BEKAS PENINGGALAN RUMAH RASULULLAH DIMEKAH SEBELUM DIROBOHKAN |
1. Artikel ini adalah sambungan dari artikel sebelum ini bertarikh 24.12.205. Kita masih lagi dalam suasana menyambut Maulidur Rasul. Dalam suasana mengingati, merindui dan menyanyangi Rasulullah. Untuk itu pada posting kali ini kita akan menyusuri secara ringkas kehidupan Rasulullah SAW yang sangat-sangat sederhana.
2. Di dalam rumah Rasulullah SAW tidak ada apa-apa. Baginda
mendiami sebuah rumah yang sangat sederhana tanpa ada satu pun tanda-tanda
kemewahan di dalamnya. Tidak ada gambar atau lukisan pada dinding seperti yang
ada di rumah-rumah orang zaman sekarang ini. Rasulullah pernah bersabda yang
bermaksud; “Malaikat tidak akan masuk ke
dalam rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan lukisan.” (Hadis Riwayat Bukhari).
3. Apakah ada perabut rumah yang berharga dalam rumah Rasulullah?. Mari kita ikuti apa yang pernah
disampaikan oleh sahabat-sahabat Rasulullah tentang keadaan rumah Rasulullah
dan apa-apa yang ada di dalamnya. Zaid bin Tsabit berkata, “Anas bin Malik,
pelayan Rasulullah pernah memperlihatkan kepadaku tempat minum Rasulullah yang
dibuat dari kayu yang keras yang dipatri dengan besi, lalu Anas berkata, ‘Wahai
Tsabit, inilah tempat minum Rasulullah.’” (Hadis Riwayat Tirmidzi) “Dan dengan
gelas kayu itulah Rasulullah minum air, perahan kurma, madu, dan susu.” (Hadis
Riwayat Tirmidzi). Dari Anas bin Malik radiyallahu ‘anhu diberitakannya; “Bahwasanya
Rasulullah minum sebanyak tiga teguk dan bernafas di luar gelas, tidak di dalam
gelas ketika sedang minum.”
4. Salah satu dari barang yang dapat dilihat dalam rumah baginda
adalah baju besi yang biasa dipakai Rasulullah ketika perang. Namun demikian tidak
lama sebelum Rasulullah wafat, baju besi
itu telah baginda gadaikan kepada seorang Yahudi dengan harga 30 sha’ gandum. Itulah cerita dari isteri Rasulullah, Aisyah.
Dan ketika Rasulullah wafat, baju itu berada di tangan Yahudi dan belum
ditebusnya kerana kekurangan wang.
5. Rasulullah tidur bersama isterinya Aisyah dalam sebuah bilik
yang sangat kecil. Jika Rasulullah
bangun malam untuk solat tahajjud dan beramal maka Aisyah perlu mengubah
sedikit kakinya bagi memberi laluan Rasulullah solat. Itulah gambaran betapa kecilnya bilik tidur
kekasih Allah SWT. Tidur pula bukan di atas tilam empuk seperti kita melainkan
hamparan tikar dengan dialasi sedikit kain.
6. Setelah melangkah dari rumah Rasulullah akan kelihatan deretan
rumah-rumah petak yang berdampingan dengan rumah baginda yang dibina dari tanah
liat dan batu-batu yang tersusun. Atapnya dari pelepah kurma, berhimpit satu
sama lain. Inilah rumah isteri-isteri baginda yang menjadi pendamping setia tatkala
suka mahupun duka. Hasan bin Ali, cucu Rasulullah pernah menceritakan keadaan
rumah-rumah petak itu. Katanya ; “Aku pernah masuk ke dalam rumah isteri-isteri
Rasulullah sewaktu khalifah Uthman memerintah di mana aku pernah menyentuh
atapnya yang diperbuat dari rumbia kurma.
7. Kenapakah Rasulullah begitu bersederhana dalam kehidupannya.
Hinggakan hampir menyamai orang miskin.
Inilah jawapan Rasulullah dalam sabda-sabdanya:
7.1. “Orang
yang pandai adalah orang yang senantiasa membaiki diri dan menyiapkan bekal
untuk kematiannya.” (Hadis Riwayat Termizi).
7.2. “Demi
Allah tiadalah kelebihan dunia berbanding dengan akhirat melainkan seperti
seseorang yang mencelup jarinya ke dalam laut dan kemudian melihat apa yang
terlekat dijarinya. Air yang terlekat dijari itu ialah dunia manakala air yang
ditinggalkan dalam lautan itu pula ialah akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim
dan Ibn Majah).
7.3. "Sekiranya dunia ini ada nilai atau
harga di sisi Allah walaupun seberat sayap nyamuk, maka nescaya Allah tidak
akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air." (Hadis Riwayat Termizi).
7.4. "Jadilah
engkau di dunia ini seperti orang asing atau bahkan seperti orang yang sekadar
musafir”. (Hadis Riwayat Bukhari).
7.5. Satu hari Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah
tidur di atas sebidang tikar. Ketika bangkit dari tidurnya tikar tersebut
meninggalkan bekas pada tubuh baginda. Berkatalah Ibnu Mas’ud, “Wahai
Rasulullah, alangkah baiknya seandainya aku boleh persiapkan untukmu tilam yang
empuk”. Rasulullah menjawab; “Ada
kecintaan apa aku dengan dunia?. Aku di dunia ini tidak lain kecuali seperti
seorang pengembara yang mencari tempat berteduh di bawah pohon, lalu
beristirahat dan kemudian meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Termizi).
7.6. Umar Al-Khattab pernah menangis melihat Rasulullah yang hanya tidur di atas sebidang
tikar tanpa dialasi apapun sehingga
terlekat bekas tikar di belakang dan rusuk baginda. Lalu Rasulullah bertanya
Umar; “Kenapa engkau menangis wahai Umar?’. Kata Umar, “Wahai Rasulullah,
sesungguhnya Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Romawi) berada dalam
kemegahannya, sedangkan engkau adalah utusan Allah.” Rasulullah menjawab; “Tidakkah engkau redha mereka mendapat dunia
sedangkan kita memperolehi akhirat?” (Hadis Riwayat Bukhari).
8. Rasulullah memilih jalan hidup yang sebegitu kerana baginda
amat-amat menyedari akan firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:
8.1. Dalam Surah Al-Hadid [Besi](57:20) yang berbunyi:
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan)
kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata)
permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga
(bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan,
kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda
dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang
(menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan
tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke
suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning;
akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di
akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan
kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah
(disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa)
kehidupan dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya)
tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang
terpedaya.”
8.2. Dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran] (3:185) pula berbunyi:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai
mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan
kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga
maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia
ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
9. Allah mengutuskan Rasulullah kepada manusia tidak lain
melainkan untuk menjadi contoh teladan terbaik bukan?. Jika ya jawapannya,
kenapakah kita hari ini terlalu jauh dari Rasulullah dalam menjalani kehidupan
seharian. Kenapa dunia yang kita kejar dan buru sedangkan Rasulullah mengejar
dan memburu akhirat. Jadi dimanakah buktinya kita mengasihi dan menyanyangi
baginda. Cuba perhatikan kehidupan para
ulama pewaris nabi yang dekat dengan Allah dan Rasulullah. Apakah yang mereka
miliki di dunia ini?. Jika kita tidak mengetahui ulama-ulama terdahulu yang tidak
hidup sezaman dengan kita, lihat sahaja ulama sezaman iaitu almarhum Tuan Guru
Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Bagaimanakah kehidupannya walaupun bergelar Menteri
Besar. Mahu tahu kehidupan almarhum?.
Sila layari artikel berjudul “Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat Dalam
Kenangan” bertarikh 5.3.2015.
10. Berusahalah meniru kehidupan Rasulullah. Jangan berlumba-lumba membina mahligai kerana
ia akan ditinggalkan tidak lama lagi?. Berebut dan berlumbalah untuk membina
mahligai kita di syurga. Dunia ini Allah jadikan untuk kita membuat persiapan
membina syurga di akhirat dan bukannya membina neraka yang penuh keazaban dan
penderitaan itu.
“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan
akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang
suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang
terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata
Imam Hassan Basri
No comments:
Post a Comment