Monday, 21 September 2015

BAKTI ANAK SOLEH KEPADA IBU BAPA YANG TELAH MENINGGAL DUNIA

1.  Abu Hurairah telah berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik sahaja meninggalnya (mati) seorang anak Adam (manusia) maka terputuslah sudah amal kebajikannya melainkan 3 perkara, iaitu, (1) sedekah jariah, (2) ilmu yang bermanfaat dan (3) anak soleh yang berdoa kepadanya. (Hadis Riwayat Muslim).

2.   Sesungguhnya jasa ibu dan bapa kepada kita tidak ternilai besarnya.  Nilailah kepayahan seorang ibu mengandung dan melahirkan kita ke dunia.  Mengasuh, mendidik dan mengajar kita hingga remaja.  Kerana kedua merekalah kita membesar menjadi manusia yang sempurna hingga kini.  Terlalu besar jasa mereka.  Sayangilah mereka tatkala mereka masih hidup.  Sebaik mereka pergi mereka tidak ada penggantinya lagi. Jika ditakdirkan salah seorang dari mereka atau kedua-duanya pergi dahulu meninggalkan kita, apakah yang wajib kita lakukan untuk mereka sebagai membalas budi dan jasa mereka. Lakukanlah amalan-amalan yang boleh meringankan azab kubur ke atas mereka dan semoga roh mereka dirahmati oleh Allah SWT. Mereka tentunya akan merasa sangat bertuah mempunyai anak seperti kita. Selain dari amalan-amalan lain, amalan yang disenaraikan di bawah ini sesuai dilakukan untuk ibu bapa yang telah pergi:

2.1.  MEMOHON KEAMPUNAN DARI ALLAH SWT ATAS SEGALA DOSA MEREKA

2.1.1. Lazimilah berdoa kepada Allah SWT agar dosa-dosa kedua mereka diampuni Allah  dan sentiasa mendapat rahmatNya.  Afdalnya ialah selepas setiap solat fardu walaupun ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Ziarah kubur juga amalan yang baik kerana ia dapat menimbulkan keinsafan kepada anak-anak. Memohon keampunan untuk kedua ibu bapa telah difirman oleh Allah SWT dalam surah-surah  berikut:

(i) Nuh (71:28) yang berbunyi:



“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”

(ii) Al-Isra’ [Memperjalankan Waktu Malam](17:24) yang berbunyi:




“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

2.2.  MELUNASKAN HUTANG MEREKA, JIKA ADA

Hutang yang ditinggalkan oleh mereka boleh menyebabkan pahala semasa hidupnya tidak terangkat ke langit sehinggalah ia telah dilunasi. Dalam satu peristiwa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Sa‘ad ibn al-Atswal yang baru kematian saudaranya: "Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya." (Hadis Riwayat Ibn Majah).

2.3.  MELAKSANAKAN RANCANGAN ATAU JANJI IBUBAPA.

Jika ibubapa merancang membuat sesuatu yang baik tetapi tidak sempat melaksanakannya, anak mereka boleh melaksanakannya dan pahala akan diperolehi mereka berdua. Jabir bin ‘Abd Allah menerangkan: Rasulullah SAW pernah bersabda: “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.” Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Rasulullah wafat. Ketika harta dari Bahrain sampai, Saidina Abu Bakar Assyiddiq memerintahkan seseorang menyeru: “Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Rasulullah datanglah kepada kami.” Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Rasulullah pernah berjanji kepada aku sekian-sekian.” Lalu Abu Bakar memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Berdasarkan hadis di atas, rancangan ibu bapa boleh dilakukan oleh anak-anak mereka.

2.4. LAKSANAKAN WASIAT IBADAH YANG MEREKA TINGGALKAN.

Jika diketahui ibubapa pernah berhajat untuk melakukan sesuatu ibadah tetapi tidak sempat melaksanakannya, anak-anaknya boleh melaksanakan ibadah tersebut. ‘Abd Allah ibn ‘Abbas telah menerangkan: Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Rasulullah dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?” Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi." (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari)

2.5. BERHUBUNG DENGAN ORANG YANG DICINTAI OLEH IBUBAPA.

2.5.1.   Dalam satu kesah diceritakan; semasa dalam perjalanan ke Mekah, ‘Abdullah bin Umar Al-Khattab telah bertemu seorang arab badui. Abdullah mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya. Ibn Dinar yang menyaksikan perbuatan Abdullah berkata kepadanya:Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang arab badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.” Lalu Abdullah menjawab: “Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh ayahku (Umar Al Khattab). Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubungkan silaturahim dengan orang yang dicintai kedua orang tuanya.”(Hadis Riwayat Muslim).

2.5.2.  Berdasarkan hadis di atas, anak-anak bolehlah berbakti kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa yang dicintai atau menjadi sahabat karib mereka semasa hidup.

3.      Selamat  beramal.

“Niat adalah ukuran dalam menilai benarnya suatu perbuatan. Oleh kerana itu, ketika niatnya benar, maka perbuatan itu juga benar tetapi jika niatnya salah maka perbuatan itu juga salah.” ~ Mutaira Kata Imam Nawawi Rahimahullah

No comments:

Post a Comment