Saturday, 9 May 2015

ETNIK ROHINGYA MYANMAR : BERDOSAKAH MEREKA KERANA BERAGAMA ISLAM?

  

1.  Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan agar  seseorang Islam saling sayang menyanyangi dan tolong menolong sesama saudara seagama mereka. Allah dengan tegas menyebut bahawa orang-orang Islam itu adalah bersaudara.  Firman Allah SWT di dalam Al-Quran tentang perkara ini ialah seperti dalam surah-surah berikut:

1.1.   Surah Al-Hujurat[Bilik-Bilik](49:10) yang berbunyi:


“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”

1.2.   Surah Al-Fath[Kemenangan] (48:29) pula berbunyi:


“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”

2.  Dalam konteks persaudaraan sesama Islam ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

2.1.  “Allah membantu hambaNya selama mana dia membantu saudaranya” (Hadis Riwayat Muslim).

2.2.   Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2.3. Dari Anas bin Malik, Rasulullah SA.W bersabda: “Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.4.   “Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mengasihi” (Hadis Riwayat Muslim).

3.    Untuk posting kali ini saya akan membicarakan tentang nasib orang Islam etnik Rohingya di Myanmar (Burma) yang seperti telah dilupakan oleh masyarakat dunia, khususnya saudara Islam mereka sendiri di negara-negara lain.  

4.      SEJARAH RINGKAS ETNIK ROHINGYA DI ARAKAN (BURMA):

4.1.   Dari segi sejarahnya, etnik Rohingya yang beragama Islam di Negara Myanmar tinggal di utara Negeri Rakhine yang terletak di Barat Myanmar bersempadan dengan Negara Bangladesh. Rakhine dulunya dikenali dengan nama Arakan. Arakan pernah menjadi Kerajaan Kesultanan Islam pada abad ke-7, iaitu selama 350 tahun dan  pernah menjadi pusat tamadun Islam di Nusantara pada masa itu sehinggalah ia dijajah oleh British pada tahun 1784. Pada awal abad ke-7 itu Arakan telah  menjadi penempatan pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam, namun bukti sejarah tersebut adalah amat sedikit. Orang Rohingya memiliki persamaan fizikal, bahasa dan budaya dengan orang Asia Selatan, terutamanya orang Benggali. Sebahagian orang Rohingya yang menetap di Arakan adalah berketurunan orang Arab, orang Parsi dan orang Pashtun yang berhijrah ke Arakan semasa era pemerintahan Empayar Monghul.

4.2.   Salah seorang Rohingya yang terkenal zaman dahulu ialah Sultan Mahmood, iaitu seorang yang kaya dan berpengaruh. Beliau pernah menjadi setiausaha politik dalam kerajaan Burma pimpinan U Nu dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kesihatan. Orang Islam Rohingya lain dalam kerajaan U Nu yang menjadi setiausaha parlimen antaranya ialah Sultan Ahmed dan Abdul Gaffar. Abdul Bashar, Zohora Begum, Abul Khair, Abdus Sobhan, Rashid Ahmed dan Nasiruddin (U Pho Khine) ialah ahli-ahli parlimen dalam kabinet U Nu.

4.3.   Arakan asalnya adalah negara Islam. Perkataan Arakan berasal dari bahasa Arab yang ertinya ialah rukun. Buktinya ialah wang logam yang digunakan pada masa itu adalah dinar.  Pada satu sisi mata wang dinar itu ialah kalimah 'Lailahaillah' dan satu sisi lagi ialah gambar sultannya. Berita tentang kewujudan orang Islam di Arakan ini telah diputar belitkan oleh media kepunyaan kerajaan Buddha Burma hingga berita sebenar telah digelapkan.  Orang-orang Arakan dikatakan datang setelah penjajahan Inggeris di Burma pada abad ke 17 padahal faktanya mereka  telah berada di Arakan semenjak abad ke 7 lagi.

4.4.  Orang Rohingya telah lama menetap di Arakan, sehinggalah penaklukan oleh orang-orang Burma yang menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri ke Chittagong, daerah di bawah kekuasaan British yang berjiran dengan Arakan. Arakan adalah wilayah yang sedang bergolak sekarang ini. Dan secara mudahnya, etnik Rohingya merujuk kepada golongan Islam yang pernah menetap di Arakan dan kemudian berhijrah ke Chittagong sebelum kembali semula ke Arakan.

5.      KENAPA ETNIK ROHINGYA ISLAM DI BENCI:

5.1. Semasa penjajahan British di India, pihak British telah menggalakkan orang-orang Bengal, terutamanya dari Chittagong untuk berhijrah ke Arakan untuk menguruskan tanaman dan bercucuk tanam di sana. Disebabkan British memerlukan tenaga buruh murah untuk menguruskan tanaman padi di Burma, kemasukan imigran dari Bengal ke Burma meningkat dengan mendadaknya. Penghijrahan yang berlaku ini melibatkan seluruh wilayah di Burma dan tidak hanya terhad di Arakan sahaja. Akibat penghijrahan secara beramai-ramai ini, orang Bengal menguasai ekonomi dan sosio-politik di Burma. Keadaan ini telah menyemai rasa rendah diri, kebencian dan perkauman agama di kalangan penduduk peribumi Burma yang beragama Buddha.

5.2. Kebencian orang Buddha terhadap orang-orang Rohingya bertambah kritikal ketika penaklukan Jepun di Asia. Orang-orang Rohingya majoritinya menyokong pakatan yang diketuai pihak British, sedangkan etnik Rakhine yang beragama Buddha menyokong penuh penjajahan Jepun ke atas Burma. Akibat daripada perbezaan ideologi ini, ribuan etnik Rohingya dibunuh dengan kejamnya oleh kedua-dua pihak Rakhine dan tentera Jepun. Ramai orang-orang Rohingya telah melarikan diri ke Chittagong.

5.3.  Negara Myanmar di ketahui sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Selain dari faktor di atas, kebencian orang Myanmar kepada etnik Rohingya adalah juga kerana kalimah tauhid mereka iaitu, Lailahailallah Muhammad Rasulullah. Agama Islam tidak diterima di sana. Mereka telah menjadikan agama Islam dan penganutnya sebagai musuh mereka. Jika ada orang Islam yang murtad keluar dari Islam maka mereka akan selamat di sana. Situasi ini menggambarkan seolah-olah adalah menjadi satu dosa besar jika beragama Islam. Adakah Islam begitu hina pada pandangan orang Buddha Myanmar?.
 
6.      PENINDASAN KE ATAS ETNIK ROHINGYA:

6.1.  Etnik Rohingya sudah lama teraniaya, tertindas dan dizalimi  serta hidup dalam kesempitan dan penderitaan di bumi Myanmar. Tragedi demi tragedi kemanusiaan yang dialami oleh umat Islam Rohingya telah berlaku semenjak tahun 1938 lagi apabila dilaporkan seramai 30,000 orang Islam telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi yang sama juga berulang pada tahun 1942, 1968 dan 1992. Cuma kebelakangan ini, telah berlaku suatu perubahan apabila kesengsaraan mereka telah di bawa ke pentas dunia. Pertempuran antara penganut agama Buddha Rakhine dan minoriti Rohingya Islam kerap berlaku sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

6.2.   Penderitaan dan kesengsaraan etnik Islam Rohingya di Myanmar bertambah hebat pada 1982 apabila secara tiba-tiba orang Islam Rohingya diisytiharkan pendatang asing di negara sendiri. Mereka telah ditindas melalui undang-undang yang dikenali dengan nama “Burma Citizenship Law of 1982” yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi yang diluluskan oleh pemerintah junta tentera Burma pada tahun 1982.  Undang-undang ini tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara Myanmar, sebaliknya mereka diisytiharkan sebagai ‘pendatang’ di tanahair mereka sendiri. Ekoran dari itu hak mereka sebagai warganegara telah dinafikan oleh pemerintah.  Malahan ada yang ditangkap, dipukul dan pelbagai kekejaman lain yang dikenakan kepada mereka.

6.3.  Sejak diluluskan ‘Burma Citizenship Law’ ini juga, anak-anak Islam Rohingya telah dinafikan hak pelajaran mereka. Undang-undang  ini telah menyebabkan bukan sahaja mereka tidak dapat menyambung pelajaran, malah ada yang langsung tidak dapat belajar ekoran daripada tekanan ekonomi, sosial, penangkapan, penyeksaan dan seumpamanya. Yang menyedihkan lagi ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, didiskriminasi, dirogol dan sebagainya. Bahkan orang Islam turut dinafikan hak dari segi perubatan samada di hospital mahupun di klinik-klinik. Mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka perolehi.

6.4.   Orang Islam juga dinafikan hak untuk  menunaikan haji ataupun menyembelih korban semasa menyambut Aidiladha.  Dengan segala sekatan ini menjadikan mereka tidak dapat menjalani kehidupan sebagai seorang Islam yang bebas untuk melaksanakan ajaran dan tuntutan agama Islam. Penindasan berterusan ini menyebabkan orang Islam Rohingya tidak ada pilihan melainkan terpaksa melakukan penghijrahan dengan menjadi pelarian ke negara-negara lain seperti di Bangladesh, Pakistan, United Arab Emirates, Arab Saudi, Thailand dan juga Malaysia. Dianggarkan lebih dari 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 di Thailand, 150,000 di Pakistan, ribuan lagi di Malaysia. Puluhan ribu pelarian di kem pelarian di Kutupalong dan Coax Bazar di Bangladesh berada dalam keadaan sangat daif dan menyedihkan kerana pihak berkuasa Bangladesh tidak memberi bantuan kepada mereka.

6.5.  Pada awal Jun tahun 2012 telah tercetus satu lagi perbalahan besar apabila seorang wanita etnik Rakhine dirogol dan dibunuh. Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh beberapa lelaki daripada etnik Rohingya. Sebagai tindak balas dendam, puak etnik Rakhine beragama Buddha telah mengepung dan menyerang sebuah bas serta membunuh sepuluh orang lelaki Rohingya kerana menyangkakan merekalah yang bertanggungjawab membunuh dan merogol wanita etnik Rakhine itu. Ini adalah salah satu taktik etnik Rakhine yang jahat mahu mencipta isu.  Ia bertujuan untuk menghalalkan perbuatan jahat mereka. Selepas kejadian itu, kekejaman puak Rakhine telah bermaharajalela. Krisis ini menjadi semakin parah dan berlarutan apabila ia bertukar menjadi lebih ganas dengan pembunuhan etnik Rohingya secara berkumpulan dan sistematik oleh puak Rakhine. 

6.6. Selain dari membunuh dan membakar hidup-hidup etnik Rohingya mereka juga telah membakar kampong halaman dan masjid yang bertujuan untuk mengusir etnik ini lari dan keluar dari penempatan mereka. Etnik Rakhine mengambil kesempatan ini untuk menebus dendam mereka terhadap etnik Rohingya yang telah disimpan sekian lama. Keadaan menjadi bertambah buruk kerana pihak tentera dan polis yang beragama Buddha turut bekerjasama dalam pembunuhan dan pengusiran etnik Rohingya ini.

6.7.  Amnesty International melaporkan kemungkinan ribuan umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh puak pelampau Rakhine. Pelarian Rohingya ke Bangladesh mendakwa pihak polis, tentera dan etnik Rakhine menembak penduduk kampung dengan sesuka hati mereka. Setelah dibunuh mayat mereka dibiarkan berselerak dimana-mana. Mayat mereka dilarang pihak berkuasa untuk dikembumikan.  Ia dibiarkan begitu saja hingga mayat-mayat tersebut dimakan oleh anjing-anjing liar. Malah mereka juga dikatakan tidak boleh memiliki telefon bimbit. Ada kes mereka yang ditangkap dan dipenjara hanya kerana memiliki sebuah telefon bimbit.

6.8.  Apa yang sedang berlaku di Myanmar kini bukan sekadar perbalahan antara dua agama, iaitu Islam dan Buddha. Ia sudah mula menjurus kepada tindakan penghapusan etnik (ethnic cleansing) seperti mana yang telah berlaku di di Bosnia Herzegovina, Yugoslavia  dan Chechnya, Rusia satu ketika dahulu. Sehingga kini, dilaporkan seramai lebih satu juta umat Islam Rohingya telah menjadi pelarian di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Dianggarkan seramai dua juta lagi masih berada di Arakan. 

6.9.  Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rohingya adalah salah satu minoriti di dunia yang paling teruk ditindas.  Elaine Pearson, Timbalan Pengarah Bahagian Hak Asasi Manusia Watch Asia telah berkata; “Sudah bertahun-tahun berlaku diskriminasi, penyalahgunaan dan pengabaian terhadap etnik Rohingya dan ia akan meletup pada satu masa nanti, dan itulah apa yang kita lihat sekarang”. Yang lebih menyedihkan ialah kerajaan Myanmar telah mengklasifikasikan etnik Rohingya sebagai ‘pendatang’ kepada Myanmar dan dengan itu mereka tidak layak untuk menjadi warganegara Myanmar walaupun telah tinggal di sana beratus tahun lamanya.

                                 KLIK VIDEO LAPORAN BERTA DUNIA TENTANG
                                    KEZALIMAN TERHADAP ETNIK ROHINGYA

BIARLAH GAMBAR-GAMBAR DI BAWAH INI BERBICARA UNTUK ANDA

              BEGINILAH BETAPA DHAIFNYA KEHIDUPAN MEREKA

TATAPI DAN RATAPILAH PENDERITAAN SAUDARA KITA  



 







APAKAH KITA SEDHAIF MEREKA.  JADI BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH DAN BANTULAH MEREKA.



            PIHAK BERKUASA JUGA TERLIBAT DALAM PENGUSIRAN TERANCANG








7.      APAKAH ETNIK ROHINGYA MYANMAR MEMPUNYAI MASA
         DEPAN?
JENERAL THEIN SEIN
7.1.  Kenyataan Presiden Myanmar, Jeneral Thein Sein dalam menjelaskan pendirian kerajaan Myanmar terhadap isu Rohingya ini memberikan gambaran negatif terhadap masa depan etnik Islam Rohingya. Beliau dilaporkan pernah berkata:, "Kita mahu menghantar semua orang Rohingya ke mana-mana negara yang sudi menerima mereka."  Pendekatan yang diambil oleh pihak junta tentera ialah menjadikan agama Buddha dan perkauman sebagai senjata untuk mereka terus berkuasa.

AUNG SAN SUU KYII
7.2.   Lebih mengejutkan dan menyedihkan lagi adalah kenyataan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyii yang selama ini dilihat sebagai jaguh demokrasi dan pencinta keamanan turut diam membisu dalam isu ini. Beliau yang pernah memenangi Anugerah Nobel Keamanan, apabila ditanya tentang isu orang Rohingya, adakah wajar mereka diberi taraf kerakyatan, beliau hanya mampu menjawab, "Saya tidak bertanggungjawab." Pilihanraya tahun 2015 dilihat sebagai penyebab utama kepada kebisuan beliau. Parti yang dipimpin oleh Suu Kyii amat bergantung kepada sokongan orang-orang Buddha untuk memenangi pilihanraya pada kali ini. 

8.   APAKAH REAKSI DUNIA TERHADAP PENDERITAAN DAN 
      KESENGSARAAN MEREKA:

8.1.   Seperti yang kerap berlaku apabila sesuatu tragedi atau krisis yang menimpa umat Islam, masyarakat antarabangsa sangat lembab dan perlahan dalam memberikan bantuan serta pertolongan. Lazimnya pemimpin negara umat Islam hanya akan mengeluarkan kenyataan kecaman dan amaran. Namun ada juga beberapa pemimpin Islam yang lantang mengkritik dan mengecam tindakan kerajaan Myanmar di bawah pimpinan Jeneral Thein Sein yang seakan-akan merestui tindakan ganas etnik Rakhine Buddha terhadap umat Islam Rohingya.

8.2.  Lebih malang lagi, Bangladesh selaku jiran yang terdekat dengan mereka telah menolak dengan tegas pelarian Rohingya yang mahu menyelamatkan diri mereka dan berlindung di Bangladesh. Mereka tidak mengaku etnik Rohingya mempunyai pertalian dengan mereka. Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh ketika diwawancara oleh wartawan Al-Jazeera berkaitan isu pelarian Rohingya ini dengan bersahaja menyatakan bahawa membantu atau menyelesaikan krisis pelarian Rohingya bukan tanggungjawabnya. Sedangkan sehingga kini, Bangladesh sudah pun menampung lebih 300,000 pelarian Rohingya.

8.3. Dalam keadaan reaksi dunia Islam yang amat lemah dan memalukan, tiba-tiba muncul Negara Turki menjadi sebagai wira membela umat Islam Rohingya. Turki secara konsisten dan keras sekali telah mengecam kerajaan junta tentera Myanmar atas layanan buruk mereka terhadap umat Islam Rohingya. Pada 10.8.2012 Emine Erdogan, isteri Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bersama-sama dengan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu telah mengadakan lawatan kemanusiaan ke Myanmar.  Bersama-sama mereka ialah bantuan kemanusiaan dan kebajikan untuk umat Islam Rohingya. Kedudukan Turki di sebelah benua Eropah dan sangat jauh dengan umat Islam di Myanmar tetapi mereka tetap memberikan perhatian khusus kepada sesama saudara Islamnya. Bukankah ini yang difirmankan Allah dan sabda Rasulullah di atas?.  Sesungguhnya persaudaraan sesama Islam itu wajib merentasi sempadan wilayah atau negara.

EMINE ERDOGEN, ISTERI PERDANA MENTERI TURKI MENANGIS KETIKA MELAWAT PENEMPATAN ROHINGYA





8.4.   Tindakan kerajaan Turki ini dilihat amat tepat kerana ia boleh melambangkan persaudaraan Islam yang melewati sempadan benua dan wilayah. Kerajaan Turki dibawah pimpinan Recep Tayyip Erdogen berjaya menunjukkan kehebatannya di pentas politik antarabangsa. Turki kini tidak lagi dilihat sebagai sebuah negara lemah oleh Barat. Sebaliknya kini ia dilihat sebagai sebuah negara yang terkehadapan dalam memperjuang dan membela nasib umat Islam di dunia. Dunia Barat dan Yahudi kini sedang memerhatikan Turki dengan penuh minat dan berhati-hati sekali.

8.5.   Negara-negara lain seperti Malaysia, Arab Saudi, Indonesia  telah menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu Rohingya ini. Pelbagai jenis tabung kemanusiaan telah dilancarkan oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan kebajikan. Namun tiada satu pun yang dapat menandingi usaha Kerajaan Turki dalam membela saudara Islamnya.

9.      KENAPA SEMUA INI TERJADI?:

9.1.  Satu hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi hidangan makanan dan mengajak orang lain makan bersama.” Maka para sahabat pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?” Sabda Rasulullah SAW: “Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut. Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”. Jawab Rasulullah SAW, “Kerana mereka ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.” Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?” Rasulullah SAW bersabda: “Cintakan dunia dan takut akan kematian”. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

9.2.   Bukankah benar dan tepat sekali sabda Rasulullah itu. Buih di lautan menggambarkan betapa orang Islam yang tidak ada kekuatan lagi. Buih di lautan akan ditolak ke kiri dan ke kanan oleh ombak laut.  Walaupun  bilangan umat Islam ramai tetapi mereka tidak memiliki kekuatan. Mereka sudah tidak ada roh Islam hingga sanggup membiarkan saudara Islam mereka diperlakukan seperti binatang oleh musuh-musuh Islam. Perasaan persaudaraan sesama Islam seperti yang telah dibentuk oleh Rasulullah dan para sahabat beliau telah jauh dari pemikiran dan semangat orang Islam kini. Kenapa ini terjadi?.  Jawabnya kerana orang Islam dan lebih-lebih lagi pemimpin umat Islam lebih asyik dan leka dengan kekayaan dan kenikmatan duniawi.  Mereka menjadi pengejar kebendaan dan rakus mempertahankan kuasa demi mempertahankan kekayaan dunia.  Matlamat akhirat dan kesenangan hidup selepas mati hampir hilang dari ingatan mereka. 

9.3.   Tidak berupayanya membantu saudara Islam ini adakah kerana negara umat Islam miskin?.  Jawabnya tidak sama sekali. Lihat sahaja Arab Saudi, Brunei, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Oman malah Malaysia sendiri. Allah SWT telah menganugerahkan emas hitam, iaitu minyak secara percuma kepada mereka. Mereka tidak perlu berusaha payah dan berpenat lelah untuk mencipta inovasi, sains dan teknologi seperti Negara Jepun, Korea dan Taiwan yang tidak ada kekayaan minyak. Kekayaan negara umat Islam ini seumpama kekayaan yang jatuh bergolek di atas riba. Malangnya kekayaan yang dianugerahkan melalui minyak ini banyak digunakan untuk pembangunan materialistik.  Membina bangunan-bangunan tinggi, menara tinggi dan sebagainya yang menelan belanja puluhan billion malahan ratusan billion ringgit.  Bukankah Allah memberi kekayaan percuma ini supaya ia dapat digunakan untuk membantu saudara seagama dan meningkatkan syiar agama Islam?.  

9.4.  Kenapakah Islam begitu dibenci oleh orang bukan Islam.? Lupakah kita kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan dagang atau asing, ia akan kembali menjadi dagang seperti mula dahulu. Maka beruntunglah orang yang menjadi dagang”. (Hadis Riwayat Muslim). 

9.5.  Siapakah orang yang dagang ini?. Mereka adalah orang yang berbeza dengan manusia lain. Mereka adalah orang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam dan tidak meninggalkan agama Islam walaupun dalam masa kesusahan.  Walaupun ditindas, ditekan, dihina, harta benda dimusnahkan, ahli keluarga dibunuh, rumah tangga dibakar dan tanah serta kampong halaman dirampas namun orang Islam Rohingya tetap dengan akidah Islam mereka. Mereka tidak berganjak dan tidak menjadi Buddha kerananya.

9.6.   Bukankah Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran bahawa orang Islam akan diuji olehNya untuk mengetahui tahap keimanannya kepada Allah. Lihat firman Allah dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:214) yang berbunyi:


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

9.7.  Kebenaran firman ini sedang berlaku kepada orang Islam Rohingya. Mereka sedang diuji oleh Allah SWT dengan ujian yang maha berat dan hebat. Jika para nabi dan rasul serta para sahabat yang dekat dengan Rasulullah juga diuji dengan kesengsaraan dan penderitaan maka kita umat Islam hari ini yang jauh dengan Rasulullah hendaklah bersedia dan melengkapkan diri untuk menghadapi ujian keimanan dari Allah.

10.    JADI APA YANG PATUT UMAT ISLAM LAKUKAN?

10.1.Jika kita tidak dapat ke Myanmar untuk membantu saudara kita yang disembelih oleh rejim junta tentera Myanmar maka kita hendaklah menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mereka.  Carilah mana-mana badan atau organisasi yang mengumpul derma dan dana untuk membantu saudara kita di sana. Salah satu darinya ialah misi kemanusiaan ke Myanmar yang digerakkan oleh agensi kemanusiaan ABIM iaitu Global Peace Mission (GPM). Pihak  ABIM merayu seluruh rakyat Malaysia agar menyalurkan segala bantuan kewangan ke akaun GPM 14-023-01-002922-4 (Bank Islam) atau 5642-2161-1602 (Maybank). Pastikan dulu adakah tabung ini masih wujud.

10.2. Jika harta pun kita sayang maka selemah-lemah iman itu ialah dengan cara kita sama-sama menitipkan doa kepada Allah SWT agar diberikan pertolongan dan kekuatan iman kepada umat Islam Rohingya.  Berdoalah kepada Allah agar satu hari nanti kejahatan dan keganasan junta tentera Myanmar yang tidak berhati perut ini mendapat pembalasan dan azab dari Allah SWT. 

10.3. Jika berdoa pun kita tidak mampu lakukan, maka janganlah kita mengaku kita ini umat Nabi Muhammad SAW. Orang seperti ini pasti Rasulullah tidak akan mengaku umatnya di Padang Mahsyar nanti.

“Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq

No comments:

Post a Comment