Friday, 16 January 2015

DOA IALAH SENJATA ORANG YANG BERIMAN

 
1.   Daripada Ibnu Abbas R.a. beliau berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Seampuh-ampuh senjata orang yang beriman ialah kesabaran dan doa”. (Hadith Riwayat Al-Dailami)

2.  Sabda Rasulullah ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:153) yang berbunyi:




“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

3. Beberapa contoh dari firman Allah dalam Al-Quran di bawah ini membuktikan bahawa para nabi juga pernah berdoa kepada Allah:

3.1. Doa Nabi Ibrahim kepada Allah seperti dalam Surah Ibrahim (14:37) yang berbunyi:



“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”.

3.2.   Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk difasihkan lidahnya dalam menyampaikan dakwahnya.  Doa tersebut dalam Surah Ta-Ha (20:25) yang berbunyi:


“Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku.”

(20:26)


“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku”;

(20:27)



“Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku”.

(20:28)


“Supaya mereka faham perkataanku”.

3.3.   Nabi Yunus juga pernah berdoa kepada Allah semasa beliau ditelan dan berada dalam perut ikan yu yang sangat besar.  Doanya ialah seperti dalam Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:87) yang berbunyi:




“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

4.      Sama-sama kita lihat pula mutiara kata berikut:
          4.1.   Mahatma Gandhi, pemimpin agung India pernah berkata:
“Memohon, memuji dan berdoa bukanlah tahyul tetapi kesemuanya itu adalah perbuatan yang lebih nyata daripada makan, minum, duduk ataupun berjalan.”

4.2. Kata Pujangga : Berdoalah seakan-akan segala sesuatu bergantung kepada tuhan, dan bekerjalah seakan-akan segala sesuatu bergantung kepada manusia.

5.   Sejarah silam dan juga masakini telah membuktikan bahawa senjata doa kepada Allah ini sangat ajaib dan mampu mengatasi/mengalahkan sesuatu yang diluar pemikiran normal manusia.  Itulah yang akan terhasil apabila permintaan/doa kepada Allah dimakbulkanNya. Sebagai contohnya ialah dalam peperangan apabila tentera Islam yang lebih kecil kekuatannya dapat mengalahkan tentera musuh yang jauh lebih besar dan kuat. 

6.      Lihat sahaja Peperangan Badar yang berlaku pada tanggal 17 Ramadan Tahun 2 Hijrah (17 Mac 624 Masihi). Tentera Islam hanya berjumlah 313 orang dengan kekuatan 2 ekor kuda dan 70 ekor unta sementara tentera musyhrikin  Mekah seramai 900 orang dengan dibantu 100 ekor kuda dan 170 ekor unta.  Terlalu jauh beza kekuatannya, tambahan pula perang berlaku dalam bulan Ramadan di mana tentera Islam sedang berpuasa. Dalam perang ini menyaksikan Rasulullah berdoa kepada Allah sehingga menampakkan ketiaknya kerana agak tinggi mengangkat tangannya. Antara doa Rasululah ialah:
"Ya Allah, penuhilah bagiku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, sesungguhnya aku mengingatkan-Mu akan sumpah dan janji-Mu,"

"Ya Allah, jika pasukan ini hancur pada hari ini, tentu Engkau tidak akan disembah lagi. Ya Allah, kecuali jika memang Engkau menghendaki untuk disembah untuk selamanya setelah hari ini."

7.   Sejarah telah mencatatkan bahawa tentera Islam telah menang dengan pertolongan malaikat yang dihantar oleh Allah.  Seramai 14 orang tentera Islam mati syahid manakala dipihak musuh pula seramai 70 orang.

8.  Peperangan Salib kedua telah berlaku dalam tahun 1187 Masihi (583 Hijrah). Perang ini juga dikenali dengan nama Perang Hittin. Pemimpin tentera Islam ialah Salahuddin Al-Ayubi yang sangat terkenal.  Tentera Islam berjaya menakluki semula Baitulmaqdis dari tentera Kristian. Peristiwa besar lain ialah penaklukan Kota Konstantinople, Turki pada 29 Mei 1453 oleh Sultan Muhammad Al Fateh dan tenteranya yang hebat. Sangat diyakini bahawa kemenangan tentera Islam dalam kedua-dua perang tersebut kerana pertolongan Allah berkat doa dan keazaman mati syahid dikalangan tentera Islam.

9. Perkembangan terkini yang boleh diambil sebagai contoh ialah perjuangan rakyat Palestin melalui HAMAS menentang tentera zionis Israel. Bukanlah mudah untuk mengalahkan tentera HAMAS. Perjuangan mereka berpaksikan syahid dan doa yang tidak pernah putus kepada Allah.  Kita pernah membaca beberapa peristiwa mutakhir yang membuktikan bahawa tentera HAMAS Palestin dibantu oleh malaikat Allah dalam perang melawan tentera zionis Israel. Bantuan malaikat Allah inilah yang sangat ditakuti dan digeruni oleh tentera Israel.

10.   Allah telah menyediakan senjata terakhir untuk orang Islam yang tidak dimiliki oleh orang kafir, iaitu doa kepadaNya. Orang Islam perlu yakin dengan kekuatan kuasa doa ini yang pasti akan dimakbulkan Allah dengan syarat perjuangan orang Islam hendaklah di atas jalan Allah. 


“Perkataan itu seperti ubat, kalau sedikit bercakap memberi manfaat, tetapi terlalu banyak bercakap nescaya boleh membunuh,” – Mutiara Kata Amru Al-As

No comments:

Post a Comment