sepanyol.

2.4.   Beliau mengetahui bahawa ramai ahli falsafah dan cendekiawan termashyur di dunia masa silam adalah beragama Islam.  Mereka adalah seperti  Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Ghazali, Ibnu Rush dan lain-lain lagi. Pemikiran beberapa orang ahli falsafah  terkenal kini turut dipengaruhi oleh pemikiran Ibnu Khaldun yang menjadi pelopor ilmu sosiologi dan sejarawan pertama. 

3.      Dr. Hofmann secara resmi telah mengucapkan dua kalimah syahadah di Pusat Islam Colonia pada 25 September 1980 dan menukar namanya kepada Dr.Murad Wilfried Hofmann.  Pengislamannya dilakukan oleh Imam Muhammad Ahmad Rasoul. Dia kemudiannya memberitahu Kementerian Luar Jerman tentang pengislamannya dan menolak untuk dihantar bertugas ke Israel atau Vatican City.

4.      Selain dari bekas diplomat, Dr. Murad juga seorang penulis buku. Antara buku-buku tentang Islam karangan beliau ialah “Journey to Islam” yang menceritakan penghijrahannya kepada Islam, “Diary of A German Muslim  dan “Der Islam alt Alternative (Islam: The Alternative)" dalam tahun 1992. Kemunculan buku ini agak menggemparkan negara Jerman kerana ia menjelaskan bahawa agama Islam adalah agama alternatif yang paling baik untuk masyarakat Barat. Bukunya ini menyebabkan kemarahan rakyat Jerman tetapi dia telah bersedia menghadapi apa jua risikonya. Banyak buku-buku dan eseinya memfokuskan tentang Islam di Barat dan telah diterjemahkan dalam banyak bahasa. Dr. Murad adalah ahli kehormat dan penasihat bagi Majlis Pusat Islam, Jerman. Di kalangan cendekiawan Islam, nama Dr. Murad Hofmann bukan nama yang asing lagi. Banyak pandangannya tentang Islam telah dizahirkan dalam buku-bukunya yang sudah banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa Beliau juga salah seorang yang mentandatangani "A Common Word Between Us and You", sepucuk surat yang diutus dari cendekiawan Islam kepada cendekiawan Kristian untuk menyeru keamanan dan kesefahaman bersama.  

6.    Pada pertengahan September 2009 Dr.Hofmann telah dinobatkan sebagai "Muslim Personality of The Year" yang dikendalikan oleh Dubai International Holy Quran Award. Penghargaan yang sama pernah dianugerahkan kepada Dr.Yusof Al-Qardhawi. 

7. Beliau telah meninggal dunia pada 12.1.2020 di Bonn, Jerman ketika berusia 89. Alfatihah untuk beliau. Semoga Allah SWT mengampuni dosa dosanya dan dihimpunkan rohnya bersama sama dengan roh orang orang yang beriman dan bertaqwa kepadaNYa. Aamiin Ya Rabbal 'alamin.

8.  Kesimpulannya apa yang perlu dicari dalam kehidupan ini ialah KEBENARAN.  Tidak ada perkara yang lebih baik selain dari berjaya menemui kebenaran.  Dr. Murad Hofmann telah berjaya mencari kebenaran di penghujung usianya.  Mencari tuhan yang sebenar, iaitu Allah SWT adalah kebenaran yang hakiki kerana hanya denganyalah sahaja seseorang akan mampu memasuki syurga Allah akhirnya. 

7.  Sila klik video di bawah untuk mendengar penerangan Dr. Hoffman tentang Islam dalam temuramah bertajuk  "Islam: A Rational Faith"


“Sesungguhnya seorang hamba itu bila merasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, nescaya Allah akan murka kepadanya sehinggalah dia melepaskan perhiasan itu.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyiddiq

No comments:

Post a Comment