“Kami akan perlihatkan kepada mereka
tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang
luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka
bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan
belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan
tiap-tiap sesuatu?”. {Petikan dari surah Fussilat[Yang Dijelaskan](41:53)}.
1. Islam melarang umatnya untuk cuba mencari dan melihat Allah
SWT. Ini kerana sesungguhnya manusia
itu sangat lemah serta kerdil dan tidak akan sama sekali mampu untuk melihat
Allah, pencipta alam semesta ini. Apa yang diajar oleh Islam ialah untuk
manusia sentiasa melihat ciptaan Allah dan berfikir akan kehebatan penciptaan
tersebut yang tidak akan sama sekali mampu dibuat oleh mana-mana manusia di
atas muka bumi ini. Sesuai dengan firman
Allah SWT di atas, tanda-tanda kebesaran, keagungan, kemuliaan, kebijaksanaan, kehebatan dan kekuasaan Allah itu ada di merata
tempat di dunia untuk difikir dan dinilai oleh manusia yang ingin mencari jawapannya.
2. Untuk posting kali ini kita akan sama-sama menyingkap rahsia
alam semesta ciptaan Allah SWT seperti yang telah Allah rakamkan dalam
qalamnya, Al-Quranul Qarim yang telah diturunkan kepada rasulnya Nabi Muhammad
SAW lebih 1,400 tahun yang lalu. Tatkala Al-Quran diturunkan, manusia belum
memiliki teknologi dan ilmu pengetahuan tentang kosmologi. Namun Al-Quran telahpun berbicara tentang
ilmu kosmologi dengan sangat terperinci dan tepat sehingga ia diiktiraf oleh
saintis moden hari ini bahawa faktanya dalam Al-Quran adalah benar dan selari
dengan penemuan sains moden hari ini.
Ini membuktikan bahawa Al-Quran itu diturunkan dari tuhan yang mencipta
alam semesta itu sendiri. Apakah rahsia
penciptaan alam semesta di dalam Al-Quran?.
2.1. ORBIT
- TEMPAT PEREDARAN BINTANG-BINTANG
2.1.1.
Pengertian orbit secara mudah ialah jalan atau laluan yang dilalui/diikuti oleh
bintang dan cakerawalan lain dalam masa peredaran/pergerakannya di angkasa
raya.
2.1.2.
Berkaitan dengan orbit ini Allah SWT telah berfirman dalam surah AlWaqiah[Hari Kiamat](56:75) yang
berbunyi:
“Maka aku bersumpah dengan tempat
peredaran bintang-bintang.”
(56:76)
"Dan sebenarnya sumpah itu adalah
sumpah yang besar, kalau kamu mengetahuinya."
2.1.3.
Bintang-bintang adalah salah satu
ciptaan Allah SWT yang amat indah yang bertaburan di angkasa raya. Ia ibarat gumpalan gas yang terbakar, bersinar dan
menyala dengan zatnya sendiri. Bintang-bintang telah menyalakan sinarnya jutaan
tahun lamanya tanpa padam walaupun berlakunya
proses reaksi nuklear yang dikenali dengan nama proses sublimasi nuklear.
2.1.4.
Kenapa Allah bersumpah dengan tempat-tempat beredarnya bintang (orbit) tetapi
bukan bersumpah dengan bintang itu sendiri?.
Ini kerana orang-orang arab jahiliah pada zaman Rasulullah SAW mengenal
sumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Mereka percaya tempat
beredarnya bintang-bintang itu adalah sesuatu yg maha agung, maka layak bagi
mereka untuk bersumpah dengannya memandangkan jauhnya tempat beredarnya bintang
tersebut dari manusia. Sesungguhnya
memang benar tempat beredarnya bintang-bintang iaitu orbit adalah suatu ciptaan
Allah SWT yang sangat mengkagumkan bagi manusia. Jarak yang terbentang antara
manusia dengan matahari adalah sekitar 150 juta km.
Sumber:
“Cahaya di Atas Cahaya, Menyingkap Rahsia Alam Menurut Al-Quran dan Sains”. Oleh
Prof. Dr. Zagl'ul Al-Najj'ar.
2.2. KEJADIAN
SIANG MALAM
2.2.1.
Rahsia berlakunya siang dan malam yang silih berganti telahpun dijelaskan oleh
penciptanya, Allah SWT dalam surah Al-A’raf[Tempat
Tinggi](7:54) yang berbunyi:
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang
menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy;
Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih
berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta
bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah
jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan.
Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam”.
2.2.2.
Ini ialah ayat yang mengesahkan tentang proses penggantian malam kepada siang
dan siang kepada malam. Ia adalah proses putaran bumi pada paksinya dihadapan
matahari. Jika bumi tidak berputar pada paksinya dihadapan matahari maka tidak
akan ada proses penggantian siang dan malam sebagaimana yang terjadi dalam
kehidupan manusia hingga hari ini.
Sumber:
“Cahaya di Atas Cahaya, Menyingkap Rahsia Alam Menurut Al-Quran dan Sains”.
Oleh Prof. Dr. Zagl'ul Al-Najj'ar.
2.3. BUMI DAN OBJEK-OBJEK DI
LANGIT
2.3.1. Seorang pakar astronomi Poland bernama Nicolaus Copernicus telah mengutarakan teori yang dikenali teori helio sentrik. Dalam buku beliau yang diterbitkan pada tahun 1543 berjudul “De revolutionibus orbium coelestium (On the revilutions of the Heavenly Spheres)”, beliau berpendapat matahari berada dalam keadaan tidak bergerak (statik) di tengah-tengah angkasa manakala objek-objek lain di angkasa raya berpusing mengelilinginya. Perkara ini telah dilaporkan dalam Stanford Encyclopedia of Philosophy di http://plato.stanford.edu/entries/copernicus.
2.3.2.
Sebaliknya Al-Quran menegaskan bumi dan matahari berputar dan tidak statik kedudukannya. Fakta
ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:33) yang berbunyi:
“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan
malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar
terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)”.
2.3.3.
Perkataan yasbahuun bermaksud
berenang. Perkataan berenang pada asalnya berkaitan dengan perbuatan seseorang
yang bergerak dalam air melalui pergerakan anggota badannya. Begitulah kiasannya
dengan matahari dan bulan. Kedua-duanya bergerak sendiri di angkasa. Ringkasnya,
matahari dan bulan tidak statik. Tambahan dari itu, oleh sebab perkataan falak
digunakan, dan falak bermaksud bulat seperti sfera, ayat ini menunjukkan
matahari dan bulan bergerak dalam bulatan.
2.3.4.
Dalam tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Kathir menukilkan pandangan sahabat
Abdullah bin Abbas yang mengatakan malam dan siang, matahari dan bulan beredar
dalam bulatan sebagaimana beredarnya rahat ketika menggulung benang. Mengikut Kamus
Dewan, rahat ialah alat bulat seumpama roda yang digunakan bagi menggulung
benang. Pentafsiran ini menunjukkan para sahabat di zaman Rasulullah sudah
berpegang dengan pendapat matahari dan bulan berputar dalam bulatan di atas
paksinya sendiri.
2.3.5.
Sheikh Said Hawa di dalam kitab al-Asas fi al-tafsir menjelaskan perkataan yasbahuun adalah perkataan perbuatan (verb) yang digunakan bagi objek yang
berjumlah lebih daripada dua. Dalam ayat di atas, jumlah objek yang Allah
nyatakan hanya dua, iaitu matahari dan bulan. Persoalannya di manakah objek
yang ketiga?. Malam dan siang pula bukannya
objek. Ia adalah fenomena yang berlaku
di atas bumi. Oleh sebab putaran malam dan siang berlaku di atas bumi, maka
objek ketiga yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bumi. Selain itu Allah
mengatakan malam dan siang berputar (yasbahuun),
menunjukkan bumi berputar dan hasil daripada putaran bumi di atas paksinya,
maka lahirlah fenomena siang dan malam.
2.3.6.
Fakta-fakta di dalam AlQuran ini membuktikan bahawa Al-Quran adalah sebuah kitab yang membicarakan perkara saintifik
kerana ia adalah selaras dengan penemuan sains moden kini.
Sumber:
Quran Saintifik karangan Dr. Danial Zainal Abidin
2.4. ANTARA SINAR & CAHAYA
2.4.1. Pada masa lampau ilmu metafizik tidak dapat membezakan di antara sinar dan cahaya. Manusia percaya bulan mengeluarkan cahayanya sendiri seperti juga matahari. Namun konsep sains tentang dua perkara ini telah dijelaskan dalam Al Quran. Al-Quran menggambarkan matahari sebagai sinar dan bulan pula sebagai cahaya. Firman Allah SWT tentang perkara ini terdapat dalam surah Yunus(10:5) yang berbunyi:
“Dialah yang menjadikan matahari
bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang
menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat
peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan
kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah
dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda
kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang
dijadikanNya)”.
2.4.2.
Sinar adalah sesuatu yang terpancar dari benda yang terbakar dan bercahaya
manakala sinar pula adalah pancaran cahaya yang terkena pada benda yang gelap dan
sinar tersebut akan memancar.
2.4.3.
Firman-firman lain dari Allah SWT tentang matahari dan bulan ini terdapat dalam
surah-surah berikut:
“Maha suci Allah yang telah menjadikan di
langit, tempat-tempat peredaran bintang dan menjadikan padanya matahari serta
bulan yang menerangi”. {Petikan dari surah Al-Furqan[Pembeza](25:61)}.
“Dan Kami telah mengadakan matahari
menjadi lampu yang terang-benderang cahayanya.” {Petikan dari surah Naba’[Berita Besar](78:13)}
"Dan Dia menjadikan padanya bulan
sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang)”.{Petikan
dari surah Nuh (71:16)}.
2.4.4.
Di dalam Hans Wehr: A Dictionary Of
Modern Written Arabic, siraj
diertikan sebagai lamp, light yang bermaksud pelita atau lampu.
Makna wahaaja pula adalah burn, blaze, flame yang bermaksud
membakar, menyala atau berapi. Dengan maksud itu, matahari adalah siraaj dan siraajan wahaaja yang mengeluarkan cahaya sendiri melalui proses tertentu
yang berlaku di dalamnya.
2.4.5.
Nur diertikan sebagai brightness, gleam, glow yang bermaksud
bercahaya, menyilau. Muniir pula
diertikan sebagai luminous, radiant,
shining yang bermaksud bercahaya, bersinar. Dengan maksud itu bulan adalah
nuur dan muniir yang tidak mengeluarkan cahaya sendiri sebaliknya ia
mamantulkan cahaya matahari yang menimpanya.
2.4.6.
Ayat-ayat di atas menjelaskan mengenai perbezaan antara matahari dan bulan
dalam konteks cahaya yang dikeluarkan oleh
kedua-duanya. Mengikut Al-Quran, matahari membakar dan dengan itu
mengeluarkan cahaya sedangkan bulan hanya bersinar iaitu menerima dan
memantulkan cahaya dari matahari. Kiasannya adalah seperti lampu dan cermin.
Lampu mengeluarkan cahaya sedangkan cermin hanya memantulkan cahaya.
2.4.7.
Kenyataan ini adalah selari dengan penemuan sains moden hari ini yang mendapati
matahari adalah sebuah bintang sedangkan bulan adalah satelit. Seperti
bintang-bintang yang lain, kestabilan matahari dan sinaran cahaya yang keluar
darinya bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkannya.
2.4.8.
Perbezaan jelas antara sinar dan cahaya sudah diterangkan oleh Allah SWT lebih 1,400
tahun lalu dalam Al-Quran yang menjadi
penegas bahawa Al-Quran itu datangnya dari tuhan yang mencipta matahari dan
bulan.
Sumber:
Quran Saintifik karangan Dr. Danial Zainal Abidin
2.5. BINTANG-BINTANG SEBAGAI PETUNJUK
2.5.1.
Dalam surah Fussilat[Yang Dijelaskan](41:11), Allah SWT berfirman yang
berbunyi:
“Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke
arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Dia
berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan
perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya
menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela"
2.5.2 Sains
moden hari ini membuktikan bahawa gumpalan asap ini mengandungi gas-gas
hidrogen dan helium. Selepas berlalu masa jutaan tahun selepas kejadian Big
Bang, gas-gas ini menjadi semakin padat sehingga akhirnya melahirkan bintang-bintang
dan galaksi. Perkara ini disebutkan di dalam The Vindication of the Big Bang: Breakthroughs and Bariers (Parker
Barry R.,Plennum Press, New York,1993).
2.5.3.
Bintang-bintang adalah objek besar di angkasa raya dan jumlahnya tersangat
banyak sekali. Di galaksi Bimaksakti sahaja jumlahnya adalah dianggarkan antara
200 - 400 bilion. CNN.com bertarikh Julai 2003 melaporkan jumlah bintang di
langit melebihi 70 sextilion (7 diikuti dengan 22 kosong). Jumlah ini
bermaksud, sekiranya dihitung pasir-pasir di semua pantai di dunia, jumlah
bintang di langit adalah 10 kali ganda lebih banyak dari jumlah itu.
2.5.4.
Di dalam Al-Quran terdapat lebih kurang 13 firman Allah SWT tentang bintang-bintang. Perkataan yang digunakan dalam
Al-Quran adalah najmu (satu bintang)
dan nujuum (banyak bintang). Sebagai
contoh dalam surah Al-A'raaf [Tempat
Tinggi](7:54), Allah berfirman yang berbunyi:
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang
menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy;
Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih
berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta
bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah
jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan.
Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam”.
2.5.5.
Antara faedah yang manusia perolehi daripada bintang-bintang di langit ini adalah
ia menjadi petunjuk jalan (sama ada arah utara, selatan, timur dan barat), terutamanya
bagi para pengembara. Perkara ini telah Allah SWT firmankan dalam surah An-Nahl[Lebah](16:16) yang berbunyi:
“Dan (Dia mengadakan) tanda-tanda panduan
jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui
arah yang hendak dituju”.
Sumber:
Quran Saintifik, Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains karangan
Dr. Danial Zainal Abidin
“Harta itu kurang
apabila dibelanjakan tapi ilmu pula bertambah bila dibelanjakan.” ~~ Mutiara
Kata Saidina Ali bin Abi Talib
Sebahagian kandungan dipetik
dari Iffah-muhsin.blogspot.my
No comments:
Post a Comment