Wednesday 30 December 2015

PERINGATAN DARI ALLAH SWT TENTANG HARTA (BAHAGIAN 1)


1.   Dalam Surah Al-Imran [Keluarga Imran](3:14) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga).”

2.      Sebagai pencipta manusia, Allah mengetahui apa yang sangat diminati oleh manusia. Harta menduduki tempat ketiga selepas wanita dan anak-anak.  Memang benar manusia sejak dari zaman dahulu hingga kini malah selamanya akan meminati harta.  Malah ada orang yang sanggup menggadai nyawa kerana mencari harta kekayaan dunia.  Rela meninggalkan suruhan Allah SWT dan melanggar perintahNya kerana menegejar harta. Di dalam Surah Al-Qashah[Kesah-Kesah]  Allah telah merakamkan kesudahan kehidupan seorang manusia bernama Qarun yang sangat cinta dan kasih kepada harta. Qarun yang hidup sezaman dengan Nabi Musa lebih 3000 tahun lalu telah dibinasakan oleh Allah bersama-sama hartanya kerana kesombongan dan ingkar kepada perintah Allah. Sebagai perbandingannya manusia dengan harta ialah seperti semut dengan gula.  Semut akhirnya mati kerana gula.  Begitulah juga bagi sebilangan manusia yang sanggup mati atau kesudahannya mati kerana mengejar harta.

3.      Allah telah mengetahui bahawa manusia akan rosak kerana mengejar harta.  Setelah dikurniakan harta manusia tidak mampu mengurusnya mengikut jalan yang telah ditentukan oleh Allah. Melalui posting kali ini dan berikutnya kita akan sama-sama mengikuti apakah peringatan Allah dalam Al-Quran tentang harta. Peringatan itu ialah dalam surah-surah berikut:

3.1.   HARTA TIDAK DAPAT MENEBUS DIRI DARIPADA SEKSAAN DAN AZAB ALLAH

3.1.1.   Dalam surah Ar-Ra’ad[Guruh](13:18) Allah berfirman yang berbunyi:


“Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.

3.1.2. Dalam surah Al Imran[Keluarga Imran](3:10) Allah berfirman yang berbunyi:



“Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda dan anak-anak mereka, sedikitpun tidak dapat menolak (siksa) Allah dari mereka. Dan mereka itu adalah bahan bakar api neraka”.

(3:116)



“Sesungguhnya orang-orang yang kafir baik harta mereka maupun anak-anak mereka, sekali-kali tidak dapat menolak azab Allah dari mereka sedikitpun. Dan mereka adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya”.

3.2. HARTA  TIDAK BOLEH HANYA BERLEGAR DALAM KALANGAN ORANG-ORANG KAYA SAHAJA

Dalam surah Al-Hasyr[Pengusiran](59:7) Allah berfirman yang berbunyi:





“Apa saja harta rampasan yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”.

3.3.   HARTA ITU ADALAH UJIAN DARI ALLAH

3.3.1. Dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:155) Allah berfirman yang berbunyi:





“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
 
3.3.2. Dalam surah Al-Imran[Keluarga Imran](3:186) Allah berfirman yang berbunyi:







“Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” 

3.4.  HARTA BOLEH MENJADI PENGHALANG KEPADA JALAN ALLAH
 
Dalam surah At-Taubah[Pengampunan](9:24) Allah berfirman yang berbunyi:




“Katakanlah: “jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” 

3.5.   SURUHAN MENAFKAHKAN HARTA YANG BAIK-BAIK

Dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:267) Allah berfirman yang berbunyi:






“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memalingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” 

3.6.   HARTA TIDAK MAMPU MENYATUKAN HATI-HATI MANUSIA

Dalam Surah Al-Anfal[Harta Rampasan Perang](8:63) Allah berfirman yang berbunyi:





“Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.”
 
4.   Dalam keadaan kita sibuk berebut harta dunia yang tidak di cari oleh Rasulullah SAW itu, kita jangan sama sekali lupa akan amaran dan peringatan dari Allah SWT seperti di atas.  Janganlah kita jadi penghuni neraka kerana leka mencari harta dunia ataupun memperolehinya dengan jalan yang di murkai oleh Allah.

“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya”.- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Assidiq

Monday 28 December 2015

MENYUSURI KEHIDUPAN RASULULLAH SAW

BEKAS PENINGGALAN RUMAH RASULULLAH DIMEKAH SEBELUM DIROBOHKAN

1.      Artikel ini adalah sambungan dari artikel sebelum ini bertarikh 24.12.205. Kita masih lagi dalam suasana menyambut Maulidur Rasul.  Dalam suasana mengingati, merindui dan menyanyangi Rasulullah. Untuk itu pada posting kali ini kita akan menyusuri secara ringkas kehidupan Rasulullah SAW yang sangat-sangat sederhana.

2.   Di dalam rumah Rasulullah SAW tidak ada apa-apa. Baginda mendiami sebuah rumah yang sangat sederhana tanpa ada satu pun tanda-tanda kemewahan di dalamnya. Tidak ada gambar atau lukisan pada dinding seperti yang ada di rumah-rumah orang zaman sekarang ini. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud; “Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan lukisan.” (Hadis Riwayat Bukhari).

3.   Apakah ada perabut rumah yang berharga dalam rumah Rasulullah?. Mari kita ikuti apa yang pernah disampaikan oleh sahabat-sahabat Rasulullah tentang keadaan rumah Rasulullah dan apa-apa yang ada di dalamnya. Zaid bin Tsabit berkata, “Anas bin Malik, pelayan Rasulullah pernah memperlihatkan kepadaku tempat minum Rasulullah yang dibuat dari kayu yang keras yang dipatri dengan besi, lalu Anas berkata, ‘Wahai Tsabit, inilah tempat minum Rasulullah.’” (Hadis Riwayat Tirmidzi) “Dan dengan gelas kayu itulah Rasulullah minum air, perahan kurma, madu, dan susu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi). Dari Anas bin Malik radiyallahu ‘anhu diberitakannya; “Bahwasanya Rasulullah minum sebanyak tiga teguk dan bernafas di luar gelas, tidak di dalam gelas ketika sedang minum.”

4.    Salah satu dari barang yang dapat dilihat dalam rumah baginda adalah baju besi yang biasa dipakai Rasulullah ketika perang. Namun demikian tidak lama sebelum Rasulullah  wafat, baju besi itu telah baginda gadaikan kepada seorang Yahudi dengan harga 30 sha’ gandum.  Itulah cerita dari isteri Rasulullah, Aisyah. Dan ketika Rasulullah wafat, baju itu berada di tangan Yahudi dan belum ditebusnya kerana kekurangan wang.

5.  Rasulullah tidur bersama isterinya Aisyah dalam sebuah bilik yang sangat kecil.  Jika Rasulullah bangun malam untuk solat tahajjud dan beramal maka Aisyah perlu mengubah sedikit kakinya bagi memberi laluan Rasulullah solat.  Itulah gambaran betapa kecilnya bilik tidur kekasih Allah SWT. Tidur pula bukan di atas tilam empuk seperti kita melainkan hamparan tikar dengan dialasi sedikit kain.

6. Setelah melangkah dari rumah Rasulullah akan kelihatan deretan rumah-rumah petak yang berdampingan dengan rumah baginda yang dibina dari tanah liat dan batu-batu yang tersusun. Atapnya dari pelepah kurma, berhimpit satu sama lain. Inilah rumah isteri-isteri baginda yang menjadi pendamping setia tatkala suka mahupun duka. Hasan bin Ali, cucu Rasulullah pernah menceritakan keadaan rumah-rumah petak itu. Katanya ; “Aku pernah masuk ke dalam rumah isteri-isteri Rasulullah sewaktu khalifah Uthman memerintah di mana aku pernah menyentuh atapnya yang diperbuat dari rumbia kurma.

7. Kenapakah Rasulullah begitu bersederhana dalam kehidupannya. Hinggakan hampir menyamai orang miskin.  Inilah jawapan Rasulullah dalam sabda-sabdanya:

7.1.   “Orang yang pandai adalah orang yang senantiasa membaiki diri dan menyiapkan bekal untuk kematiannya.” (Hadis Riwayat Termizi).

7.2.   “Demi Allah tiadalah kelebihan dunia berbanding dengan akhirat melainkan seperti seseorang yang mencelup jarinya ke dalam laut dan kemudian melihat apa yang terlekat dijarinya. Air yang terlekat dijari itu ialah dunia manakala air yang ditinggalkan dalam lautan itu pula ialah akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ibn Majah).

7.3. "Sekiranya dunia ini ada nilai atau harga di sisi Allah walaupun seberat sayap nyamuk, maka nescaya Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air."  (Hadis Riwayat Termizi). 

7.4.  "Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau bahkan seperti orang yang sekadar musafir”. (Hadis Riwayat Bukhari).

7.5.   Satu hari Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah tidur di atas sebidang tikar. Ketika bangkit dari tidurnya tikar tersebut meninggalkan bekas pada tubuh baginda. Berkatalah Ibnu Mas’ud, “Wahai Rasulullah, alangkah baiknya seandainya aku boleh persiapkan untukmu tilam yang empuk”. Rasulullah menjawab; “Ada kecintaan apa aku dengan dunia?. Aku di dunia ini tidak lain kecuali seperti seorang pengembara yang mencari tempat berteduh di bawah pohon, lalu beristirahat dan kemudian meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Termizi). 

7.6.  Umar Al-Khattab pernah menangis melihat  Rasulullah yang hanya tidur di atas sebidang tikar tanpa dialasi apapun  sehingga terlekat bekas tikar di belakang dan rusuk baginda. Lalu Rasulullah bertanya Umar; “Kenapa engkau menangis wahai Umar?’. Kata Umar, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Romawi) berada dalam kemegahannya, sedangkan engkau adalah utusan Allah.” Rasulullah menjawab; “Tidakkah engkau redha mereka mendapat dunia sedangkan kita memperolehi akhirat?” (Hadis Riwayat Bukhari).

8.  Rasulullah memilih jalan hidup yang sebegitu kerana baginda amat-amat menyedari akan firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

          8.1. Dalam Surah Al-Hadid [Besi](57:20) yang berbunyi:


“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

8.2.  Dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran] (3:185) pula berbunyi:


“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

9.  Allah mengutuskan Rasulullah kepada manusia tidak lain melainkan untuk menjadi contoh teladan terbaik bukan?. Jika ya jawapannya, kenapakah kita hari ini terlalu jauh dari Rasulullah dalam menjalani kehidupan seharian. Kenapa dunia yang kita kejar dan buru sedangkan Rasulullah mengejar dan memburu akhirat. Jadi dimanakah buktinya kita mengasihi dan menyanyangi baginda.  Cuba perhatikan kehidupan para ulama pewaris nabi yang dekat dengan Allah dan Rasulullah. Apakah yang mereka miliki di dunia ini?. Jika kita tidak mengetahui ulama-ulama terdahulu yang tidak hidup sezaman dengan kita, lihat sahaja ulama sezaman iaitu almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Bagaimanakah kehidupannya walaupun bergelar Menteri Besar. Mahu tahu kehidupan almarhum?.  Sila layari artikel berjudul “Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Dalam Kenangan” bertarikh 5.3.2015.

10.  Berusahalah meniru kehidupan Rasulullah.  Jangan berlumba-lumba membina mahligai kerana ia akan ditinggalkan tidak lama lagi?. Berebut dan berlumbalah untuk membina mahligai kita di syurga. Dunia ini Allah jadikan untuk kita membuat persiapan membina syurga di akhirat dan bukannya membina neraka yang penuh keazaban dan penderitaan itu.

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

Thursday 24 December 2015

MENGINGATI RASULULLAH SAW

 
MAKAM RASULULLAH SAW DIMASJID NABAWI, MADINAH

1.  Pada hari ini (24.12.2015) sekali lagi umat Islam seluruh dunia menyambut kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW atau apa yang kita kenali sebagai Maulidur Rasul.  Pada 12 Rabiulawal, iaitu 1,444 tahun yang lalu Muhammad bin Abdullah, Rasulullah telah dilahirkan ke dunia untuk membawa sinar kepada umat manusia dan membawa rahmat kepada seluruh alam.  Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Anbiyaa [Para Nabi](21:107) yang berbunyi:




“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.

2.   Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:31), Allah berfirman yang berbunyi:




“Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka ikutlah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah SWT akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

3. Tujuan menyambut Maulidur Rasul ini tidak lain melainkan untuk mengingati Rasulullah dan menunjukkan kasih sayang kita kepadanya.  Kita idak sempat menatap wajah Rasulullah. Kita menjadi umat yang istimewa kerana walaupun tidak melihat wajahnya kita tetap beriman kepada agama yang dibawanya. Tanpa melihat wajahnya apakah lagi cara untuk kita mengingati Rasulullah. Mungkin dengan cara kita melihat gambar-gambar yang telah berusia ribuan tahun berkaitan Rasulullah. Di bawah ini saya paparkan sebahagian kecil gambar-gambar berkaitan Rasulullah untuk tatapan kita bersama.  Mudah-mudahan dengan menatapnya kita akan merasa lebih kasih dan sayang serta dekat kepadanya.  Islam mengajar kita untuk menyayangi Rasulullah lebih dari ahli keluarga kita sendiri.


RUMAH RASULULLAH DI MEKAH SEDANG DIROBOHKAN





















SURAT KEPADA RAJA NIJASHI, RAJA HABSYAH

SURAT KEPADA RAKYAT OMAN, ARAB SELATAN

SURAT KEPADA RAJA HERCULES
“Gantunglah cita-citamu di tempat yang tinggi supaya ia tidak dapat dimusnahkan oleh orang lain kerana cita-cita itu adalah sumber kekuatan perjuangan yang tidak terhingga dari segi zahir dan batinnya” – Mutara Kata Imam Abu Hanifah

Tuesday 22 December 2015

KELEBIHAN SEDEKAH : ORANG YANG TELAH MATI MAHU HIDUP SEMULA KERANANYA




1.  Dalam Surah Al-Munafiqun[Orang Munafik](63:10) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


“Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata: "Ya Rabb-ku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian)ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh?"

2. Dalam firman di atas kenapakah Allah tidak menyebut meminta menangguhkan kematian untuk mengerjakan solat, umrah, berpuasa atau membuat kebajikan yang lain.  Dalam konteks ini berkata seorang ulama : “Tidaklah seseorang yang telah mati itu menyebut untuk bersedekah melainkan kerana kehebatan pahala yang telah dilihatnya selepas kematiannya.” Maka hendaklah kita sentiasa memperbanyakkan bersedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin akan berada di bawah teduhan pahala sedekahnya pada hari kiamat nanti.

3.  Bersedekahlah untuk kedua orang tua kita yang telahpun meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka amat berharap untuk kembali ke dunia untuk bersedekah dan melakukan amalan soleh. Oleh itu realisasikanlah harapan mereka dengan memperbanyakkan bersedekah dengan meniatkan pahalanya untuk mereka.. Latihlah anak-anak kita supaya membiasakan diri dengan bersedekah. Semoga amalan itu dilakukan oleh mereka untuk kita setelah kita berada di alam barzakh nanti.  Sesungguhnya Allah memberi ganjaran pahala yang besar kepada orang yang bersedekah.  

4.  Adakah kita mengetahui tentang kelebihan dan faedah bersedekah?. Antaranya ialah:

          4.1.   Sedekah itu adalah salah satu pintu dari pintu-pintu syurga.

        4.2.   Sebaik-baik amalan yang soleh dan sebaik-baik sedekah ialah memberi makan.

4.3.   Pahala sedekah akan menaungi pemiliknya pada hari kiamat dan melepaskanya dari azab neraka.

4.4.   Dapat memadam kemurkaan Allah dan kepanasan kubur.

4.5.  Sebaik-baik hadiah buat simati, yang paling bermanfaat untuknya di alam barzah.

4.6.  Sedekah adalah satu kaedah penyucian harta dan jiwa serta dapat menggandakan kebaikan.

4.7. Boleh menjadi punca kegembiraan sipemberi dan punca wajahnya bercahaya di hari kiamat.

4.8.  Ia boleh menjadi pengaman dari ketakutan pada hari huru hara besar iaitu hari kiamat.

4.9.  Boleh menjadi punca keampunan bagi dosa dan penghapusan dari kejahatan.

4.10. Salah satu dari amalan orang yang terbaik dikalangan manusia. 

Kupasan dari kitab “Ziarah Ke Alam Barzakh” (Al Imam Jalaluddin As-Suyuti)

5.   Jomlah kita berlumba-lumba untuk bersedekah.  Itu adalah salah satu dari sumber kekayaan kita di akhirat nanti. Ingatlah bahawa salah satu dari kesukaan Rasulullah SAW ialah bersedekah.  Ikutlah sunnah Rasulullah agar kita termasuk dalam kalangan orang yang disayangi Allah dan Rasulullah.


“Orang yang paling aku sukai adalah orang yang menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab