Sunday, 2 August 2015

PERSEDIAAN SEBELUM PULANG

 
TEMPAT PENANTIAN SEBELUM PERBICARAAN DI PADANG MAHSYAR
1. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini ialah sesuatu yang fana. Ia hanyalah sebuah perjalanan yang akan ditinggalkan apabila jasad kita dipisahkan dari roh oleh Malaikat Izrail setelah mendapat perintah dari Allah SWT.  Tidak ada satu pun di dunia ini yang akan kekal abadi.  Semua yang ada akan musnah dan hancur berkecai apabila berlakunya kiamat. Yang tinggal kekal abadi itu hanyalah Allah SWT. Dalam Surah Al-Ankabut[Labah-Labah](29:57) Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

2.  Begitulah hakikat kehidupan di dunia ini.  Selama manapun hidup di dunia pasti kita akan menemui noktahnya.   Sebaik sahaja berakhir hidup di dunia ini manusia tidak akan boleh kembali lagi walaupun dunia masih ada dan belum lagi kiamat.  Bagi manusia, pengakhiran hidup ini ditandai dengan kematian. Sebaliknya kehidupan yang abadi adalah di alam akhirat.  Itulah dunia yang kekal dan abadi untuk semua manusia penghuni bumi ini. Justeru kita semua hendaklah sentiasa beringat bahawa nikmat yang diperolehi di dunia ini tidak semestinya kita perolehi di akhirat nanti. Sebaliknya untung nasib kita di akhirat bergantung sepenuhnya kepada apa yang kita kerjakan di dunia ini. Seandainya apa yang dikerjakan di dunia ini menepati kehendak Allah, maka kita akan menjadi manusia yang beruntung  di akhirat nanti. Begitulah sebaliknya jika apa yang kita lakukan di dunia ini bertentangan dengan kehendak Allah, maka celakalah yang menunggu kita di akhirat kelak.  Saidina Uthman bin Affan telah berpesan yang berbunyi: “Sentiasalah beringat bahawa dunia ini perjalanannya adalah mengandungi tipu daya, maka janganlah sesekali kamu diperdayakan oleh dunia ini dari memperingati Allah SWT.”

3.  Sehebat manapun dunia ini ia tidak akan dapat membantu kita menjadi orang yang hebat di akhirat. Yang perlu di tanamkan dalam diri masing-masing ialah  bahawa dunia ini adalah alat bantuan untuk mencapai kebahagian akhirat. Dunia bukanlah matlamat akhir, sebaliknya ia hanyalah alat untuk mencapai matlamat akhir, iaitu kehidupan di akhirat nanti. Justeru jangan sesekali kita terpedaya dengan perhiasan dunia.  Jangan sama sekali  kita hanyut dan leka dengan dunia sehingga lupa bahawa akhirat itulah tempat tujuan terakhir kita dan kita akan hidup di sana selama-lamanya.  Dunia ini di sisi Allah SWT tersangat rendah nilainya.  Nilaikanlah satu hadis Rasulullah SWT yang bermaksud:


“Daripada Jabir bin Abdullah ra. Katanya: Pada satu hari Rasulullah pergi ke pasar melalui bahagian atas.  Ramai orang mengikuti Rasulullah di kiri dan kanan.  Baginda bertemu dengan bangkai seekor anak kambing yang kecil kedua-dua telingannya. Lalu dihampiri dan diambilnya anak kambing pada telinganya.  Kata baginda,”Siapakah diantara kamu yang suka membeli ini dengan satu dirham?”.  Jawab mereka: “Kami tidak suka sedikit jua pun. Untuk apa bagi kami.” Tanya baginda, “Sukakah kamu jika diberi secara percuma?.” Jawab mereka. “Sekalipun dia hidup kami tidak akan mahu kerana anak kambing itu cacat.  Kedua-dua telinganya kecil, apalagi dia sudah menjadi bangkai. Sabda Rasulullah seterusnya, “Demi Allah sesungguhnya dunia ini lebih hina disisi Allah SWT daripada anggapanmu terhadap bangkai ini”. (Hadis Riwayat Muslim).

4. Begitulah nilai dunia di sisi Allah. Dunia yang dianggap sangat hebat oleh manusia yang jahil. Oleh yang demikian, adakah wajar bagi kita melebih-lebihkan kehidupan dunia sehingga lupa akan jalan pulang yang seharusnya kita ikuti. Saidina Abu Bakar As Siddiq pernah berkata, “Sesungguhnya, seorang hamba itu bila berasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, nescaya Allah akan murka kepadanya hingga dia melepaskan perhiasan itu”.

5. Bukan bermakna kita perlu menolak dunia. Yang perlu ialah kita berpada-pada dengan dunia. Jangan sampai dunia melalaikan kita hingga terjerumus kepada kemurkaan Allah. Tidak salah mengejar kekayaan dan kesenangan duniawi asalkan ia diperolehi dengan cara yang halal dan dipergunakan pula dengan cara dan jalan yang diredhai oleh Allah.

6. Perlu diketahui bahawa tidak semua urusan dunia ini membawa keburukan.  Sebaliknya seluruh kehidupan ini akan membuahkan kebaikan jika dilakukan dengan tujuan untuk mencari keredaan Allah.  Dalam menghadapi dunia ini, Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya, “Ambillah dari dunia sekadar keperluan dan belanjakan lebihan hasil usahamu  untuk akhirat.  Dunia jangan ditolak habis agar engkau jangan jadi parasit (hidup dengan menumpang orang lain dan tidak membalas apa-apa) yang menjadi beban manusia lain.”

7. Dunia ini ibarat bangkai manakala orang yang mencintainya ibarat anjing.  Dalam konteks ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A’raf[Tempat Yang Tinggi](7:176) yang berbunyi:


“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.

8.  Allah menyamakan orang yang cenderung kepada dunia melebihi akhirat seperti anjing yang menjelir-jelirkan lidahnya yang menggambarkan ketamakan kepada dunia. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Andai anak Adam diberi emas satu lembah, nescaya dia ingin mendapat dua lembah. Tidak ada yang dapat membungkam mulutnya selain tanah, dan Allah mengkabulkan taubat hamba-Nya yang bertaubat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
9.  Sementara roh masih dikandung badan ini manfaatkanlah masa untuk beramal ibadat kepada Allah SWT dan sentiasa bertaubat kepadaNya. Ini kerana sebaik kita dimatikan oleh Allah maka setiap apa yang dikerjakan di dunia perlu kita tanggung dan tidak boleh bertaubat lagi. Jangan kita jadi orang yang merintih kekesalan sepertimana dijelaskan Allah SWT dalam Surah As-Sajadah[Sujud](32:12) yang berbunyi:


“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Sebahagian artikel ini dipetik dari buku “Analogi Nik Abdul Aziz bin Nik Mat” : Kias Pesan Murabbi Agung.

“Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai” = Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah.

No comments:

Post a Comment