Wednesday, 9 December 2015

CINTA SEJATI IALAH CINTA KEPADA ALLAH SWT


“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui”. [Petikan dari Surah Saba (34:28)]

1.   Islam adalah agama yang serba lengkap. Ia menganjurkan penganutnya untuk mencari dunia dan juga akhirat. Dunia itu pula ialah ibarat jambatan untuk menuju ke akhirat.  Ini bererti apa jua amalan yang kita dilakukan di dunia ini semuanya boleh memberikan kita sama ada dosa ataupun pahala dan kesudahannya tentulah berakhir dengan dengan balasan Allah samada syurga atau neraka. 

2.   Satu ketika Ahmad ibn Abi Al-Hawari bertanya kepada seorang ulama bernama Abi Safwan Al-Ru'Ainy. Katanya; "Dunia yang manakah yang dicela oleh Allah SWT dalam Al-Quran yang patut dijauhi oleh orang-orang yang berakal?”. Jawab Abi Safwan: ''Dunia yang dicela adalah dunia di mana apabila seseorang melakukan sesuatu amalan ia mengharapkan pelbagai ganjaran serta balasan yang setimpal dengannya. Tetapi jika seseorang itu membuat sesuatu amalan dan mengharap balasan akhirat dan keredaan Allah maka itu bukan tergolong orang yang dicela”.

3.   Berdasarkan penjelasan Abi Safwan ini menunjukkan bahawa niat atau nawaitu itu sangat penting bagi menentukan samada kita beroleh pahala disisi Allah ataupun tidak. Walaupaun lahiriah kelihatan seperti urusan dunia, tetapi jika diniatkan hanya kerana Allah maka ia akan tergolong dalam urusan akhirat juga.  Contohnya kita bekerja mencari rezeki yang halal untuk memelihara isteri dan membesarkan anak-anak.

4.  Dunia yang dibenci oleh Allah ialah apabila segala perlakuan dan perbuatannya bukan diniatkan kerana Allah SWT. Misalnya seorang pendakwah. Walaupun bekerja untuk meningkatkan syiar Islam dan agama Allah tetapi jika sering merungut dengan bayaran yang diterima menjadikan mereka tidak lagi ikhlas kerana Allah.  Kita mungkin biasa mendengar pendakwah yang menetapkan bayaran yang tinggi dan merungut jika tidak memperolehi apa yang dihajatkan. Inikah harga sebuah perjuangan untuk agama Allah. Orang seperti ini hanya zahir sahaja nampak bekerja untuk agama Allah tetapi hakikatnya mereka hanyalah beroleh dunia semata-mata. 

5.   Bercintalah dengan Allah SWT kerana ia tidak terlalu sukar berbanding dengan bercinta dengan manusia. Bercinta dengan manusia kadang kala memerlukan pengorbanan yang besar dan dipenuhi pula  dengan pelbagai syarat. Boleh saja terjadi cinta tidak kesampaian, kasih terbengkalai dipertengahan jalan, menangis kerana putus cinta, cinta yang dikhianati dan sebagainya. Hanya mampu ketawa dan bergembira bila hasrat dari cinta terlaksana. Sungguh jauh sekali bezanya dengan bercinta dengan Allah SWT. Cinta dengan Allah adalah cinta yang tidak akan berpaling tadah. Cinta yang tiada kecurangannya dan cinta yang tiada syaratnya. Bukankah ini cinta yang sejati.  Bukankah Allah yang melindungi kita dari sebarang kejahatan, menutup mata kita dari memandang maksiat, menutup telinga kita dari mendengar perkara yang tidak baik, menguncikan mulut kita dari berkata perkara yang tidak ada kebenaran dan kebaikannya.

6.  Bukannya  tidak boleh bercinta sesama manusia.  Memang fitrah manusia itu suka kepada cinta, rindu dan kasih sayang, mahu hidup berpasangan dan sebagainya.  Namun perlu disedari bahawa cinta kepada Allah dan Rasulullah wajib berada di tempat yang paling atas.  Semoga dengannya kita beroleh  rahmat Allah dan sentiasa berada dalam perlindunganNya. 

“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya”- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Assidiq

No comments:

Post a Comment