Tuesday 31 May 2016

APAKAH HIKMAH IDDAH SELAMA 4 BULAN 10 HARI BAGI WANITA KEMATIAN SUAMI


 


1.      Iddah atau edah adalah istilah yang diambil dari bahasa Arab dari kata (العِدَّة) yang bermakna perhitungan (الإِحْصَاء). Dinamakan sedemikian kerana seseorang wanita yang kematian suami itu menghitung masa suci atau bulan dalam menentukan selesainya masa iddah.

2.      Persoalan berkaitan dengan iddah seorang isteri yang kematian suami, iaitu selama 4 bulan 10 hari dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia adalah perkara yang telahpun diketahui umum. Namun susulan cadangan pihak kerajaan mencalonkan balu allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar bin Wan Ahmad (bekas ahli parliman Kuala Kangsar), Datin Mastura binti Abdul Yazid untuk menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar maka perkara berkaitan dengan iddah ini menjadi satu isu yang agak menarik untuk diulas.

3.   Barangkali di kalangan orang bukan Islam di Malaysia mereka baru mengetahui adanya iddah dalam agama Islam untuk wanita yang kematian suaminya. Namun ramai dikalangan orang Islam sendiri, lebih-lebih lagi orang bukan Islam mereka tidak mengetahui apakah hikmah/rasionalnya Islam menetapkan tempoh iddah ini. 

4.      Berkaitan dengan iddah ini Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:234) yang berbunyi:


"Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedangkan mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut (yang diluluskan oleh Syarak), dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui apa jua yang kamu lakukan." 

5.   Dalam firman di atas, Allah tidak menjelaskan kenapa mesti 4 bulan 10 hari.  Kenapa tidak hanya 4 bulan sahaja atau 5 bulan sahaja.  Kenapa mesti 4 bulan dan 10 hari. Berkaitan dengan hikmah tempoh iddah ini, beberapa pandangan yang diberikan ulama untuk menyokongnya adalah seperti berikut:

5.1.   Sa'id ibnul Musayyab dan Abul Aliyah menyatakan bahawa hikmah penentuan 'iddah bagi wanita yang kematian suaminya selama 4 bulan 10 hari ialah kerana kemungkinan rahimnya telah terisi dengan kandungan dalam tempoh tersebut. Untuk itu, apabila wanita yang berkenaan menunggu dalam 'iddahnya selama tempoh itu, kandungannya yang berisi sudah tentu dapat dilihat.

5.2.   Di dalam hadis riwayat Ibnu Mas'ud yang terdapat dalam kitab Shahihain dan kitab lainnya disebutkan seperti berikut;

"Sesungguhnya penciptaan seseorang di antara kamu dihimpun dalam perut ibunya selama 40 hari berupa nutfah, lalu menjadi 'alaqah dalam masa yang sama (40 hari), kemudian beralih menjadi segumpal daging (mudghah) dalam masa yang sama, kemudian diutus padanya malaikat, lalu malaikat itu meniupkan roh ke dalam badannya."

5.3.   Ketiga-tiga 40 hari (40 hari x 3 = 120 hari) ini sama bilangannya dengan 4 bulan. Adapun 10 hari yang selepasnya merupakan masa cadangan kerana adakalanya bilangan sebahagian bulan itu ada yang tidak genap. Selepas roh ditiupkan ke dalam janin, maka janin mulai bergerak yang menandakan bermulanya penghidupan seorang manusia dalam rahim ibunya.

5.4.   Sa'id ibnu Abu Arubah meriwayatkan dari Qatadah yang pernah bertanya kepada Sa'id ibnul Musayyab, "Untuk apakah yang 10 hari itu?".  Sa'id ibnul Musayyab menjawab, "Di masa itu dilakukan tiupan roh ke dalam tubuh janin."

5.5.   Ar-Rabi' ibnu Anas pernah mengatakan, "Aku pernah bertanya kepada Abul Aliyah, "Mengapa 10 hari ini ditambahkan kepada 4 bulan?" Abul Aliyah menjawab, "Kerana digunakan untuk masa peniupan roh ke dalam tubuh janin." Kedua-dua atsar ini diriwayatkan oleh Ibnu Jarir. [Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah Al-Baqarah, ayat 234].

6.  Tempoh iddah ditetapkan dalam Islam bertujuan untuk  memastikan benih suami terdahulu tidak ada dalam rahim si balu.  Ia bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang mungkin baru dikahwininya selepas kematian suaminya. Begitulah betapa cermatnya Islam menjaga keturunan/baka manusia agar zuriat seseorang itu sahih siapa bapanya.

7.  Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh iddah juga ialah tempoh berkabung bagi menghormati arwah si suami. Dalam tempoh iddah ini wanita dilarang memakai pakaian berwarna yang menarik perhatian seperti merah dan kuning, memakai wangi-wangian atau haruman walaupun pada waktu malam sama ada pada pakaian atau tubuh badan, menghias diri seperti berinai, bercelak mata atau mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta mata yang berwarna dan berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat dari emas atau perak, permata dan sebagainya. Wanita juga dilarang keluar dari rumah melainkan untuk urusan sangat penting seperti keluar bekerja mencari nafkah ataupun urusan untuk berubat.  

8. Walau bagaimanapun, seseorang wanita yang sedang hamil dan suaminya meninggal, tempoh iddahnya bukan 4 bulan 10 hari tetapi  sampai dia melahirkan anak (tak kira berapa lamanya).

9. Begitulah maha bijaksananya Allah SWT yang mencipta manusia menetapkan hukum dan peraturannya kepada manusia.

10.  Wallahuaklam. Semoga paparan ini memberi manfaat kepada yang membacanya. 
                                                                     
"Ilmu itu tumpang menumpang, murid menumpang ilmu guru, guru juga turut menumpang kebijaksanaan muridnya. Itulah dia 'taawun' iaitu saling mengambil manfaat antara satu sama lain"  ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Sebahagian kandungan dipetik dari unikversiti.blogspot.my