Thursday, 22 January 2015

MENGINSAFI BAHAWA JAWATAN ADALAH AMANAH ALLAH

 
PEJABAT - TEMPAT DIMANA AMANAH ALLAH SWT DIPIKUL
1. Di dalam al-Quran terdapat beberapa firman Allah tentang amanah yang wajib dipikul oleh setiap orang yang menerimanya. Antaranya ialah:

          1.1.   Surah An-Nisa [Kaum Perempuan](4:58) berbunyi:
                                                                               

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.

          1.2.   Surah Al-Anfal[Harta Rampasan Perang](8:27) pula berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

          1.3.   Surah Al-Maarij [Tempat-Tempat Naik](70:32) berbunyi:


          Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”

2.    Dari Abu Zar RA, beliau berkata : “Ya Rasulullah! Lantiklah aku untuk satu jawatan!”. Abu Zar RA seterusnya berkata : Lalu Rasulullah SAW menepuk bahunya seraya bersabda yang bermaksud:

“ Hai Abu Zar! Sesungguhya engkau ini lemah dan ini perkara amanah.  Di akhirat nanti ia akan menghina dan mendukacitakan kecuali orang yang dapat menjalankan dengan penuh kebenaran serta melaksanakan tugas yang dipikul ke atas tengkuknya”. (Hadith Riwayat Muslim).

3.    Dalam hadith lain Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Hakim itu ada tiga jenis.  Satu di dalam syurga dan dua lagi di dalam neraka.  Adapun hakim yang di dalam syurga itu ialah seorang yang mengenali kebenaran lalu dia menjatuhkan hukuman dengan kebenaran.  Manakala orang yang mengetahui kebenaran tetapi dia berlaku zalim, maka dia ditempatkan di dalam neraka.  Seterusnya yang seorang lagi menjatuhkan hukuman dengan kejahilannya, maka tempatnya di neraka juga”. (Hadith Riwayat Abu Daud, Termizi dan Ibnu Majah).

4.    Sesiapa yang menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pangkat dan  kedudukan dunia, dia akan diharamkan daripada memperolehi petunjuk dari langit.  Daripada Abdul Rahman bin Samurah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud:

“Hai Abdul Rahman! Engkau jangan meminta pangkat dan kedudukan kerana jika engkau diberikannya tanpa memintanya, maka engkau akan dibantu untuk melaksanakan tugasmu.  Tetapi jika engkau meminta untuk untuk sesuatu jawatan, dirimu akan tergadai kepada tugas itu. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

5.   Membicarakan soal amanah pada jawatan ini tidak akan lengkap jika tidak disebut nama Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau dilahirkan pada tahun 682 Masihi.  Bapanya ialah Abdul Aziz, Gabenor Mesir, iaitu adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan.  Umar Abdul Aziz ialah cicit kepada Saidina Umar Al-Khattab. 

6.    Beliau menjadi khalifah dalam kerajaan Islam Bani Ummaiyah.  Tempoh pemerintahannya sangat singkat, iaitu dari tahun 717 Masihi hingga 720 Masihi (3 tahun sahaja). Semasa diangkat menjadi khalifah beliau menangis.  Orang bertanyanya kenapa kamu menangis wahai Umar. Jawab Umar, aku takut kepada Allah kerana aku telah dibebankan dengan amanah yang sangat besar sebagai khalifah.  Aku pasti tidak akan terlepas dari hitungan hisab Allah di Padang Mahsyar nanti. Beliau terkenal sebagai khalifah yang sangat zuhud.

7.      Beliau telah melatih ahli keluarganya supaya turut zuhud sepertinya. Anak beliau sendiri memakai pakaian yang terlalu sederhana walaupun pada hari raya. Meskipun pakaian bersih tetapi koyak. Khalifah yang demikian soleh, adil dan menepati ciri pemimpin sejati yang dikasihi Allah ini akhirnya wafat kerana telah memakan makanan yang dibubuh racun oleh orang jahat yang tidak suka kepada sifat amanah dan jujurnya. Namun begitu Umar yang  mengetahui ketika, di mana dan siapa yang meracuninya itu tidak pula menghukum orang tersebut. Inilah kelebihan firasat orang yang beriman. Menyentuh tentang firasat ini, Rasulullah pernah bersabda, "Takutilah olehmu firasat orang beriman kerana mereka memandang dengan nur Allah." Beliau hanya memanggil orang tersebut dan bertanya berapakah harga ia diupah untuk meracuni beliau. Wang seribu dinar itu dimintanya bukan untuk mengubati bisa racun tersebut tetapi diberikan kepada Baitul Mal untuk kepentingan umat Islam.

8.  Keimanan dan sifat zuhud Khalifah Umar sememangnya cukup menakjubkan. Daripada kehidupan yang mewah sebelum menjadi khalifah, beliau sanggup meninggalkan semuanya semata-mata kerana takutkan azab Allah sekiranya beliau cuai menjalankan amanah. Ketika meninggal dunia, harta beliau hanya tinggal tujuh belas dinar sahaja. Harta itu dibahagi-bahagikan untuk penyelenggaraan pemakamannya iaitu lima dinar untuk kain kafan, dua dinar untuk tanah perkuburannya dan baki sepuluh dinar itulah yang dibahagi-bahagikan untuk sebelas orang anaknya.

9.   Sebagai seorang hamba yang dikasihi Allah, ketinggian darjatnya ditunjukkan oleh Allah untuk dijadikan panduan oleh manusia lainnya. Demikianlah kehebatan seorang manusia agung, seorang hamba Allah yang bakal memperolehi nikmat syurga hasil keimanan hanya kepada Allah SWT.

10.    Beliau wafat pada tahun 720 Masihi di Aleppo, Syria.  

11.   Dalam dunia moden hari ini, apakah ada lagi manusia yang mampu mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz ini. Jika pun ada bilangan mereka tersangat kecil. Bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz bin Nik Mat berjaya mencontohi Khalifah Umar.  Selebihnya itu ialah manusia yang berebut-rebut untuk memegang jawatan, naik pangkat, cari kuasa, cari pengaruh, cari kedudukan dan seumpamanya tetapi gagal menunaikan amanah Allah. Amanah Allah tidak lagi menjadi keutamaan dan pertimbangan  mereka.  Yang penting ialah pangkat, kuasa, wang, darjat, glamor, status.  Kepada orang seperti ini seolah-olah hisab Allah di Padang Mahsyar tidak ada.  Pembalasan dari Allah di atas kegagalan menunaikan amanahnya seperti tidak akan berlaku.  Mereka semahu-mahunya menggunakan kedudukan dan kuasa yang Allah pinjamkan itu untuk kepentingan peribadi. Nantikanlah janji Allah yang wajib akan berlaku.  Jika ia tidak berlaku di dunia ini ia pasti akan berlaku di akhirat nanti. 

12.   Perlu difahami bahawa semasa di pejabat, tanggungjawab sebenar kita ialah kepada Allah SWT.  Dengan adanya kesedaran seperti ini ia mampu menjauhi diri kita dari melakukan perkara mungkar yang boleh menimbulkan kemarahan Allah dan mendatangkan dosa. Tanggungjawab kepada ketua pula perlu ditunaikan selama mana ia tidak bercanggah dengan perintah dan larangan Allah.

13.   Insaflah bahawa kaki kita tidak akan mampu bergerak walaupun seinci di mahkamah Allah di Padang Mahsyar nanti sehinggalah semua bentuk amanahnya di dunia ini ditanya dan dihisab oleh Allah. 


“Allah mengasihani kaum yang menganggap dunia sebagai barang simpanan. Lalu mereka menyerahkannya kepada orang yang sanggup memegang amanah mereka terhadap barang simpanan tersebut. Kemudian, mereka merasa senang dengan ringannya beban kerana harta itu.”- Mutiara Kata Hassan Basri

No comments:

Post a Comment