“Dan
(ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya,
jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". {Petikan
dari Surah Ibrahim(14:7)}.
1. Di manakah sebenarnya kedudukan Allah SWT dalam kehidupan kita
seharian. Betulkan kita sebenarnya
memandang tinggi kepada kekuasaan Allah dalam menentukan kehidupan kita di
dunia ini?. Atau Allah itu hanya sekadar
menjadi seperti sebuah ambulan yang hanya diperlukan ketika kita berada dalam
kecemasan, kesusahan dan kesengsaraan.
2. Cuba kita muhasabah diri kita masing-masing untuk menilai kedudukan
Allah dalam hidup kita semasa kita menghadapi perkara-perkara berikut:
2.1. Bila Allah sembuhkan kita dari kesakitan
melalui ikhtiar ubat yang kita makan, kita hanya nampak ubat sebagai
penawarnya. Kita tidak pernah nampak
Allah yang menyembuhkannya.
2.2. Bila Allah memberikan kejayaan kepada kita dalam
bidang akademik melalui cemerlangnya kita dalam peperiksaan, kita hanya nampak
kebijaksanaan kita. Kita tidak nampak
pun pertolongan dan kasih sayang Allah kepada kita.
2.3. Bila Allah berikan kita pekerjaan yang baik
kerana kejayaan kita dalam peperiksaan, kita hanya nampak kecemerlangan
akademik kita. Kita tidak nampak pun rahmat dari Allah.
2.4. Bila Allah beri kekayaan harta melalui usaha
gigih kita, kita hanya nampak usaha, ketekunan dan kesungghan kita bekerja. Kita tidak nampak pun rezeki itu dari Allah.
2.5. Bila Allah kurniakan kepada kita pasangan
hidup yang soleh/solehah serta keluarga yang bahagia, kita hanya nampak sempurna
dan baiknya diri kita. Kita tidak nampak pun kasih
sayang Allah.
2.6. Bila Allah keluarkan kita dari masalah
melalui bantuan manusia sekeliling kita, kita hanya nampak kebaikan manusia kepada
kita. Kita buat tidak nampak pertolongan
dari Allah.
2.7. Bila Allah angkat mertabat kita dan masyhurkan
kita pada pandangan mata manusia di dunia melalui asbab kelebihan kita, kita
hanya nampak hebatnya diri kita. Kita tidak nampak
pun kekuasaan Allah.
2.8. Bila Allah bagi segala jenis nikmat yang
tidak pernah kita minta dibayar dan tidak terhitung pula nilainya, kita hanya nampak
indah dan lazatnya nikmat itu. Kita
tidak nampak pun nikmat itu datangnya dari Allah.
3. Sebaliknya pula, jika berlaku musibah kepada kita seperti rumah
terbakar, kemalangan jalan raya, barang berharga hilang, sakit, rumah tangga
tidak bahagia dan sebagainya yang negatif, kita nampak pula Allah. Kita akan katakan
ia datang dari Allah. Kita akan merungut dengan berkata kenapa Allah telah takdirkan kepada kita dan tidak orang lain. Seolah-olah kita menyalahkan Allah. Seakan-akan Allah itu menzalimi kita. Inilah pegangan kita yang salah terhadap
ketentuan qada’ dan qadar Allah SWT.
4. Didik dan asuhlah diri kita untuk menjadi orang yang
sentiasa bersyukur kepada nikmat dan pemberiaan Allah. Bilakah kita nak
merasakan bahawa Allah itu amat pengasih (Rahman) dan penyayang (Rahim) kepada
makhluk ciptaanNya. Sesungguhnya rahmat Allah itu amat luas. Lebih luas dari
lautan yang tidak bertepi. Boleh berak dan kencing pun satu nikmat yang besar.
Lihatlah orang yang terlantar di hospital untuk rawatan kerana masalah tidak
boleh berak dan kencing.
5. Sesungguhnya mata hati kita masih buta dan samar untuk melihat dan menilai kebesaran dan keagungan Allah. Kita menjadi
manusia yang angkuh kepada Allah kerana kotornya segumpal darah yang bernama
hati. Bukanlah perkara yang mudah untuk
mendidik diri dan hati untuk sentiasa melihat dan mengingati Allah dalam
kehidupan kita. Namun itulah hakikat kehidupan majoriti orang Islam kini. Dek
kerana mengejar kemewahan dunia yang sementara ini, mereka telah melupai nikmat
dan rahmat dari Allah yang masih memberi nyawa kepada mereka.
"Bila sebut
Allah, Allah itulah yang buat langit yang kita junjung, bumi yang kita pijak
dan udara yang kita gunakan. Allah itu jugalah yang buat bangsa-bangsa yang ada
di dunia ini, tujuannya untuk berkenalan-kenalan antara satu sama lain bukannya
untuk bermegah-megah dengan darah keturunan kita..." ~ Mutiara Kata
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment