Saturday, 19 December 2015

MENYUSURI MUTIARA KATA IMAM SYAFIE RAHIMAHULLAH


MAKAM IMAM SYAFIE DI MESIR

“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” Petikan dari Surah Luqman(31:22)

1.    Imam Syafie telah dilahirkan pada tahun 766 M bersamaan bulan Rejab tahun 150 Hijrah, iaitu lebih kurang 134 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia. 

2.  Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Syafie bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Imam Syafie berasal dari keturunan arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad SAW. Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun. Beliau menghafal kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun. Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa. 

3.  Imam Syafie  berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Ahmad bin Hambal (mazhab Hambali). Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulama sebelum mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur Al-Maturidi.

4.    Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama dengan menggunapakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun nas  dari Quran dan hadis.” Beliau juga berpesan: Tiap-tiap perkara yag saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”.

5.  Beliau adalah pengasas kepada mazhab Syafie, salah satu daripada mazhab Islam yang banyak diikuti oleh penganut agama Islam di India, Indonesia dan Malaysia. Pada malam Jumaat 29 Rejab 204 H bersamaan 19 Januari 820 M, beliau telah kembali kerahmatullah di Mesir ketika berusia 54 tahun. Al-Fatihah. Almarhum telah dimakamkan di perkuburan Bani Abd al-Hakam berdekatan Gunung al-Muqattam.

6.   Penerangan di atas hanyalah sedikit maklumat tentang latar belakang Imam Syafie.  Apa yang saya ingin kongsikan dengan pembaca blog saya bukannya riwayat hidup almarhum tetapi 10 mutiara kata almarhum, iaitu seperti berikut:

6.1. “Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”

6.2.  “Berapa banyak manusia yang masih hidup dalam kelalaian sedangkan kain kafannya sedang ditenun”.

6.3.   “Orang yang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman. Tinggalkan negerimu, merantaulah ke negeri orang.”

6.4.   “Jangan cintai orang yang tidak mencintai Allah.  Ini kerana jika  Allah pun dia tinggalkan apalagi kamu”.

6.5.   “Barang siapa yang menginginkan husnul khatimah, hendaklah dia selalu bersangka baik dengan manusia”. 

6.6.  “Doa ketika solat tahajjud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasarannya”.

6.7.   “Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat”.

6.8.  “Seorang ahli sufi tidak menjadi sufi jika ada pada dirinya empat perkara: iaitu malas, suka makan, suka tidur dan berlebih-lebihan.”

6.9.  “Sesiapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi maka dia benar-benar menasihatimu.  Sesiapa yang menasihatimu dikhalayak ramai, dia sebenarnya menghinamu.”

6.10. “Jadikan akhirat sentiasa di hatimu, dunia di tanganmu dan kematian di kelopak matamu”. 

7.    Sama-samalah kita renungi 10 mutiara kata atau kata-kata hikmah peninggalan almarhum Imam Syafie ini dan berusaha mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita. Tidak mungkin untuk kita belajar ilmu agama setinggi ilmu yang dimiliki almarhum.  Justeru itu memadailah jika kita dapat mengamalkan mutiara kata beliau dalam hidup kita.

“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”. ~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab

Sebahagian sumber dari grup watsap MPKM

No comments:

Post a Comment