Wednesday, 19 August 2015

10 WASIAT LUQMANUL HAKIM YANG PERLU DIKETAHUI


MAKAM LUQMANUL HAKIM DI MAHDHUMAS ISKANDARIAH, MESIR

TANGGA TURUN KE MAKAM
1.  Dalam Surah Luqman (31:12), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

2.  Firman-firman seterusnya dari ayat 13 hingga 19 ialah dialog Luqmanul Hakim kepada anaknya yang dirakamkan oleh Allah SWT. Siapakah Luqmanul Hakim yang begitu mulia dan hebat ini sehinggakan namanya dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran seperti di atas dan nama Surah yang ke 31 dinamakan sempena namanya. Mengikut catatan sejarah, Luqman adalah anak kepada Faghur bin Nakhur bin Tarikh (Azar).  Oleh itu Luqman adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s., atau dikatakan juga Luqman itu anak saudara kepada Nabi Ayub a.s. Diriwayatkan juga bahawa Luqman telah hidup lama sampai hampir seribu tahun sehingga dapat menemui zaman kebangkitan Nabi Daud a.s. Beliau dikatakan pernah menolong Nabi Daud a.s. dengan memberikan kepadanya hikmah atau kebijaksanaan. Luqman pernah menjadi kadi (hakim) untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.

3. AI-Allahamah AI-Alusy berkata: “Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa Luqman hidup di zaman Nabi Daud a.s.”. Katanya lagi: “Orang juga berselisih pendapat, adakah beliau seorang yang merdeka atau seorang hamba?. Kebanyakan pendapat mengatakan beliau adalah seorang hamba Habsyi”. Dipetik dari Ibnu ‘Abbas katanya: “Luqman bukanlah seorang nabi mahu pun raja tetapi beliau hanyalah seorang pengembala ternakan yang berkulit hitam. Lalu Allah telah memerdekakannya dan sesungguhnya Allah redha dengan segala kata-kata dan wasiat Luqman. Maka kerana itu, kisah Luqman diceritakan di dalam AI-Quran agar kita semua dapat mengambil pedoman dan berpegang dengan wasiat-wasiatnya.”

4.   Mari sama-sama kita berkongsi kata-kata hikmat atau wasiat Luqmanul Hakim yang mulia ini kepada umat manusia selepasnya.  Alangkah berbahagia kita jika mampu beramal dengan apa yang telah ditinggalkan oleh beliau:

4.1.   Kamu hendaklah sentiasa berada dalam majlis para ulama’ dan dengarlah kata-kata para hukama’(orang yang bijaksana) kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sebagaimana Dia menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

4.2.  Berkawan dan hampirilah ulama’ serta duduk dan ziarahilah rumah mereka agar kamu akan menjadi seumpama mereka. Sentiasalah bersama-sama mereka dan tumpanglah kebaikan mereka. Kemungkinan besar apabila Allah menurunkan kebaikan kepada mereka, kamu turut merasai nikmat itu.

4.3.   Sekiranya engkau seorang yang soleh jauhilah dirimu daripada orang yang buruk budi pekerti dan keras kepala kerana ditakuti apabila diturunkan bala Allah, engkau turut menjadi mangsanya.

4.4.  Janganlah engkau menjadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring tidur.

4.5.   Jangan sekali-kali engkau menangguhkan taubat kepada Allah SWT kerana mati itu akan datang bila-bila masa sahaja.

4.6.   Dunia ini bagaikan lautan yang dalam yang mana sudah ramai mereka yang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya dan iman pula sebagai air yang menyirami tanaman.

4.7.  Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air yang menyirami tanaman.

4.8.   Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan keseluruhan umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih lagi berbaki amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.

4.9.  Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan iaitu:

4.9.1.  Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah.

4.9.2.  Orang yang berani melainkan ketika berperang.

4.9.3. Saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan     memerlukan pertolongan daripada mereka.

4.10. Tanda-tanda orang yang memiliki  perasaan hasad dengki itu ada tiga iaitu:

4.10.1. Mengumpat kawan apabila ketiadaan kawan mereka.

4.10.2.  Memuji-muji kawannya apabila berada bersama mereka.

4.10.3.   Merasa gembira jika kawannya ditimpa bala.

“Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq

No comments:

Post a Comment