Sunday 3 January 2016

PERINGATAN DARI ALLAH SWT TENTANG HARTA (BAHAGIAN 3) - AKHIR



“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga).” {Petikan dari Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:14)}

1.   Posting kali ini adalah bahagian terakhir peringatan dari Allah kepada manusia tentang tanggung jawab kepada harta yang diamanahkan oleh Allah kepada manusia.  Di bawah ini disenaraikan enam lagi peringatan dari Allah melalui firman-firmanNya seperti di bawah:

1.1.   MEMBERI PINJAMAN KEPADA ALLAH

Allah SWT bertanya kita manusia, siapakah yang sanggup memberi pinjaman hartanya untuk Allah. Ia bermaksud siapakah yang sanggup menginfaqkan hartanya di jalan Allah kerana Allah ingin membayar harganya.  Firman Allah itu ialah dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:245) yang berbunyi:


“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan.”
 
1.2.   HARTA YANG BERKEMBANG

Allah sangat menggalakkan manusia bersedekah dan menginfaqkan hartanya di jalanNya. Allah menjanjikan balasan yang amat besar. Harta yang diinfaqkan itu berkembang menjadi menjadi lebih banyak. Dalilnya dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:261) Allah berfirman yang berbunyi:
 

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.”
 
          (2:265)


“Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram oleh hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buahnya dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka hujan gerimis pun memadai. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

1.3.   LARANGAN MEMAKAN RIBA

1.3.1. Riba adalah termasuk dalam salah satu dari tujuh dosa besar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Jauhilah diri kamu daripada 7 dosa yang  boleh membinasakan." Baginda ditanya oleh sahabatnya: Apakah dosa itu wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Hadis Riwayat Muslim).

1.3.2. Khutbah terakhir Rasulullah telah disampaikan oleh baginda pada Hari Jumaat, 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah (bersamaan dengan 6 Mac Tahun 632 Masihi) di Lembah Uranah, Gunung Arafah, iaitu semasa mengerjakan ibadat haji wada' (hajjatul wada') atau haji perpisahan. Dari 7 dosa besar di atas hanya riba sahaja yang telah disebut oleh Rasulullah dalam khutbah terakhirnya itu.  Ia menunjukkan betapa pentingnya mengelakkan diri dari riba.  Rasulullah menyedari bahawa akhir zaman nanti ramai orang Islam akan rosak dan binasa kerana riba. Hanya kerana ingin cepat kaya.

{Adakah teringin untuk mengetahui lebih lanjut kandungan khutbah terakhir Rasulullah dan sedikit analisis tentangnya?. Jika ya, sila layari artikel bertajuk "Apa Yang Tersirat Disebalik Khutbah Terakhir Rasulullah SAW"  yang diterbitkan pada  5.11.2014.}

1.3.3.  Lebih penting lagi berkaitan larangan dan amaran riba ini, Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:279) yang berbunyi:
 

“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari mengamalkan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” 

1.4.   AWASI MULUT SETELAH MENGINFAQ HARTA

1.4.1. Ramai orang yang sia-sia bersedekah kerana tidak mendapat apa-apa pahala dari Allah.  Ini kerana mereka  gagal menjaga mulut.  Menceritakan infaq kita kepada orang lain.  Alangkah ruginya, harta habis pahalanya tiada. 

1.4.2.    Berkaitan dengan perkara ini Allah SWT telah memberi amaran dalam firmanNya dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:262) yang berbunyi:
 

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
 
                   (2:264)


“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka kerjakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.”
 
1.5.   JANGAN BAKHIL DENGAN HARTA

Perlu diyakini sungguh-sungguh bahawa harta yang kita miliki itu adalah pemberian dan kurnia dari Allah SWT. Ia hanyalah ehsan dari Allah sahaja. Sesungguhnya harta dunia ini tidak ada sebarang harga dan nilai di sisi Allah SWT walaupun seberat sayap nyamuk.  Justeru, jangan sekali-kali kita bakhil untuk membelanjakan pemberian Allah ini untuk jalanNya. Allah amat memarahi kepada manusia yang bakhil. Hayatilah firman Allah dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:180) yang berbunyi:

“Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaNya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allahlah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
 
1.6.   ORANG MISKIN IALAH UJIAN BAGI ORANG KAYA

Jika diandaikan tidak ada orang miskin bukankah terlepas peluang orang kaya untuk mendapat pahala kerana membantu dan bersedekah kepada orang miskin?. Oleh itu bukankah orang miskin itu menjadi salah satu dari sumber kekayaan orang kaya di akhirat nanti?. Bagi orang kaya pula sudah tentu orang miskin itu akan menjadi ujian keimanan kepada mereka  samada perlu bersedekah atau tidak. Allah akan menilai sejauh mana mereka sanggup bersedekah kepada fakir miskin dengan harta pemberianNya. Lihat firman Allah SWT dalam surah Al-An’am [Binatang Ternakan](6:53) yang berbunyi:
  

“Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang kaya) dengan sebahagian mereka (orang-orang miskin), supaya (orang-orang yang kaya itu) berkata: “Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah Allah kepada mereka?” (Allah berfirman): “Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur (kepadaNya)?.”
 
2.   Rumusan dari 3 siri posting berkaitan dengan peringatan dari Allah tentang harta ialah:

2.1.  Islam memang tidak melarang umatnya mencari harta.  Tapi pastikan dahulu sumbernya halal dan dipergunakan pula harta itu untuk jalan yang diperintahkan oleh Allah.

2.2.   Sentiasalah beringat Rasulullah pernah bersabda bahawa ada tiga golongan manusia yang lama hitungan hisabnya di Padang Mahsyar, iaitu (1) orang yang mempunyai ramai anak, (2) orang yang mempunyai banyak ilmu dan (3) orang yang mempunyai banyak harta. Padang Mahsyar ialah tempat penuh keazaban.  Manusia tidak akan sama sekali sanggup berada lama di sana.  Matahari hanya beberapa hasta di atas kepala kita. 

2.3.   Oleh kerana itulah kita akan mendapati orang yang benar-benar alim dan beriman kepada Allah cuba mengelakkan dari memiliki harta yang banyak walaupun semua halal.  Mereka menyedari tanggungjawab terhadap harta dihadapan Allah nanti di Padang Mahsyar. Mereka sangat menyakini adanya azab di Padang Mahsyar dan mengelak diri dari azab tersebut.

2.4.  Hidup yang serba sederhana dan tidak bermegah-megah dengan harta dunia yang sementara ialah salah satu dari sunnah Rasulullah SAW. Mereka yang benar-benar kasihkan Rasulullah pastinya akan cuba mengikuti jejak langkah kehidupan Rasulullah. 

2.5.  Sedarlah, kehidupan sebenar manusia yang selama-lamanya ialah di negeri akhirat.  Dunia yang fana ini ialah tempat tinggal sementara manusia untuk mencari bekalan akhirat. Jangan sama sekali terpedaya dengan dunia yang fana ini. Ingatlah firman Allah SWT yang maha benar dalam surah Al-Hadid[Besi](57:20) yang berbunyi:


“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

“Peliharalah iman kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan mengeluarkan zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa kepada Allah” – Mutiara Kata Saidina Ali bin Abi Thalib

No comments:

Post a Comment