Thursday 7 January 2016

LAZIMILAH MENGINGATI NIKMAT DAN RAHMAT DARI ALLAH SWT
















BAYI DALAM KANDUNGAN IBU

1.      Dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:5), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang dimatikan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai tua, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah”.

2.   Pernahkah kita mengingati betapa besarnya nikmat dan rahmat Allah kepada kita semasa dalam kandungan ibu  selama 9 bulan 10 hari?.  Tentu sekali tidak kerana tidak ada manusia yang mampu mengingatinya.  Namun demikian setelah kita besar dan dewasa kita dapat membayangkan betapa besarnya nikmat dan rahmat itu. Mampukah kita hidup dan membesar dalam kandungan ibu tanpa nikmat dan rahmat dari Allah?.  Jawabnya tentulah tidak. 

3.  Untuk renungan bersama, cubalah kita fikirkan apakah nikmat dan rahmat  yang telah Allah berikan kepada kita semasa kita berada di alam rahim ibu dan selepas dilahirkan:

3.1. Allah jadikan kita dalam perut/rahim ibu masing-masing.  Kemudian Allah tutup wajah kita dengan penutup supaya kita tidak kelemasan atau terhidu sesuatu.

3.2.   Allah jadikan kita tenang di dalam rahim ibu dengan diberikan makanan yang mencukupi untuk pembesaran kita.

3.3.   Allah jadikan tempat kita berpaut didinding rahim ibu. Di kanan kita ialah hati ibu manakala di kiri pula hempedu ibu kita. Allah tetapkan kedudukan kita di situ sehinggalah kita dilahirkan.  Apakah ada selain dari Allah yang mampu berbuat demikian?. 

3.4.   Setelah berakhirnya penciptaan kita dan sempurnalah kejadian kita, Allah keluarkan kita dari rahim ibu kita dengan penuh kasih sayang dan rahmatNya.

3.5.   Kita tidak punyai apa-apa. Kita belum ada gigi untuk mengunyah. Walau pun ada tangan tetapi tidak mampu untuk menggapai.  Ada kaki tetapi tidak berupaya untuk berjalan. Kita menjadi manusia yang sangat lemah. Segala-segalanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan dan pertolongan ibu bapa dan adik beradik kita.

SUSU IBU YANG TIADA BANDINGANNYA
3.6. Siapakah yang mencipta susu dada ibu sebaik sahaja ibu mengandungkan kita, jika bukan Allah SWT. Sebaik mengandungkan kita  Allah telah menyediakan makanan untuk kita. Makanan yang terbaik untuk seorang bayi. Air susu ibu yang berasa sejuk di musim panas dan panas di musim sejuk.

3.7.   Allah campakkan rasa cinta, kasih dan sayang dalam diri kedua ibu bapa serta adik beradik kita kepada kita.  Tidak meniarap kita sebelum mampu. Tidak duduk kita sebelum berupaya.  Tidak merangkak sebelum kaki dan tangan kita kuat.  Tidak berdiri kita sebelum merangkak. 

4.      Ayuh, sekarang nilaikanlah diri kita masing-masing setelah kita besar menjadi  remaja dan dewasa. 

4.1.  Setelah kita kuat dan mampu berjalan, bukankah kita berbuat maksiat kepada Allah.  Kita langsung tidak ada rasa malu kepada Allah yang telah memberikan segala-galanya kepada kita. Dari tiada kita dijadikan ada.

4.2. Namun Allah tetap ingatkan kita.  Jika kita berdoa, Allah pastinya memakbulkannya. Jika kita meminta pasti Allah akan memberikannya. Jika kita bertaubat pula nescaya Allah akan mengampunkan dosa kita dan membawa kita kepadaNya.

5.      Lihat dan nilailah keunikan/keganjilan yang berlaku kepada diri kita:

MEMANDIKAN JENAZAH
5.1.  Ketika dilahirkan, kita akan diazankan dan diiqamatkan tanpa disertai solat.  Sebaliknya apabila kita mati, kita akan disolatkan tanpa didahulukan dengan azan.

5.2.  Ketika kita dilahirkan ke dunia dari perut ibu, tidak kita ketahui siapakah yang mengeluarkan kita dari rahim ibu.  Tatkala mati juga kita tidak mengetahui siapa yang memasukkan kita ke dalam liang lahad.

5.3.  Tatkala dilahirkan badan kita akan digosok dan dibersihkan.  Semasa mati juga badan kita akan di dimandikan, digosok dan dibersihkan.

5.4. Semasa dilahirkan kita tidak tahu siapa yang gembira dan tersenyum kerana kelahiran kita.  Setelah sampainya ajal, kita juga tidak mengetahui siapa yang menangis dan bersedih atas pemergian kita.

5.5.   Tatkala bayi kita menghabiskan masa kita dengan tidur.  Apabila sudah menjadi tua dan tidak bermaya, sekali lagi kita menghabiskan masa untuk tidur dan rehat dipembaringan.

5.6.   Ketika bayi percakapan kita tidak difahami orang.  Begitulah juga halnya bila sudah terlalu tua dan nyanyuk, percakapan kita juga tidak difahami orang lagi.

5.7.   Ketika bayi kita akan berak dan kencing di merata tempat tanpa memberitahu orang tua.  Setelah terlalu tua dan nyanyuk, perkara sama pasti kita akan ulangi lagi.
MENURUNKAN JENAZAH KE LIANG LAHAD

5.8.  Ketika berada dalam perut/rahim ibu kita berada dalam tempat yang sangat sempit lagi gelap. Apabila mati kita akan dimasukkan dalam liang lahad yang juga sempit dan gelap.

5.9. Sebaik sahaja dilahirkan kita akan dibalut dengan kain putih untuk menutupi badan.  Begitulah juga apabila mati, kita akan dikafankan, dibalut dengan kain putih untuk menutup seluruh badan sebelum disemadikan.

TEMPAT PENANTIAN MENUNGGU HARI KEBANGKITAN
6.   Kesimpulannya, apakah kesudahan kehidupan ini. Tidak lain melainkan dua biji batu nesan sebagai tanda kewujudan kita di dunia yang fana ini. Dua batu nesan untuk menjadi ingatan kepada anak, cucu, cicit kita setelah ketiadaan kita.

7.   Justeru, sebelum bergelar arwah sembahlah Allah SWT.  Patuhlah segala perintahNya dan tinggalah semua laranganNya. Bayarlah segala kebaikan, nikmat dan rahmat Allah kepada kita dengan berbuat sesuatu untuk agama Allah, Islam yang maha suci.

“Orang akan tetap menjadi ahli ilmu yang sejati selama dia masih menuntut. Tetapi apabila pada suatu ketika dia berkata ‘aku sudah pandai’, maka sesungguhnya dia sudah menjadi bodoh dengan sendirinya”. – Mutiara Kata Luqman Hakim
 Sebahagian kandungan dari sumber grup watsap Veteran IP73

No comments:

Post a Comment