Wednesday 20 January 2016

MENYANGGAH FITNAH JAHAT MEDIA ANTARABANGSA TERHADAP AGAMA ISLAM




“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syiar-syiar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya, dan binatang-binatang qalaa-id, dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan dari Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang-halangi kamu dari Masjidil Haram, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaanNya. {Petikan dari Surah Al-Maidah[Hidangan](5:2)}

1.   Islam adalah agama yang paling disalah anggap oleh orang bukan Islam.  Sebab utama  terjadinya perkara ini ialah kerana peranan yang dimainkan oleh pihak media antarabangsa seperti International  TV channel, internet, world news dan seumpamanya yang jelas anti Islam.  Media-media ini dengan sengaja melaporkan propaganda negatif tentang Islam. Mereka cuba memberikan gambaran bahawa orang Islam melakukan keganasan kerana adanya seruan jihad dalam agama Islam.
    
2.  Dalam Al-Quran perkataan jihad dan yang seumpama dengannya disebut sebanyak 36 kali, iaitu seperti dalam surah-surah Al-Baqarah  (2:218), Ali Imran (3:142), Al- Nisa (4:95), Al- Maidah (5:35, 53, 54), Al- An’am (6:109), Al- Anfal (8:72 ,74, 75), At- Taubah (9:16, 19, 20, 24, 41, 44, 73, 79, 81, 86, 88), An- Nahl (16: 38, 110), Al- Hajj(22:78), An-Nur (24: 53), Al- Furqan (25: 52), Al- Ankabut(29:6, 8, 69), Luqman (31: 15), Fatir (35: 42), Muhammad (47:31), Al-Hujurat (49:15), Al- Shaff (61: 11) dan  Al- Tahrim (66: 9).

3.  Jihad yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas adalah dalam konteks orang-orang Islam perlu mempertahankan dari serangan musuh, memerangi hawa nafsu, mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam, membanteras yang batil dan menegakkan yang haq.  Jihad tidak bermaksud mengarahkan orang Islam supaya menyerang dan membunuh orang awam yang tidak berdosa kerana mereka bukan beragama Islam.

4.  Jihad adalah perkataan yang paling banyak disalahertikan oleh orang bukan Islam, khususnya di Barat. Mereka menganggap apa sahaja peperangan yang melibatkan orang Islam atas apa jua tujuan/alasan dikatakan jihad.  Sebenarnya perkataan jihad diambil dari bahasa Arab, iaitu  jahada yang bermaksud berhempas pulas (to struggle), bekerja keras (to strive). Contohnya seperti berhempas pulas memerangi musuh, bekerja keras untuk menjadikan masyarakat lebih baik, berhempas pulas untuk mempertahankan diri, bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu, pelajar sedang berhempas pulas mengulang kaji pelajaran untuk menduduki peperiksaan. Kita mungkin pernah mendengar orang berkata jihad memerangi kemiskinan yang bermaksud melakukan sesuatu usaha bersungguh-sungguh untuk membasmi kemiskinan. Semua contoh-contoh ini dalam bahasa Arab dikatakan berjihad. Kini orientalis telah menterjemahkan jihad sebagai holy war (bahasa Arabnya ialah harbun muqaddasa). Sebenarnya tidak ada satu patah pun perkataan harbun muqaddasa dalam Al-Quran ataupun dalam hadis nabi. Ini membuktikan bahawa konsep dan ajaran perang suci (holy war) tidak diajar dalam Islam.

5.   Mengikut sejarahnya, perkataan holy war pertama kali digunakan oleh pejuang perang salib (crusader) Kristian untuk memaksa orang lain untuk menganut agama Kristian.  Tetapi kini holy war  telah digunakan untuk agama Islam. Ia adalah salah sama sekali.  Sangat bertentangan sekali dengan ajaran Islam seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:32) yang berbunyi:


“Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan dimuka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak diantara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerusakan dimuka bumi”.

6.  Firman Allah di atas dengan jelas menerangkan betapa kerasnya larangan Allah kepada perbuatan membunuh nyawa yang tidak berdosa. Sebaliknya memelihara nyawa itu pula sesuatu yang sangat dimuliakan dan dipandang tinggi. Tidak ada kitab agama lain dalam dunia ini yang mengajar penganutnya seperti ayat di atas.  Malah Islam mengutuk sebarang bentuk keganasan dan pembunuhan zalim sesama manusia. Pengeboman berani mati (suicide bomber) dilarang dalam Islam.

7. Kini media antarabangsa cuba memberi gambaran bahawa Islam menggalakkan keganasan. Sebenarnya kejahatan dan keganasan itu berlaku dalam semua agama dan di semua negara. Penganut agama lain di dunia ini pun turut terlibat menjadi pengganas. Keganasan itu bukan hak mutlak atau monopoli orang Islam. Masalahnya ialah apabila ia berlaku dalam negara umat Islam maka media antarabangsa akan memperbesarkannya dengan tujuan menggambarkan keburukan dan keganasan orang Islam. Sebaliknya apabila keganasan dilakukan oleh orang bukan Islam, media Barat tidak ghairah melaporkannya.  Lihat sahaja kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh orang-orang Buddha Rakhine kepada rakyat etknik Islam Rohingya di Myanmar. Mereka dizalimi dengan amat kejam dan dahsyat sekali. Di Angola pula kerajaan Kristiannya mengharamkan agama Islam di negaranya. Masjid-masjid telah diroboh. Mereka mempraktikkan undang-undang yang sangat jahat kepada Islam.  Nilailah sendiri nasib orang bukan Islam yang tinggal di sebuah negara yang ditadbir oleh orang Islam.  Adakah mereka ditindas dan dinafikan hak beragama?. Begitu juga dengan ibu kepada segala kejahatan dan penindasan seperti dilakukan oleh Israel kepada rakyat Palestin yang telah berterusan puluhan tahun lamanya hingga kini.  Adakah media Barat akan membesar-besarkannya?. Sudah tentu tidak sama sekali.

8.  Sesungguhnya jika orang Islam benar-benar mengikut ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW, adalah mustahil sama sekali untuk mereka menjadi orang jahat.  Apa lagi untuk menjadi pengganas atau pengebom orang awam. Ini kerana ajaran Islam menegah sama sekali keganasan sebaliknya menganjurkan keharmonian, kedamaian, keamanan dan persahabatan.

Sebahagian kandungan dari petikan ceramah Dr.Zakir Karim Naik

“Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.” – Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah

No comments:

Post a Comment