Sunday 19 January 2020

PENJELASAN SALAH TANGGAPAN ORANG BUKAN ISLAM TERHADAP AGAMA ISLAM


1.      Agama Islam merupakan agama yang telah diredhai oleh Allah SWT adalah agama yang paling banyak disalah anggap atau disalah faham oleh orang bukan Islam. Malah dikalangan orang Islam sendiri pun mungkin timbul salah anggap ini kerana tidak memahami perkara sebenar yang terkandung dalam ajaran agama Islam.

2.      Salah satu sebab kenapa berlakunya perkara ini ialah kerana peranan media barat yang dikuasai oleh orang bukan Islam. Mereka boleh buat apa saja yang dikehendaki seperti memberi maklumat yang sama sekali salah, memberi info diluar konteks sebenar ataupun mungkin melaporkan kenyataan separuh benar.

3.      Selain dari itu orang bukan Islam mungkin juga mengadili dan menghakimi sesuatu melalui cara mereka melihat perbuatan, amalan atau percakapan orang Islam sendiri. Mereka tidak mengetahui kandungan  Al-Quran kerana tidak pernah membaca terjemahan Al-Quran. Jauh sekali dari mengetahui dan memahami sunah Rasulullah SAW. Jika kita ambil Malaysia sebagaii contoh, mereka akan menilai keburukan Islam berdasarkan ramainya penghuni penjara adalah terdiri dari orang Melayu/Islam. Dikalangan bohsia/bohjan, mat rempet, perzinaan  yang membawa kepada pembuangan anak serta kes perceraian ia melibatkan majoriti orang Melayu/Islam. Malah dikalangan pemimpin orang Islam, mereka jauh lebih buruk akhlaknya  berbanding dengan pemimpin orang bukan Islam. Orang bukan Islam berfikir jika Islam itu agama yang benar maka kenapa lebih ramai orang Islam yang melakukan kesalahan bahkan jenayah berbanding dengan orang bukan Islam.

4.  Di bawah ini disenaraikan beberapa pertanyaan orang bukan Islam tentang agama Islam.  Pertanyaan ini lahir dari ketidak fahaman orang bukan Islam terhadap Islam ataupun kerana salah tanggapan mereka tentang Islam. Diantara contoh contoh itu ialah:

4.1.   Orang bukan Islam tidak faham kenapa orang Islam tidak boleh makan babi.

4.2. Kenapa orang lelaki boleh kahwin hingga maksima empat orang isteri sedangkan seorang wanita hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang lelaki sahaja. Logik akal bagi mereka ialah, jika lelaki boleh kahwin sampai empat maka wanita juga sepatutnya boleh kahwin dengan empat orang lelaki.

4.3. Kenapakah Islam menindas wanita. Misalnya hijab (aurat) bagi lelaki dari pusat kelutut sedangkan wanita seluruh badannya melainkan muka dan tapak tangan. Bagi mereka ini tidak adil.

4.4. Kenapa Allah takdirkan seseorang dilahirkan dalam keluarga Islam, kemudian bila mati dapat masuk syurga. Sebaliknya Allah cipta orang bukan Islam dari keluarga bukan Islam, bila mati masuk neraka. Sepatutnya jika Allah adil maka semua manusia lahir dalam keluarga Islam dan Allah uji mereka bagi menentukan samada mereka layak masuk syurga atau tidak. Inilah baru adil.

4.5. Dalam solat berjemaah, orang lelaki berdiri dalam saf depan. Perempuan pula dalam saf belakang. Kenapa wanita tidak dibenarkan berada dalam saf hadapan.

4.6. Kenapa kuasa talak (menceraikan) hanya dimiliki oleh kaum lelaki (suami) sahaja dan kaum wanita tidak memilikinya.

5.   Bersediakah kita, orang Islam untuk menjawab semua persoalan di atas?. Bagi seseorang yang tidak betul betul kuat iman dan tidak pula memahami persoalan ini boleh membawa kepada murtad kerana tidak mampu menjawab persoalan yang mungkin ditanyakan orang bukan Islam kepadanya. Dengan tidak adanya jawapan itu dia mungkin akan merasakan Islam adalah agama yang lemah lalu timbullah keraguan kepada Islam dan wujud keinginan untuk memeluk agama lain.

6. Sebaik baiknya jawapan yang kita berikan hendaklah dengan menggunakan hujah hujah yang bernas dan berpandukan Al-Quran dan disusuli dengan hujah yang lain. Misalnya:

6.1.   Kenapa Islam mengharamkan makan daging babi:
 
6.1.1. Jawapannya ialah kerana ia adalah perintah dari Allah dalam Al-Quran yang berbunyi:


“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang (yang ketika disembelih) disebut (nama) selain dari Allah…….” {Petikan dari surah Al-Baqarah [Lembu Betina] (2:173)}

6.1.2. Sebagai orang Islam kita kena yakin Allah yang mencipta manusia maha mengetahui apa yang baik dan tidak baik untuk dimakan oleh manusia. 

6.1.3. Lepas itu baru kita jelaskan berdasarkan kajian sains dan lain lain. Misalnya dari satu kajian yang dibuat di USA keatas 23 orang yang makan babi. 22 orang dari mereka  dapat pelbagai jenis penyakit yang berpunca dari babi. Contoh lain dalam tahun 1998 – 1999 telah berlaku wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE) yang dikatakan berpunca dari babi di negara kita. Lepas wabak ini sudah ada orang Cina yang tidak makan babi lagi. Babi adalah sejenis binatang kotor yang makan najisnya sendiri bila lapar, mencari makan ditempat kotor dan suka tinggal ditempat kotor.

6.1.4. Dalam daging babi dilaporkan ada sejenis cacing pita. Walaupun ia terkena panas ketika dimasak  tetapi cacing itu tidak mati dan ia boleh membahayakan kesihatan manusia.

6.2.   Kenapa Islam mengizinkan poligami bagi lelaki sebaliknya mengharamkannya untuk perempuan : 

6.2.1. Istilah sebenar poligami bermaksud seorang lelaki atau perempuan yang menikahi lebih dari seorang pasangan hidup. Istilah sebenar bagi lelaki ialah poligini manakala bagi perempuan ia dinamakan poliandri. 

6.2.2.  Poligini tidak diperkenalkan oleh agama Islam. Ia sudah ada dalam agama lain sebelum kedatangan Rasulullah SAW. Pada masa itu bilangan isteri bukan maksima empat orang. Ia jauh lebih ramai. Islam hanya datang untuk mengehadkan bilangan isteri, iaitu empat orang. Poligini bukan wajib. Ia adalah jalan keluar untuk selesaikan masalah manusia. Sebagai contoh, jika isteri lumpuh, apakah penyelesaiannya jika bukan kahwin isteri lain dan pada masa sama jaga isteri lama. Dalam agama lain, kahwin dengam isteri baru dibenarkan jika  isteri lama yang lumpuh itu diceraikan dahulu. Ini sudah tentu menganiayai isteri lama. Begitu juga jika kahwin tidak dapat anak. Islam benarkan kahwin lain dan isteri lama dikekalkan. Dalam agama lain pilihannya samada ambil anak angkat atau cerai isteri pertama sebelum kahwini isteri baru.

6.2.3.  Dikebanyakan negara bilangan wanita melebihi lelaki. Jika poligini tidak dibenarkan kaum wanita tidak akan dapat merasai perkahwinan.  Sudah tentu ia memberi kesan negatif kepada seorang wanita. 

6.2.4. Islam mahu melindungi wanita dari dijadikan objek memuaskan nafsu lelaki. Di barat lelaki kahwin hanya satu tetapi mereka memiliki ramai perempuan simpanan. Islam haramkan perempuan simpanan tetapi benarkan kahwin lebih dari satu dengan syarat boleh berlaku adil. Dengan cara ini wanita yang dikahwini secara sah itu dapat dilindungi oleh suaminya. Selain dari itu ibu bapa kepada perempuan itu juga rasa dihormati berbanding jika anak perempuannya hanya dijadikan perempuan simpanan lelaki. Barat membenarkan perzinaan melalui perempuan simpanan yang melahirkan anak zina tanpa bapa. Mahukah kita melihat seorang bayi atau anak yang tidak tahu siapa bapanya?. Fikirkan apakah kesan psikologi yang anak itu kena tanggung sepanjang hayatnya.

6.2.5. Poliandri wujud dalam masyarkat suku Maasai dalam kelompok etnik Nilotic yang tinggal di selatan Kenya dan utara Tanzania.  Juga ada di sebuah desa terpencil di Tibet, sebuah penempatan pendalaman di India dan perkampongan pendalaman di pergunungan Himalaya.

6.2.6. Jika bilangan bapa hanya satu, kita dapat kenalpasti siapa bapanya dan siapa ibu.  Tapi jika poliandri, kita tahu ibunya tapi tidak tahu siapa bapa. Jadi anak itu perlu dibinkan dengan bapa yang mana satu?. Bukankah ia akan memberi kesan psikolgi kepada anak tersebut apabila dia mungkin diejek oleh kawan kawannya bila sudah besar. Selain itu hasil dari kajian mendapati anak-anak akan hadapi masalah trauma mental jika mereka tidak dapat kenalpasti ibu atau bapa mereka. Walaupun ujian DNA boleh dibuat tetapi  kosnya agak mahal dan tidak mampu dtanggung oleh golongan miskin.

6.2.7.Adalah lebih mudah bagi lelaki menunaikan tanggungjawab biologi dan fizikal kepada ramai isteri berbanding dengan seorang wanita yang perlu melayani ramai suami. Perempuan akan mengalami kedatangan haid yang akan mengakibatkan perubahan emosi, sikap dan mental seorang wanita.  Sukar baginya melayani ramai suami dalam masa haid.

6.2.8. Kajian dari aspek sains perubatan mendapati jika wanita mempunyai lebih suami, penyakit melalui hubungan seks lebih tinggi kemungkinan berlaku dan boleh menjangkiti suami yang lain pula.  Tapi bagi kes poligini, penyakit kelamin sangat sukar berlaku.

6.3.   Kenapa Islam menindas wanita:

6.3.1.Barat kata Islam menindas wanita. Kita perlu bandingkan keadaan wanita sebelum kedatangan Rasulullah, iaitu seperti dalam tamadun Greek, tamadun Babylon, tamadun Roman, tamadun Mesir dan tamadun pra Arab. Di zaman itu  wanita tidak ada hak ke atas harta, wanita hanya menjadi simbol seks. Jika suami bunuh seseorang, suami ada hak untuk ambil isterinya sebagai ganti untuk dihukum.  Dalam peradaban Greek mereka anggap semua kejahatan datang dari wanita. Dalam peradaban Roman pada bila bila masa suami berhak ambil nyawa isterinya. Dalam masyarakat Arab jahiliah mereka menanam anak perempuan hidup hidup kerana mendapat anak perempuan dianggap memalukan. Bila Rasulullah diutuskan untuk membawa agama Islam, semua itu telah dibatalkan dan wanita dinaikan mertabat mereka.

6.3.2. Satu lagi dikatakan penindasan kerana wanita wajib memakai hijab untuk menutup aurat mereka. Berkaitan dengan aurat ini perintah memakai hijab diturunkan kepada lelaki terlebih dahulu, iaitu melalui firman Allah yang berbunyi:


“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan”. {Petikan dari surah An-Nur[Cahaya](24:30)}

 Lepas itu barulah turun ayat perintah hijab untuk kaum wanita yang berbunyi:


“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”. {Petikan dari surah An-Nur[Cahaya](24:31)}

6.3.3. Sebenarnya maksud hijab tidak terhad kepada pakaian sahaja. Hijab mempunyai 6 syarat iaitu bagi lelaki dari paras pusat hingga ke lutut dan untuk perempuan pula seluruh badan melainkan muka dan dua tapak tangan. Hanya satu syarat ini sahaja yang berbeza antara lelaki dan wanita. Lima lagi syarat adalah sama iaitu:

(i) Kena pakai baju tebal dan besar supaya tak nampak bentuk badan.

(ii) Pakaian tidak boleh terlalu jarang  hingga nampak kulit badan.

(iii) Tidak boleh kelihatan terlalu cantik dan berwarna warni pakaiannya hingga menarik perhatian kaum seks yang berbeza.

(iv) Wanita tidak boleh berpakaian seperti lelaki dan begitulah juga sebaliknya.

(v) Tidak boleh berpakaian seperti orang kafir. Misalnya jubah yang ada lambing salib didada, baju sami Buddha dan seumpamanya.

Hijab bukan hanya pakaian. Ia termasuk juga tingkah laku, cara bercakap dan seumpamanya.

6.3.4. Berkaitan dengan perintah pemakaian hijab bagi wanita ini Allah SWT berfirman yang bermaksud:


Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” {Petikan dari surah Al-Ahzab [Golongan Bersekutu] (33:59)}

6.3.5. Dalam ayat di atas Allah menerangkan dua sebab kenapa wanita kena tutup aurat mereka, iaitu  bagi membezakan wanita Islam dan bukan Islam serta mengelakkan mereka dari dicabuli kehormatannya. Kita ambil contoh dua orang gadis kembar seiras yang cantik. Seorang memakai hijab dan seorang lagi memakai pakaian seksi. Mana satukah yang akan menjadi mangsa pencabulan?. Begitulah cara Allah memelihara kehormatan wanita. Kesimpulannya hijab adalah untuk melindungi wanita dan bukannnya untuk menindas wanita. Satu perkara lagi wanita ibarat barang berharga yang perlu dlindungi atau ditutup bagi mengelakkan ia dilihat/khianati oleh orang lain.

6.4. Kenapa Allah tidak berlaku adil kerana tidak mentakdirkan semua orang lahir dalam keluarga Islam:

6.4.1.   Orang bukan Islam kata tidak adil Allah menjadikan seseorang dari keluarga Islam kerana  bila mati boleh masuk syurga. Sebaliknya Allah menjadikan orang dari keluarga kafir kemudian masuk neraka bila mati. Mereka bertanya kenapa Allah tidak jadikan semua manusia Islam dan kemudian uji mereka untuk menentukan layak masuk syurga atau neraka.

6.4.2. Kita perlu menjelaskan bahawa bukan semua orang Islam akan masuk syurga. Mereka juga perlu melalui ujian. Umpamanya berapa ramai orang Islam yang telah terkeluar dari Islam tanpa mereka sedar. Tergelincirnya akidah dan terbatalnya syahadah kerana perbuatan atau amalan yang mensyirikkan Allah SWT. Contohnya orang Melayu Islam gemar mempercayai tangkal untuk mengubah nasib mereka, mempercayai bomoh lebih dari janji Allah, tidak lagi menyakini rezeki itu datang dari Allah tetapi sebaliknya mempercayai dan memakai pelaris untuk memajukan perniagaan, menyakini kepada tukang tenung nasib yang melihat urat tapak tangan, percaya dan menyakini kebenaran zodiac atau Bintang 12 dan sebagainya.

6.4.3. Seperti juga orang bukan Islam, orang Islam turut diuji oleh Allah. Ia sesuai dengan firman Allah seperti berikut:

“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” {Petikan dari surah Al-Mulk[Kerajaan](67:2)}.

6.4.4.   Walaupun dilahirkan dari keluarga bukan Islam, mereka masih berpelung untuk mendengar dan mengikuti dakwah Islam melalui pelbagai cara. Ia samada melalui keberadaan mereka dipersekitaran orang Islam, mengikuti ceramah/penerangan tentang  agama Islam samada melalui TV, surat khabar, makalah, media media sosial dan sebagainya.  Bagi orang bukan Islam, sebaik mereka memeluk Islam semua dosa dosa mereka sebelum ini terhapus semuanya. Mereka ibarat seperti menjadi bayi yang baru dilahirkan, sedangkan orang Islam perlu membawa dosa dosa mereka sehinggalah mereka benar benar bertaubat nasuha kepada Allah SWT. Allah pasti akan memberi pembalasan yang baik kepada orang bukan Islam yang kemudiannya memeluk Islam. Ia sesuai dengan firman Allah yang berbunyi:


“Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).{Petikan dari surah Al-Isra’[Perjalanan Di Malam Hari](17:15)}

6.5. Kenapa hanya lelaki berada di saf depan dalam solat berjemaah:

Jawapannya ialah kerana wanita itu lebih kuat semangatnya berbanding lelaki. Wanita tidak mudah terangsang seks jika mereka melihat lelaki. Bayangkan jika wanita didepan, lebih lebih lagi masa rukuk dan sujud maka sudah tentu ia akan mengganggu kyusuk solat orang lelaki. Kesimpulannya lelaki berada dihadapan bukan kerana lelaki lebih tinggi tarafnya berbanding wanita.

6.6. Kenapa hanya lelaki ada kuasa talak sedangkan wanita tiada:

6.6.1.Talak menjadi hak suami kerana suami yang membayar mahar perkahwinan, membiayai nafkah isteri dan menyediakan tempat tinggal. Oleh itu, seseorang suami akan lebih berhati-hati dalam membuat pertimbangan dengan memikirkan keburukan daripada perceraian dan berfikir lebih jauh untuk bertindak pada perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.

6.6.2. Kelazimannya kaum wanita lebih terpengaruh dengan  emosinya berbanding kaum lelaki. Oleh itu, jika diberikan kuasa untuk menjatuhkan talak, maka berkemungkinan mereka akan menjatuhkan talak hanya kerana sebab-sebab yang remeh–temeh dan pada perkara yang tidak sewajarnya yang boleh meruntuhkan rumah tangga.

6.6.3. Apabila berlaku sesuatu penceraian, maka ia diikuti oleh beberapa perkara yang berkaitan dengan harta seperti membayar mahar tunai dan membiayai nafkah semasa ‘iddah. Semua bebanan ini ditanggung oleh pihak lelaki dan ini akan membuatkannya berfkir panjang sebelum menjatuhkan talak.

7.      Semoga penjelasan ini dapat memberikan jawapan dan merungkai salah tanggapan dikalangan orang bukan Islam terhadap kesucian ajaran agama Islam. Mudah mudahan orang bukan Islam lebih tertarik untuk mendekati agama tauhid yang datang dari tuhan yang sebenar, iaitu Allah SWT.

“Bila kita membeli belah di kedai, kita tukarkan duit dengan barang. Oleh yang demikian kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata.  Sebaliknya, sedarkan kita apabila kita taburkan duit untuk kebaikan, ia seperti kita membeli pahala dengan duit kita.  Walaupun pahala ini benda yang tidak nampak, tetapi itulah duit kita di akhirat.” – Mutiara kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian kandungan dipetik dari ceramah saudara Lim Jooi Soon