Tuesday, 7 April 2015

SOLAT BERJEMAAH: RAHSIA YANG TERSINGKAP DARI SUDUT SAINS


1.   Perintah Allah SWT supaya setiap orang Islam menunaikan solat secara  berjemaah telah dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:43) yang berbunyi:



“Dan dirikanlah solat, dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua bersama-sama dengan orang-orang yang rukuk.”

Maksud perintah Allah supaya rukuk bersama-sama dengan orang yang rukuk dalam ayat di atas,  ialah perintah supaya solat-solat fardhu itu dilakukan secara berjamaah.

2. Perintah solat berjemaah dari Allah ini sangat kuat sehinggakan dalam waktu perang sekalipun diarahkan berjemaah.  Lihat firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa[Kaum Perempuan](4:102) yang berbunyi:



"Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina."            

3.    Sabda-sabda Rasulullah SAW dalam konteks ini ialah seperti berikut:

3.1. "Sungguh aku ingin minta diambilkan seikat kayu bakar, kemudian memerintahkan seseorang untuk mengumandangkan azan solat, lalu memerintahkan seseorang untuk menjadi imam solat, kemudian aku mendatangi orang-orang yang tidak datang untuk solat (berjamaah) untuk aku bakar rumah-rumah mereka. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.2.   Dari Ubay bin Ka’ab dia berkata, Rasulullah SAW menunaikan solat subuh. Selesai solat beliau bertanya: “Adakah sesiapa yang melihat sifulan?”. Sahabat terdiam, lalu mereka menjawab,Ya, tetapi sifolan tersebut tidak hadir. Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isya’ dan subuh. Seandainya mereka mengetahui keutamaan yang ada dalam dua solat tersebut, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak. Saf (barisan) pertama adalah seperti safnya para malaikat, seandainya kamu mengetahui keutamaannya nescaya kamu akan bersegera berebutnya. Sesungguhnya solat seseorang bersama dua orang adalah lebih baik berbanding dengan satu orang, dan solatnya seseorang dengan seorang adalah lebih baik dari ia solat bersendirian, Semakin banyak jumlahnya akan lebih dicintai oleh Allah SWT.” (Hadis Riwayat Ahmad).

3.3. Daripada Abu Darda’ r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di kampung atau di pendalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Kamu hendaklah berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulan)”. (Hadis Riwayat Abu Dawuud dan An-Nasa’i).

4. Penting dan besarnya kedudukan solat fardhu lima waktu secara berjemaah disisi Islam sehinggakan ia diberi kelebihan pahala dua puluh tujuh kali ganda berbanding bersolat bersendirian. Solat berjemaah adalah lambang kekuatan, perpaduan, kesatuan dan keutuhan umat Islam. Sebaliknya pula tanda kelemahan ukhuwah umat Islam ialah apabila mereka meninggalkan solat berjemaah.  

5.   Al-Quran bukanlah sebuah buku cerita.  Oleh sebab  itulah Allah SWT tidak memberi perincian kelebihan solat berjemaah dari sudut sains walaupun Allah maha mengetahui segala-galanya. Rahsia kelebihan dan kebaikan solat berjamaah dari sudut sains telah berjaya dibuktikan mengikut teori fizik.

6.  Seorang pengkaji di Amerika Syarikat telah membuat kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berjalan sudah tentu banyak tenaga perlu digunakan. Dalam proses pembakaran tenaga inilah berlakunya pertukaran cas positif dan cas negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam badan kita. Ketidakseimbangan ini menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran badan ke tahap normal.


7. Dalam hal solat berjemaah, timbul pertanyaan kepada pengkaji tersebut mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa pula solat lima waktu yang dilakukan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat ini bertujuan untuk  menseimbangkan cas-cas dalam badan. Semasa solat berjemaah, pertamanya kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Perbuatan-perbuatan ini mempunyai pelbagai kelebihan. Kajian secara saintifik mendapati sentuhan yang berlaku antara badan kita dengan badan ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan mensaimbangkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh badan. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan, sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan pula akan ditarik ke dalam badan kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam badan kita.  Sebaliknya jika badan tidak bersentuhan satu sama lain, caj tidak dapat berpindah kerana tiada pergeseran

8.   Menurut pengkaji ini lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat beberapa jam. Ketika ini badan kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Oleh sebab itulah solat Subuh hanya didirikan 2 rakaat. 

9.  Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini menjadi tidak seimbang akibat kehilangan cas lebih banyak daripada badan. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Oleh sebab itulah, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi masa yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam badan. Hal yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti juga solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan masa lebih lama untuk proses pertukaran cas.

10. Biasanya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa banyak digunakan untuk berehat. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding 2 waktu sebelumnya. Timbul pula pertanyaan kepada beliau kenapa pula solat Isyak perlu 4 rakaat. Logiknya pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak. Setelah kajian lanjut dibuat, didapati terdapat alasan mengapa Islam mensyariatkan 4 rakaat dalam solat Isyak. Alasanya ialah kerana umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan solat tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam solat tahajjud dan berqiamullail.

11. Hasil dari kajiannya pengkaji ini mendapati bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan perintah dari Allah SWT itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam.

12.   Dari seorang yang tidak beragama pun menganut Islam kerana yakin dengan kebenaran ajaran Islam. Kenapa pula kita orang yang sudah Islam malas benar untuk berjemaah di masjid.  Bukankah ia baik untuk kesihatan badan kita. Malahan pahalanya 27 kali ganda. Tidak yakinkah kita pahala itulah harta kita di akhirat.  Jika di dunia ini kita ingin hidup senang dengan harta yang banyak, kenapa pula memilih menjadi miskin di akhirat.  Ironi pula nampaknya. Lainlah jika kita sudah tidak yakin lagi dengan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW. Wallahuaklam.


“Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq


Sebahagian kandungan dipetik dari www.solat.wordpress.com

No comments:

Post a Comment