Friday, 8 May 2015

6 PERSOALAN HIDUP MENURUT IMAM AL GHAZALI

 
LUKISAN GAMBARAN WAJAH IMAM GHAZALI
1.    Satu hari Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu dia bertanya kepada mereka, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab ibu bapa, adik beradik, guru, teman, dan kaum kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi menurut Imam Ghazali yang paling dekat dengan manusia adalah mati. Sebab itu sudah menjadi janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. Dalam konteks ini Allah SWT berfirman dalam Surah  Al Imran[Keluarga Imran] (3:185) yang berbunyi:




“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

2.   Imam Ghazali seterusnya mengemukakan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah masa silam. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan yang kita gunakan, kita tetap tidak akan boleh kembali ke masa silam. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang mendatang dengan perbuatan dan amalan yang sesuai dengan tuntutan ajaran Islam.


3.   Soalan ketiga Imam Ghazali ialah: "Apakah yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah nafsu. Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.  Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A’raf [Tempat Yang Tinggi](7:179) yang berbunyi:





“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

4.   Seterusnya Imam Ghazali bertanya soalan keempat yang berbunyi: "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab dengan jawapan kayu balak, besi dan gajah. "Semua jawapan itu benar," kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah memegang amanah.  Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:72) yang berbunyi:






“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

5.  Soalan  kelima beliau adalah, "Apa yang paling ringan di dunia ini?". Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daun. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Hanya kerana sibuk bekerja kita tinggalkan solat.  Hanya kerana bermesyuarat kita  tinggalkan solat.

6.    Soalan terakhir Imam Ghazali ialah: "Apakah yang paling tajam di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab dengan serentak, ‘pedang’.  Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah lidah manusia. Kerana melalui lidah manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

7.  Sememangnya benar apa yang telah dijawab oleh Almarhum Imam Ghazali Rahimahullah. Sama-samalah kita jadikan soalan-soalan dan jawapan-jawapan di atas sebagai renungan dalam meneruskan kehidupan kita yang ada penghujungnya ini.







“Sekiranya manusia mengetahui keburukan percakapan dan hawa nafsu maka mereka akan melarikan diri daripada keduanya sebagaimana mereka melarikan diri dari harimau.” – Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah

Sebahagian kandungan dipetik dari eramuslim.com

No comments:

Post a Comment