Thursday 30 July 2020

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA 2020





Dalam surah As-Saffat[Yang Bersaf-saf](37:102), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


"Manakala Ismail telah besar sedikit, Ibrahim berkata kepada anaknya itu " Hai anakku, bahawasanya aku bermimpi agar aku menyembelihmu, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?." Ismail menjawab: "Wahai bapaku, perbuatkanlah apa yang diperintahkan, engkau akan dapati  InsyaAllah aku dari orang-orang yang sabar" . 

(37:103)

“Maka ketika keduanya telah menyerah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah)”.

(37:104)

Lalu Kami panggil dia, “Wahai Ibrahim!”

(37:105)


“Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah  Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat  baik”.


Allah SWT telah merakamkan di dalam Al-Quran kisah yang sangat hebat ini. Ia adalah tentang perintahNYA agar Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannya, Ismail sebagai tanda mematuhi dan mentaati perintah Allah. Upacara penyembelihan ini telah menjadi salah satu syariat dalam agama Islam apabila datangnya 10 Zulhijjah setiap tahun. Umat Islam diseluruh dunia digalakkan mengorbankan binatang ternakan sebagai simbolik mematuhi perintah Allah SWT sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim.

===================================================

1.      Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha (Hari Raya Haji) kepada semua penjengok blog saya, terutamanya yang beragama Islam tanpa mengira di mana anda berada.

2.      Hari Raya Eidul Adha atau juga dikenali dengan panggilan Hari Raya Haji/Korban disambut umat Islam diseluruh dunia pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun.  Di Malaysia ia akan dirayakan pada hari esok, 31 Julai 2020. Hari raya ini juga mempunyai kaitan dengan  ibadat haji di Mekah yang merupakan rukun Islam yang kelima.

3.      Korban  terhadap binatang ternakan seperti lembu, kerbau atau unta yang dilakukan pada hari raya haji setiap tahun adalah bersempena umat Islam memperingati peristiwa Nabi Allah Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail.  Nabi Ibrahim melakukannya  kerana semata mata mentaati perintah Allah SWT.

4.      Ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan amat dituntut dalam Islam dan mendapat ganjaran pahala yang besar disisi Allah SWT. Bagi orang orang yang berkemampuan mereka berkesempatan menunaikan haji di tanah suci Mekah.

5.   Bagi yang belum berkemampuan kerana kekangan kewangan, sentiasalah mentaati perintah Allah SWT serta berusaha melakukan yang terbaik sesuai dengan ajaran agama Islam. Semoga kita diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu lagi dengan Eidul Adha pada tahun tahun mendatang.

6.       Bila datangnya hari raya, samada hari Raya Eidul Fitri ataupun Eidul Adha maka berkemundanglah di semua masjid dan surau di seluruh dunia bertakbir memuji kebesaran, kemulian dan keagungan Allah SWT.  Lafaz takbir raya dan maknanya ialah seperti di bawah:





                               Salam Eidul Adha dan Maaf Zahir Batin.
 
Berhati hati di jalan raya
Biar lambat asalkan selamat 
Selamat Hari Raya Eidul Adha  
Kepada semua muslimin dan muslimat

Apabila terjaga di pagi hari
Lihat semua berlawan sakan
Eidul Adha berkunjung lagi
Marilah sama kita raikan


"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus lakukan dosa. Tanpa adanya keyakinan seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka."  ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Tuesday 21 July 2020

AMALAN YANG DIGALAKKAN DALAM 10 HARI PERTAMA DIBULAN ZULHIJJAH



 
1.   Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam (Hijrah). Ia termasuk dalam “Asyhurul Hurum”, iaitu salah satu dari empat bulan mulia yang Allah SWT haramkan untuk berperang di dalamnya, kecuali dalam keadaan membela diri atau terdesak.  Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:2), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan haram, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.

Bulan yang termasuk dalam Asyhurul hurum (bulan-bulan haram) itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

2.  Esok ialah 22 hb. Julai 2020 yang bersamaan dengan 1 hb. Zulhijjah 1440.  Pada sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah itu terdapat kemuliaan dan barakah padanya. Dalam surah Al-Fajr[Waktu Fajar](89:1), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

"Demi waktu fajar.”

(89:2)

“Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”

Adapun yang dimaksudkan dengan “layaalin asyrin” (malam yang sepuluh) itu ialah sepuluh malam pada permulaan bulan Zulhijjah. Pendapat ini dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair,  Mujahid dan beberapa ulama salaf lain. Menurut riwayat Al-Bukhari dari Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada amal-amal soleh yang lebih disukai  Allah melebihi hari-hari itu".

3.   Bulan Zulhijjah ialah bulan bagi umat Islam menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu fardhu haji di Mekah dan juga bulan yang terdapat di dalamnya Hari Raya Haji serta ibadat korban.  Bagi orang-orang yang tidak sempat menunaikan haji maka adalah digalakkan mereka melakukan amalan-amalan berikut dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah.  Ini kerana ganjaran pahalanya amat besar di sisi Allah SWT. Amalan-amalan itu ialah:

3.1.   BERZIKIR: Memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT seperti “La ilaha Illalah”, “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan juga “Allahu Akbar”.  Ini berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani. Dalam konteks ini Allah SWT  berfirman dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:


"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Ibnu Abbas  mentafsirkan maksud “hari-hari yang tertentu” itu ialah sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah dan inilah pendapat kebanyakan ulama.

3.2.   BERPUASA: Umat Islam  sangat-sangat digalakkan untuk berpuasa sunat daripada 1 hingga 9 Zulhijjah atau mana-mana hari darinya.  Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Ia juga dikenali dengan nama puasa Arafah. Jika tidak mampu berpuasa pada hari lain maka berpuasalah pada hari itu. Pada hari itulah umat Islam yang mengerjakan haji berwukuf di Padang Arafah, iaitu yang menjadi salah satu dari rukun haji. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Hadis Riwayat Muslim).  Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah, baginda menjawab; “Puasa itu menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya.” (Hadis Riwayat Muslim). 

3.3.   MENUNAIKAN SOLAT EIDUL ADHA: Sangat digalakkan  untuk menunaikan solat Eidul Adha dan mendengar khutbah. Imam Ibnu Taimiyah berpendapat solat Eidul Adha adalah wajib (kecuali jika ada keuzuran atau halangan) berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar[Nikmat Yang Banyak](108:2) yang berbunyi:


“Oleh itu, tunaikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”.

                                                              TAKBIR RAYA
3.4.   BERTAKBIR: Ibnu Taimiyah dalam majmu' Fatawa menjelaskan; "Hendaklah takbir dilakukan mulai dari waktu fajar hari Arafah sampai akhir hari Tasyriq (pada 11,12,13 Zulhijjah).  Ia dilakukan setiap kali selesai mengerjakan solat dan disyariatkan bagi setiap orang untuk meninggikan suara dalam bertakbir.

Imam Bukhari menjelaskan bahwa Ibnu Umar dan Abu Hurairah, mereka berdua pergi ke pasar pada sepuluh hari Zulhijjah untuk menggemakan takbir pada khalayak ramai, lalu orang-orang mengikuti takbir mereka.


3.5.   BERKORBAN: Dalam surah Al-Hajj[Haji](22:32), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hatinya.”

(Syiar-syiar Allah itu bermaksud segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan termasuklah korban).

Berkorban adalah ibadah kepada Allah dengan menyembelih seekor kambing atau sepertujuh binatang korban pada hari Eidul Adha dan tiga hari tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hukumnya ialah sunat muakkadah, menurut jumhur ulama. Ibadah korban bukan kewajiban sekali seumur hidup, tetapi amalan sunat yang dianjurkan setiap tahun jika berkemampuan. 

Ketika di Madinah Rasulullah SAW berkorban setiap tahun. Dalam sebuah hadis disebutkan:

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَال : ضحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى  
وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا ( متفق عليه)
Dari Anas ra berkata; Rasulullah SAW berkorban dengan dua kambing yang baik dan bertanduk yang disembelihnya dengan tangannya sendiri sambil mengucapkan takbir.

3.6. MENJAUHI MAKSIAT DAN MASA TERBAIK UNTUK BERTAUBAT: Bagi sesiapa yang selama ini menangguhkan taubat kepada Allah SWT, maka 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah ini ialah masa yang terbaik.  Adalah amat biadap sekali kepada Allah jika kita sebagai orang Islam masih lagi bersuka ria dengan melampaui batas dan berbuat maksiat pada hari yang sangat dimulia dan diagungkan oleh Allah SWT.



3.7. BERSEDEKAH, MEMBACA AL-QURAN, SOLAT SUNAT:  Semuanya termasuk dalam hadis umum yang membuktikan amalan-amalan itu amat disukai oleh Allah SWT.

4.   Jom kita pakat beramal dengan amalan-amalan yang mudah ini.  Carilah harta kekayaan akhirat yang pasti akan menjadi milik kekal abadi kita selama-selamanya. Yakinlah bahawa kekayaan duniawi ini akan kita tinggalkan sebaik sahaja berpisahnya roh dari jasad kita.  Perbanyakkan bekalan untuk negeri akhirat. Kita pasti akan ke sana tidak lama lagi.  Carilah JALAN PULANG  seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kita akan hidup abadi dan tinggal di sana untuk selama-lamanya. Infiniti.
                                 
"Ilmu itu tumpang menumpang, murid menumpang ilmu guru, guru juga turut menumpang kebijaksanaan muridnya. Itulah dia 'taawun' iaitu saling mengambil manfaat antara satu sama lain" – Mutiara Kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat