Saturday 31 January 2015

HARTA: APAKAH PANDANGAN ISLAM

 


1.    Daripada Hakim bin Hizam R.a berkata: Aku meminta dari Rasulullah SAW, kemudian diberikannya kepadaku.  Selepas itu aku meminta lagi, kemudian diberikan kepadaku.  Seterusnya aku meminta dan diberikan lagi padaku.  Kemudian Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“ Hai Hakim, sesungguhnya harta itu hijau dan manis. Maka sesiapa yang mengambilnya dengan jiwa yang besar dan lapang nescaya diberkatkan baginya.  Sebaliknya sesiapa yang mengambil  dengan jiwa yang tamak nescaya tidak diberkatkannya  dan adalah ia seumpama makan yang tidak pernah kenyang dan tangan di atas itu (memberi) adalah lebih baik dari tangan di bawah (menerima)”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

2.Rasulullah SAW mengajar sahabatnya tentang harta yang perlu dianggap sebagai alat dalam kehidupan dan bukannya sebagai matlamat yang utama. Ini kerana apabila dijadikan matlamat, ia bertukar menjadi agenda utama dan sanggup menjadi hamba kepada dunia. Akhirnya mereka sanggup berkorban apa sahaja dan lupa untuk meninggikan syariat agama Allah dan memperolehi mardhatillah (redha Allah).

3.  Marilah kita lihat firman-firman Allah tentang harta untuk menjadi renungan bersama:

3.1.   Harta kekayaan tidak mampu menyatukan hati-hati manusia:

Dalam Surah  Al-Anfal [Harta Rampasan Perang] (8:63) Allah berfirman yang berbunyi:



“Dan Dialah yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

3.2.   Harta dan anak-pinak boleh menjadi penghalang kepada jalan Allah:

3.2.1. Dalam Surah At-Taubah [Pengampunan](9:24) Allah berfirman berbunyi:



Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

3.2.2.   Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:14) pula Allah berfirman yang berbunyi:





“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”

3.3.   Harta tidak dapat menebus diri daripada siksaan dan azab Allah:

3.3.1.  Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:10) Allah berfirman berbunyi: 




“Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda dan anak-anak mereka, sedikitpun tidak dapat menolak (siksa) Allah dari mereka. Dan mereka itu adalah bahan bakar api neraka.”

(3:116)




“Sesungguhnya orang-orang yang kafir baik harta mereka maupun anak-anak mereka, sekali-kali tidak dapat menolak azab Allah dari mereka sedikitpun. Dan mereka adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.”
 
3.3.2.    Dalam Surah Ar-Raad [Guruh](13:18) Allah berfirman:





“Bagi orang-orang yang memenuhi seruan Tuhannya, (disediakan) pembalasan yang baik. Dan orang-orang yang tidak memenuhi seruan Tuhan, sekiranya mereka mempunyai semua (kekayaan) yang ada di bumi dan (ditambah) sebanyak isi bumi itu lagi besertanya, nescaya mereka akan menebus dirinya dengan kekayaan itu. Orang-orang itu disediakan baginya hisab yang buruk dan tempat kediaman mereka ialah neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman.” 

4.      Kita lihat pula apakah sabda Rasulullah SAW berkaitan dengan harta ini:

4.1. “Sesiapa yang pada waktu paginya hanya memikirkan dan menginginkan dunia  pasti Allah akan selerakkan segala urusannya.  Menjadikan kehidupannya kelam kabut serta kefakiran berada dihadapannya.  Dia tidak akan memperolehi satu pun dari dunia melainkan apa yang telah dicatatkan untuknya.  Manakala sesiapa yang diwaktu paginya berkeinginan hanyalah untuk mendapat akhirat, Allah akan memperteguhkan keinginannya itu, menjaga urusan hidupnya dan menjadikan kekayaan dihatinya.  Dan dunia akan datang kepadanya dengan tunduk dan terpaksa”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Hibban).

4.2.  “Yang dinamakan kekayaan bukanlah banyaknya harta-benda tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan jiwa (hati). (Hadis Riwayat  Abu Yu'la).

4.3.   “Tiap menjelang pagi hari dua malaikat turun. Yang satu berdoa: "Ya Allah, kurniakanlah bagi orang yang menginfaqkan hartanya tambahan peninggalan." Malaikat yang satu lagi berdoa: "Ya Allah, timpakan kerosakan (kemusnahan) bagi harta yang ditahannya (dibakhilkannya)." (Mutafaq 'alaih).

4.4.   “Harta yang ditunaikan zakat tidak akan susut (berkurang)”. (Hadis Riwayat Muslim).

4.5.   “Cinta yang sangat-sangat terhadap harta dan kedudukan dapat mengikis agama seseorang. (Hadis Riwayat Aththusi).

4.6. "Anak Adam berkata: 'Hartaku... hartaku'. Rasulullah SAW bersabda: "Adakah hartamu, hai anak Adam kecuali yang telah kamu belanjakan untuk makan, engkau infaq atau sedekahkan lalu kamu tinggalkannya." (Hadis Riwayat Muslim).

4.7. “Apa yang sedikit tetapi mencukupi lebih baik daripada banyak tetapi melalaikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

4.8. “Bagi tiap sesuatu terdapat ujian dan cubaan, dan ujian serta cubaan terhadap umatku ialah harta benda”. (Hadis Riwayat Termidzi).

4.9.  “Akan datang bagi manusia suatu masa dimana orang tidak peduli apakah harta yang diperolehinya halal atau haram”. (Hadis Riwayat Bukhari).

4.10. Wahai 'Amru, alangkah baiknya harta yang baik di tangan orang yang soleh”. (Hadis Riwayat Ahmad.)

4.11. “Pada akhir zaman nanti manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya”. (Hadis Riwayat  AtThabrani).

4.12. “Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari kiamat ialah orang yang memperolehi harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka”. (Hadis Riwayat Bukhari).

4.13. “Sesungguhnya orang-orang yang menguruskan harta Allah dengan tidak benar maka bagi mereka api neraka pada hari kiamat”. (Hadis Riwayat Bukhari).

4.14. “Janganlah kamu mengkagumi orang yang terbentang kedua lengannya menumpahkan darah. Di sisi Allah dia adalah pembunuh yang tidak mati. Jangan pula kamu mengkagumi orang yang memperolehi harta dari sumber yang haram. Sesungguhnya bila dia menafkahkannya atau bersedekah maka tidak akan diterima oleh Allah dan bila disimpan hartanya tidak akan ada berakah. Bila tersisa pun hartanya akan menjadi bekalnya di neraka”. (Hadis Riwayat  Abu Daud).

4.15. “Sesungguhnya dinar dan dirham ini telah membinasakan orang-orang sebelum kamu dan di masa akan datang pun ia akan membinasakan”. (Hadis Riwayat  AtThabrani).

4.16. “Barang siapa mengumpulkan harta dengan tidak sewajarnya (tidak benar) maka Allah akan memusnahkannya dengan air (banjir) dan tanah (runtuh). (Hadis Riwayat Al Baihaqi).


5.  Berdasarkan nas Al-Quran dan hadis Rasulullah di atas, tidak ada dinyatakan dengan jelas larangan mencari harta kekayaan. Islam tidak menegah umatnya mencari kekayaan harta benda dan kesenangan duniawi walaupun Rasulullah sendiri tidak menunjukkan modelnya.  Namun begitu harta yang dicari wajiblah bersumberkan yang halal di sisi agama.  Selain dari sumber yang halal wajib dipastikan juga pemiliknya melaksanakan tuntutan Islam seperti mengeluarkan zakat, membantu fakir miskin, anak yatim dan sebagainya. Rasulullah tidak menegah sahabatnya Abdul Rahman bin Auf mencari kekayaan dunia semasa di Madinah.  Abdul Rahman bin Auf terkenal sebagai korporat yang sangat berjaya di zaman Rasulullah.  Tetapi kita kena faham bahawa sebahagian besar kekayaannya telah dihabiskan/dinfaqkan untuk jalan Allah.  Rasulullah pernah bersabda Abdul Rahman bin Auf ialah salah seorang dari 10 sahabatnya yang dijamin masuk syurga.

6.    Rasulullah tidak menegah Abdul Rahman bin Auf mencari dan memiliki harta bukan kerana Islam menggalakkan carilah harta sebanyak manapun. Tetapi kerana Rasulullah mengetahui hati dan budi Abdul Rahman bin Auf yang tidak akan binasa imannya kerana harta dan kekayaan.  Dalam kes lain, Rasulullah cuba menghalang pemilikan harta oleh seorang sahabat bernama Syaalabah.  Kenapa?.  Kerana Rasulullah mengetahui hati Syaalabah.  Akhirnya Syaalabah menjadi kaya raya berkat doa Rasulullah kepada Allah setelah Syalaabah merayu-merayu kepada Rasulullah untuk menjadi kaya. Apa kesudahan hidup Syaalabah?.  Dia mati dalam keadaan berdosa dan kufur kepada Allah kerana enggan mengeluarkan zakat. Begitulah jadinya manusia yang lemah imannya apabila berhadapan dengan sedikit kekayaan dunia kurniaan dari Allah.


7.  Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: Ada 3 golongan manusia yang lama hisabnya di Padang Mahsyar, iaitu (1) orang yang memiliki banyak harta kekayaan, (2) orang yang memiliki banyak ilmu, (3) orang yang mempunyai ramai anak. Justeru bersiap sedialah bagi 3 golongan ini untuk menghadapi hisab Allah di sana. Di tempat di mana tidak ada seorang pun yang boleh memberi pertolongan kepada kita.  Hanya amalan kita di dunia sahaja yang menjadi bekalannya. Pada saat itulah manusia akan mula berfikir menyesalnya mereka kerana memiliki perkara-perkara tersebut dalam keadaan gagal mematuhi perintah Allah mengenainya.


“Tiada bekal yang lebih utama daripada takwa. Tiada sesuatu yang lebih baik daripada diam. Tiada musuh yang lebih berbahaya daripada kebodohan. Tiada penyakit yang lebih parah daripada berbohong”. – Mutaiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Shodiq