1. Sebagai orang Islam kita perlu bertanya diri masing-masing. Apakah tujuan Allah
mencipta, kemudiannya melahirkan kita ke dunia ini serta memanjangkan usia kita sehinggalah meninggal dunia?. Adakah tujuannya hanya
sekadar untuk mencari makan, memiliki kekayaan dan berseronok dengan kekayaan
sahaja. Jika itulah jawapannya maka samalah taraf kita dengan orang kafir yang tidak beriman. Jadilah orang yang berjaya di sisi Allah SWT.
2. Tujuan Allah SWT mencipta manusia telah dijelaskan dalam Surah Az-Zariyat[Angin Kencang](51:56) yang berbunyi:
“Dan
tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka
menyembah-Ku”.
3. Ulasan bagi tajuk kali ini akan menyoroti isi kandungan buku
bertajuk “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”
(Maza
Ya'ni Intiami Lil Islam) yang dikarang oleh Mujahid Ustaz Fathi Yakan. Siapakah Ustaz Fathi Yakan?. Beliau telah
dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tarablas, Lubnan. Mendapat ijazah kedoktoran
dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab walaupun pada peringkat B.A. dan M.A.
beliau belajar di dalam bidang kejuruteraan. Beliau terlibat dengan kerja-kerja
dakwah Islam sejak tahun 50an lagi dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal tahun
60an. Merupakan antara pelopor dan pengasas Ikhwanul Muslimin Lubnan dan telah
menjawat jawatan Ketua Umum Ikwanul Muslimin Lubnan sehinggalah pada tahun
1992. Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dalam pilihanraya Lubnan dan
telah memenangi kerusi parlimen sehinggalah pada tahun 1996. Kemudiannya beliau
telah mengetuai Jabhah Islami. Beliau telah mengarang lebih dari 35 buah buku.
4. Pada Hari Ahad, 14 Jun 2009 beliau telah pulang kerahmatullah
ketika berusia 76 tahun. Alfatihah untuk almarhum. Beliau meninggalkan seorang
balu, Dr. Mona Haddad Yakan dan 4 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Buku-buku karangan beliau telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia
& Indonesia) dan menjadi sumber rujukan bagi gerakan-gerakan Islam di
Nusantara. Antaranya ialah buku yang bertajuk “Generasi Muda &
Perubahan”, “Isti'ab, “Golongan Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah”, “Bahtera
Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah”, “Komitmen Muslim Sejati”, “Membentuk
Fikrah”, “Visi Gerakan Islam” dan “Apa Ertinya Saya Menganut
Agama Islam”.
5. Dalam bukunya “Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam”, almarhum
telah menyebutkan bahawa di dunia ini terdapat tiga kumpulan manusia, iaitu:
5.1. Kumpulan Pertama = Orang yang hidup hanya
untuk dunia semata-mata. Mereka dinamakan sebagai golongan ad-dahriyyun.
Kumpulan ini hanya ingin hidup dan berseronok di dunia ini sahaja. Mereka sama
sekali tidak pernah mempedulikkan balasan Allah di akhirat nanti. Sikap mereka ini
sama dengan apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam surah-surah
berikut:
5.1.1.
Surah Al-An’am [Binatang Ternakan](6:29)
yang berbunyi:
“Dan tentu mereka akan mengatakan (pula):
"Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia ini saja, dan kita sekali-sekali
tidak akan dibangkitkan".
5.1.2. Surah Jaatsiyah[Yang Berlutut](45:24) yang berbunyi:
“Dan mereka berkata: "Kehidupan ini
tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup dan tidak
ada yang akan membinasakan kita selain masa", dan mereka sekali-kali tidak
mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga
saja.”
5.2. Kumpulan Kedua = Orang yang hilang pedoman
dan panduan Ilahi dalam hidupnya. Hidup
dalam keadaan terumbang ambing dengan keyakinan kepada agama yang tidak mantap.
Menjalani kehidupan yang menyimpang dari jalan yang telah dibawa oleh
Rasulullah tetapi masih berfikir mereka berada di atas jalan yang benar. Mereka
mempunyai kepercayaan kepada Allah SAW dan hari qiamat tetapi aqidah mereka
lemah. Mereka terlalu bersifat materialistik walaupun mereka mungkin melakukan amalan-amalan
agama yang diperintahkan.
Kumpulan ini tidak memahami tuntutan Islam
sebenar dan akhirnya tertipu dengan amalan mereka. Islam mengajarkan
penganutnya berbuat baik sahaja tidak memadai tetapi kebaikan itu hendaklah berlandaskan
syariat dan niat mestilah hanya semata-mata kerana Allah SWT barulah ia menjadi
ibadat yang ada nilai di sisi Allah. Kita dapat melihat ramai orang yang pergi
haji, pergi umrah tetapi membeli rumah dengan meminjam dari bank konvensional
yang mengamalkan riba. Tidak sedikit yang suka menderma untuk kebajikan tetapi matlamatnya
bercampur antara ibadat dan riak. Ramai yang kuat sembahyang tetapi isteri dan
anak perempuannya masih tidak menutup aurat di khalayak ramai. Menyimpan wang
dalam bank riba, memakan rasuah dan sebagainya tetapi puasa sunat tidak
tinggal.
5.3.
Kumpulan Ketiga = Kumpulan orang yang berjaya disisi Allah SWT. Kumpulan ini menganggap
bahawa dunia ini hanyalah ibarat ladang atau kebun tanaman di mana mereka perlu
mengusahakannya tetapi hasilnya hanya dapat dituai di akhirat nanti. Kumpulan
ini benar-benar beriman kepada Allah SWT dan mengikuti jejak yang ditinggalkan
oleh Rasulullah. Mereka mengetahui erti kehidupan serta memahami nilai dunia
berbanding dengan nilai akhirat. Orang seperti ini seumpama jasadnya sahaja berada
di dunia tetapi hatinya sudah berada di akhirat, di dalam syurga. Segala usaha
dan kerjanya di dunia adalah diniatkan untuk kepentingan akhirat. Mereka
terdiri dari orang yang selalu mendekatkan diri dengan Allah dan sentiasa memelihara
agar amalan atau pelaburan untuk akhiratnya tidak rosak. Golongan ini telah
dberikan gambaran oleh Allah SWT seperti dalam firmanNya dalam Surah Al-An’am[Binatang Ternakan](6:32) yang
berbunyi:
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain
dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu
lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”.
Rasulullah
SAW berkata dalam wasiatnya kepada Abu Hurairah: "Wahai Abu Hurairah! Hendaklah engkau mengikut jalan suatu kaum.
Jika manusia lain merasa takut, mereka tidak takut. Mereka mencari keselamatan
dari api neraka.” Abu Hurairah bertanya,
"Siapakah mereka itu?. Jelaskan mereka itu padaku hingga aku dapat
mengenalinya." Rasulullah
menjawab: "Suatu kaum dari
umatku di akhir zaman. Mereka berkumpul pada Hari Qiyamat di tempat
berkumpulnya para nabi. Jika manusia memandang mereka, manusia mengira bahawa
mereka adalah para nabi dari keadaan yang mereka lihat hinggalah aku beritahu
kepada mereka nanti. Aku katakan, "Umatku, umatku." Maka para makhluk
mengetahui bahawa mereka bukanlah para nabi. Mereka berlalu seperti kilat dan
angin. Pandangan mata yang hadir kagum dengan cahaya mereka."
Abu
Hurairah berkata lagi, "Wahai Rasulullah, beritahuku apakah amalan mereka. Mudah-mudahan aku dapat
mengikuti mereka." Rasulullah menjawab: "Wahai Abu Hurairah, kaum itu menempuh jalan sukar hingga sampai pada tingkatan
para nabi. Mereka memilih lapar setelah Allah memberikan (peluang) kepada
mereka untuk (sentiasa) kenyang, memilih pakaian kasar setelah Allah memberi
mereka pilihan berbagai pakaian, dan memilih haus setelah Allah memberi mereka
rasa puas. Mereka meninggalkan itu semua kerana mengharapkan apa yang ada di
sisi Allah (redhaNya dan nikmat Syurga). Mereka tinggalkan yang halal kerana
takut banyak dihisab. Para nabi dan malaikat takjub dengan ketaatan mereka
kepada Allah. Kebahagian bagi mereka! Kebahagian bagi mereka! Aku ingin agar
Allah mengumpulkan aku bersama mereka."
Kemudian
Rasulullah menangis kerana rindu kepada mereka. Lalu baginda berkata: "Jika Allah hendak mengazab penghuni
bumi lalu memandang mereka, maka Dia berpaling dan tidak jadi menurunkan azab.
Barang siapa berpaling dari jalan mereka, maka mereka akan terbeban kerana
kerasnya azab."
6. Tiga kumpulan manusia telah dibentangkan. Ayuh, bersegeralah muhasabah diri kita
masing-masing. Dalam kumpulan manakah
kita berada?. Sampan sudah berada di air dan dayung juga telah berada ditangan.
Ayuh dayunglah ke arah mana yang kita mahu tuju. Tepuk dada dan tanyalah iman
kita. Mana satukah idaman kalbu?.
“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang
lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang
menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa
yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang
nanti akan jatuh ke dalamnya”.- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Assidiq
Sebahagian kandungan dipetik dari blog abubasyer.blogspot.com
Sebahagian kandungan dipetik dari blog abubasyer.blogspot.com
No comments:
Post a Comment