Wednesday 26 August 2015

TANDA-TANDA DEKATNYA HARI KIAMAT (BAHAGIAN 3) - AKHIR


Semasa hayatnya Rasulullah SAW telah membayangkan zaman atau masa yang beliau sangat takuti.  Zaman itu telah terlalu hampir dengan hari kiamat. Berikut ini ialah himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW mengenai keadaan akhir zaman petanda dekatnya kiamat:

1.      PERILAKU MANUSIA YANG BURUK

Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (Hadis Riwayat Thabrani)

2.      ANAK MENJADI TUAN KEPADA IBUNYA

Umar bin al-Khattab r.a. (dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Malaikat Jibrail bertanya kepada Rasulullah SAW “ Khabarkanlah kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Rasulullah SAW menjawab: “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Hadis Riwayat Muslim)

3.      BERLAKUNYA PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN

Abu Hurairah r.a, berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “peperangan, peperangan, peperangan”. Beliau mengucapkannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

4.      PERANG DI SEKITAR SUNGAI FURAT, IRAQ KERANA BEREBUT KEKAYAAN

Abu Hurairah r.a, berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, di Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata “Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu”. Di dalam riwayat lain disebutkan: “Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun dari harta tersebut” (Hadis Riwayat  Bukhari & Muslim)

[Terdapat sebahagian pihak yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam hadis ini sebenarnya emas hitam, iaitu minyak]

5.      WAKTU TERASA PENDEK

Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu kilatan api” (Hadis Riyawat Termizi)

6.      AGAMA ISLAM AKAN PUDAR SECARA PERLAHAN-LAHAN

Huzaifah bin al-Yaman r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami pun mengucapkannya juga.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

7.      AMANAH DIKHIANATI

Abu Hurairah r.a. berkata, “Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang berada dalam suatu majlis dan berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW, “Bilakah akan terjadi hari kiamat?” Rasulullah terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Rasulullah) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya”. Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya baginda tidak mendengar pertanyaan itu”. Sehingga apabila Rasulullah selesai berbicara, beliau bersabda: “Di mana orang yang bertanyakan mengenai hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai Rasulullah”. Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat”. Arab Badwi itu bertanya lagi, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari Kiamat” (Hadis Riwayat Bukhari)
.
8.      KEJAHATAN TERLALU BANYAK

Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW) berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini” dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Aku lalu bertanya “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

9.      MANUSIA MELIBATKAN DIRINYA DALAM KEBINASAAN

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain. Maka apabila zaman itu telah tiba, segala sumber pendapatan tidak dapat diperoleh kecuali dengan melaksanakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Apabila ini telah terjadi, maka kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya. Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya disebabkan memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan jikalau ibu bapanya sudah tidak ada lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya atau disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya.” Sahabat bertanya “Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Mereka akan menghinanya dengan kesempitan hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya” (Hadis Riwayat Baihaqi)

10.    TERDAPAT PERSELISIHAN YANG BANYAK

Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah r.a. berkata: “ Rasulullah telah menasihati kami satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata; Ya Rasulullah, Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami.” Lalu baginda pun bersabda: “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud dan Termizi)

11.    KEPAYAHAN ORANG YANG BERIMAN

Anas r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Akan datang pada manusia suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka kepada agamanya laksana orang yang memegang bara api”. (Hadis Riwayat Termizi)

Petikan dari www.detikislam.blogspot.com

“Hendaklah kamu lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa”. ~ Mutiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

Tuesday 25 August 2015

TANDA-TANDA DEKATNYA HARI KIAMAT (BAHAGIAN 2)



Semasa hayatnya Rasulullah SAW telah membayangkan zaman atau masa yang beliau sangat takuti.  Zaman itu telah terlalu hampir dengan hari kiamat. Berikut ini ialah himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW mengenai keadaan akhir zaman petanda dekatnya kiamat:

1.      MUNCULNYA GOLONGAN ANTI HADIS

Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hampir tiba suatu zaman di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas kursi kemegahannya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis dari hadisku maka dia berkata “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitab Allah sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan” (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya) “Padahal apa yang diharamkan Rasulullah SAW itu samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan Allah SWT” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
 
2.      BERBANGGA DENGAN BINAAN MASJID

Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak terjadi hari Kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan bangunan masjid” (Hadis Riwayat Abu Daud)

3.      TIDAK ADA IMAM UNTUK SOLAT BERJEMAAH

Salamah binti al-Hurr r.a.  berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang suatu zaman pada waktu itu orang ramai berdiri tegak beberapa lama kerana mereka tidak ada orang yang dapat mengimami mereka solat” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

4.      PENYAKIT UMAT ISLAM SILAM BERULANG

Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku akan ditimpa penyakit -penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu” Sahabat bertanya “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Penyakit-penyakit itu adalah, 1.Terlalu sombong, 2.Terlalu mewah, 3.Mengumpulkan harta sebanyak mungkin, 4.Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, 5.Saling memarahi, 6.Dengki-mendengki sehingga menjadi zalim menzalimi” (Hadis Riwayat Hakim)

5.      PERANGKAP RIBA

Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang pun kecuali dia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau dia tidak memakannya secara langsung, dia akan terkena juga debunya” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

6.      MANUSIA TIDAK PEDULI SUMBER PENDAPATANNYA

Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan daripada mana dia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun haram” (Hadis Riwayat Muslim)

7.      BANYAKNYA SUMBER GALIAN

Ibnu Omar r.a. berkata “Pada suatu masa dibawa ke hadapan Rasulullah SAW sepotong emas. Dan emas itu adalah emas zakat yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari lombong galian mereka. Maka sahabat berkata “Wahai Rasulullah! Emas ini adalah hasil galian kita” Lalu Rasulullah SAW menjawab “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian dan yang akan menguruskannya adalah orang-orang yang jahat ” (Hadis Riwayat Baihaqi)

8.      ARAK (KHAMAR) BERLELUASA

Abu Malik Al-Asy’ari r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya akan ada sebahagian dari umatku yang meminum arak (khamar) dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Sambil diiringi dengan alunan muzik dan suara biduanita. Allah SWT akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah SWT akan mengubah mereka menjadi kera atau babi” (Hadis Riwayat  Ibnu Majah)

9.      BANYAK KES-KES PERZINAAN

Anas r.a. berkata “Aku akan menceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, banyak perzinaan, banyak kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nanti seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

10.    BERPAKAIAN TETAPI TELANJANG

Abu Hurairah r.a.berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka, keduanya belum pernah aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor sapi yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, lenggang-lenggok sewaktu berjalan, mengayun-ayunkan bahu. Kepala mereka bagaikan bonggol (belakang unta). Kedua golongan ini tidak akan masuk syurga, malah tidak akan dapat mencium bau harumnya. Sesungguhnya keharuman syurga itu akan terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh”. (Hadis Riwayat Muslim)
Petikan dari www.detikislam.blogspot.com

“-Tiada solat yang sempurna tanpa jiwa yang khusyu'
-Tiada puasa yang sempurna tanpa mencegah diri daripada perbuatan yang sia-sia
-Tiada kebaikan bagi pembaca Al-Qur'an tanpa mengambil pangajaran daripadanya
-Tiada kebaikan bagi orang yang berilmu tanpa memiliki sifat wara'
-Tiada kebaikan mengambil teman tanpa saling sayang-menyayangi
-Nikmat yang paling baik ialah nikmat yang kekal dimiliki
-Doa yang paling sempurna ialah doa yang dilandasi keikhlasan
-Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya, siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya, siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak wara', sedang orang yang tidak wara' itu bererti hatinya mati.” -  Muiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

Monday 24 August 2015

TANDA-TANDA DEKATNYA HARI KIAMAT (BAHAGIAN 1)

 

Semasa hayatnya Rasulullah SAW telah membayangkan zaman atau masa yang beliau sangat takuti.  Zaman itu telah terlalu hampir dengan hari kiamat. Berikut ini ialah himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW mengenai keadaan akhir zaman petanda dekatnya kiamat:

1.      ORANG YANG TAK SEDARKAN DIRI

Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika ada seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka” (Hadis Riwayat Muslim)

2.      AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIK

Anas r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan ada pada akhir zaman nanti ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (Hadis Riwayat Ibnu Ady)

3.      MENJUAL AGAMA KERANA DUNIA

Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan keluar pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (Hadis Riwayat Termizi)

4.      PENDUSTA DAN PENGKHIANAT DIMULIAKAN

Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”. Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
 
5.      KEFASIKAN BERLELUASA

Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang, kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (Hadis Riwayat Muslim)

6.      PENINDASAN TERHADAP UMAT ISLAM

Tsauban r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?” Rasulullah SAW menjawab “Bahkan kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan Allah akan mencabut rasa gentar dalam hati musuh-musuh kamu terhadap kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (Hadis Riwayat Abu Daud)

7.      ISLAM HANYA TINGGAL PADA NAMA SAHAJA

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata  Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Telah hampir tiba suatu zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah itu akan kembali ” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

8.      BUDAYA BARAT MENJADI IKUTAN UMAT ISLAM 

Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Rasulullah SAW menjawab “Siapa lagi?” (Hadis Riwayat Muslim)

9.      ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN

Sahl bin Saad as-Sa‘idi r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi, dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (Hadis Riwayat Ahmad)

10.    GOLONGAN ULAMA SEMAKIN BERKURANG

Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan mematikan para ulama. Apabila telah dimatikan para ulama, orang ramai akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain” (Hadis Riwayat Muslim)

Petikan dari www.detikislam.blogspot.com

"Tiada apa yang aku kesalkan dalam sehari ketika terbenamnya matahari, selain daripada umurku menjadi pendek, sedangkan amalanku tidak bertambah" - Mutiara kata Ibnu Mas'ud