Thursday 1 November 2018

HIKMAH KENAPA ISLAM MENGHARAMKAN HUBUNGAN SEKS SEMASA HAID


1.     Telah diketahui umum bahawa seseorang wanita yang normal akan melalui pusingan darah haid mereka seminggu sekali dalam sebulan. Apakah kaitan darah haid ini dengan ajaran dalam agama Islam?. Islam adalah agama yang sempurna dan lengkap. Hinggalah perkara berkaitan dengan pengharaman melakukan hubungan seks semasa wanita datang haid juga dijelaskan. Tujuannya tidak lain melainkan untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan penganutnya. Hukum pengharaman ini telah Allah SWT jelaskan lebih 1,400 tahun lalu dalam Al-Quran. Ia terdapat dalam surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:222) yang berbunyi:




Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu adalah kotoran dan mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

2.      Malah Rasulullah SAW juga turut memperkatakan hal ini. Antara sabda Rasulullah SAW adalah yang bermaksud: “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tarmizi).

3.      Imam Al Ghazali merumuskan hukum ini di dalam kitabnya bertajuk “Ihya Ulumuddin” dengan berkata, “Janganlah suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid sebelum si isteri menyempurnakan mandi wajib terlebih dahulu, kerana yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.“

4.      Kajian Mengenai Bahaya Hubungan Seks Ketika Haid 

4.1.   Melakukan hubungan seks ketika haid mempunyai banyak risiko kesihatan. Mengikut kajian yang dijalankan oleh Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan Pendidikan (The Research And Education Group) yang beribu pejabat di Oregon, dalam artikel yang bertajuk “Women With HIV Infection”, menerangkan bahawa risiko jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak berkhatan.

4.2.   Perhimpunan kesebelas Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans, Amerika Syarikat telah diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995. Dalam perhimpunan tersebut,   Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control And Prevention) di Amerika, melaporkan bahawa menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita. Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda. Hubungan seks pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang teruk ke atas wanita.

4.3.   Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa. Kebiasaannya kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996. Bagi golongan wanita, tiub fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat.

4.4.   Risiko untuk menghidapi penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina. Ketika wanita itu didalam keadaan haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya apabila berlaku persetubuhan pada waktu itu.

5.      Oleh yang demikian, hukum pengharaman persetubuhan ketika haid oleh agama Islam adalah amat signifikan kerana ia memberi banyak manfaat dari sudut kesihatan. Walau bagaimanapun Islam tidak melarang pasangan suami isteri bergurau senda dan bergaul mesra semasa haid, asalkan perbuatan itu tidak membawa kepada persetubuhan.

6.      Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya oleh Masruq bin Ajdak, “Apakah yang boleh dilakukan oleh suami semasa isterinya sedang dalam keadaan haid?” Lalu Aisyah menjawab, “Apa-apa sahaja kecuali bersetubuh.” (Hadith Riwayat  Bukhari)

7.      Fakta mengenai kesihatan di atas mengesahkan bahawa agama Islam adalah agama yang sempurna dan benar. Agama yang datang dari pencipta manusia, iaitulah Allah SWT.  Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:3) Allah SWT berfirman yang berbunyi:


Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.  

Sebahagian kandungan dipetik dari blog hasnulhadiahmad.com

“Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa sebab tumitnya sudah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit sahaja sudah berdarah. Demikian jugalah hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah kalau buat dosa”. = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat