Friday 30 October 2015

LAPAN KUMPULAN MANUSIA YANG TERBAIK (BAHAGIAN 2)

1.   Empat lagi kumpulan manusia yang terbaik dari perspektif Allah SWT dan Rasulullah SAW.  Mereka adalah terdiri dari orang-orang yang:

1.1.   PALING BERMANFAAT KEPADA ORANG LAIN 

1.1.1. Seorang Islam yang paling beruntung dan bertuah ialah orang yang hidupnya di dunia ini sentiasa memberi manfaat dan faedah kepada orang lain. Perbuatan, ucapan, nasihat, aktiviti, tulisan dan pandangan kumpulan ini semuanya membawa kebaikan dan dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Mereka terdiri dari kumpulan orang sentiasa memanjangkan tangan untuk bersedekah dan memberi bantuan kepada mereka yang lebih miskin dan memerlukan, lebih-lebih lagi anak yatim yang sangat dihormati dan dikasihi oleh Rasulullah.  Kumpulan ini sangat menyedari akan firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

(a) Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:220) yang berbunyi:





Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

(b) Surah An-Nisa’[Kaum Perempuan](4:2) yang berbunyi:





“Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan yang baik dengan yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar”.

1.1.2. Kita lihat pula apakah pesanan Rasulullah dalam sabdanya tentang manusia yang bermanfaat kepada orang lain:

(a) Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW  bersada yang bermaksud: "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim)

(b) Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” (Hadis dihasankan oleh Al-Albani di dalam Shahihul Jami’. No. 3289)

1.2.  MEMBERI HUTANG DAN MUDAH UNTUK MEMBAYAR HUTANG.

1.2.1. Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:245), Allah SWT telah berfirman tentang hutang yang berbunyi:




“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan”.


1.2.2. Orang yang membantu saudaranya yang susah dengan cara memberi hutang adalah satu perbuatan yang mulia di sisi Allah SWT. Memberi hutang dibolehkan dalam kerana Rasulullah sendiri pernah berhutang dengan sahabatnya. Memberi hutang lebih besar pahalanya daripada bersedekah.

1.2.3. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda‘. Aku bertanya Jibril kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?. Jawab Jibril, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan Al-Baihaqi).

1.2.4. Sesiapa yang berhutang kerana keperluan hidupnya sedangkan dalam hatinya berniat untuk membayar balik hutangnya maka hutangnya akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Dalam konteks ini Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya." ( Hadis Riwayat Bukhari)

1.2.5. Abu Hurairah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik dalam membayar hutang.” (Muttafaqun ‘alaih)


1.3.  MEMBERI MAKAN KEPADA FAKIR MISKIN.

1.3.1. Salah satu sifat orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah ialah gemar membantu golongan yang miskin dan memerlukan bantuan. Mereka tidak akan keberatan untuk memberi makan kepada fakir miskin. Kumpulan ini amat menyedari akan firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

(a) Al-Insan[Manusia](76:8) yang berbunyi:




“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.”

                   (b) Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:





“Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

1.3.2. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa memberi makan orang lapar, Allah akan memberinya makanan dari buah-buahan syurga. Barang siapa memberi minuman kepada orang haus, Allah pada hari kiamat nanti akan memberinya minuman syurga yang amat lazat (ar-rahiq al-makhtum), dan barang siapa memberi pakaian orang yang telanjang, Allah akan memberinya pakaian syurga yang berwarna hijau (khudhr al-jannah).” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

1.4.  MENJADI SUAMI/BAPA YANG PALING BAIK TERHADAP KELUARGANYA.

1.4.1. Dalam Surah Al-Tahrim [Mengharamkan](66:6), Allah berfirman yang berbunyi:




“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

1.4.2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”

1.4.3. Seseorang yang berlemah lembut dan menunaikan kewajipan terhadap ahli keluarganya adalah adalah ciri-ciri suami yang baik. Suami yang bertanggung jawab akan menjadi teladan kepada isteri dan anak-anaknya dalam menjalani kehidupan seharian. Contoh terbaik sebagai suami dan bapa ketika bersama-sama ahli keluarganya ialah Rasulullah SAW sendiri.

1.4.4. Saiyidatina Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik dari kamu adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis Riwayat Termidzi).

2.   Alangkah beruntung dan bertuahnya kita jika termasuk dalam kalangan lapan kumpulan yang di katakan oleh Rasulullah SAW sebagai sebaik-baik manusia. Mereka mengikut ajaran Rasulullah SAW dengan beramal soleh dan melakukan amal kebajikan.  Mereka adalah terdiri dari kumpulan manusia yang berjaya serta berbahagia di dunia dan juga akhirat.

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

Wednesday 28 October 2015

LAPAN KUMPULAN MANUSIA YANG TERBAIK (BAHAGIAN 1)

1.      Setiap orang yang beriman tentunya berharap dan bercita-cita untuk menjadi hamba Allah SWT yang paling baik, beriman dan bertaqwa kepadaNya. Namun demikian tidaklah mudah untuk mencapainya. Ini kerana penilaiannya bukanlah dari sudut pandang manusia melainkan penilaian dari Allah SWT yang diberitahu sendiri oleh kekasihNya, Rasulullah SAW. Terdapat lapan kumpulan manusia yang terbaik seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.  Kumpulan-kumpulan itu ialah orang-orang yang:
1.1. BELAJAR AL-QURAN DAN MENGAJARKANNYA.

1.1.1. Al-Quran adalah qalam Allah SWT. Mengapakah  belajar dan mengajar Al-Quran akan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT?.  Jawabnya ialah  kerana tidak ada kitab yang paling lengkap dan sempurna di atas muka bumi ini untuk menjadi panduan hidup manusia melainkan Al-Quran. Al-Quran yang merupakan kitab suci telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah melalui perantaraan malaikat Jibril. Di dalamnya terkandung semua hukum hakam dan panduan untuk kehidupan manusia. Allah telah berjanji untuk memberikan pahala kepada pembacanya.  Sesiapa yang membaca satu huruf darinya akan mendapat ganjaran pahala 10 kali ganda. 

1.1.2. Al-Quran bukan sekadar sebuah kitab panduan.  Ia juga merupakan kitab petunjuk, kitab peringatan, kitab kemuliaan, kitab kerahmatan, kitab kebenaran, kitab kemenangan, kitab penyembuhan, malah kitab kesatuan. Al-Quran bukan seperti mana-mana buku yang ditulis oleh manusia bahkan ia terlalu agung untuk disamakan dengan mana-mana karya manusia, betapa hebat manapun manusia itu.

1.1.3. Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia mengesa/mentauhidkan Allah SWT. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan alam oleh Allah dan bagaimana alam yang sangat kompleks ini ditadbirkan oleh penciptaNya yang maha agung. Dengan memahami Al-Quran manusia mampu mengenali sifat-sifat Allah  yang maha mulia. Al-Quran turut memuatkan contoh teladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa Al-Quran diturunkan. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan bagi mengharungi kehidupan sebagai seorang Islam sejati.

1.1.4. Apakah yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW tentang kelebihan membaca Al-Quran:

(a) “Orang yang mahir dengan Al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan kepayahan dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan).”(Hadis Riwayat Muslim)

(b) “Bacalah Al-Quran kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

(c) “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

1.2. MENUNTUT ILMU DAN PALING BAIK AKHLAKNYA

1.2.1.Dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:9), Allah SWT telah menegaskan adanya perbezaan antara orang yang menuntut ilmu dan tidak.  Firman Allah itu berbunyi:


“Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”

1.2.2.  Kita lihat pula apakah sabda Rasulullah SAW tentang dua perkara ini:

(a) “Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di khalayak para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat Muslim)

(b) Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud:“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik akhlaknya dan jika mereka menuntut ilmu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

(c)  Abu Darda berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul khulq (akhlak yang baik).” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

(d) Saiyidatina Aisyah berkata, Aku  telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam'.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

1.2.3. Akhlak yang mulia adalah gambaran atau pancaran dari iman yang sempurna. Iman yang tidak disertai oleh akhlak yang baik adalah tidak bernilai. 

1.2.4. Menuntut ilmu pula adalah satu kewajipan setiap mukmin. Sesiapa yang keluar dari rumahnya  untuk menuntut ilmu dia seolah-olah sedang berjalan menuju ke syurga Allah.

1.3.   PANJANG USIA DAN BAIK AMALANNYA.

1.3.1. Manusia selalu bermohon kepada Allah SWT supaya dipanjangkan usianya. Usia panjang adalah merupakan kurniaan dari Allah. Orang yang paling bertuah ialah orang yang dikurniakan usia yang panjang dan hidup dalam keadaan sentiasa mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Usianya ialah usia yang diberkati Allah. Sebaliknya orang yang paling celaka ialah orang panjang usia tetapi hidupnya dalam keadaan berbuat maksiat dan dosa kepada Allah, melanggar perintahNya. Orang seperti ini seolah-olah sedang menempah tiket untuk masuk neraka Allah. Orang seperti ini perlu ingat bahawa kelebihan dirinya yang berusia panjang, banyak harta dan sihat tubuh badan adalah merupakan istidraj (kemurkaan) daripada Allah. Jika sampai saatnya Allah akan cabut nyawanya dalam keadaan berbuat dosa.  Matinya mati su'ul khatimah. Waliyya zubillah.

1.3.2.  Abdullah bin Busr berkata bahawa ada seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia?.” Rasulullah menjawab: “Siapa yang paling panjang usianya dan baik amalannya.” (Hadis riwayat Tirmidzi). 

1.4. PALING DIHARAPKAN KEBAIKANNYA DAN SANGAT KURANG KEBURUKANNYA.

      Orang yang seperti ini dijelaskan oleh Allah SWT dan juga Rasululah SAW seperti berikut:

1.4.1.   Dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:10) Allah SWT berfirman yang berbunyi:
  
         
“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.

1.4.2. Berkaitan dengan kebaikan seseorang ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, nescaya Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dengan kefahaman dalam hal agama yang Allah berikan ini, seseorang itu akan dapat melakukan amal soleh. Hal ini sudah pasti memberi kebaikan kepadanya kerana hidupnya akan diisi dengan ibadat kepada Allah SWT.

1.4.3. Dalam hadis lain, Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW berdiri di hadapan beberapa orang, lalu bersabda: “Mahukah kamu aku beritahukan sebaik-baik dan seburuk-buruk orang dari kamu?.” Mereka terdiam dan Rasulullah bertanya seperti itu tiga kali, lalu ada seorang yang berkata: “Ya, kami mahu wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami sebaik-baik dan seburuk-buruk kami.” Rasulullah bersabda: “Sebaik-sebaik kamu adalah orang yang diharapkan kebaikannya sedangkan keburukannya terjaga…” (Hadis Riwayat Tirmidzi).

1.4.4.  Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”. (Hadis Riwayat Muslim).

2.  Alangkah bahagianya hidup kita ini sekiranya kita termasuk dalam 4 kumpulan manusia yang telah di kategori oleh Rasulullah SAW sebagai orang yang terbaik mengikut perspektif Allah dan Rasulullah. Justeru, apa yang perlu kita buat.  Berusahalah setakat yang kita mampu untuk termasuk dalam kumpulan pilihan ini. Mudah-mudahan syurga akan menjadi tempat kediaman kita nanti.

“Syaitan lebih suka untuk menyesatkan orang yang alim daripada orang jahil kerana orang alim apabila sesat maka dia akan turut menyesatkan orang lain dengan kejahilannya sedangkan orang jahil tidak begitu” – Mutiara Kata Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Husaini

Monday 26 October 2015

BERTEKAD MENJADIKAN SYURGA SEBAGAI MATLAMAT HIDUP


1. Dalam Surah At-Taubah[Pengampunan](9:72), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:





“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang sangat besar”.

2.   Sebagai seorang Islam kita wajib mempercayai adanya perkara-perkara ghaib, iaitu perkara yang tidak mampu dilihat dan didengar sekarang tetapi ia pasti ada.  Salah satu darinya ialah pembalasan syurga dan neraka dari Allah SWT. 

3.      APA MAKSUD SYURGA

Syurga (Al Jannah) dari segi bahasanya berarti kebun (al bustan), iaitu kebun yang di dalamnya terdapat pokok-pokok. Orang Arab juga biasa memakai kata al jannah untuk menyebut pokok kurma. Dari segi istilah, syurga ialah nama umum yang mencakupi suatu tempat yang telah dipersiapkan oleh Allah SWT bagi mereka yang mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Di dalamnya terdapat pelbagai kesenangan, kebahagiaan, keseronokan, kenikmatan, kelazatan dan apa juga yang indah pada pandangan mata manusia. Selain dipanggil Al Jannah, syurga juga dikenali dengan  pelbagai nama seperti  Jannatun Na'im (Syurga yang Penuh Kenikmatan), Al Firdaus,  Darus Salam (Negeri Keselamatan), Darul Khuld (Negeri yang Kekal) dan lain-lain lagi.

4.      DI MANA LETAKNYA SYURGA

4.1.  Ketika Rasulullah dalam perjalanan Mikraj, baginda telah berhenti di Sidratul Muntaha. Menurut baginda, Sidratul Muntaha itu berada jauh di luar alam langit (di luar ruang angkasa). Di situlah Baginda mendapati terletaknya syurga. Para ulama bersepakat bahawa syurga itu terletak di atas dari langit yang ketujuh. Ini kerana adanya firman Allah SWT dalam Surah An-Najm[Bintang](53:13) yang berbunyi:



“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi”.

(53:14)


“Di sisi Sidratul-Muntaha”.

(53:15)




“Yang di sisinya terletak Syurga ‘Jannatul-Makwa’”.

(53:16)



“(Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.

(53:17)



“Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas”.

4.2.   Rasulullah SAW dalam perjalanan mikraj telah memasuki langit dunia. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Adam di mana sebelah kanannya terdapat roh-roh ahli syurga dan di kirinya pula roh-roh ahli neraka. Perjalanan diteruskan ke langit kedua sampai ke langit ketujuh. Di langit kedua baginda telah bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya. Di langit ketiga pula bertemu Nabi Yusuf manakala Nabi Idris ditemui di langit keempat. Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Harun di langit kelima, Nabi Musa di langit keenam, dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh. Di langit ketujuh inilah dilihatnya Baitul Makmur, tempat di mana 70,000 malaikat sedang solat. Setiap malaikat hanya dibenarkan sekali memasukinya dan tak akan masuk lagi. Perjalanan Rasulullah diteruskan sehingga ke Sidratul Muntaha. Di Sidratul Muntaha Rasulullah  dapat melihat empat batang sungai. Dua sungai batin di syurga manakala dua sungai zahir di dunia iaitu sungai Furat (Tigris) di Iraq dan sungai Nil di Mesir.  Kemudian Malaikat Jibril  mengajak Rasulullah melihat syurga yang indah. Di Sidratul Muntaha inilah Rasulullah melihat wajah Jibril dalam bentuk asalnya.

5.       SIAPA YANG LAYAK MASUK SYURGA?

Soalan ini boleh dijawab dengan firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

5.1.      Dalam Surah Al Imran[Keluarga Imran](3:195) yang berbunyi:








“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

5.2. Dalam Surah An-Nisaa[Kaum Perempuan](4:124) yang berbunyi:





“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
 
6.      KENIKMATAN SYURGA

6.1. Seorang yang beriman perlu mencari dan memburu syurga kerana kenikmatan dan keindahannya yang tidak dapat dihuraikan dengan bahasa. Nikmatnya syurga itu tidak boleh sama sekali dibandingkan dengan kenikmatan kehidupan di dunia ini. Oleh kerana itulah layak masuk syurga dan selamat dari neraka adalah satu  rahmat yang teramat agung dan tinggi serta kemenangan yang sangat besar bagi seorang manusia. Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:185) yang berbunyi:




“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

6.2.  Di dalam syurga itu udaranya sangat nyaman. Tidak panas membakar dan tidak pula sejuk mengigit. Allah berfirman dalam Surah Al-Insan[Manusia](76:13) yang berbunyi:




“Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.”

6.3.   Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar, dari Abu Hurairah, katanya rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Bahawa dinding-dinding syurga itu diperbuat dari batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya pula kasturi. Harumnya syurga itu sudah dapat dicium dari jarak perjalanan 100 tahun." 

7.      BINAAN SYURGA

7.1.   Gambaran binaan syurga telah diberikan oelh Allah SWT dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:20) yang berbunyi:






“Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya”.

7.2.   Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya ahli syurga akan memandang ahli kamar di atasnya seperti kamu melihat bintang di langit meluncur dari ufuk timur atau barat, kerana kelebihan di antara mereka". Para sahabat bertanya: "Itukah tempat para nabi yang tidak sampai kepadanya orang lain?" Rasulullah menjawab: "Bahkan  Demi Allah yang nyawaku dalam tanganNya lelaki-lelaki yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul."( Hadis Riwayat Muslim)

7.3.   Di dalam syurga terdapat lapan pintu. Antaranya adalah pintu Ar Rayyan. Tidak ada yang memasukinya kecuali orang-orang yang berpuasa. Jarak antara satu pintu syurga dengan yang lain sangat jauh, sejauh di antara Mekah dan Bushra ataupun antara Mekah dan Hajar (sebuah kota di Bahrain). Jarak ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah, di mana beliau berkata: “Allah berfirman: Wahai Muhammad, masukkan umatmu yang tidak dihisab melalui pintu sebelah kanan. Mereka bebas masuk pintu lainnya bersama orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Demi Rabb yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, jarak di antara dua daun pintu syurga adalah seperti Mekah dan Hajar atau di antara Mekh dan Bushra.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

7.4.   Abu Hurairah r.a. berkata, kami bertanya Rasulullah: Beritakan kepada kami tentang bangunan syurga. Jawab Rasulullah yang bermaksud; “Satu bata dari emas dan satu bata dari perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za'faran, kerikilnya mutiara dan yakut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya.”

7.5.   Syurga itu bertingkat-tingkat dan setiap tingkat berbeza-beza bentuknya. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan "Firdaus". Di atas Firdaus inilah terletaknya Arash Allah SWT (Mahligai Tuhan). Keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila penghuninya dapat melihat wajah Allah. Cara melihat Allah bukanlah seperti kita melihat dengan mata biasa sekarang ini tetapi caranya ialah dengan penglihatan mata yang telah ditentukan Allah untuk penghuni syurga.

8.      SUNGAI-SUNGAI DI SYURGA

 
SEKADAR INILAH SAHAJA KEINDAHAN SUNGAI DI DUNIA
8.1.  Semasa hidup di dunia ini kita mungkin membayangkan alangkah indahnya jika rumah kita berhadapan dengan sungai.  Lebih-lebih lagi jika mendiami sebuah banglo mewah yang di bawahnya ada sungai mengalir.  Sesungguhnya Allah mengetahui kemahuan manusia. Oleh kerana itulah dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman di beberapa tempat tentang adanya sungai di dalam rumah kita di syurga. Firman-firman itu ialah dalam surah-surah berikut:

8.1.1. Surah Al-Imran [Keluarga Imran](3:15) yang berbunyi:




“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;”

8.1.2. Surah Al-Mujadalah[Wanita Yang Bersoal Jawab]        (58:22) yang berbunyi:





“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.”

8.1.3.   Surah Muhammad(47:15) yang berbunyi:






“Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)”.

8.1.4.    Surah Al-Maidah[Hidangan](5:119) yang berbunyi:






Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar”.

8.1.5. Surah Al-Baiyyinah[Bukti Yang Nyata](98:8) yang berbunyi:






“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.”

8.2.   Nama-nama sungai di syurga tidak disebut di dalam Al-Quran. Tetapi dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim dikatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud: Bahawa di syurga terdapat suatu sungai yang disebut sungai Rajab, airnya lebih putih daripada air susu dan rasanya lebih manis daripada madu. Sesiapa yang puasa satu hari dari bulan Rajab, maka Allah memberikan minuman dari sungai itu. Sungai yang bersama Rajab dengan sifat-sifatnya yang luar biasa ini belum pernah dilihat dan dirasakan airnya oleh manusia di dunia ini. Di dalam keterangan-keterangan lain disebutkan bahawa di syurga ada sungai-sungai bernama Al-Kausar dan Al-Firdaus.
 
9.      PASAR DI SYURGA

9.1.   Di dunia ini kehidupan manusia tidak asing dengan pasar.  Setiap minggu mungkin kita akan ke pasar.  Apakah di syurga juga ada pasar?.  Jawabnya ya. Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pasar yang akan dikunjungi oleh penghuninya pada setiap Jumaat. Lalu akan bertiup ke arah mereka angin dari utara lantas menyapu wajah dan pakaian mereka. Kemudian dia kembali kepada keluarganya dalam keadaan bertambah keelokan dan kecantikannya". ( Hadis Riwayat Muslim).

9.2.   Anas bin Malik r.a. seterusnya berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga".

10.    POKOK SYURGA
 
POKOK RENDANG DI DUNIA YANG DIKIRA SANGAT CANTIK
10.1. Abu Hurairah r.a. berkata Rasululah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di dalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun tidak putus naungannya. Di dalam syurga kesenangannya tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga malah tidak pernah terlintas dalam fikiran manusia.

10.2. Dari Sahl bin Saad r.a katanya Rasulullah SAW  pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pohon yang mana berjalan di bawah bayangnya seorang penunggang selama seratus tahun, belum lepas dari bayangnya.” (Hadis Riwayat Muslim).

11.    MAKANAN DAN MINUMAN AHLI SYURGA

Untuk mengetahui lebih terperinci makanan dan minuman ahli syurga seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT, sila layari artikel dalam blog ini yang telah disiarkan pada 24.12.2014 bertajuk “Gambaran Kenikmatan dan Kebahagian Kekal Abadi Kehidupan Di Dalam Syurga.”

12.    KEADAAN FIZIKAL AHLI SYURGA 

12.1. Sesungguhnya ahli syurga tidak tua walaupun ketika mati mereka telah berusia ratusan atau puluhan tahun. Dikatakan bagi lelaki usia mereka sebaya iaitu 33 tahun, iaitu umur Nabi Isa semasa diangkat oleh Allah ke langit dalam peristiwa penyaliban oleh orang Yahudi. 

12.2. Abul-Laits pula meriwayatkan dengan sanadnya daripada Shuhaib berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka telah masuk ke neraka, maka akan ada seruan. Hai ahli syurga, Allah akan menepati janjiNya kepada kamu. Mereka berkata: Apakah itu, tidakkah telah memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memasukkan kami ke dalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka. Maka Allah membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihat-Nya, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada melihat kepada zat Allah."

12.3. Ibn Abbas r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, lurus, ada rambut di kepala, alis dan kelopak mata, sedang janggut, kumis, ketiak dan kemaluan tidak ada rambut.  Tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. iaitu enam puluh hasta.  Usianya bagaikan Nabi Isa iaitu 33 tahun. Putih rupanya. Hijau pakaiannya.  Dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh ahli syurga sepuasnya."

12.4. Abu Hurairah r.a. berkata: Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad SAW.   Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, tidak sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua.

12.5. Ikramah berkata: Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang umur 33 tahun lelaki dan perempuan sama-sama, sedang tingginya enam puluh hasta setinggi Nabi Adam a.s. Mereka semua muda-muda yang masih bersih halus tidak berjanggut, bola matanya memakai tujuh puluh macam perhiasan yang berubah warnanya tiap masa, tujuh puluh macam warna. Maka dapat melihat mukanya di muka isterinya demikian pula di dadanya, dibetisnya, demikian pula isterinya dapat melihat wajahnya di wajah suaminya, dada dan betisnya, mereka tidak berludah dan tidak beringus.  Mereka tidak ada sebarang kekotoran.

12.6. Dari Al'amasy dari Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak berhingus.  Sisir rambut mereka dari emas.  Ukup-ukup mereka dari kayu gaharu yang harum dan peluh mereka berbau kasturi.  Bentuk badan mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Nabi Adam a.s. 

13.    BIDADARI SYURGA

13.1. Di dunia ini sudah menjadi lumrah untuk seseorang lelaki mencintai wanita.  Begitu juga halnya di syurga nanti.  Yang dinantikan oleh lelaki ialah seorang bidadari syurga yang tidak dapat diceritakan kejelitaannya.  Jauh sama sekali menyerupai wanita tercantik di dunia ini.

13.2. Untuk mengetahui lebih terperinci kecantikan bidadari syurga ini, sila layari artikel dalam blog ini yang telah disiarkan pada 24.12.2014 bertajuk “Gambaran Kenikmatan dan Kebahagian Kekal Abadi Kehidupan Di Dalam Syurga.”

14.  NIKMAT YANG PALING TINGGI DI SYURGA

Dari Jabir bin Abdullah sebagaimana disampaikan oleh Ibnu Abu Hatim yang mengatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sewaktu penghuni syurga sedang menikmati kesenangan di dalamnya, tiba-tiba terpancar sinar cemerlang di atas kepala mereka. Mereka mengangkat kepala masing-masing. Tiba-tiba Allah (Tuhan Yang Maha Tinggi) muncul di atas mereka lalu berkata: ‘Assalamualaikum wahai penghuni syurga’”. Sabda Rasulullah ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Yaasin(36:58) yang berbunyi:




“(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

Lebih lanjut lagi diterangkan: Allah memerhati mereka dan mereka memandang Allah.  Selama ahli syurga memandang Allah, mereka tidak mengalihkan perhatian kepada kenikmatan lain dalam syurga sehinggalah pandangan mereka terhijab (tertutup) dan tinggallah cahaya Allah dan keberkatanNya kepada mereka di tempat masing-masing.  Inilah kemuncak kenikmatan yang diperolehi oleh seluruh penghuni syurga.

15. Kesimpulannya apa yang dapat disampaikan di atas hanyalah sebahagian kecil sahaja dari gambaran kenikmatan, keindahan serta kecantikan syurga. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berfirman Allah SAW, Aku sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam fikiran serta hati manusia" (Riwayat Bukhari dan Muslim).  

16.  Oh ya. Jika di dunia yang sementara ini kita berlumba-lumba untuk mencari kesenangan, kenikmatan dan keselesaan kenapakah pula kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi itu kita tidak mahu berebut-rebut.  Bukankah ironi namanya.  Melainkanlah jika kita tidak mempercayai adanya kehidupan selepas kematian serta balasan syurga dan neraka.  Jika begitu samalah taraf kita dengan orang kafir.   Mahukah kita jadi orang kafir.  Renung dan fikirkanlah lama-lama hakikat syurga dan neraka yang wajib menjadi tempat tinggal manusia satu hari nanti.  Janganlah menjadi orang yang menyesal selama-lamanya.

17.    Sebagai perbandingannya bolehlah dirumuskan bahawa apa yang kita dengar tentang syurga itu adalah teorinya sahaja.  Praktikalnya atau yang sebenrnya bagaimana?.  Jawapannya ialah kita kenalah masuk ke dalam syurga barulah dapat melihat dan merasai akan kebenaran teori itu.  Ini kerana syurga itu adalah perkara ghaib yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan Rasulullah. Justeru, kita semua wajib berusaha dan berlumba-lumba beramal untuk mendapat ganjaran syurga dari Allah. Bertekadlah kita untuk menjadikan syurga itu sebagai matlamat hidup. Kehidupan disyurga inilah yang telah dipilih menjadi tajuk blog ini : MENCARI JALAN PULANG. Sila lihat penerangannya bagi posting pertama bertajuk “Pengenalan” yang telah diterbitkan pada 20.10.2014.

“Manusia yang paling lemah ialah orang yang tak sanggup cari teman dan yang paling lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan teman yang telah diperolehinya.” – Mutiara kata Imam Al-Ghazali