Monday, 26 October 2015

BERTEKAD MENJADIKAN SYURGA SEBAGAI MATLAMAT HIDUP


1. Dalam Surah At-Taubah[Pengampunan](9:72), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:





“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang sangat besar”.

2.   Sebagai seorang Islam kita wajib mempercayai adanya perkara-perkara ghaib, iaitu perkara yang tidak mampu dilihat dan didengar sekarang tetapi ia pasti ada.  Salah satu darinya ialah pembalasan syurga dan neraka dari Allah SWT. 

3.      APA MAKSUD SYURGA

Syurga (Al Jannah) dari segi bahasanya berarti kebun (al bustan), iaitu kebun yang di dalamnya terdapat pokok-pokok. Orang Arab juga biasa memakai kata al jannah untuk menyebut pokok kurma. Dari segi istilah, syurga ialah nama umum yang mencakupi suatu tempat yang telah dipersiapkan oleh Allah SWT bagi mereka yang mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Di dalamnya terdapat pelbagai kesenangan, kebahagiaan, keseronokan, kenikmatan, kelazatan dan apa juga yang indah pada pandangan mata manusia. Selain dipanggil Al Jannah, syurga juga dikenali dengan  pelbagai nama seperti  Jannatun Na'im (Syurga yang Penuh Kenikmatan), Al Firdaus,  Darus Salam (Negeri Keselamatan), Darul Khuld (Negeri yang Kekal) dan lain-lain lagi.

4.      DI MANA LETAKNYA SYURGA

4.1.  Ketika Rasulullah dalam perjalanan Mikraj, baginda telah berhenti di Sidratul Muntaha. Menurut baginda, Sidratul Muntaha itu berada jauh di luar alam langit (di luar ruang angkasa). Di situlah Baginda mendapati terletaknya syurga. Para ulama bersepakat bahawa syurga itu terletak di atas dari langit yang ketujuh. Ini kerana adanya firman Allah SWT dalam Surah An-Najm[Bintang](53:13) yang berbunyi:



“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi”.

(53:14)


“Di sisi Sidratul-Muntaha”.

(53:15)




“Yang di sisinya terletak Syurga ‘Jannatul-Makwa’”.

(53:16)



“(Nabi Muhammad melihat jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa ” Sidratul Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.

(53:17)



“Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas”.

4.2.   Rasulullah SAW dalam perjalanan mikraj telah memasuki langit dunia. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Adam di mana sebelah kanannya terdapat roh-roh ahli syurga dan di kirinya pula roh-roh ahli neraka. Perjalanan diteruskan ke langit kedua sampai ke langit ketujuh. Di langit kedua baginda telah bertemu dengan Nabi Isa dan Nabi Yahya. Di langit ketiga pula bertemu Nabi Yusuf manakala Nabi Idris ditemui di langit keempat. Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Harun di langit kelima, Nabi Musa di langit keenam, dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh. Di langit ketujuh inilah dilihatnya Baitul Makmur, tempat di mana 70,000 malaikat sedang solat. Setiap malaikat hanya dibenarkan sekali memasukinya dan tak akan masuk lagi. Perjalanan Rasulullah diteruskan sehingga ke Sidratul Muntaha. Di Sidratul Muntaha Rasulullah  dapat melihat empat batang sungai. Dua sungai batin di syurga manakala dua sungai zahir di dunia iaitu sungai Furat (Tigris) di Iraq dan sungai Nil di Mesir.  Kemudian Malaikat Jibril  mengajak Rasulullah melihat syurga yang indah. Di Sidratul Muntaha inilah Rasulullah melihat wajah Jibril dalam bentuk asalnya.

5.       SIAPA YANG LAYAK MASUK SYURGA?

Soalan ini boleh dijawab dengan firman-firman Allah SWT dalam surah-surah berikut:

5.1.      Dalam Surah Al Imran[Keluarga Imran](3:195) yang berbunyi:








“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

5.2. Dalam Surah An-Nisaa[Kaum Perempuan](4:124) yang berbunyi:





“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
 
6.      KENIKMATAN SYURGA

6.1. Seorang yang beriman perlu mencari dan memburu syurga kerana kenikmatan dan keindahannya yang tidak dapat dihuraikan dengan bahasa. Nikmatnya syurga itu tidak boleh sama sekali dibandingkan dengan kenikmatan kehidupan di dunia ini. Oleh kerana itulah layak masuk syurga dan selamat dari neraka adalah satu  rahmat yang teramat agung dan tinggi serta kemenangan yang sangat besar bagi seorang manusia. Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:185) yang berbunyi:




“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

6.2.  Di dalam syurga itu udaranya sangat nyaman. Tidak panas membakar dan tidak pula sejuk mengigit. Allah berfirman dalam Surah Al-Insan[Manusia](76:13) yang berbunyi:




“Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk.”

6.3.   Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar, dari Abu Hurairah, katanya rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Bahawa dinding-dinding syurga itu diperbuat dari batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya pula kasturi. Harumnya syurga itu sudah dapat dicium dari jarak perjalanan 100 tahun." 

7.      BINAAN SYURGA

7.1.   Gambaran binaan syurga telah diberikan oelh Allah SWT dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:20) yang berbunyi:






“Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya”.

7.2.   Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya ahli syurga akan memandang ahli kamar di atasnya seperti kamu melihat bintang di langit meluncur dari ufuk timur atau barat, kerana kelebihan di antara mereka". Para sahabat bertanya: "Itukah tempat para nabi yang tidak sampai kepadanya orang lain?" Rasulullah menjawab: "Bahkan  Demi Allah yang nyawaku dalam tanganNya lelaki-lelaki yang beriman kepada Allah dan membenarkan para rasul."( Hadis Riwayat Muslim)

7.3.   Di dalam syurga terdapat lapan pintu. Antaranya adalah pintu Ar Rayyan. Tidak ada yang memasukinya kecuali orang-orang yang berpuasa. Jarak antara satu pintu syurga dengan yang lain sangat jauh, sejauh di antara Mekah dan Bushra ataupun antara Mekah dan Hajar (sebuah kota di Bahrain). Jarak ini dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah, di mana beliau berkata: “Allah berfirman: Wahai Muhammad, masukkan umatmu yang tidak dihisab melalui pintu sebelah kanan. Mereka bebas masuk pintu lainnya bersama orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Demi Rabb yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, jarak di antara dua daun pintu syurga adalah seperti Mekah dan Hajar atau di antara Mekh dan Bushra.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

7.4.   Abu Hurairah r.a. berkata, kami bertanya Rasulullah: Beritakan kepada kami tentang bangunan syurga. Jawab Rasulullah yang bermaksud; “Satu bata dari emas dan satu bata dari perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari za'faran, kerikilnya mutiara dan yakut, siapa yang masuk dalamnya senang tidak susah, kekal tidak mati tidak lapuk pakaiannya, tidak berubah mukanya.”

7.5.   Syurga itu bertingkat-tingkat dan setiap tingkat berbeza-beza bentuknya. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah seperti jarak antara bumi dan langit. Adapun tingkatan syurga yang paling tinggi darjatnya dinamakan "Firdaus". Di atas Firdaus inilah terletaknya Arash Allah SWT (Mahligai Tuhan). Keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila penghuninya dapat melihat wajah Allah. Cara melihat Allah bukanlah seperti kita melihat dengan mata biasa sekarang ini tetapi caranya ialah dengan penglihatan mata yang telah ditentukan Allah untuk penghuni syurga.

8.      SUNGAI-SUNGAI DI SYURGA

 
SEKADAR INILAH SAHAJA KEINDAHAN SUNGAI DI DUNIA
8.1.  Semasa hidup di dunia ini kita mungkin membayangkan alangkah indahnya jika rumah kita berhadapan dengan sungai.  Lebih-lebih lagi jika mendiami sebuah banglo mewah yang di bawahnya ada sungai mengalir.  Sesungguhnya Allah mengetahui kemahuan manusia. Oleh kerana itulah dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman di beberapa tempat tentang adanya sungai di dalam rumah kita di syurga. Firman-firman itu ialah dalam surah-surah berikut:

8.1.1. Surah Al-Imran [Keluarga Imran](3:15) yang berbunyi:




“Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;”

8.1.2. Surah Al-Mujadalah[Wanita Yang Bersoal Jawab]        (58:22) yang berbunyi:





“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.”

8.1.3.   Surah Muhammad(47:15) yang berbunyi:






“Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)”.

8.1.4.    Surah Al-Maidah[Hidangan](5:119) yang berbunyi:






Allah berfirman: “Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar”.

8.1.5. Surah Al-Baiyyinah[Bukti Yang Nyata](98:8) yang berbunyi:






“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.”

8.2.   Nama-nama sungai di syurga tidak disebut di dalam Al-Quran. Tetapi dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim dikatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud: Bahawa di syurga terdapat suatu sungai yang disebut sungai Rajab, airnya lebih putih daripada air susu dan rasanya lebih manis daripada madu. Sesiapa yang puasa satu hari dari bulan Rajab, maka Allah memberikan minuman dari sungai itu. Sungai yang bersama Rajab dengan sifat-sifatnya yang luar biasa ini belum pernah dilihat dan dirasakan airnya oleh manusia di dunia ini. Di dalam keterangan-keterangan lain disebutkan bahawa di syurga ada sungai-sungai bernama Al-Kausar dan Al-Firdaus.
 
9.      PASAR DI SYURGA

9.1.   Di dunia ini kehidupan manusia tidak asing dengan pasar.  Setiap minggu mungkin kita akan ke pasar.  Apakah di syurga juga ada pasar?.  Jawabnya ya. Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pasar yang akan dikunjungi oleh penghuninya pada setiap Jumaat. Lalu akan bertiup ke arah mereka angin dari utara lantas menyapu wajah dan pakaian mereka. Kemudian dia kembali kepada keluarganya dalam keadaan bertambah keelokan dan kecantikannya". ( Hadis Riwayat Muslim).

9.2.   Anas bin Malik r.a. seterusnya berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga".

10.    POKOK SYURGA
 
POKOK RENDANG DI DUNIA YANG DIKIRA SANGAT CANTIK
10.1. Abu Hurairah r.a. berkata Rasululah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di dalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun tidak putus naungannya. Di dalam syurga kesenangannya tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga malah tidak pernah terlintas dalam fikiran manusia.

10.2. Dari Sahl bin Saad r.a katanya Rasulullah SAW  pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pohon yang mana berjalan di bawah bayangnya seorang penunggang selama seratus tahun, belum lepas dari bayangnya.” (Hadis Riwayat Muslim).

11.    MAKANAN DAN MINUMAN AHLI SYURGA

Untuk mengetahui lebih terperinci makanan dan minuman ahli syurga seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT, sila layari artikel dalam blog ini yang telah disiarkan pada 24.12.2014 bertajuk “Gambaran Kenikmatan dan Kebahagian Kekal Abadi Kehidupan Di Dalam Syurga.”

12.    KEADAAN FIZIKAL AHLI SYURGA 

12.1. Sesungguhnya ahli syurga tidak tua walaupun ketika mati mereka telah berusia ratusan atau puluhan tahun. Dikatakan bagi lelaki usia mereka sebaya iaitu 33 tahun, iaitu umur Nabi Isa semasa diangkat oleh Allah ke langit dalam peristiwa penyaliban oleh orang Yahudi. 

12.2. Abul-Laits pula meriwayatkan dengan sanadnya daripada Shuhaib berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka telah masuk ke neraka, maka akan ada seruan. Hai ahli syurga, Allah akan menepati janjiNya kepada kamu. Mereka berkata: Apakah itu, tidakkah telah memberatkan timbangan amal kami dan memutihkan wajah kami dan memasukkan kami ke dalam syurga dan menghindarkan kami dari neraka. Maka Allah membukakan bagi mereka hijab sehingga mereka dapat melihat-Nya, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya belum pernah mereka diberi sesuatu yang lebih senang daripada melihat kepada zat Allah."

12.3. Ibn Abbas r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  "Sesungguhnya ahli syurga itu muda semua, lurus, ada rambut di kepala, alis dan kelopak mata, sedang janggut, kumis, ketiak dan kemaluan tidak ada rambut.  Tinggi mereka setinggi Nabi Adam a.s. iaitu enam puluh hasta.  Usianya bagaikan Nabi Isa iaitu 33 tahun. Putih rupanya. Hijau pakaiannya.  Dihidangkan kepada mereka hidangan, maka datang burung dan berkata: Hai waliyullah, saya telah minum dari sumber salsabil dan makan dari kebun syurga dan buah-buahan, rasanya sebelah badanku masakan dan yang sebelahnya gorengan, maka dimakan oleh ahli syurga sepuasnya."

12.4. Abu Hurairah r.a. berkata: Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad SAW.   Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, tidak sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua.

12.5. Ikramah berkata: Ketangkasan ahli syurga bagaikan orang umur 33 tahun lelaki dan perempuan sama-sama, sedang tingginya enam puluh hasta setinggi Nabi Adam a.s. Mereka semua muda-muda yang masih bersih halus tidak berjanggut, bola matanya memakai tujuh puluh macam perhiasan yang berubah warnanya tiap masa, tujuh puluh macam warna. Maka dapat melihat mukanya di muka isterinya demikian pula di dadanya, dibetisnya, demikian pula isterinya dapat melihat wajahnya di wajah suaminya, dada dan betisnya, mereka tidak berludah dan tidak beringus.  Mereka tidak ada sebarang kekotoran.

12.6. Dari Al'amasy dari Abu Salih dari Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Rombongan pertama akan masuk syurga dari umatku bagaikan bulan purnama, kemudian yang berikutnya bagaikan bintang yang amat terang di langit kemudian sesudah itu menurut tingkatnya masing-masing, mereka tidak kencing dan buang air, tidak berludah dan tidak berhingus.  Sisir rambut mereka dari emas.  Ukup-ukup mereka dari kayu gaharu yang harum dan peluh mereka berbau kasturi.  Bentuk badan mereka seperti seorang yang tingginya bagaikan Nabi Adam a.s. 

13.    BIDADARI SYURGA

13.1. Di dunia ini sudah menjadi lumrah untuk seseorang lelaki mencintai wanita.  Begitu juga halnya di syurga nanti.  Yang dinantikan oleh lelaki ialah seorang bidadari syurga yang tidak dapat diceritakan kejelitaannya.  Jauh sama sekali menyerupai wanita tercantik di dunia ini.

13.2. Untuk mengetahui lebih terperinci kecantikan bidadari syurga ini, sila layari artikel dalam blog ini yang telah disiarkan pada 24.12.2014 bertajuk “Gambaran Kenikmatan dan Kebahagian Kekal Abadi Kehidupan Di Dalam Syurga.”

14.  NIKMAT YANG PALING TINGGI DI SYURGA

Dari Jabir bin Abdullah sebagaimana disampaikan oleh Ibnu Abu Hatim yang mengatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sewaktu penghuni syurga sedang menikmati kesenangan di dalamnya, tiba-tiba terpancar sinar cemerlang di atas kepala mereka. Mereka mengangkat kepala masing-masing. Tiba-tiba Allah (Tuhan Yang Maha Tinggi) muncul di atas mereka lalu berkata: ‘Assalamualaikum wahai penghuni syurga’”. Sabda Rasulullah ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Yaasin(36:58) yang berbunyi:




“(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

Lebih lanjut lagi diterangkan: Allah memerhati mereka dan mereka memandang Allah.  Selama ahli syurga memandang Allah, mereka tidak mengalihkan perhatian kepada kenikmatan lain dalam syurga sehinggalah pandangan mereka terhijab (tertutup) dan tinggallah cahaya Allah dan keberkatanNya kepada mereka di tempat masing-masing.  Inilah kemuncak kenikmatan yang diperolehi oleh seluruh penghuni syurga.

15. Kesimpulannya apa yang dapat disampaikan di atas hanyalah sebahagian kecil sahaja dari gambaran kenikmatan, keindahan serta kecantikan syurga. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berfirman Allah SAW, Aku sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam fikiran serta hati manusia" (Riwayat Bukhari dan Muslim).  

16.  Oh ya. Jika di dunia yang sementara ini kita berlumba-lumba untuk mencari kesenangan, kenikmatan dan keselesaan kenapakah pula kehidupan di alam akhirat yang kekal abadi itu kita tidak mahu berebut-rebut.  Bukankah ironi namanya.  Melainkanlah jika kita tidak mempercayai adanya kehidupan selepas kematian serta balasan syurga dan neraka.  Jika begitu samalah taraf kita dengan orang kafir.   Mahukah kita jadi orang kafir.  Renung dan fikirkanlah lama-lama hakikat syurga dan neraka yang wajib menjadi tempat tinggal manusia satu hari nanti.  Janganlah menjadi orang yang menyesal selama-lamanya.

17.    Sebagai perbandingannya bolehlah dirumuskan bahawa apa yang kita dengar tentang syurga itu adalah teorinya sahaja.  Praktikalnya atau yang sebenrnya bagaimana?.  Jawapannya ialah kita kenalah masuk ke dalam syurga barulah dapat melihat dan merasai akan kebenaran teori itu.  Ini kerana syurga itu adalah perkara ghaib yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap orang yang beriman kepada Allah dan Rasulullah. Justeru, kita semua wajib berusaha dan berlumba-lumba beramal untuk mendapat ganjaran syurga dari Allah. Bertekadlah kita untuk menjadikan syurga itu sebagai matlamat hidup. Kehidupan disyurga inilah yang telah dipilih menjadi tajuk blog ini : MENCARI JALAN PULANG. Sila lihat penerangannya bagi posting pertama bertajuk “Pengenalan” yang telah diterbitkan pada 20.10.2014.

“Manusia yang paling lemah ialah orang yang tak sanggup cari teman dan yang paling lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan teman yang telah diperolehinya.” – Mutiara kata Imam Al-Ghazali

No comments:

Post a Comment