Sunday, 22 May 2016

PENJELASAN PERKATAAN “KAFIR” ~ YUSUF ESTES

DR.YUSUF ESTES

1.    Dr. Joseph Estes lahir pada tahun 1944 di Ohio, Amerika Syarikat. Dalam tahun 1962 hingga 1990 beliau bekerja di gereja dan turut terlibat sebagai pendakwah Kristian. Menjalankan perniagaan alat musik seperti piano dan organ. Pada awal tahun 1991 beliau terlibat dalam perniagaan dengan seorang pengusaha Islam berasal dari Mesir bernama Muhammad Abd Rahim. Pada peringkat awalnya beliau berhasrat untuk  mengkristiankan pemuda Mesir itu. Namun akhirnya beliau yang  memeluk Islam dengan kemudiannya diikuti oleh isteri, anak-anak, ayah serta mertuanya. Beliau menukar namanya kepada Yusuf Estes.

2.  Beliau boleh menguasai bahasa Arab dan juga ilmu Al-Quran selepas belajar di Mesir, Morokko dan Turki. Semenjak tahun 2006, Yusuf Estes secara tetap muncul dalam program di Peace TV, Huda TV, dan juga Islam Channel yang berpusat di England. Juga pernah muncul dalam siri TV Islam untuk anak-anak bertajuk “Qasas Ul Anbiya” yang bercerita tentang kisah-kisah para nabi.

3.   Beliau pernah berkata, terdapat salah faham tentang perkataan “kafir”. Kita lihat apakah penjelasan beliau tentang salah faham tersebut. Pada umumnya orang beranggapan, asal sahaja tidak beragama Islam dikatakan kafir. Kata beliau, fidel dalam bahasa Inggeris ertinya benar (true). Infidel pula adalah lawan perkataan fidel. Maknanya tidak benar. Contoh lain ialah moral yang bererti bagus(baik), tapi perkataan immoral maknanya tidak bagus. Infidel dalam konteks beragama ialah orang yang tidak beriman atau tidak percaya (unbelievers) kepada Allah SWT.

4.   800 tahun dulu pope dari Gereja Katholik Rom pernah kata orang Islam adalah infidel dan perintah pengikutnya basmi orang Islam dan rampas Jurusalem dari tangan orang Islam.  Disinilah permulaan perang salib. Orang Kristian mula membunuh orang Islam, Yahudi dan juga orang Kristian yang bukan bermazhab Roman Katolik. Hampir 200 tahun lepas itu banyak pertumpahan darah berlaku. Di zaman Salahuddin Al-Ayubi yang berbangsa Kurdistan, beliau telah menamatkan perang itu dengan cara yang bermoral dan memberi arahan untuk  perdamaian. 

5.    Dalam bahasa Arab, tiada perkataan yang tepat untuk perkataan infidel. Yang ada ialah terjemahannya yang menjadi “disbeliever” (orang tidak beriman) atau dalam bahasa Arabnya dipanggil kafir.  Perkataan kafir berasal dari perkataan ka-fa-ra. Perkataan cover (tutup) bahasa Inggeris berasal dari perkataaan kafir. Jika bilangan orang yang kafir itu ramai, ia dipanggil kuffar. Kata kerja bagi kafir ialah kufur. Sebelum Rasulullah datang membawa Islam, perkataan kafir bermaksud petani (farmer). Petani menanam benih dan menutupnya dengan tanah. Perbuatan menutup itu disebut kufur.

6. Setelah datangnya Al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah,  ia menunjukkan bukti. Tiap ayat Al-Quran itu ialah bukti atau tanda kebenaran.  Menyangkal bukti-bukti Al-Quran yang diketahui benar, ertinya menutup kebenaran. Adakah orang Kristian tahu kebenarannya dan menafikannya?.  Al-Quran menjelaskan beberapa kategori manusia. Misalnya:

6.1. Kufur ~  maknanya seseorang telah melihat semua bukti kebenaran dengan jelas tapi masih tidak mempercayainya/menyangkalnya. Bukan semua orang Kristian dan Yahudi kafir.  Perkara ini disahkan oleh Al-Quran dalam Surah Ali Imran Keluarga Imran] (3:110) yang berbunyi: 
 

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah  orang-orang yang fasik.” 

6.2.   Fasik maknanya tahu tapi tak patuh (engkar) ~ Ada orang yang tidak sejalan. Ada orang yang belum sejalan. Ada orang yang hampir sejalan tetapi belum lulus (sejalan). Dalam Al-Quran Allah panggil orang Kristian dan Yahudi sebagai Ahlil Kitab, iaitu seperti firmanNya dalam Surah Al-Bayyinah[Bukti](98:1) yang berbunyi:


“Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.” 

Min ahlil kitab - Min ertinya ‘dari’.  Ayat ini bermaksud orang kafir dari kalangan ahlil kitab.

6.3.   Bagaimana dengan orang yang bukan Kristian atau Yahudi.  Mereka percaya kepada adanya tuhan tapi pilih sembah benda lain (patung, matahari, bulan, bintang dan sebagainya) mereka tidak digolongkan sebagai kafir sepenuhnya kerana mereka belum mendapat berita tentang Islam.  Mereka dipanggil golongan musyhrikin, iaitu berbuat syirik kepada Allah.  Dalam konteks ini Allah berfirman dalam Surah An-Nisa[Kaum Perempuan](4:48) yang berbunyi:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar”.

6.4.   Golongan lain ialah mulhid (athies), iaitu golongan yang tidak percaya kepada tuhan sama sekali. 

 SAKSIKAN VIDEO PENJELASAN KAFIR OLEH YUSUF ESTES

"Atom yang begitu kecil itu ada pasangannya. Wayar elektrik pun ada pasangannya yang disebut sebagai negatif dan positif. Jika dipasang dengan cara yang betul, lampu akan menyala. Jika tidak, wayar itu boleh terbakar. Begitu juga dengan lelaki dan perempuan, jika dipasangkan dengan yang tidak baik, dapat anak zina, lalu anak-anak ini dibuang. Benda ini berlaku kerana pasang tak betul. Islam datang untuk mengajar bagaimana memasang atau menyatukan manusia dengan cara yang betul iaitu perkahwinan dengan nama Allah." ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment