Thursday 13 December 2018

KEBENARAN AL-QURAN TENTANG KEGELAPAN DALAM LAUTAN



"Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gelita yang berlapis lapis. Apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barang siapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun. " Petikan dari surah An-Nur[Cahaya](24:40).

1.      Begitulah bunyinya firman Allah SWT lebih 1,400 tahun yang lalu. Firman ini jelas membuktikan bahawa Al-Quran itu datangnya dari tuhan yang mencipta alam termasuk lautan yang dalam.  Rasulullah SAW tidak tinggal ditepi laut dan tidak pernah pun menyelam di lautan kerana Mekah dan Madinah tempat tinggal Rasulullah jauh dari lautan. Oleh itu sudah tentu Rasulullah tidak mengetahui sama sekali keadaan kegelapan di dalam lautan. Prof Durga Rao, seorang ahli geologi kelautan yang juga profesor di Universiti King Abdul Aziz, Jeddah mengatakan bahawa manusia biasa tidak akan mampu menjelaskan fenomena ini dengan sangat terperinci pada masa lebih 1,400 tahun lalu.

2.      Tanpa menggunakan peralatan khusus manusia tidak mungkin boleh menyelam di dalam laut di bawah dari kedalamana 40 meter.  Pada kedalaman 200 meter pula hampir tidak ditemui cahaya  manakala bagi kedalaman 1,000 meter pula langsung tidak ada walaupun sedikit cahaya.

3.      Cuba kita perhatikan firman Allah di atas yang bermaksud: "...yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan". Ia bermaksud air di lautan yang dalam itu diliputi oleh ombak dan di atas ombak ini ada ombak lain. Sangat jelas bagi kita bahawa lapisan ombak yang ke dua ini adalah ombak di permukaan laut yang biasa kita lihat kerana ayat tersebut menyebutkan adanya awan di atasnya. Tetapi bagaimana pula dengan ombak yang disebutkan pertama itu?. Apakah ada ombak lain di bawah permukaan laut?. 

 
4.      Saintis telah menemui bahawa adanya ombak dalam (internal waves) yang "terjadi pada batas pertemuan dua lapisan air yang memiliki perbezaan kepekatan." (lihat gambar di atas). Ombak dalam terjadi pada permukaan lapisan air di kedalaman lautan kerana ia memiliki kepekatan yang lebih tinggi dibandingkan dengan air di atasnya. Ombak dalam ini menyerupai ombak di permukaan lautan. Ia juga boleh pecah seperti ombak di permukaan laut. Namun ombak dalam tidak dapat dilihat oleh mata manusia. Ia hanya boleh dikesan menggunakan peralatan canggih dengan mempelajari perubahan suhu dan kandungan garam pada sesuatu lokasi tertentu.

5.      Sesungguhnya Al-Quran itu benar.  Ia benar kerana ia datang dari tuhan pencipta alam semesta iaitu Allah SWT.




“Saintis barat hari ini berlumba-lumba untuk menjalankan kajian benih tumbuh-tumbuhan. Benih-benih dijaga begitu elok untuk menghasilkan tanaman yang bermutu. Jika benih tumbuh-tumbuhan pun dijaga demikian rupa, kenapa tidak ‘benih tamadun’ iaitu manusia ? Lantaran itu didiklah anak-anak dengan jagaan IMAN dan TAKWA kerana dari benih inilah akan lahirnya tamadun UMMAH..InsyaAllah...” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat