Wednesday 30 September 2015

HIDUP ATAU MATI: MANA LEBIH BAIK ?

MIMBAR RASULULLAH SAW DI MASJID NABAWI
1.    Dalam surah Al-Furqan[Pembeza](25:56) Allah SWT berfirman yang berbunyi:



"Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar)."

2. Abu Hurairah  menceritakan  Rasulullah SAW pernah berkhutbah yang bermaksud:

“Apabila pemimpin kamu adalah mereka yang paling baik dari kalangan kamu, orang kaya yang ada pada ketika itu pula bersikap dermawan, dan apabila urusan kamu dibincangkan dengan kamu maka ketika itu hidup adalah lebih baik dari mati.  Sebaliknya jika pemimpin kamu adalah golongan paling jahat, orang kaya pula terlalu kedekut dan urusan masyarakat Islam ditentukan oleh orang perempuan maka ketika itu kematian adalah lebih baik dari hidup”.

3.      Intisari dari khutbah Rasulullah SAW ini ialah:

3.1.   Kehidupan dalam masyarakat Islam yang mengikut syariat Allah adalah lebih  baik.

3.2.   Pemimpin yang dipilih bagi memimpin mayarakat Islam adalah orang yang paling baik dari kalangan orang Islam sendiri.

3.3.   Golongan kaya yang dermawan memainkan peranan besar dalam menjadikan sebuah masyarakat harmoni.

3.4.   Orang kaya juga bertanggung jawab membantu pemimpin membangunkan masyarakat.

3.5.   Urusan masyarakat Islam tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pemimpin wanita.

Petikan dari buku “Khutbah Rasulullah : Wasiat Agung Buat Umat Tercinta”

“Sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi maka sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang menasihati secara terang maka dia telah menyakiti dan mengkhianatinya. Dan bila tidak berguna nasihat secara sembunyi, maka minta tolonglah orang-orang yang baik untuk mencegahnya dari perbuatan maksiat. Maka jika tidak dikerjakan yang demikian, pasti perbuatan maksiat itu akan menjalar dan bermaharajalela sehingga menghancurkan semua.” – Mutiara Kata Abu Dardaa’ r.a                                     

Friday 25 September 2015

BERSYUKUR DENGAN NIKMAT PEMBERIAN ALLAH SWT

                                                                         

1.  Posting kali ini akan membicarakan tentang kewajiban orang Islam untuk bersyukur kepada nikmat dan pemberian dari Allah SWT.

2. Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:152) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”.

3.   Perkataan syukur berasal dari bahasa Arab, iaitu  syukuran yang bererti berterima kasih dan mengingati segala nikmat pemberiaan Allah SWT. Syukur ialah salah satu sifat yang baik dan ia menunjukkan rasa hormat serta memuliakan atas segala nikmatNya, samada ia tersimpan dihati, dizahirkan secara lisan ataupun melalui perbuatan. 

4.    Perkataan “syukur” dan yang seakan dengannya disebutkan sebanyak 75 kali dalam Al-Quran. Apa yang menariknya ialah Al-Quran juga menyebutkan sebanyak 75 kali  perkataan “bala” (musibah). Sebahagian mufassirin menafsirkan bahawa Allah SWT ingin mengatakan bahawa adanya musibah itu kerana kurangnya manusia bersyukur kepadaNya.  Sesiapa yang tidak bersyukur sebenarnya mereka telah kufur kepada Allah kerana lawan syukur ialah kufur.

5.  Cara bersyukur yang paling mudah ialah dengan mengucapkan “Alhamdulillah”. Walaupun perbuatan atau amalan untuk bersyukur itu sangat mudah tetapi ia menjadi perkara yang sangat sukar dilakukan orang Islam. Sukarnya untuk manusia bersyukur ini telah difirmankan oleh Allah SWY dalam Surah Saba[Negeri Saba](34:13) yang berbunyi:


“Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih”.

6.    Sukarnya manusia bersyukur mungkin kerana tidak mengetahui bahawa Allah telah berjanji untuk menambahkan nikmatnya kepada orang yang bersyukur.  Dalam Surah Ibrahim (14:7) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih".

7.   Apakah janji Allah ini juga kita tidak yakin.  Janganlah kerana nikmat yang dinantikan itu tidak terus diperolehi selepas bersyukur menyebabkan kita enggan bersyukur. Banyak nikmat yang Allah janjikan itu hanya dapat dirasai setelah lama kita bersyukur. Yang perlu diyakini ialah sesungguhnya Allah tidak pernah menyalahi janjiNya. Nikmat yang Allah janjikan itu tdak semestinya dalam bentuk pertambahan harta kekayaan.  Ia boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti kejayaan anak-anak dalam pelajaran, kesihatan tubuh badan, ketenangan jiwa, anak cucu yang beriman kepada Allah, mendapat kawan-kawan dan jiran yang baik, tidak terkena bala bencana dan sebagainya.

8.  Sifat bersyukur yang merupakah salah satu sifat mahmudah wajib dimiliki setiap orang Islam. Orang yang tidak bersyukur kepada Allah ialah orang yang kufur kepada nikmatNya kerana syukur lawannya kufur. Orang yang tidak bersyukur sudah boleh dianggap orang yang tidak beradab kepada Allah. Allah mendidik manusia supaya bersyukur kepada nikmat pemberianNya seperti firmanNya dalam Surah Al-Ahqaf [Bukit Pasir](46:15) yang berbunyi:


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.

9.  Kita lihat pula apakah sabda-sabda Rasulullah SAW tentang kewajipan bersyukur ini:

9.1. “Allah berfirman dalam hadits qudsi-Nya: “wahai anak Adam, bahawa selama engkau mengingat Aku, bererti engkau mensyukuri Aku dan apabila engkau melupakan Aku, bererti engkau telah mendurhakai Aku”. (Hadis Riwayat Tabrani)

9.2.  “Barang siapa yang tidak bersyukur kepada manusia, bererti dia tidak bersyukur kepada Allah”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi).

9.3.  “Dua hal apabila dimiliki seseorang dia dicatat Allah sebagai orang yang bersyukur dan sabar. Dalam urusan agama ( ilmu dan ibadah) dia melihat kepada yang lebih tinggi lalu meniru dan mencontohinya. Dalam urusan dunia dia melihat kepada yang lebih bawah, lalu bersyukur kepada Allah bahawa dia masih diberikan kelebihan.(Hadis Riwayat Termizi)

9.4. Barang siapa diuji lalu dia bersabar, mendapat kurnia lalu bersyukur, dizalimi lalu memaafkan dan menzalimi lalu beristigfar, maka bagi mereka adalah keselamatan dan hidayah.” (Hadis Riwayat Al Baihaqi)

10.   Bersyukur kepada Allah SWT tidak sahaja kerana mendapat nikmat dan anugerah dariNya.  Kita perlu bersyukur kerana Allah telah mencipta kita menjadi manusia dengan diberikan sifat-sifat dan anggota tubuh badan yang sempurna. Juga kerana Allah telah menyediakan semua kemudahan untuk kita meneruskan kehidupan di dunia ini. Lihat dan nilailah sahaja apabila kita ke pasar untuk membeli ikan.  Berpuluh-puluh jenis ikan yang dijual.  Berbentuk bulat, leper, panjang, pendek, berwarna putih, kemerahan, hitam dan pelbagai lagi. Harga murah dan mahal.  Siapakah yang membesarkan ikan-ikan ini dilaut.  Adakah orang yang bekerja memberi makan ikan di laut.  Jawapnya tidak.  Semua ikan lahir dan dibesarkan oleh Allah SWT. Manusia hanya perlu sediakan perahu atau kapal dan pukat untuk memunggah hasil laut secara percuma. Betapa besarnya nikmat dari Allah. 

11.  Perhatikan pula sayuran di pasar.  Pelbagai jenis sayuran yang boleh diperolehi.  Semuanya untuk faedah manusia. Siapa yang mencipta sayur-sayuran ini.  Apakah ada saintis yang pernah berjaya mencipta sayuran?. Tidak ada.  Semuanya anugerah Allah. Manusia hanya menanam sayuran yang benihnya dicipta oleh Allah.  Pelbagai jenis buah-buahan pula yang Allah sediakan untuk makanan dan menjadi rezeki manusia. Berlainan  musim berlainan buahnya.  Siapakah yang menentukan  musim ini?.  Jika kita perhatikan di negara kita, cuacanya hampir sama sahaja sepanjang tahun tetapi musim buah-buahan adalah berbeza. Ada musim durian, musim duku langsat, musim rambutan dan sebagainya. Siapakah yang mengatur musim ini. Bukankah Allah SWT yang maha pemurah lagi maha penyayang untuk hamba-hambaNya.  Justeru kita tidak boleh menjadi orang yang tidak bersyukur kepadaNya.  

12.  Sesungguhya kita tidak akan mampu untuk menghitung nikmat yang Allah berikan kepada kita.  Kenapa kita tidak mahu bersyukur kepadaNya?.

"Seseorang tidak akan mencapai darjat kesolehan, kecuali melalui  enam    rintangan: menutup pintu kemuliaan dan membuka pintu kehinaan, menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesukaran, menutup pintu istirehat dan membuka pintu perjuangan, menutup pintu tidur dan membuka pintu jaga, menutup pintu kekayaan dan membuka pintu kemiskinan, menutup pintu harapan dan membuka pintu bersiap menghadapi maut" -  Mutiara kata dari Ibrahim bin Adham

Wednesday 23 September 2015

KEHIDUPAN DI ALAM KUBUR YANG PERLU SELALU DIINGATI

 
1.  Dalam Surah Al-Furqan [Pembeza](25:56), Allah SWT berfirmn yang berbunyi:


“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan hanya sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan”.

2.  Sesuai dengan firman Allah SWT tersebut, sama-sama kita hayati apakah yang telah Rasulullah tinggalkan kepada kita.  Abu Said Al-Khudra menceritakan  bahawa Rasulullah SWT semasa datang ke masjid dan melihat beberapa orang sedang melakukan suatu pekerjaan.  Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sekiranya kamu banyak mengingati perosak kelazatan, sudah tentu kamu tidak akan sibuk melakukan perkara seperti ini.  Oleh itu, banyakkanlah mengingati perosak kelazatan, iaitu kematian. Kubur sentiasa berkata: ‘Aku adalah rumah terasing, aku adalah rumah sendirian, aku adalah rumah tanah, aku adalah rumah ulat-ulat’. Sekiranya seorang hamba yang beriman dikuburkan, kubur akan berkata kepadanya: ‘Selamat datang. Engkau adalah orang yang berjalan di atas belakangku yang paling aku suka. Hari ini engkau diserahkan kepadaku untuk diuruskan. Engkau akan melihat apa yang akan aku lakukan kepadamu.”

Rasulullah SAW bersabda lagi:

“Lalu kubur itu menjadi lapang seluas mata memandang, lalu dibukakan pintu untuk dia pergi ke syurga. Sekiranya seorang hamba yang jahat atau kafir dikuburkan, lalu kubur berkata kepadanya: ‘Aku tidak mengalu-alukan kamu. Engkau adalah hamba yang berjalan di atas belakangku  yang paling aku benci.  Pada hari ini aku diberikan tugas untuk menguruskanmu.  Engkau akan lihat apa yang akan aku lakukan kepada kamu”.  Kemudian, sisi kubur pun menghimpitnya sehingga tulang-tulangnya hancur”.

Setelah itu Rasulullah SAW memasukkan jari-jari tangan kanan dan kirinya.  Rasulullah bersabda lagi;

“Didatangkan kepadanya 70 ekor ular besar.  Sekiranya seekor ular itu menyemburkan racunnya  ke bumi, nescaya tiadalah tumbuhan yang dapat tumbuh di atasnya. Lalu ular itu mematuknya sehingga dia dibawa untuk dihisab.”

Rasulullah SAW kemudian bersabda lagi: “Kubur itu boleh menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga atau menjadi sebuah jurang dari jurang-jurang neraka”. (Hadis Riwayat Termizi).
 
DESTINASI KITA SELEPAS INI. TINGGAL DALAM RUMAH YANG DIPERBUAT DARI TANAH DAN DITEMANI ULAT TANAH YANG MEMAKAN JASAD KITA. ITULAH NILAI DIRI KITA NANTI. APAKAH ADA LAGI KESOMBONGAN PADA DIRI?
3.   Masya Allah. Alangkah bertuah dan beruntungnya jika kita termasuk dalam golongan orang yang disayangi oleh kubur.  Sebaliknya celakalah diri ini jika menjadi orang yang dibenci oleh kubur. Justeru itu, persiapkanlah diri masing-masing untuk menghadapi saat itu yang pasti dan wajib berlaku kepada kita.

(Sebahagian kandungan dipetik dari buku "Khutbah Rasulullah:Wasiat Agung Buat Umat Tercinta")

“Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai” = Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah.