Saturday 9 January 2016

TUJUH CIRI PEMIMPIN AKHIR ZAMAN


1.  Dalam Surah Sad(38:26), Allah SWT telah berfirman tentang pemimpin adil yang berbunyi:


“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”

2.   Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan umat Islam tentang kemunculan pemimpin-pemimpin di akhir zaman yang menyesatkan manusia. Kita bertanggung jawab untuk meneliti dan menilai ciri-ciri pemimpin supaya kita tidak disesatkan oleh mereka:

2.1.  PEMIMPIN YANG MENOLAK KEBENARAN DAN  MENYERU KEMUNGKARAN.

Dari Ubadah bin Shamit beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:


«سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ يَأْمُرُونَكُمْ بِمَا لاَ تَعْرِفُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا تُنْكِرُونَ فَلَيْسَ لاِؤلَئِكَ عَلَيْكُمْ طَاعَةٌ»

“Kamu akan dipimpin oleh para pemimpin yang memerintah kamu dengan hukum yang tidak kamu ketahui (imani). Sebaliknya, mereka melakukan apa yang kamu ingkari. Sehingga terhadap mereka ini tidak ada kewajiban bagi kamu sekalian untuk mentaatinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah).

2.2.  PEMIMPIN YANG SESAT

Dari Aus, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:

«إِنِّي لاَ أَخَافُ عَلىَ أُمَّتيِ إِلاَّ الأَئِمَّةَ المُضَلِّينَ»

“Aku tidak takut (ujian yang akan menimpa) pada umatku, kecuali (ujian) para pemimpin yang sesat.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban). 

Sheikh Sufyan as-Tsauri bin Said (716 M–778 M) seorang ulama besar zaman dahulu menggambarkan mereka dengan mengatakan: “Tidaklah kamu menjumpai para pemimpin sesat, kecuali kamu mengingkari mereka dengan hati, agar amal kamu tidak sia-sia.”

2.3. PEMIMPIN YANG MEMERINTAH DENGAN MENGANCAM KEHIDUPAN DAN MATA PENCARIAN RAKYAT

Abu Hisyam as-Silmi berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:

«سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أَئِمَّةٌ يَمْلِكُوْنَ رِقَابَكُمْ وَيُحَدِّثُوْنَكُمْ فَيَكْذِبُونَ، وَيَعْمَلُوْنَ فَيُسِيؤُونَ، لا يَرْضَوْنَ مِنْكُمْ حَتَّى تُحَسِّنُوا قَبِيْحَهُمْ وَتُصَدِّقُوْا كَذِبَهُمْ، اعْطُوْهُمُ الحَقَّ مَا رَضُوا بِهِ»

          “Kamu akan dipimpin oleh para pemimpin yang mengancam kehidupan kamu. Mereka berbicara (berjanji) kepada kamu, kemudian mereka mengingkari (janjinya). Mereka melakukan pekerjaan tetapi pekerjaan mereka itu sangat buruk. Mereka tidak senang dengan kamu hingga kamu menilai baik (memuji) keburukan mereka, dan kamu membenarkan pembohongan mereka, serta kamu memberi kepada mereka hak yang mereka senangi.” (Hadis Riwayat Thabrani).

2.4.  PEMIMPIN YANG BODOH:

Dari Jabir bin Abdillah beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berkata kepada Ka’ab bin Ajzah:


أَعَاذَكَ اللهَ مِنْ إمَارَةِ السُّفَهَاءِ

“Aku memohon perlindungan untukmu kepada Allah dari kepemimpinan dari kalangan orang-orang yang bodoh.” (Hadis Riwayat Ahmad). 

Maksud pemimpin bodoh adalah pemimpin yang tidak mengikuti petunjuk dan sunnah Rasulullah SAW. Dengan kata lainnya pemimpin yang tidak menerapkan syariah Islam dalam pemerintahannya.

2.5.  PEMIMPIN YANG PURA-PURA BERIMAN (ZINDIK).

Dari Ma’qil bin Yasar.  Katanya Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:

«صِنْفَانِ مِنْ أُمَّتِي لَنْ تَنَالَهُمَا شَفَاعَتِي: إِمَامٌ ظَلُومٌ، وَكُلُّ غَالٍ مَارِقٍ»

“Dua golongan umatku yang keduanya tidak akan mendapatkan syafaatku, iaitu pemimpin yang bertindak zalim, dan orang yang berlebihan dalam beragama hingga sesat dari agama.” (Hadis Riwayat Thabrani).


حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ قُدَامَةَ الْجُمَحِيُّ عَنْ إِسْحَقَ بْنِ أَبِي الْفُرَاتِ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Akan datang kepada masyarakat tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Pada tahun-tahun itu pembohong dipandang benar, yang benar dianggap bohong; pada tahun-tahun tersebut pengkhianat diberi amanat, sedangkan orang yang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu yang berbicara adalah ruwaibidhah”. Lalu ada sahabat bertanya, “Apakah ruwaibidhah itu Rasulullah?.  Rasulullah menjawab, “Orang bodoh yang berbicara/menguruskan urusan pemerintahan.” 

[Dalam riwayat lain disebutkan, ruwaibidhah itu adalah “orang fasik yang berbicara/menguruskan urusan awam” dan “al-umara (pemerintah) fasik yang berbicara/menguruskan urusan pemerintahan]. (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Bazzar).

2.6.  PEMIMPIN YANG MENGANGKAT PEMBANTU ORANG-ORANG JAHAT DAN MENGAKHIRKAN SOLAT (MENGABAIKAN SYARIAH).

Dari Abu Hurairah ra, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

« يَكُونُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ أُمَرَاءُ ظَلَمَةٌ، وَوُزَرَاءُ فَسَقَةٌ، وَقُضَاةٌ خَوَنَةٌ، وَفُقَهَاءُ كَذَبَةٌ، فَمَنْ أَدْرَكَ مِنْكُمْ ذَلِكَ الزَّمَنَ فَلا يَكُونَنَّ لَهُمْ جَابِيًا وَلا عَرِيفًا وَلا شُرْطِيًّا»

“Akan sampai di akhir zaman para penguasa sewenang-wenang, para pembantu (pejabat pemerintah) fasik, para hakim pengkhianat dan para ahli hukum Islam (fuqaha’) pendusta……..” (Hadis Riwayat Thabrani).

2.7.  PEMIMPIN DIKTATOR (KEJAM).

Rasulullah SAW bersabda:


«إِنَّ شَرَّ الوُلاَةِ الحُطَمَةُ»

“Sesungguhnya seburuk-buruknya para penguasa adalah penguasa al-huthamah (diktator).” (Hadis Riwayat Al-Bazzar). 

Pemimpin al-huthamah (diktator) adalah pemimpin yang menggunakan kekerasan (tangan besi) terhadap rakyatnya.
Dari Abu Layla al-Asy’ari katanya Rasulullah SAW bersabda:

«وسَيَلي أُمَرَاءُ إنْ اسْتُرْحِمُوا لَمْ يَرْحَمُوا، وإنْ سُئِلُوا الحَقَّ لَمْ يُعْطُوا، وإِنْ أُمِرُوا بالمَعْرُوفِ أَنْكَرُوا، وسَتَخَافُوْنَهُمْ وَيَتَفَرَّقَ مَلأُكُمْ حَتى لاَ يَحْمِلُوكُمْ عَلى شَيءٍ إِلاَّ احْتُمِلْتُمْ عَلَيْهِ طَوْعاً وَكَرْهاً، ادْنَى الحَقِّ أَنْ لاَ تٌّاخُذُوا لَهُمْ عَطَاءً ولا تَحْضُروا لَهُمْ في المًّلاَ»

“Dan berikutnya adalah para pemimpin jika mereka diminta untuk mengasihani (rakyat), mereka tidak mengasihaninya; jika mereka diminta untuk menunaikan hak (rakyat), mereka tidak memberikannya; dan jika mereka disuruh berlaku baik (adil), mereka menolak. Mereka akan membuat hidup kamu dalam ketakutan; dan memecah-belah tokoh-tokoh kamu. Sehingga mereka tidak membebani kamu dengan suatu beban, kecuali mereka membebani kamu dengan cara paksa, samada kamu suka atau tidak. Serendah-rendahnya hak kamu, adalah kamu tidak mengambil pemberian mereka, dan kamu tidak menghadiri pertemuan mereka.” (Hadis Riwayat Thabrani).

3.  “Pemimpin (penguasa) adalah bayangan Allah di muka bumi. Kepadanyalah berlindung orang yang teraniaya dari hamba-hambaNya. Jika ia berlaku adil, nescaya baginya ganjaran (pahala) dan bagi rakyatnya hendaklah bersyukur. Sebaliknya, apabila ia curang (zalim), nescaya berdosalah baginya dan rakyat hendaklah bersabar. Apabila para pemimpin curang (zalim), langit tidak akan menurunkan keberkatannya. Apabila zina bermaharajalela, kefakiran dan kemiskinan pun akan berkembang.,” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abdullah bin Umar)

4.   Berwaspadalah dengan peringatan Allah SWT di bawah:


"(Ingatlah) suatu hari (yang di hari itu) Kami panggil tiap umat dengan pemimpinnya; dan barang siapa yang diberikan kitab amalannya di tangan kanannya maka mereka ini akan membaca kitabnya itu, dan mereka tidak dianiaya sedikit pun". {Petikan dari Surah Al-Israq[Memperjalankan Waktu Malam](17:71)}

5.   Justeru, beringatlah tatkala memilih pemimpin.  Mereka bukan hanya memimpin kita di dunia ini tetapi juga di akhirat. Tepuk dada dan tanyalah iman kita.  Mana satukah idaman kalbu. Peringatan dari Allah di atas terlalu jelas untuk kita fahami.

6.    Analogi  mudah dari almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan berkaitan pemimpin:


         " Jika kita nak pergi ke Kuala Lumpur, kena cari pemandu yang 

            tahu jalan ke Kuala Lumpur.  Jika pemandu yang kita tumpang 
            itu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai
            ke Kuala Lumpur dan terpaksa turun menumpang kenderaan lain.
            Demikian juga dengan pemimpin. Kita kena cari pemimpin yang
            tahu jalan ke akhirat.  Jika hanya tahu memimpin setakat dunia
            bagaimana kita mahu meneruskan perjalanan ke akhirat?."

“Tiga macam yang tidak diketahui kecuali pada tiga macam:
1. Orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah.
2. Orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika perang.
3. Saudara tidak diketahui kecuali ketika berhajat (ada kepentingan)”.
- Mutiara Kata Luqman Al-Hakim

No comments:

Post a Comment