Tuesday 26 May 2015

KEBENARAN AL-QURAN : MENYINGKAP RAHSIA BINAAN PIRAMID

 
1.  Sejarah telah merakamkan pembinaan piramid di Lembah Raja-Raja, bandar purba Giza, Mesir semenjak lebih 3,300 tahun yang lalu. Terdapat tiga piramid yang terkenal iaitu Piamid Khufu, Piramid Menkaure dan Piramid Khefre. Ia dikatakan mengambil masa 20 tahun untuk disiapkan. Bangunan yang dianggap 7 perkara ajaib di dunia ini digunakan untuk menyimpan mayat/mumia dan harta kepunyaan raja (firaun) Mesir purba. Semenjak penemuannya ia menimbulkan kehairanan ramai orang dan pengkaji sejarah purba. Bangunannya yang dibina dari batu besar menimbulkan tanda tanya yang amat besar.  Dari manakah batu yang sangat besar dan berat yang setiap seketul melebihi 1 tan itu diperolehi. Dan bagaimanakah pula ia disusun?. Ini kerana kawasan sekitarnya adalah padang pasir dan tidak ada gunung ataupun bukit berbatu. Sewaktu piramid dibina ia dikatakan berukuran 145.75 meter (481 kaki) tinggi. Setelah ribuan tahun berlalu, piramid telah hilang 10 meter (30 kaki) ketinggiannya akibat hakisan. 

2.  Kajian-kajian terbaru tentang rahsia pembinaan piramid ini telah ditemui. Misalnya akhbar American Times keluaran 1.12.2006 telah menyiarkan berita ilmiah yang mengesahkan bahawa rakyat Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Pengkaji berpendapat rakyat Firaun mahir dalam ilmu kimia dan mengolah tanah liat.  Walau bagaimanapun kaedah yang mereka gunakan masih menjadi misteri hingga kini. Berita yang telah diterbitkan dalam majalah “Journal of American Ceramic Society” menegaskan bahawa rakyat Firaun menggunakan jenis tanah slurry untuk membina piramid. 

DR. JOSEPH DAVIDOVITS
3.  Menurut penelitian pengkaji dari Perancis dan Belgium, mereka menyebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid berasal dari tanah liat yang dibakar. Profesor Dr. Joseph Davidovits seorang saintis dari Peranchis telah melakukan eksperimen selama dua puluh tahun lamanya. Beliau telah mengambil contoh batu piramid untuk dianalisis dengan menggunakan mikroskop elektron. Hasilnya beliau merumuskan batu piramid diperbuat dari lumpur atau tanah liat terutama dibahagian atasnya di mana sukar untuk menaikkan batu yang besar.  Seorang lagi pengkaji, iaitu Profesor Guy Demortier dari Universiti Namur, Belgium berkata setelah bertahun-tahun melakukan kajian barulah ditemui bahawa  piramid diperbuat dengan menggunakan tanah liat.
PROF.GUY DOMERTIER
4.    Rupa rupanya rahsia bahan binaan piramid yang amat dikagumi dan menjadi salah satu perkara ajaib di dunia ini telahpun dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu. Apakah dalilnya.  Dalam Surah Al-Qashah [Kisah-kisah] (28:38), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:

“Dan Firaun pula berkata: “Wahai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah tanah liat, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta”.

 5.   Ayat di atas membuktikan bahawa binaan bangunan tinggi pada zaman Firaun/Nabi Musa ialah dengan menggunakan tanah liat  yang dibakar.  Ia disokong oleh penemuan pengkaji moden abad ini seperti huraian di atas yang mengesahkan bahawa piramid dibina dari bahan tanah liat. 

6.  Bukankah mustahil sama sekali untuk Rasulullah SAW mengetahui binaan piramid itu dari tanah liat kerana jarak masa Firaun/Nabi Musa dengan Rasulullah ialah melebihi 2,000 tahun. Malah di Mekah sendiri pada zaman Rasulullah tidak ada bangunan tinggi yang diperbuat dari tanah liat.  Justeru yang pastinya ialah perkhabaran dalam Al-Quran seperti ayat di atas sudah tentu dari tuhan yang menurunkan Al-Quran itu sendiri.  Ini adalah satu lagi bukti bahawa Al-Quran itu adalah dari tuhan seluruh alam dan bukannya ciptaan manusia yang bernama Muhammad.

7.  Apakah tidak ada keyakinan lagi kepada orang bukan Islam untuk menyakini bahawa Islam adalah agama yang benar yang datangnya dari tuhan yang Maha Besar, Maha Benar, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

“Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya”. ~ Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

Friday 15 May 2015

HIKMAH ALLAH MELARANG WANITA HAID BERSOLAT DAN BERPUASA


1.  Dalam Surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:222) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:



"Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Darah haid itu adalah suatu kotoran." Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci". 

2.   Berkaitan dengan wanita haid ini Rasulullah SWT telah bersabda yang bermaksud:

2.1.   Dari Abu Said Al-Hudri, Rasulullah SAW bersabda:  Bukankah jika (seorang wanita) haid ia tidak solat dan tidak puasa?" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.2.   Dari Siti Aisyah, Rasulullah SAW bersabda, "Kami diperintahkan untuk mengkada’ puasa dan tidak mengkada’ solat."

2.3.   Dari Abu Sai’d, Rasulullah SAW bersabda:

“Bukankah bila wanita haid dia tidak solat dan tidak pula puasa? Itulah keringanan agama bagi wanita. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.4.   Dari Mu’adzah, dia berkata bahawa ada seorang wanita yang bertanya kepada ‘Aisyah, “Apakah kami perlu mengkada’ solat kami ketika telah suci?” ‘Aisyah menjawab, “Apakah engkau seorang Haruri?. Dahulu kami mengalami haid di masa Rasulullah masih hidup, namun beliau tidak memerintahkan kami untuk mengkada’nya. Atau ‘Aisyah berkata, “Kami pun tidak mengkada’nya.” (Hadis Riwayat Bukhari).

3.  Darah haid berwarna hitam pekat dan berbau busuk keluar dari kemaluan wanita pada waktu-waktu tertentu masa pusingan haidnya. Para ulama telah bersepakat bahawa diharamkan solat bagi wanita dalam haid dan nifas, samada solat wajib ataupun solat sunat. Mereka juga sepakat bahawa wanita haid tidak perlu mengkada’ atau menggantinya ketika telah suci. Solat adalah ibadah yang paling utama dalam Islam kerana ia adalah ibadah yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di Padang Mahsyar nanti.  Ibadah ini merupakan saluran perhubungan seorang hamba kepada tuhan dan penciptaNya.  Dalam posting pada 12.2.2015 lalu yang bertajuk “Hikmah DiSebalik Pergerakan Dalam Solat” telah dihuraikan kebaikan solat untuk kesihatan manusia.

4.   Dalam posting kali kita akan dapat melihat manfaat solat untuk ibu yang sedang hamil dan mengapa wanita haid tidak boleh atau diharamkan bersolat dan berpuasa?. Inilah jawapan kepada persoalan ini menurut kajian perubatan moden. Beberapa kajian perubatan moden membuktikan bahawa pergerakan badan  seperti dalam solat banyak memberikan manfaat bagi ibu yang hamil. Namun begitu pergerakan seperti ini berbahaya bagi wanita dalam haid. Mengapa?:

4.1.  Ketika wanita sedang bersolat dalam pergerakan sujud dan rukuk secara semula jadi akan meningkatkan peredaran darah ke rahim kerana keperluan sel-sel rahim dan ovari seperti sel-sel limpa yang menyedut banyak darah. Begitu juga apabila seorang ibu mengandung, rahim memerlukan darah yang cukup agar janin mendapat zat dan untuk membersihkan pencemaran. Jika seorang ibu mengandung bersolat, aktivitinya ini akan membantu membawa darah yang cukup ke janin.

4.2.  Bagi wanita yang datang haid pula, jika mereka mengerjakan solat akan menyebabkan banyak darah mengalir ke rahimnya. Kesannya akan berlaku kehilangan darah bersih / baik kerana ia akan keluar bersama darah haid. Semasa sedang haid, dianggarkan wanita akan kehilangan darah sebanyak 34 mililiter. Kadar yang sama pada cecair lain juga. Jika wanita haid menunaikan solat, zat imuniti (ketahanan tubuh) di badannya akan rosak. Ini kerana  sel darah putih yang berperanan sebagai imun akan hilang dibawa bersama darah haid. Mengalirnya darah akan meningkatkan kemungkinan menularnya penyakit. Namun Allah menjaga wanita haid dari penularan penyakit dengan menumpukan sel darah putih di rahim semasa haid agar dapat menjaga badan dan melawan pelbagai penyakit. Jika wanita solat ketika haid, maka dia akan kehilangan darah dalam jumlah banyak. Ini bererti dia akan kehilangan sel darah putih. Jika ini berlaku maka seluruh organ tubuhnya seperti limpa dan otak mudah diserang penyakit.

4.3.   Inilah hikmah besar disebalik larangan kepada wanita haid agar tidak melakukan solat hingga mereka berada dalam keadaan suci semula. Disamping itu, gerakan fizikal ketika sujud dan rukuk akan menambah aliran darah ke rahim. Selain dari itu, wanita haid bersolat akan menyebabkan kekurangan zat besi dari badannya.

5. Kenapakah pula Islam melarang wanita berpuasa ketika haid. Kita kerap mendengar doktor akan menasihatkan supaya wanita dalam haid agar banyak berehat dan mengambil makanan yang berkhasiat. Nasihat ini selaras dengan larangan untuk berpuasa semasa haid.  Ini kerana menurut kajian perubatan berkaitan darah, magnesium dan zat besi dalam badan yang berharga yang keluar bersama darah haid dapat digantikan dengan zat makanan yang dimakan semasa dalam haid.

6. Larangan berpuasa bagi wanita dalam haid dapat dilihat dalam keterangan berikut:

6.1. Mu’adzah pernah bertanya kepada Saiyidatina ‘Aisyah: “Kenapakah wanita yang haid perlu mengkada’ puasa tetapi tidak perlu mengkada’ solat?”. Maka Aisyah menjawab, “Apakah kamu dari golongan Haruriyah?” Aku menjawab: “Aku bukan Haruriyah, akan tetapi aku hanya bertanya”. Aisyah menjawab, “Kami dahulu juga mengalami haid, maka kami diperintahkan untuk mengkada’ puasa dan tidak diperintahkan untuk mengkada’ solat’.” (Hadis Riwayat Muslim).

6.2.  Berdasarkan keterangan di atas, para ulama memutuskan bahawa wanita yang dalam keadaan haid dan nifas tidak wajib berpuasa tetapi wajib mengkada’ solatnya. 

7.  Maha Suci Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya setiap larangan dan suruhan dalam agama Islam itu pastinya untuk kebaikan manusia.  Faedahnya hanya akan diketahui apabila kajian mengenainya dilakukan.  Al-Quran itu bukanlah sebuah buku cerita atau novel sehingga boleh menjelaskan segala-galanya.  Begitu juga dengan sabda-sabda Rasulullah SAW.  Inilah satu lagi bukti bahawa agama Islam itu ialah agama yang serba lengkap dan sempurna.

“Manusia yang paling lemah ialah orang yang tak sanggup cari teman dan yang paling lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan teman yang telah diperolehinya.” – Mutiara kata Imam Al-Ghazali.

Sebahagian kandungan dipetik dari detikislam.blogspot.com

Tuesday 12 May 2015

SEMUA KEHIDUPAN BERMULA DARI AIR : KEBENARAN AL-QURAN

 

1.  Lebih dari 1,400 yang lalu Al-Quran telahpun memberikan penjelasan konkrit bahawa setiap penghidupan di dunia ini berasal dari air. Lihat firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

1.1.   Surah Al-Anbiya [Para Nabi](21:30) yang berbunyi: 

“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya. Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”

1.2.   Surah An-Nur [Cahaya](24:45) yang bebunyi:
 

Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

1.3.   Surah Ta-Ha (20:53) pula berbunyi:


“(Dialah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Dia telah mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang; dan Dia juga telah menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.
2.  Dari segi saintifiknya adakah kenyataan tegas dalam Al-Quran ini benar.  Jawapannya ia memang benar dan sangat tepat. Mengikut BBC News dalam segmen Science and Nature (Space) yang bertarikh 27 Mei 2006, pakar-pakar biologi telah bersepakat bahawa air adalah asas kepada kehidupan. Tanpa air kehidupan tidak boleh wujud dan sekiranya ia wujud sekalipun, ia tidak boleh bertahan dan berterusan tanpa air.

3.  Kenyataan bahawa kehidupan bermula daripada air disokong pula dengan penemuan terbaru yang mendapati bahawa hidupan mungkin bermula di bawah lautan. Mengikut BBC News Online bertarikh 9 September 1998, di segmen Sci/Tech bawah tajuk “Springing To Life Under The Sea”, saintis-saintis mengatakan rahsia mengenai kewujudan hidupan yang awal di dunia mungkin wujud 9,000 kaki di bawah lautan Atlantik. Di kawasan itu saintis menemui semburan hidrogen dan selepas mereka mengkaji persekitarannya, mereka merasakan ia sesuai bagi melahirkan kehidupan di peringkat awal.

4.  Setiap kehidupan terbina daripada sel dan kehidupan sel bergantung kepada protoplasma.  Protoplasma pula memerlukan air untuk hidup kerana 80 peratus daripadanya adalah air.  Oleh itu  dirumuskan tidak boleh wujud sebarang hidupan tanpa air.

5.  Kesemua penemuan saintifik ini membuktikan kenyataan dalam Al-Quran bahawa segala kehidupan bermula daripada air adalah benar dan tepat.  Maha Suci Allah yang Maha Pencipta. Apakah ada lagi agama lain di dunia ini yang membiacarakan perkara yang sama?.  Pasti tidak ada.  Kerana Islam adalah sebenar-sebenarnya agama dari pencipta manusia dan alam ini.  Penciptanya ialah tidak lain melainkan Allah SWT.

“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”. ~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab