Sunday 30 April 2017

BENARKAH SETIAP KEHIDUPAN BERMULA DARI AIR?



1.  Setiap orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT wajib menyakini bahawa apa jua yang difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran adalah benar dan tepat belaka.  Ini kerana Allah adalah tuhan yang mencipta alam semesta dan semua isi kandungannya termasuklah manusia.

2.   Sebagai pencipta alam semesta ini, benarkah firman Allah SWT bahawa setiap kehidupan di dalam dunia ini bermula dari air?. Dalam  surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:30), Allah SWT telah berfirman tentang perkara ini yang berbunyi:

"Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?" .

3. Firman Allah di atas menjelaskan dua perkara penting. Pertama mengenai asal-usul kejadian langit dan bumi yang pada asalnya bercantum padu, kemudian dipisahkan antara kedua-duanya. Fakta dalam Al-Quran ini adalah selari dengan teori popular saintis moden, iaitu teori Big Bang yang dikatakan berlaku ratusan ribu tahun dahulu. Kedua, firman Allah ini menjelaskan mengenai hakikat penciptaan air yang menjadi asas bagi setiap kehidupan. Ini bermakna tanpa adanya air, hidupan tidak akan wujud sama sekali.

4.  Sekali lagi Allah SWT menegaskan penciptaan sesuatu itu dari air. Misalnya dalam surah An-Nur[Cahaya](24:45) yang berbunyi:

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

5.  Apakah firman-firman Allah SWT di atas dapat dibuktikan secara ilmiah masa kini?. Jawabnya sudah semestinya.  Lihatlah kepada kenyataan-kenyataan di bawah:

5.1.  Mengikut laporan BBC News dalam segmen “Science and Nature (Space)” pada 27 Mei 2006 lalu, pakar-pakar biologi bersepakat bahawa air adalah asas kepada kehidupan. Tanpa air, kehidupan tidak boleh wujud dan sekiranya ia wujud sekalipun, ia tidak boleh berterusan tanpa air.

5.2.  Kenyataan bahawa hidupan bermula daripada air ini disokong dengan penemuan terbaru yang mendapati hidupan mungkin bermula di bawah lautan. Mengikut BBC News Online pada 9 September 1998 dalam segmen Sci/Tech bawah tajuk “Springing To Life Under The Sea”, saintis-saintis mengatakan rahsia mengenai kewujudan hidupan yang awal di dunia mungkin bermula 9,000 kaki di bawah lautan Atlantik. Di situ para saintis menemui semburan hidrogen dan selepas mereka mengkaji persekitarannya, mereka merasakan ia sesuai bagi melahirkan kehidupan di peringkat awal. Setiap hidupan  terbina daripada sel dan kehidupan sel bergantung kepada protoplasma dan protoplasma memerlukan air untuk hidup kerana 80 peratus daripadanya adalah air.  Kesimpulannya, tidak boleh wujud sebarang hidupan tanpa air.

6.  Penemuan-penemuan saintis ini tidak lain melainkan membuktikan kebenaran firman Allah SWT dalam Al-Quran seperti yang disebutkan di atas.

Orang-orang yang suka berkata jujur mendapatkan tiga hal, kepercayaan, cinta, dan rasa hormat. ~~ Mutiara Kata Saidina Ali bin Abi Thalib
Sebahagian sumber dari “Quran Saintifik”,  Dr. Danial Zainal Abidin

Thursday 20 April 2017

MENYINGKAP RAHSIA ALAM SEMESTA DALAM AL-QURAN (BAHAGIAN 2)


1.   Posting sebelum ini bertarikh 10.4.2017 telah membicarakan tentang lima rahsia alam semesta yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam Al-Quran.  Bagi posting kali ini kita sama-sama ikuti lima lagi fenomena alam atau rahsia penciptaan alam semesta seperti difirmankan Allah SWT dalam qalamNya:

1.1.   JANGKA HAYAT MATAHARI

1.1.1. Matahari adalah salah satu dari bintang. Bilakah  sebenar matahari dicipta hanyalah Allah SWT sahaja yang maha mengetahui. Namun saintis menganggarkan ia bermula selepas berlaku peristiwa Big Bang, iaitu lebih kurang 5 bilion tahun dahulu. Proses nuklear yang berlaku pada matahari menghasilkan cahaya matahari (sunlight). Cahaya matahari adalah nadi kehidupan bagi semua makhluk hidup di bumi kerana semua jenis kehidupan di bumi memerlukan cahayanya.

1.1.2. Walau bagaimanapun matahari mempunyai jangka hayatnya. Pada tahun 1825 seorang ahli fizik Jerman, Hermann von Helmholtz telah membuat kajian  perkembangan matahari.  Beliau mendapati setiap tahun saiz diameter matahari menyusut 85 meter. Jika kajian Helmholtz ini betul maka matahari hanya mampu  bertahan untuk tempoh waktu 20,000,000 hingga 25,000,000 tahun sejak matahari mengalami penyusutan.

1.1.3. Ada saintis menganggarkan hayat matahari hanya selama 10 bilion tahun. Selepas itu ia akan hancur binasa. Dalam konteks hayat matahari ini, Allah SWT berfirman dalam surah At-Takwir[Menggulung](81:1) yang berbunyi:



“Dan apabila matahari digulung”

1.1.4. Perkataan penting dalam ayat di atas ialah  'kuwwirat'. Abdullah bin Abbas mentafsirkannya sebagai 'zahabat' yang bermaksud 'pergi ' atau 'menghilang' manakala Imam Nasafi mentafsirkannya sebagai 'hilang cahayanya'. Ia menjelaskan apabila berlaku hari kiamat alam ini seolah-olah digulung. Ia juga menjelaskan semasa berada di penghujung hayatnya matahari akan kehilangan cahayanya.

1.1.5. Kestabilan matahari seperti juga bintang-bintang yang lain, bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya. Tenaga ini terhasil melalui proses nuklear yang melibatkan hidrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalam matahari (core). Selepas berbilion tahun berlalu, proses ini akhirnya terhenti disebabkan matahari kehabisan hidrogen dan dengan itu ia menjadi tidak stabil. Keadaan ini menyebabkan bahagian dalam menguncup (contracts) dengan menghasilkan suhu yang tinggi. Selepas beberapa waktu suhu di bahagian luar matahari menurun yang akan menyebabkan cahayanya pudar. 

1.1.6. Fakta ini selari dengan tafsiran Imam Nasafi berhubung perkataan kuwwirat yang disebutkannya. Akhirnya bahagian luar matahari ini bertukar menjadi gumpalan gas yang berbentuk asap dan terus terpisah daripada bahagian dalamnya. Akhirnya lahirlah planetary nebula dan tamatlah riwayat matahari.
Sumber: Quran Saintifik, karangan Dr. Danial Zainal Abidin

1.2.  BINTANG-BINTANG JATUH BERGUGURAN

1.2.1. Sangat indah melihat bintang-bintang yang bercahaya dan bergemelapan di langit yang jumlah sebenarnya hanyalah Allah sahaja yang maha mengetahui. Tahukah kita bahawa apa yang akan terjadi kepada bintang-bintang ini telahpun dijelaskan oleh Allah SWT lebih 1,400 tahun lalu. Antara penjelasan Allah itu ialah dalam surah-surah berikut:




“Dan apabila bintang-bintang jatuh berguguran” {Petikan dari surah At-Takwir[Menggulung](81:2)}




“Dan apabila bintang-bintang jatuh berselerakan” {Petikan dari surah Al-Intifar[Terbelah](82:2)}



“Maka apabila bintang-bintang dihapuskan”. {Petikan dari surah Al-Mursalat[Para Malaikat Yang Diutus](77:8)}

1.2.2. Hanya pada abad ke 20 saintis memiliki ilmu  tentang metafizik. Saintis merumuskan bahawa akan tiba waktunya bintang-bintang dilangit akan memasuki fasa di mana ia akan jatuh berguguran dan binasa. Bintang adalah salah satu objek di angkasa raya yang menyala, bersinar dan bercahaya dengan sendirinya melalui proses pemantikan reaksi penggabungan nuklear kerana panasnya inti bintang yang ada di dalam bintang tersebut. 

1.2.3. Setelah inti bintang berubah menjadi besi, bintang akan memasuki dua gumpalan proses  awal sebagaimana partikel pertama, iaitu adakalanya ia akan meledak dan memancarkan cahaya. Bintang seperti ini dalam bahasa astronomi di sebut sebagai Supernova.  

1.2.4. Apabila bintang membentuk sebuah gumpalan yang keras dan padat sehingga menyebabkan cahaya yang terpancar tidak dapat melepasi dari kongkongannya maka ia akan berjatuhan sehingga cahaya-cahaya bintang terpadam dan menghilang.
Sumber: Cahaya di Atas Cahaya

1.3.  PEMBENTUKAN NEBULA

1.3.1. Perkataan nebula berasal dari bahasa Latin yang berarti "awan". Nebula adalah awan antarbintang yang terdiri dari debu, hidrogen, helium dan gas-gas lainnya yang bercahaya. Nebula adalah nama untuk semua objek astronomi yang kelihatan menyebar, termasuk galaksi di luar Bima Sakti (Milky way).

1.3.2. Tahukah kita bahawa proses kehancuran bintang hingga bertukar menjadi bentuk bunga ros (nebula) yang baru ditemui oleh ahli astrofizik di zaman moden ini telahpun Allah firmankan dalam Al-Quran, iaitu dalam surah Ar-Rahman[Maha Pemurah](55:37) yang berbunyi:



"Maka apabila langit terbelah dan menjadi merah mawar seperti kilapan minyak”.

(55:38)



“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"

1.3.3. Ayat di atas menceritakan mengenai langit yang sedang melalui proses pemecahan dan pada masa itu berubah menjadi merah seumpama bunga ros yang menyinar. 

1.3.4. Pada 31.10.1999 NASA Amerika Syarikat telah menyiarkan gambar-gambar sejumlah bintang yang sedang berpecah yang membentuk nebula.  Gambar tersebut dirakam oleh teleskop besar Hubble yang merakam pergerakan planet dan galaksi di angksa raya.
Sumber: Quran Saintifik karangan Dr. Danial Zainal Abidin

1.4. KOMET DAN BLAZAR

1.4.1. Di angkasa raya terdapat bintang-bintang yang tidak terhitung jumlahnya. Sesungguhnya kejadiannya amat menakjubkan. Salah satu jenis bintang yang wujud adalah bintang yang cahayanya boleh menembusi. Ia telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah At-Tariq[ Yang Datang Di malam Hari](86:1) yang berbunyi:


“Demi langit dan At-Taariq” 

(86:2)



“Dan tahukah kamu apakah At-Taariq itu?”
 
(86:3)



“Iaitu bintang yang menembusi (sinaran cahayanya)”

1.4.2. Dalam ayat di atas, an-najmu bermaksud bintang dan at-thaaqif pula bermaksud menembusi. Imam Nasafi mentafsirkan perkataan at-thaaqif sebagai 'yang bercahaya'. Oleh itu an-najmu dan at-thaaqif juga boleh diertikan sebagai bintang bercahaya yang menembusi langit.

1.4.3. Sheikh Said Hawa pula menyatakan an-najmu at-thaaqif dikaitkan dengan komet yang melintasi ruang udara bumi. Seperti yang diketahui komet adalah objek yang wujud dalam sistem solar yang mengelilingi matahari. Ia berasal daripada asap nebula yang dikenali sebagai ‘Oort cloud’ dan mempunyai tiga bahagian iaitu nukleus, koma dan ekor.

 
                                            Komet Hyakutake yang kelihatan pada tahun 1996

1.4.4. Mutakhir ini saintis kosmologi menemui satu lagi objek bercahaya seperti bintang yang bergerak menembusi angkasa raya. Kelajuannya menghampiri kelajuan cahaya dan ia bergerak menembusi ruang angkasa dan kadangkala menghala  ke dunia. Saintis menamakannya sebagai blazar.

 
                                                                                               Blazar
1.4.5. Sciences News di bawah tajuk “Powerhouse Astronomy: Blazing Black Hole From the Early Universe” melaporkan satu penemuan mengenai blazar pada 3 Julai 2004. Ternyata apa yang telah dirakamkan dalam Al-Quran itu benar belaka namun saintis hanya menemuinya pada tahun 2004.
Sumber: Quran Saintifik, Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains, Dr. Danial Zainal Abidin 

1.5. TEORI KEJADIAN ALAM (THE BIG BANG THEORY)

1.5.1. Teori Big Bang pertama kali ditemui oleh Abbe Georges Lemaitre, seorang pakar kosmologi  Belgium pada tahun 1920-an. Menurutnya, alam semesta ini mulanya berasal dari gumpalan superatom yang berbentuk bola api kecil dengan ukuran sangat kecil. Gumpalan superatom ini kemudiannya meledak dan memuntahkan seluruh isi dari alam semesta. 

1.5.2.  Mengikut teori Big Bang, alam ini pada asalnya bercantum padu kemudian berlaku suatu letupan yang kuat sekitar 12 hingga 14 bilion tahun dahulu. Kemudian berlaku pengembangan dan penyejukan, akhirnya lahir bintang-bintang, palnet-planet, galaksi dan lain-lainnya. Pada tahun 1929, seorang pakar astronomi Amerika Syarikat, Edwin Hubble menemui bukti-bukti kukuh yang untuk menyokong teori Big Bang. Dengan menggunakan peralatan teleskop canggih, beliau mendapati alam ini sedang mengembang. Penemuan ini mengukuhkan lagi pendapat yang menyatakan alam ini bercantum pada asalnya diikuti dengan letupan besar.  Hasil dari letupan itulah yang menyebabkan pengembangan ini.

1.5.3. Apapun yang diperkatakan saintis moden kini, teori Big Bang ini telahpun dijelaskan olehh Allah SWT lebih 1,400 tahun lalu melalui firmannya dalam surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:30) yang berbunyi:




"Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?" .

1.5.4. Ayat di atas menjelaskan mengenai dua perkara penting. Pertama ialah mengenai asal-usul kejadian langit dan bumi yang pada asalnya bercantum padu sebelum dipisahkan antara kedua-duanya. Kedua, dijelaskan mengenai hakikat kehidupan air adalah asas bagi segala kehidupan di muka bumi.

1.5.5. Terdapat dua perkataan penting dalam ayat ini, iaitu Ratqa dan Fataq. Ratqa berasal dari perkataan Arab iaitu rataqa yang bermaksud ditampal atau dijahit. Ia menggambarkan sesuatu yang terhimpun, melekat dan menguncup. Fataq pula berasal daripada Bahasa Arab fataqa yang bermaksud  dibuka atau dibelah (unsew, tear apart) . Ini mengambarkan sesuatu yang terbuka dan terungkai/terbelah.

1.5.6. Berkaitan dengan ayat ini, Imam Said bin Jubair berkata; "Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan maka wujudlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat di atas."
DR.KRONER

1.5.7. Jelaslah bahawa kenyataan Al-Quran berhubung teori permulaan alam semesta sememangnya saintifik. Antara saintis yang kagum dengan ayat ini adalah Dr. Alfred Kroner, seorang profesor dalam bidang sains geologi. Berkaitan dengan ayat Quran ini, beliau berkata: "Melihat asal-usul Muhammad, saya rasa hampir mustahil untuk beliau mengetahui langit dan bumi mempunyai asal-usul yang sama. Hal ini kerana ilmu mengenainya baru diketahui beberapa tahun baru-baru ini, itupun dengan menggunakan alat-alat yang canggih. Seseorang yang tidak mengetahui ilmu fizik nuklear 1,400 tahun dahulu saya rasa tidak akan mampu mengetahui tentang hal ini." Akhirnya beliau berkata, "Apabila kita menghimpunkan kesemua kenyataan Quran berkaitan dengan bumi dan kejadiannya, dan bila kita kaitkannya dengan sains, maka kita akan menyatakan bahawa kenyataan (Al-Quran) secara dasarnya adalah benar. Hal ini dapat dibuktikan dengan kaedah pendekatan saintifik."
Sebahagian Sumber: Quran Saintifik, Meneroka kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains,  Dr. Danial Zainal Abidin
2.  Sesungguhnya 5 fenomena alam atau rahsia alam semesta yang dijelaskan dalam posting ini dan 5 lagi dalam posting pada 10.4.2017 lalu menjelaskan dengan nyata tanpa keraguan akan kebenaran firman Allah SWT dalam Al-Quran.  Al-Quran dengan terperinci menghuraikan rahsia alam ini.  Kebenaran kandungan Al-Quran ini telah diakui oleh saintis  hari ini.  Bukankah ini membuktikan bahawa Al-Quran itu datangnya dari tuhan sebenar, iaitu tuhan pencipta alam semesta yang bernama Allah SWT. Apakah bukti ini belum lagi mencukupi bagi orang-oramg bukan Islam untuk mengiakan KEBENARAN agama Islam?.  Apakah yang dicari dalam beragama selain dari KEBENARAN. Agama yang BENAR hanyalah agama Islam.

“Orang yang paling aku sukai adalah orang yang menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab

Sebahagian kandungan dipetik dari Iffah-muhsin.blogspot.my