Friday 29 September 2017

KHAZANAH DARI LAUT : NIKMAT DARI ALLAH SWT YANG DILUPAKAN





"Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan." {Petikan dari surah Al-Maidah[Hidangan](5:96)}

1.  Dalam surah Ar-Rahman[Maha Pemurah](55:13), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?.”

2.    Dalam surah Ar-Rahman ini, ayat ini diulangi oleh Allah SWT sebanyak 31 kali. Selain dari ayat di atas, ia difirmankan lagi pada ayat-ayat 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42, 45, 47, 49, 51, 53, 57, 59, 61, 63, 65, 67,69, 71, 73,75 dan 77. Apabila Allah menceritakan tentang nikmat yang Dia berikan kepada manusia, maka ia akan disusuli dengan pertanyaan tersebut. Pertanyaan kepada kita manusia yang pelupa, kufur nikmat dan tidak mahu berfikir.

3.   Sesungguhnya terlalu banyak dan besar sekali nikmat yang telah Allah berikan kepada manusia.  Jika mahu membilang atau menghitungnya nescaya kita tidak akan mampu melakukannya.  Sehubungan dengan perkara ini Allah SWT telahpun memberikan penegasanNya dalam firmanNya dalam surah An-Nahl[Lebah](16:18) yang berbunyi:


“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
 
4.   Antara nikmat itu ialah seperti tidur, bernafas, makan, minum, boleh berjalan, melihat, mendengar, bercakap bahkan bersin juga adalah satu nikmat. Namun bagi orang Islam, nikmat yang paling besar ialah nikmat Islam dan iman.

5.  Bagi posting kali ini saya hanya mahu membincangkan satu nikmat sahaja, iaitu  nikmat sumber makanan berprotin dari khazanah laut yang Allah berikan kepada manusia, penduduk dunia ini. Lautan dikatakan berkeluasan 71% dari keseluruhan permukaan dunia. Dari dalam lautan yang luas terbentang inilah datangnya ratusan malah mungkin ribuan jenis hidupan laut yang menjadi sumber makanan manusia.  Antaranya pelbagai jenis ikan, sotong, ketam, udang, rumpai laut dan pelbagai jenis lagi.

6.   Sejak wujudnya manusia dimuka bumi ini ribuan tahun lalu, manusia telah menjadikan hasil dari lautan ini sebagai sumber makanan dan sumber protin mereka. Tidak ada siapa yang dapat memberikan jawapan  semenjak ribuan tahun lalu hingga kini, berapakah jumlah hidupan laut yang telah ditangkap, dipunggah dan dijual SETIAP HARI DI SELURUH DUNIA untuk dijadikan makanan manusia. Berapa ribu tan?. Atau berapa juta tan?.  Hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui. Saintis menganggarkan terdapat 1,500 spesis ikan di dalam lautan yang terbentang luas itu. Keseluruhan hidupan laut itu Allah cipta dan dijadikannya untuk ditangkap oleh manusia diseluruh dunia. Tidak ada sebarang caj atau bayaran dikenakan untuk sesiapa pun menangkap ikan atau hidupan laut lain.  Manusia hanya perlu menyediakan kelengkapan menangkap sahaja seperti bot atau kapal, pukat dan sebagainya.  Begitulah pemurahnya Allah SWT kepada hamba hambaNya.  

7.  Bagi negara Malaysia, jumlah hidupan laut (termasuk akuakultur) yang telah ditangkap dan diunjurkan (2011 hingga 2020) berpandukan statistik Jabatan  Perikanan Malaysia adalah seperti di bawah:
  
                         Sumber  : Perangkaan Tahunan Jabatan Perikanan Malaysia (2011-2014)

8. Akuakultur adalah gabungan dari 2 perkataan iaitu akua(air) kultur(ternakan). Di Malaysia terdapat pelbagai jenis spesis ternakan akuakultur.  Bagi ikan air tawar ia termasuklah ikan keli, ikan talapia, ikan lee koh, ikan lampam jawa, udang. Bagi ikan air masin ataupun air payau pula seperti ikan kerapu hibrid, ikan kerapu kertang, ikan kerapu harimau, ikan siakap dan ikan jenahak. 

9.    Data-data dari Food and Agriculture Organization (FAO) Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan industri perikanan dunia bagi tahun 2014 pula seperti berikut: 

9.1.   Jumlah tangkapan ikan di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 93.4 juta ton, termasuk juga tangkapan dari sungai-sungai.  Dianggarkan terdapat sejumlah sekitar 4.6 juta kapal-kapal nelayan di seluruh dunia.  90% darinya adalah dari Asia dan Afrika. Hanya 64,000 buah dari kapal-kapal itu berukuran 24 meter  panjang atau lebih. 

9.2.   Seramai 57 juta orang terlibat dalam industri perikanan.  Satu pertiga darinya dalam sektor akuakultur.

9.3.   Produk perikanan berjumlah 1% dari nilai perdagangan dunia dan ia menyumbang lebih dari 9% dari jumlah eksport pertanian dunia.

9.4.   Nilai eksport seluruh dunia berjumlah USD 148 billion ( RM 592 bilion). Ia meningkat dengan amat cepat berbanding dalam tahun 1976 yang hanya bernilai USD 8 billion (RM 32 bilion). 

9.5.   Sektor akuakultur – Pengeluaran seluruh dunia berjumlah 73.8 juta tan. Ia termasuklah keluaran bukan ikan seperti udang, ketam, sotong dan lain-lain. Nilainya dianggarkan berjumlah USD160.2 billion (RM 640.8 bilion).

10.  Bercakap tentang ikan, kita tidak boleh melupakan pasar ikan Tsukiji di Tokyo, Jepun yang dibina dalam tahun 1935.  Ia dikatakan berkeluasan 196,729 meter persegi.  Pasar ini menjadi salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke Jepun. Ia adalah pasar ikan dan hidupan laut yang terbesar di dunia kerana orang Jepun terkenal sebagai bangsa yang sangat banyak memakan ikan dan hidupan laut (seafood). Antara makanan mereka yang terkenal ialah seperti sushi, sashimi, tempura dan teppanyaki. Pasar Tsukiji ini mengendalikan lebih dari 400 jenis hidupan laut, dari yang paling murah, iaitu seaweed hingga kepada paling mahal, iaitu telur ikan sturgen yang dipanggil caviar. Secara puratanya lebih dari 700,000 ton metrik  seafood yang dijual beli dengan nilai melebihi  600 billion yen (USD 5.9 billion/RM 23.6 bilion).  Ini adalah angka bagi tahun 2013. Bilangan pekerja berdaftar di pasar ini hingga 25.1.2010 berjumlah antara 60,000 hingga 65,000 orang yang termasuk pemborong, akauntan, pelelong, pegawai syarikat dan pengedar.

11.  Rekod jualan termahal ikan di pasar ini bagi lelongan pertama tahun 2017 ialah seekor ikan tuna sirip biru (bluefin tuna) raksasa seberat 212 kg. (467 pound).  Ia berharga USD 614,000.00 (RM 2,456,000.00) dan berjaya dibida oleh Kiyoshi Kimura, seorang taikun rangkaian restoran sushi terkenal di Jepun, Sushizanmai. 
Kiyoshi Kimura dengan ikan tuna yang berjaya dibidanya

Pasar Tsukiji (pemandangan dari udara)
Ikan-ikan tuna yang sedang dilelong 

                                Video lelongan ikan tuna di pasar Tsukiji

12.   Cuba kita fikirkan sejenak tentang berjuta orang yang terlibat dalam rentetan industri perikanan dan hidupan laut lain di dunia ini. Misalnya berapa ramai yang bekerja membuat pukat, jala, bot, kapal nelayan.  Berapa ramai pula mencari rezeki dengan menjadi nelayan.  Menjadi penjual ikan di pasar pasar ikan yang tidak diketahui berapa juta bilangannya di seluruh dunia. Berapa ramai yang boleh mencari rezeki dengan membuka restoran berasaskan makanan laut yang amat digemari ramai. Berapa puluh ribu orang pula terlibat dalam industri mengetin makanan laut dan sebagainya. Dari sebanyak itu nikmat yang Allah berikan selama beribu tahun ini  berapa ramaikah yang memikirkan siapakah yang membesarkan ikan ikan dan hidupan laut yang beribu juta jumlahnya dalam lautan itu. 

13.  Sedarkah kita bahawa tidak ada seorang manusia pun di atas muka bumi ini yang mampu mencipta dan menghidupkan ikan, membesarkan ikan–ikan itu melainkan Allah SWT. Allahlah yang memberikan makanan kepada ikan ikan di lautan itu untuk membesar (melainkan ikan–ikan akuakultur). Walaupun makanan bagi ikan-ikan dan hidupan lain akuakultur dibekalkan oleh pengusahanya tetapi yang menghidupkan ikan-ikan itu dan membesarkannya ialah Allah SWT juga. Bolehkah kita bayangkan apa akan jadi kepada manusia seluruhnya jika Allah mentakdirkan ikan di lautan tidak lagi bertelur untuk menghasilkan anak. Atau Allah mentakdirkan pupusnya ikan atau hidupan lain dalam lautan.  Dari manakah manusia mahu mencari ganti sumber protin itu.

                              Video Kapal menangkap dan memproses ikan
Pesta tahunan mengail ikan di atas permukaan ais pada musim sejuk di Korea

GAMBAR-GAMBAR PASAR IKAN DI 20 BUAH NEGARA
Pasar ikan di Seattle, Washington, Amerika Syarikat
Pasar ikan di Korea
Pasar ikan di Male, Maldives
Pasar ikan di Santiago, Chile
Pasar ikan di Afrika Selatan
Pasar ikan di Makati, Manila Filipina
Pasar ikan di Hong Kong
Pasar ikan di Pakistan
Pasar ikan di Jakarta, Indonesia
Pasar ikan di Greek
Pasar ikan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu
Pasar ikan di Mumbai, India
Pasar ikan di Jerman
Pasar ikan di Sydney, Australia
Pasar ikan di New Zealand
Pasar ikan di Kathmandu, Nepal
Pasar ikan di Manaus, Brazil
Pasar ikan di Moscow, Rusia
Pasar ikan di Norway 
Pasar ikan di Kota Bharu, Kelantan
                     JENIS JENIS RUMPAI LAUT YANG DIJADIKAN MAKANAN







                                 PENANAMAN RUMPAI LAUT DI SEMPORNA, SABAH

14.  Bagi orang bukan Islam, adakah mereka boleh berfikir ikan-ikan di lautan itu terjadi dengan sendiri tanpa adanya tuan yang menjaganya?.  Mustahil sekali sesuatu itu terjadi dengan sendirinya tanpa penciptanya.  Hanya athies sahaja yang tidak percaya kepada kewujudan tuhan yang mencipta dan mengatur alam semesta ini.

15.  Hampir setiap minggu kita  ke pasar untuk membeli ikan atau hidupan laut lainnya.  Kita pasti akan melihat pelbagai jenis ikan dengan pelbagai warnanya, termasuk sotong, udang, ketam, kerang dan lain-lain.  Apakah tidak pernah terlintas dalam fikiran kita untuk bertasbih, membesarkan Allah serta mensyukuri nikmat pemberiaanNya yang berupa rezeki dari laut ini. Apa yang selalu kita dengar di pasar ikan ialah hiruk pikuk dan suasana bising.  Apakah penjual-penjual ikan beragama Islam yang mendapat rezeki dari Allah ini tidak pernah bersyukur dengan nikmat pemberianNya?. Bertasbih kepadaNya?. Allah SWT telahpun memberi peringatan agar manusia sentiasa bersyukur kepadaNya seperti firmanNya dalam surah Ibrahim(14:7) yang berbunyi:


“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih".

 16.  Itu belum lagi mengambil kira hidupan laut yang bukan untuk dimakan tetapi tetap menjadi sumber pendapatan manusia.  Misalnya ratusan jenis ikan berwarna warni dan batu batu karang (coral) yang dipunggah dari laut untuk dijual sebagai hiasan akuarium.  Bila melihat keindahan dan kecantikan ikan ikan dan batu karang  ciptaan Allah SWT ini pasti kita akan bertasbih kepadaNYA. Baru kita akan sedar bahawa di dasar laut itu tersimpan khazanah yang sangat hebat dan cantik. Mungkin lebih hebat dari apa yang kita lihat di atas  permukaan bumi ini. Begitulah berkuasa dan bijaksananya Allah SWT.

17.  Tidak ada apa lagi yang hendak diulas.  Melainkan peringatan untuk diri saya dan semua para pembaca bahawa kita wajib BERSYUKUR dengan nikmat serta rezeki percuma yang diberikan oleh Allah SWT ini.



                                        Video keindahan dalam dasar laut

"Dalam perjuangan ini, idola kepada para pejuang ialah Rasulullah SAW. Sebagaimana Rasulullah SAW merupakan seorang yang bersifat dengan sifat fatonah (cerdik), demikianlah kita sebagai seorang pejuang, perlu bersifat dengan fatonah. Fatonahnya kita ialah dengan mempelajari semula sejarah Rasulullah SAW dan melaksanakan dalam kehidupan kita pada hari ini.” ~~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.