Saturday 25 February 2017

TUJUH KEBAHAGIAN DUNIA MENGIKUT IBNU ABBAS


1.   Setiap manusia pastinya mengimpikan kebahagian dalam kehidupan mereka masing-masing. Neraca untuk mengukur kebahagian itu berbeza antara seorang dengan orang yang lain. Kebanyakan manusia meminati harta dan mereka akan mengatakan harta dan kekayaan yang banyak itulah asas atau landasan kebahagian hidup.  Lain pula halnya bagi orang-orang yang beriman yang tidak memandang harta dunia sebagai tonggak kebahagian hidup.

2.  Mari sama-sama kita lihat apakah pendapat dan pandangan salah seorang sahabat Rasulullah, iaitu Abdullah bin Abbas (Ibnu Abbas) yang amat terkenal tentang kebahagian hidup.  Katanya ada tujuh petanda kebahagian hidup di dunia, iaitu:

2.1.  Qalbun syakirun, iaitu memiliki hati yang selalu bersyukur kepada Allah SWT. Betapa ramai orang yang Allah kurniakan kekayaan tetapi mereka tidak bersyukur kepada Allah.

2.2.   Al-Azwaju shalihah, iaitu memiliki pasangan hidup yang soleh dan solehah. Tidak sedikit orang yang ditakdirkan memiliki pasangan yang malas untuk beribadat dan selalu membuat maksiat.

2.3.   Al-auladun abrar, iaitu memiliki anak-anak yang soleh. 

2.4.   Albiatu sholihah, iaitu hidup dalam suasana yang amat kondusif  untuk iman kita seperti kemudahan untuk beribadat.  Tiada gangguan anak atau cucu-cucu untuk beribadat. Rumah dekat dengan masjid atau surau untuk berjemaah.  Jiran-jiran yang terdiri dari kaki masjid.

2.5.  Al malul, iaitu memilki harta yang halal di sisi Allah SWT.  Ramai manusia hari ini tidak lagi memikirkan punca kekayaan samada halal atau haram.  Yang diutamakan hanyalah banyak dan senang semata mata. 

2.6.  Tafakur fi diin, iaitu semangat atau kemahuan untuk memahami agama.

2.7.  Umur yang berkat, iaitu umur yang dihabiskan untuk beribadat dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Semakin tua seseorang itu mereka menjadi semakin soleh.  

3.  Siapakah Ibnu Abbas?.  Secara ringkasnya Abdullah bin Abbas (Ibnu Abbas) ialah anak Abbas bin Abdul Muttalib bin Hasyim, iaitu bapa saudara Rasulullah.  Hubungannya dengan Rasulullah ialah sepupu.  Beliau  lahir tiga tahun sebelum hijrah Rasulullah ke Medinah. Rasulullah pernah mendoakan untuknya yang bermaksud "Ya Allah berilah dia pengertian dalam bidang agama dan berilah dia pengetahuan takwil (tafsir)". Allah telah memakbulkan doa Rasulullah ini sehinga Ibnu Abbas menjadi seorang sahabat yang mempunyai kedudukan yang sangat tinggi sehingga digelar salah seorang ilmuan Islam terkenal dalam bidang fiqh, tafsir, bahasa arab, sya'ir, fara'id dan sejarah. Selama 30 tahun lamanya beliau akan dicari sesudah Abdullah bin Mas’ud untuk di minta fatwa penting tentang perkara-perkara agama.

4.   Tentang Ibnu Abbas ini, Ubaidullah bin Abdullah bin Utbah berkata: "Tak pernah aku melihat seseorang yang lebih mengerti dari pada Ibnu Abbas tentang ilmu hadis Rasulullah SAW  serta keputusan-keputusan  yang dibuat oleh khalifah-khalifah Abu Bakar, Umar  dan Usman". Beliau adalah sahabat kelima yang banyak meriwayatkan hadis sesudah Sayyidatina Aisyah.  

5.  Di akhir hidupnya Ibnu Abbas menjalani kehidupan sebagai seorang yang buta penglihatannya.  Beliau menetap di Taif, Arab Saudi sehingga akhir hayatnya.  Wafat pada tahun 68 Hijrah. ALFATIHAH.

MAKAM IBNU ABBAS DI TAIF
“Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti”. – Mutiara Kata Saidina Ali bin Abi Thalib
Sebahagian kandungan dipetik dari grup watsap MPKM

Friday 10 February 2017

TUJUH PERKARA TENTANG REZEKI DALAM AL-QURAN


1.   Setiap manusia sangat bersungguh-sungguh mencari rezeki masing-masing untuk hidup. Untuk menjamin kesenangan duniawi.  Malah ada yang sanggup mencari sumber kewangan yang haram seperti berjudi, merompak, makan harta riba, harta anak yatim, menipu, rasuah dan sebagainya.

2.   Daripada Abu Hurairah RA katanya : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi Allah, sesungguhnya orang yang membawa seberkas kayu di atas belakangnya adalah lebih baik daripada dia meminta-minta daripada orang lain sama ada diberi atau pun tidak”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

3.   Berkaitan rezeki ini terdapat tujuh (7) perkara tentangnya yang telah Allah SWT firmankan dalam Al-Quran, iaitu;

3.1.   Rezeki yang telah dijamin oleh Allah SWT.  Berkaitan hal ini Allah telah berfirman dalam surah Hud (11:6) yang berbunyi:   
    

“Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”

3.2.   Rezeki kerana usaha manusia sendiri.  Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman dalam surah An-Najm[Bintang](53:39) yang berbunyi:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

3.3.   Rezeki kerana bersyukur.  Allah telah berfirman dalam surah Ibrahim (14:7) yang berbunyi:


“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

3.4. Rezeki yang tidak disangka sangka. Dalam surah At-Talaq[Perceraian](65:2) yang berbunyi:


“Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan kesaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).”

(65:3)

“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

3.5.   Rezeki kerana berkahwin.  Allah telah berfirman dalam surah An-Nur [Cahaya](24:32) yang berbunyi:
 

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”

3.6. Rezeki kerana memperolehi anak. Dalam surah Al-Israq[Memperjalankan Waktu Malam](17:31) yang berbunyi:


“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

3.7. Rezeki kerana bersedekah.  Dalam hal ini Allah SWT telah berfirman dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:245) yang berbunyi:


“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?. Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

4.   Meminta dan bermohonlah kita kepada Allah SWT agar kita dikurniakan rezeki yang halal dan baik olehNya.  Ini kerana dengan rezeki itulah kita gunakan untuk makan/minum bersama pasangan hidup kita yang menjadi darah daging kita.  Dengan rezeki itulah juga kita membesarkan anak-anak kita. 

"Tiada apa yang aku kesalkan dalam sehari ketika terbenamnya matahari, selain daripada umurku menjadi pendek, sedangkan amalanku tidak bertambah " ~~ Mutiara kata Ibnu Mas'ud

Sebahagian kandungan dipetik dari grup watsap MPKM