Thursday 30 April 2015

GUNUNG PELANGI : BUKTI KEBENARAN AL-QURAN

1.   Semenjak Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW lebih 1,400 yang lalu Allah SWT telahpun memberitahu kepada Rasulullah adanya gunung yang berwarna-warna seperti warna pelangi. Firman Allah SWT itu ialah dalam Surah Fathir [Pencipta](35:27) yang berbunyi”




"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan air dari langit lalu dengan air itu Kami hasilkan buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah, yang beranika macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat."

2.  Ketika menjelaskan ayat ini di dalam tafsirnya, Ibnu Kathir berkata: "Dia menciptakan gunung-gunung yang beraneka macam warnanya sebagaimana yang dapat kita saksikan, ada yang berwarna putih dan ada yang berwarna merah. Pada sebahagiannya ada yang bergaris-garis." Tafsir yang datang dari ulama muta'akhirin lebih terperinci dalam menjelaskan "gunung aneka warna". Misalnya tafsir Fi Zhilalil Qur'an yang ditulis Sayyid Qutb. Bahawa warna-warna batu disebutkan setelah warna-warna buah-buahan memberi pengertian dan isyarat bahawa adanya gunung yang mempunyai pelbagai warna.

3.  Pada hari ini kita dapat melihat gunung berwarna warni seperti pelangi ini di kawasan kota Zhangye, Wilayah Gansu, China.  Dikatakan kawasan gunung itu berkeluasan lebih 500 kilometer persegi.  Gunung ini dipenuhi dengan pelbagai warna seperti biru, kuning, hitam, merah, hijau, coklat dan sebagainya. Warnanya pula tersusun bergaris-garis yang kelihatan sangat cantik. Gunung yang merupakan sebahagian dari Zhangye Danxia Landform Geological Park ini lebih dikenali dengan nama Gunung Pelangi (Rainbow Mountains). Lihat gambar-gambar di bawah.  Pasti kita akan bertasbih dan membesarkan Allah SWT.







                                                          Klik Video

4.  Gunung Pelangi juga boleh didapati di Iceland. Ia adalah Gunung Brennisteinsalda dengan pemandangan warna warni unik yang terdapat di Landmannalaugar, Iceland Selatan. Gunung ini merupakan sebahagian dari Fjallabak Nature Reserve, Iceland. Lihat gambar-gambar di bawah:



 5.  Selain dari itu, gunung pelangi juga terdapat di lembah gunung Quebrada de Humahuaca, di wilayah Jujuy, barat laut Argentina. Terletak hanya 25 km dari Humahuaca, di sepanjang jalan tidak berturap. Pergunungan ini menjadi salah satu lokaasi kunjungan oleh sesiapa yang melawat Argentina.  Lihat kebesaran Allah di bawah ini:

   
 

                                                                                         

6.  Subhanallah.  Maha Besar dan Maha Agung Allah SWT yang Maha Pencipta. Gunung Pelangi di China, Iceland dan Argentina ini adalah bukti nyata kebenaran firman Allah dalam ayat d atas. Ayat ke 27 dalam Surat Fathir ini diturunkan kepada Rasulullah lebih dari 1,400 tahun yang lalu.  Waktu itu sudah pastinya Rasulullah, malah orang-orang Arab Mekah tidak mengetahui adanya Gunung Pelangi di China, Iceland dan Argentina. Malah mereka tidak pernah pun mengenali dan menjejakkan kaki ke negara-negara tersebut. Oleh itu dari manakah Rasulullah tahu perkara ini.  Jawapannya tidak lain melainkan ia adalah bukti nyata bahawa Al-Quran itu  bukan ciptaan dan rekaan Rasulullah dan orang Arab Mekah.  Ia adalah bukti bahawa Al-Quran itu adalah sebenar-benarnya qalam Allah SWT, tuhan sekalian alam yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui.

7. Justeru, sebagai seorang Islam kita wajib sentiasa bertasbih untuk membesarkan,  mengagungkan dan memuliakan Allah SWT. Bagi orang bukan Islam pula fikirkanlah fakta ini.  Nescaya anda akan mengakui kebenaran agama Islam jika anda hanya ingin mencari KEBENARAN (TRUTH) dalam beragama. Usahlah berlengah lagi untuk mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi orang Islam.
 
“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri.

Wednesday 29 April 2015

KETAHUI MAKANAN/MINUMAN KEGEMARAN RASULULLAH SAW


1.  Islam mengajar kita untuk menyayangi Rasulullah SAW dan keluarganya.  Jika kita benar-benar sayang kepada Rasulullah kita juga sepatutnya suka kepada makanan dan minuman kegemaran Rasulullah.  Apakah makanan/minuman kegemaran baginda.  Di bawah ini di senaraikan 10 jenis makanan/minuman kegemaran Rasulullah:
1.1.   Buah Kurma – Berkaitan dengan buah kurma ini Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

1.1.1.   Rumah yang tidak mempunyai buah kurma ibarat seperti rumah yang tidak ada makanan”.

1.1.2. Daripada Abu Musa r.a. katanya:  “Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Rasulullah SAW lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma”

1.1.3.  Saidina Ali r.a. meriwayatkan  “Barang siapa yang memakan 7 butir kurma setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya”

1.1.4. Daripada Abdullah bin Jaafar r.a katanya:  “Aku pernah melihat Rasulullah SAW memakan mentimun Arab dengan buah kurma masak.”

1.1.5. Dari Saad r.a: Rasulullah SAW pernah bersabda:  “Siapa yang memakan tujuh biji kurma di antara La Bataiha (dua tanah tidak berpasir di Madinah) pada waktu pagi, maka racun tidak akan dapat memudaratkannya sampai petang”

1.1.6. “Sesiapa yang memakan 7 biji kurma Ajwah dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu” (Hadis Riwayat Bukhari)

1.1.7. Daripada Anas katanya : “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada buah kurma, maka Rasulullah SAW akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Rasulullah akan meminum beberapa teguk air” (Hadis Riwayat Ahmad).

1.1.8. “Tidak akan kelaparan sebuah keluarga yang memiliki persediaan buah kurma kering di rumah mereka” (Hadis Riwayat Muslim).


Rasulullah juga menjadikan kurma sebagai air nabeez (air rendaman kurma).  Kurma direndam semalaman dalam air dalam bekas yang tertutup. Ia diminum keesokan harinya. Amalkan setiap hari untuk mendapatkan tubuh yang cergas, minda yang cerdas, mata yang sihat dan badan yang bertenaga.
 
AIR NABEEZ
     
KURMA YANG DIRENDAM UNTUK DIJADIKAN AIR NEBEEZ
      ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



"Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.” {Petikan dari Surah At-Tin[Buah Tin](95:1)}


1.2.   Buah Tin – Buah dari syurga. Khasiatnya boleh mengubati penyakit buasir.  Tentang buah ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

1.2.1. “Seandainya aku boleh berkata tentang buah yang turun dari syurga, maka aku akan mengatakan ia adalah buah tin”. (Hadis Riwayat Al-Qurtubi)

1.2.2. Dari Abu Zar r.a. katanya; Rasulullah  SAW dihadiahkan satu bekas buah tin. Lalu Rasulullah mengajak sahabat-sahabatnya makan. Rasulullah pun turut sama makan. Kemudian Rasulullah bersabda: "Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan."

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.3.  Buah Anggur – Ia mampu membersihkan darah, menguatkan buah pinggang dan membersihkan perut. Firman-firman Allah SWT tentang buah ini ialah:

          1.3.1. Surah An-Nahl[Lebah](16:11) yang berbunyi:




“Dia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan kurma serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir”.

1.3.2. Surah Al-Naba[Berita Besar](78:32) yang berbunyi:



“(Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur.

1.3.3. Surah Al-‘Anam [Binatang Ternakan](6:99) yang berbunyi:






“Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.”

1.3.4. Surah Yaasin (36:34) pula berbunyi:



“Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


1.4.  Madu – Ia adalah makanan segala makanan, minuman segala minuman, ubat segala ubat. Mengubati cirit birit jika dibancuh dengan air panas, pembuka selera, menguatkan perut, membuang kahak. Lebih baik jika diminun diwaktu pagi dengan air suam. Dalam Surah An-Nahl[Lebah](16:68) Allah SWT berfirman yang berbunyi:




“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia”.

(68:69)



“Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir”.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.5.   Susu – Rasulullah SAW bersabda susu baik untuk membuang panas badan. Selain itu ia boleh menguatkan belakang, baik untuk kesihatan otak, mencerahkan penglihatam mata serta mengurangkan masalah mudah lupa. Rasulullah gemar meminum susu kambing yang mentah. Sabda Rasullah SAW, "Peliharalah kambing kerana padanya terdapat keberkatan".  Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud "Hendaklah kamu berpegang kepada kambing (mengambil manfaat daripada kambing: iaitu daging, bulu, kulit dan susunya).” 
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ 


1.6.   Minyak Zaitun – Baik untuk rawatan kulit dan rambut. Melambatkan penuaan  serta merawat radang perut.  Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Makanlah buah zaitun dan gunakanlah minyaknya kerana ia adalah buah yang berkat".


"Demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun.” {Petikan dari Surah At-Tin[Buah Tin](95:1)} 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.7.   Barli - Bagus untuk demam jika dibuat sup.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.8.   Buah Tembikai (semua jenis) – Antara sabda Rasulullah SAW tentangnya ialah:

1.8.1. Dari Ibnu Abbas R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Semangka (tembikai) adalah makanan, minuman dan raihan (tanaman harum), menyucikan pundi kencing, membersihkan perut, memperbanyak air punggung, membantu bercampur, mencerahkan kulit dan mengatasi kelemahan.” (Kitab Ath-Thibbun Nabawi).

1.8.2. Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Makanlah tembikai kerana didalamnya ada kebaikan. Ianya makanan, minuman, perangsang kepada pertumbuhan gigi, sebagai pewangi, pembersih pundi kencing, menambahkan air tulang belakang, menghindarkan sejuk dan pembersihan kulit.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.9.   Buah Delima – Baik untuk membersihkan tubuh badan. Dalam Surah Ar-Rahman[Maha Pemurah](55:68), Alah SWT berfirman yang berbunyi:



“Pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima”.

1.9.1.    Sabda Rasulullah SAW pula ialah: “Makanlah delima dengan kulitnya kerana sesungguhnya buah delima baik untuk penghadaman perut (Hadis Riwayat  Ahmad, Baihaqi dan Ibnu Sunni).

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

1.10. Air – Minuman yang terbaik. Jika dahaga hendaklah dihirup perlahan-lahan. Jangan diteguk kerana ia akan memudahkan mendapat sakit pada hati.
1.10.1. Saiyiditina Aisyah  meriwayatkan bahawa: "Diantara banyak-banyak jenis minuman, Rasulullah SAW suka minuman manis dan sejuk. Hadis ini bermaksud, baginda mengemari minuman manis dan sejuk, campuran madu atau nabiz (rendaman buah tamar). Di dalam suatu doa Rasulullah SAW ada menyebut: "Ya Allah kurniakanlah daku dengan cintaMu yang lebih besar dari cintaku kepada nyawa, harta, anak dan cintaku kepada air sejuk." 

1.10.2. Ini memberi maksud bahawa minuman air sejuk itu mempunyai khasiat yang lebih besar. Ada pun minuman jika terkumpul didalamnya kemanisan dan kesejukan akan menjadi sebab yang paling bermanfaat untuk penjagaan kesihatan tubuh badan. Ia berperanan sebagai bahan pemakanan untuk mencernakan makanaan yang masuk ke dalam badan lalu menyalurkannya ke seluruh anggota badan.

 2.   Di atas adalah 10 jenis makanan dan minuman kegemaran Rasulullah.  Sesungguhnya Rasulullah tidak akan makan makanan dan minuman yang tidak baik untuk kesihatan badan manusia.  Apa pun yang dilakukan oleh Rasulullah itu pastinya datang dari Allah SWT jua.  Beramallah kita dengan 10 makanan/minuman kesukaan Rasulullah ini. Semoga kita diberkati oleh Allah SWT dan memperolehi pahala kerana meniru sunah Rasulullah.

“Allah mengasihani kaum yang menganggap dunia sebagai barang simpanan. Lalu mereka menyerahkannya kepada orang yang sanggup memegang amanah mereka terhadap barang simpanan tersebut. Kemudian, mereka merasa senang dengan ringannya beban kerana harta itu.”- Mutiara Kata Hassan Basri

Sebahagian kandungan dipetik dari blog detikislam