Monday, 26 January 2015

PENGURUSAN MASA DARI PERSPEKTIF ISLAM



MEMILIKI BANYAK JAM TIDAK BERMAKNA MEMPUNYAI BANYAK MASA

1.           Pengurusan masa merupakan perkara yang sangat penting yang diajar oleh agama Islam.  Ini kerana setiap manusia hanya diberikan masa 24 jam sahaja sehari semalam.  Memiliki banyak jam tidak bermakna seseorang itu mempunyai banyak masa.  Justeru itu pergunakanlah masa 24 jam itu sebaik mungkin untuk faedah kita.   

2.   Secara umumnya masa dapat dibahagi kepada 3 peringkat.  8 jam pertama, iaitu  dari pukul 8 pagi hingga 4 petang manusia akan berada di pejabat atau menguruskan kerja masing-masing. 8 jam kedua pula, iaitu dari jam 4 petang hingga 12 malam kita akan berada di rumah untuk berehat.  8 jam terakhir, iaitu dari jam 12 malam hingga 8 pagi kita tidur, bangun dan bersiap-siap untuk memulakan kerja semula.

3.    Ketentuan masa ini dapat dilihat dalam ibadat orang Islam yang menjadi rukun Islam. Setiap ibadat atau kewajipan itu telah ditentukan  masanya. Contohnya solat  lima waktu sehari semalam telah ditentukan masa-masanya. Puasa hanya diwajibkan sebulan dalam bulan Ramadan sahaja. Ibadat haji pula dikerjakan dalam bulan Zulhijjah manakala zakat perlu dikeluarkan jika cukup haul (tempoh masa simpanan setahun) dan cukup nisabnya. Kesemuanya mempunyai masa dan had yang telah ditentukan oleh Allah.

4.   Islam adalah agama yang serba lengkap.  Dalam konteks masa ini kita akan temui firman-firman Allah, sabda-sabda Rasulullah tentangnya.  Di dalam Al-Quran, beberapa kali Allah bersumpah dengan masa. Ingatlah bahawa Allah  tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu sangat penting dan mempunyai nilai yang amat berharga. Antara firman itu ialah:

4.1.        Surah Al-Insyiqaq [Terbelah](84:16)

“Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja.”

4.2.        Surah Al-Fajr [Waktu Fajar](89:1)


“Demi waktu fajar.”

(89:2)


          “Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”

4.3.        Dalam Surah As-Syam [Matahari](91:1)



“Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang.”

(91:2)


“Dan bulan apabila ia mengiringinya.”

4.4.        Dalam Surah Al-Lail [Waktu Malam](92:1)


      “Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya dengan                       gelap  gelitanya”

(92:2)

“Dan siang apabila ia lahir terang-benderang.”

4.5.        Dalam Surah Ad-Dhuha [Waktu Dhuha] (93:1)



“Demi waktu dhuha.”

(93:2)

“Dan malam apabila ia sunyi-sepi.”

4.6.        Dalam Surah Al-Asr [Masa](103:1)




“Demi Masa!”

(103:2)


“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”

          (103:3) 


Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

5.   Firman Allah di atas memberi maksud bahawa manusia yang tidak memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya untuk mentaati perintah Allah  dan Rasulullah  adalah terdiri dari mereka  yang sangat rugi. Golongan orang  yang turut dianggap rugi adalah orang yang membiarkan masa berlalu tanpa memanfaatkannya untuk saling menasihati dan membimbing manusia yang lain untuk mengamalkan ajaran Islam. Golongan lain yang rugi adalah orang yang gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi kerana lalai, kurang ilmu dan leka dengan nikmat kehidupan dunia yang bersifat sementara.

6.   Kepentingan mengurus masa juga telah disabdakan oleh Rasulullah.  Antara sabda itu ialah:

6.1.  Dari Amru bin Maimun r.a pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

  “Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu:
          Masa mudamu sebelum datangnya hari tuamu,
          Masa sihatmu sebelum datangnya masa sakitmu,
          Masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu,
          Masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu,
          Masa hidupmu sebelum datangnya matimu.”
          (Hadith Rwayat Termizizi dan Muslim).

Maksud tersirat dari hadis yang amat popular ini ialah untuk mengingatkan umat Islam agar tidak mengamalkan budaya suka bertangguh terutamanya dalam perkara-perkara yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

6.2.  “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

6.3.   “Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sehat dan waktu lapang." (Hadith Riwayat Bukhari).

6.4.   "Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa." (Hadith Riwayat Termizi).

6.5.   "Laksanakan segera amal soleh karena tujuh hal: sebelum datang kemiskinan yang membuatmu lupa, kekayaan yang menyesatkan, penyakit yang membinasakan, ketuaan yang melumpuhkan, kematian yang mendadak, dajal sebagai makhluk terjahat yang senantiasa mengintip atau datangnya kiamat yang sangat pahit dan amat mengerikan." (Hadith Riwayat Termizi).

7.        Dalam mengatur jadual kehidupan harian  eloklah kita mencontohi para ulama dan salafussoleh dalam mengatur kehidupan mereka. Antara amalan mereka ialah :

7.1.        Bangun awal pagi sebelum waktu Subuh.

7.2.  Berdoa kepada Allah tanda bersyukur kerana masih lagi diberikan peluang untuk hidup pada hari ini.

7.3.      Solat sunat sebelum Subuh (lebih berharga daripada dunia dan seisinya – maksud hadis) dan solat Subuh berjemaah.

7.4.   Melakukan solat sunat Dhuha, berzikir  dan membaca Yassin (untuk memudahkan urusan kita seharian).

7.5.    Keluar mencari rezeki seawal pagi kerana pintu rezeki dibuka ketika ini dan diberkati.

7.6.        Berehat atau tidur sebentar sebelum masuk waktu Zohor.

7.7.        Makan dengan secukupnya dan tidak berlebihan.

7.8.        Solat berjemaah dan solat di awal waktu.

7.9.  Mengamalkan bacaan surah Al-Waqiah [Hari Kiamat] setiap malam.

7.10.   Tidur awal untuk bangun di awal pagi berqiamullail

8.   Pada hari ini manusia kebanyakannya melakukan kerja dengan pantas.  Orang Islam juga tidak boleh ketinggalan dalam mengejar arus  kemajuan masakini. Kualiti seseorang dalam dunia pekerjaan hari ini diukur dengan kemampuan untuk bertindak pantas, cekap dan mampu melaksanakan pelbagai tugas dan tanggung jawab. Hal ini menjadikan manusia semakin sibuk. Banyak perkara yang perlu dipilih. Ada perkara yang perlu dilepaskan atau ditangguhkan buat sementara waktu. 

9. Apakah penyelesaian yang disarankan oleh agama Islam untuk menghadapi situasi seperti ini?.  Jawapannya ada dalam pengurusan masa menurut kaedah ‘Fiqh Awlawiyyat’. Apakah yang dimaksudkan dengan Fiqh Awlawiyyat?. Ulama Islam terkenal dalam dunia Islam masakini, Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi memberi definasi ‘Fiqh Awlawiyyat’ sebagai:

‘Menetapkan sesuatu pada tempatnya, tidak mengkemudian apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang patut dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar dan membesarkan perkara yang kecil’.
  
10.  Dari sudut pengurusan masa, Fiqh Awlawiyyat memberi penekanan kepada aspek pemilihan keutamaan (prioritize) dalam membuat perancangan kerja. Berdasarkan fiqh ini, setiap tugas diukur keutamaannya berdasarkan tiga perkara berikut:

       10.1. Ad-Dharuriyyat: Perkara-perkara asas yang mutlak dan penting       seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal. Perkara ini bolehlah dikatakan sebagai “crucial & urgent” yang perlu dilaksanakan dengan cepat.  Dalam konteks sebuah pejabat ia adalah tugasan utama dan kritikal yang berkaitan dengan fungsi utama organisasi (core business), dasar dan tugasan yang berkaitan kelangsungan organisasi yang harus diberikan keutamaan untuk disempurnakan.

   10.2. Al-Hajjiyyat: Perkara-perkara yang penting dan tanpanya ia menimbulkan kesukaran dan menyukarkan sesuatu urusan. Ia adalah perkara yang penting dan perlukan perhatian.  Dianggap sebagai “important & need attention”. Dalam hubungan sebuah pejabat ia adalah tugasan yang melibatkan penambahbaikan berterusan, tindakan pembetulan hasil dari laporan auditan tugas mahupun soal-selidik kepuasan pelanggan dan penjadualan tugasan secara berkala.

      10.3. At-Tahsiniyyat: Perkara-perkara yang dianggap sebagai eksosari yang  boleh mencantikkan dan memberikan nilai tambah untuk kepuasan dan keseronokan. Ia adalah perkara yang tidak utama dan tidak perlu disegerakan (less important & less urgent). Bagi sebuah pejabat ia umpama tugas sampingan seperti keceriaan dan hiasan pejabat, kursus bagi peningkatan personaliti, keselesaan ruang bekerja dan seumpamanya.
 
11. Pengurusan masa mengikut kaedah Islam amat menitikberatkan perkara-perkara yang utama dan mengenepikan perkara-perkara yang kecil. Sekiranya umat Islam hanya bercakap bagi menyelesaikan perkara-perkara yang bersifat At-Tahsiniyyat, maka umat Islam akan ketinggalan, semakin mundur kebelakang dan bukannya melangkah maju ke hadapan.

No comments:

Post a Comment