Sunday 28 May 2017

KHASIAT AIR RENDAMAN KURMA (AIR NABEZ)



“Lalu dengan air itu, Kami tumbuhkan untuk kamu kebun-kebun kurma dan anggur; di dalam kebun-kebun itu kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagian dari buah-buahan itu kamu makan” {Petikan dari surah Al-Mukminun[Orang Mukmin](23:19)}



1.  Air nabez adalah air rendaman (infused water) samaada menggunakan buah kurma atau kismis (raisins). Kurma atau kismis perlu di rendam dalam air masak semalaman dalam bekas yang bertutup dan diminum keesokan paginya.

2.   Tahukah kita bahawa air nabez adalah minuman kegemaran Rasulullah SAW. Rasulullah merendam beberapa biji kurma di dalam air masak yang telah sejuk dalam bekas bertutup selama 12 jam. Airnya diminum dan buah kurma yang sudah lembut isinya dimakan.

3.   Cara-cara membuat air nabez:

3.1. Rendamlah beberapa biji kurma (sebaiknya dalam bilangan ganjil) ke dalam air masak di dalam segelas air. Sebaiknya ia disediakan pada waktu petang menjelang malam. Pastikan gelas rendaman kurma tersebut tertutup rapat. Keesokkan paginya selepas 8-12 jam direndam barulah air rendamannya boleh diminum. Sebaliknya jika ingin meminum air nabez di waktu malam, buatlah rendaman kurma di waktu pagi (lebih kurang antara 8 hingga 12 jam masa rendaman).

3.2.  Kurma yang baik digunakan untuk membuat air nabez adalah kurma ajwa. Bagaimanapun jika kurma ajwa tidak ada jenis-jenis kurma lain pun boleh.

3.3. Sebaik-baiknya hanya menggunakan satu jenis buah kurma sahaja.

4.   Air nabez yang disimpan dalam peti sejuk boleh bertahan  1 hingga 2 hari. Tetapi dilarang meminum air rendaman kurma / kismis yang sudah melebihi 3 hari kerana dikhuatiri ia sudah melalui proses fermentasi yang boleh menjadikan air rendaman kurma tersebut menjadi arak.

5.  Dikatakan  air nabez (infused water) mulai popular di Barat. Orang barat baru menyedari khasiat infuse water yang dipopularkan oleh Rasulullah ini.

6.    Apakah pula khasiat air nabez:

6.1. Pemberi & pemulih tenaga.  Inilah sebab mengapa kita disunatkan untuk memakan buah kurma ketika berbuka puasa.

6.2. Tinggi kandungan fiber. Ia mampu menghilangkan kolestrol jahat yang terkumpul di dalam badan. Sangat baik untuk menghilangkan sembelit.

6.3. Mempunyai zat besi yang banyak.

6.4. Kaya dengan pottassium yang penting dalam menjaga jantung & menstabilkan tekanan darah.

6.5.  Ia adalah minuman beralkali yang mampu menolong membuang kelebihan asam dalam perut dan memulihkan sistem pencernaan badan. Juga membantu badan untuk menyingkirkan toksin yang berbahaya di dalam badan. Dalam kata lain ia berguna sebagai bahan detox.

6.6.  Oleh kerana ia tinggi kadar fibernya maka  ia mampu membantu  proses pencernaan.

7.   Air nabez adalah salah satu dari minuman sunah Rasulullah SAW.  Sama-samalah kita beramal dengan minuman sunah ini.  Paling tidak pun kita memperolehi pahala kerana mengikut sunah Rasulullah SAW, terutamanya bersempena dengan bulan Ramadan ini.  Alangkah baiknya jika ia dijadikan  sebagai minuman ketika berbuka puasa.

“Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.” ~~ Mutiara Kata Imam Syafie Rahimahullah